NELAYAN HILANG DI PANTAI CHERATING
NELAYAN HILANG DI PANTAI CHERATING
KUANTAN: Nelayan dikhuatiri lemas ketika berenang ke darat dipercayai akibat mengalami kekejangan dalam kejadian di pantai Cherating, di sini, hari ini.
Lelaki berkenaan dikenali sebagai Mohd Shahrudin Remeli, 25, dari Kampung Seberang Sungai Ular, di sini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.57 petang sebelum 13 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng bergegas ke tempat kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Berdasarkan laporan awal, nelayan itu dikhuatiri lemas selepas terjun dari bot nelayan untuk berenang ke darat. Mangsa dikatakan mengalami kekejangan dan tenggelam, lapor Harian Metro.
“Operasi juga dibantu empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kuantan bersama sebuah bot dan turut dibantu orang awam,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Katanya, operasi SAR ditangguhkan pada 7.08 malam dan akan disambung semula esok.