Menara TM Untuk Dijual, TM Tidak Terlibat
KUALA LUMPUR – Dalam satu iklan yang diterbitkan dalam sebuah akhbar Bahasa Inggeris memaparkan tawaran Menara TM untuk dijual.
Menara TM diiklankan untuk dijual oleh pemiliknya, Menara ABS Bhd adalah salah satu mercu tanda Kuala Lumpur yang mempunyai 55 tingkat.
Bangunan ikonik Kuala Lumpur tersebut tidak memaparkan tawaran harga kepada bakal pembeli.
Bangunan Telekom Research & Development Sdn. Bhd. siap dibina pada 2001 berstatus pegangan bebas kini dihuni sepenuhnya.
Tarikh tutup peringkat pertama tawaran jualan tersebut pada jam 12 tengah hari pada 18 Mac 2022.
Menurut iklan yang dipaparkan, Menara TM dibina lengkap dengan bangunan pejabat yang mempunyai helipad, keluasan bangunan 989,000 kaki persegi, pusat konvensyen seluas 92,431 kaki persegi, dewan serbaguna, kompleks sukan, klinik, pusat fisioterapi, pusat jagaan kanak-kanak dan masjid.
Kos membina menara tersebut sekitar RM669.3 juta (AS$160 juta) yang memiliki lebih 1,700 lot tempat letak kereta yang berhampiran infrastruktur sokongan seperti laluan pejalan kaki serta Stesen LRT Kerinchi dan Universiti.
Menara TM memiliki status MSC iaitu simbol perkhidmatan berkelas dunia yang dianugerahkan oleh kerajaan.
Ejen pemasaran eksklusif bagi menara ke-10 tertinggi di Malaysia itu adalah WTW Real Estate Sdn. Bhd.
Menara TM tersebut menjadi ibu pejabat Telekom Malaysia Bhd (TM) yang terletak berhampiran dengan KL Sentral, Mid Valley CIty, KL Eco CIty dan Bangsar South.
Dalam satu kenyataan, TM tidak memiliki Menara TM tersebut tetapi hanya menyewa bangunan yang terletak di Jalan Pantai Baharu.
TM turut menjelaskan bahawa syarikat itu tidak terlibat dengan penjualan menara itu dan kini sedang dalam proses memindahkan sebahagian besar pejabat korporatnya ke hartanah miliknya termasuk TM Annexe 1 dan TM Annexe 2 serta hartanahnya di Cyberjaya.
SUMBER: BHARIAN