98 RUMAH PERCUMA UNTUK RAKYAT PAHANG
PROGRAM RUMAH RAKYAT PAHANG (RRP) BANTU RAKYAT MILIKI KEDIAMAN SENDIRI
LIPIS: Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjadikan negeri pertama memberi rumah yang siap dibina di atas tanah pemilik secara percuma kepada rakyat miskin di negeri itu melalui program Rumah Rakyat Pahang ( RRP).
Katanya pada tahun 2020 ini, kerajaan negeri mensasarkan membina 98 buah bernilai RM65,000 sebuah dengan menelan belanja RM 6.37 juta dan bakal didiami tidak lama lagi.
“Kerajaan negeri memperuntukan dana untuk membina dua buah rumah untuk setiap Dewan Undangan Negeri dan sebuah untuk parlimen membabitkan 42 DUN dan 14 Parlimen.
“Insya Allah, 2021 kita akan terus membina 100 unit rumah seperti ini dan mensasar kepada rakyat yang sangat memerlukan melalui dana kerajaan negeri,” katanya di Majlis Penyampaian Kunci Rumah kepada pemilik Rumah Rakyat Pahang di Kampung Keledek, pagi tadi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Datuk Abd Rahim Muda, ADUN Padang Tengku, Datuk Mustapa Long, ADUN Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Kiram, ADUN Cheka,Lee Ah Wong dan Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd Hafizi Ibrahim.
Sementara itu, penerima RRP, Haslina Jali berkata, sangat bersyukur dan gembira dengan keprihatinan kerajaan negeri di bawah Datuk Seri Menteri Besar untuk menjadi kehidupan keluarganya dalam keadaan selesa.
“Rumah 3 bilik dan dilengkapi dengan tandas dan bilik mandi menyerikan lagi hidupnya seperti orang lain bersama keluarga.
“Sebelum ini saya menetap di rumah lama tidak jauh dari sini yang agak daif dan tidak selesa dengan 4 orang anaknya,” katanya.