ORANG RAMAI HUBUNGI POLIS DAPATKAN BANTUAN
ORANG RAMAI HUBUNGI POLIS DAPATKAN BANTUAN
LIPIS : Orang ramai yang terkesan dan memerlukan bantuan dinasihatkan menghubungi Ibupejabat Polis Daerah (IPD) atau balai polis berdekatan tempat tinggal masing-masing agar bantuan keperluan barangan dapur dapat disalurkan bagi meringankan kesukaran mereka.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mereka yang memerlukan bantuan bekalan makanan boleh menghubungi talian tetap IPD yang tertera di laman sosial Facebook dan balai polis berdekatan tempat tinggal masing-masing.
“Kita berharap penugasan ‘Op Bantu’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyalurkan bantuan kepada orang ramai yang terkesan dan telah terputus bekalan makanan.
“Skuad Amanita Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan segera turun ke lapangan bagi melakukan penugasan untuk menyampaikan bantuan berkenaan,” katanya di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Ketua Polis Lipis, Suprintendan Azli Mohd Noor.
Sempena program itu, Mohd Yusri telah melawat sebanyak 26 buah keluarga yang terkesan dengan ancaman wabak Covid-19 dengan memberikan sumbangan bakul makanan yang disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri dan IPD Lipis sempena Op Bantu di Kampung Mentara Baru, Merapoh dan Kampung Gua.
“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban kesusahan yang dihadapi oleh penduduk berkenaan dan seluruh warga IPD Lipis mendoakan kesihatan yang sepenuhnya kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima Op Bantu di Kampung Mentara Baru, Talhah Abdullah berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada IPD Lipis atas sumbangan sangat bermanfaat meringankan sedikit perbelanjaan dalam tempoh PKP khususnya kebajikan keluarganya.
“Sejak penguatkuasaan PKP Penuh (lockdown), saya tidak dapat keluar bekerja menyebabkan kehilangan pendapatan serta langsung tidak mampu menyediakan barang keperluan dapur.
“Bantuan bakul makanan menerusi Op Bantu IPD Lipis amat diperlukan oleh penduduk yang terjejas pendapatan seperti saya sambil berdoa dengan harapan wabak pandemik Covid-19 segera pulih dalam masa terdekat,”katanya.-SAHIH.