MBK GUNA DRONE PANTAU PENGUNJUNG BAZAR RAMADAN
MBK GUNA DRONE PANTAU PENGUNJUNG BAZAR RAMADAN
WARGA EMAS DAN KANAK-KANAK DILARANG KUNJUNGI BAZAR
KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) akan membuat pengumuman, mengadakan rondaan dan pemantauan dari udara menggunakan ‘drone’ bagi memberi ingatan kepada semua pengunjung bagi memperketat Prosedur Operasi Standard (SOP) di bazar-bazar Ramadan di sekitar daerah Kuantan.
Selain itu, turut melarang warga emas dan kanak-kanak daripada mengunjungi kawasan tumpuan bazar Ramadan bagi memastikan penjagaan SOP dan penjarakan sosial.
Datuk Bandar MBK, Datuk Hamdan Hussin berkata, tindakan itu dibuat berikutan terdapat peningkatan kes baharu jangkitan Covid-19 di daerah Kuantan.
“Semua penganjur bazar, peniaga dan pengunjung juga perlu mematuhi SOP, peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh MBK terutama ketika mengunjungi Bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa.
“MBK tidak teragak-agak mengambil langkah mengenakan kompaun dan membatalkan kebenaran berniaga sekiranya berlaku pelanggaran SOP atau terdapat kes Covid-19 di mana-mana bazar, MBK akan mengambil tindakan serta-merta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan Kebersihan Jalan Pantai dan Persisiran Pantai di Pantai Sepat, di sini, semalam.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda dan Pengarah SWCorp Negeri Pahang, Tuan Sharudin Hamid.
Beliau berkata, pihak MBK sangat tegas terhadap pengawalan jumlah pengunjung ke Bazar Ramadan dalam satu-satu masa dengan menggunakan sistem bernombor yang diberikan kepada orang ramai.
Walau bagaimanapun, beliau meminta agar orang ramai yang beratur untuk menunggu giliran memasuki Bazar Ramadan supaya dapat menjaga jarak fizikal demi keselamatan masing-masing.