MIC BIDAS KENYATAAN MB KEDAH
KUALA LUMPUR: Pemimpin MIC membidas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang mengaitkan pengkritiknya dalam isu perobohan kuil di negeri itu dengan analogi mabuk todi.
Presiden MIC, S Vigneswaran dalam reaksi terhadap kenyataan pemimpin PAS itu meluahkan rasa kecewa tetapi tidak mahu bertindak serendah Muhammad Sanusi.
PRESIDEN MIC, S VIGNESWARAN
“Saya kalau nak menghina seperti dia, saya pun boleh. Tetapi saya tak mahu jadi serendah dia dan berfikiran sempit.
“Apa dia ingat semua orang mabuk? Kalau seorang terlibat dalam kes seks, semua orang pun akan terlibat jugakah,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Vigneswaran selanjutnya berkata, Menteri Besar Kedah itu telah merosakkan semua kerja kerasnya untuk meyakinkan masyarakat India supaya memilih parti tersebut.
Menerusi kenyataan di Facebook semalam, Muhammad Sanusi berkata isu perobohan struktur atas tanah yang diwartakan sebagai kawasan lapang di Taman Bersatu Kuala Kedah ialah isu undang-undang, bukan perkauman, agama atau diskriminasi.
Katanya, isu di Taman Bersatu itu, bukan sahaja kuil, malah gelanggang silat telah dirobohkan di bawah akta sama, begitu juga di lokasi lain di Alor Setar ada gerai, parkir kereta, setor, pagar, dapur, bangsal turut dirobohkan.
“Kenapa MIC dan DAP tidak bersuara tentang gelanggang silat di pinggir kuil itu? Senior politician seperti mereka itu janganlah minum hanya sebotol, mabuknya dua tiga botol,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata sedikit kekecohan diapi-apikan pihak berkepentingan pada waktu ini adalah risiko terpaksa dihadapi untuk membina masa depan lebih tenteram dan harmoni.
“Jangan sampai kita bergaduh pada masa depan hanya kerana mabuk todi populariti, mahu menunjuk jaguh kaum pada masa sekarang,” katanya.
TIMBALAN PRESIDEN MIC, S SARAVANAN/ASTRO AWANI
Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, S Saravanan turut menyifatkan Muhammad Sanusi tidak beradab apabila menggunakan analogi todi dalam kenyataannya.
“Komen menteri besar ini menunjukkan dia punya tahap kematangannya dalam politik. Seorang ahli PAS yang kuat agama bertindak macam orang yang tidak ada tamadun.
“Apa yang dia cakap menunjukkan bahawa dia mempunyai mentaliti yang rendah. Saya tidak hairan. Apa lagi yang boleh kita harapkan daripada seseorang yang tiba-tiba dapat jawatan,” katanya.
Saravanan juga menyifatkan PAS sekarang sedang mabuk politik.
“Mabuk dengan todi lebih baik daripada mabuk politik. Dalam politik, PAS sudah tidur dengan semua parti. Tinggal satu parti saja dia tak tidur, parti komunis,” katanya.