ORANG ASLI PARAH DISERANG PAK BELANG
ORANG ASLI PARAH DISERANG PAK BELANG
GUA MUSANG: Seorang lelaki Orang Asli cedera parah di kepala, mata dan badan akibat dicakar harimau belang ketika berada di kebun ubi kayu di Kampung Badak, Pos Bihai di sini, petang semalam.
Adin Andok, 48, terpaksa menahan sakit selama 15 jam sebelum tiba di Hospital Gua Musang menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan seterusnya dirujuk kepada Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, pagi ini.
Dalam kejadian pukul 3 petang semalam, mangsa dikatakan pergi ke kebun ubi kayunya seorang diri untuk membersihkan kawasan kebun itu yang hanya terletak 500 meter dari rumahnya.
Tidak lama selepas itu, seekor harimau belang tiba-tiba muncul di hadapannya dan bertindak menerkam kepala mangsa sebelum mencakarnya.
Menurut anak lelaki mangsa, Kenwak Adin, 25, bapanya bergelut selama 15 minit dengan harimau belang itu sebelum orang kampung mendengar jeritan mangsa meminta tolong.
Katanya, sebaik sahaja orang kampung tiba di kawasan itu, harimau belang itu melarikan diri meninggalkan mangsa berlumuran darah dan nyawa-nyawa ikan.
“Mereka mengusung bapa balik ke rumah dan kami segera menghubungi pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk bantuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Sementara itu, Pembantu Pembangunan Masyarakat Unit Kesihatan dan Kebajikan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Gua Musang, Mohd. Syakirin Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 4 petang.
Katanya, dia bersama lima lagi petugas kesihatan bergegas ke Pos Bihai dengan tiga buah kenderaan pacuan empat roda, sebelum tiba di sana pada pukul 12 tengah malam dan tiba di Hospital Gua Musang kira-kira pukul 5 pagi, lapor HM online
“Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai dan setakat ini dia dilaporkan stabil selepas menerima rawatan lanjut,” katanya.