Maritim Pahang tahan 2 bot nelayan tempatan dan 15 kru Vietnam
Maritim Pahang tahan 2 bot nelayan tempatan dan 15 kru Vietnam
KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Pahang menahan dua bot nelayan tempatan Kelas C disyaki melanggar syarat sah lesen pada jarak kira-kira 30 batu nautika dari Kuala Kuantan, pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Kamal Ariffin Jusoh berkata, semasa rondaan Op Makmur yang dijalankan, aset Maritim Malaysia telah mengesan empat buah bot nelayan dalam keadaan mencurigakan.
“Bot-bot tersebut dikendalikan tekong bersama awak-awak warganegara Vietnam kesemuanya seramai 15 orang berumur antara 24 hingga 58 tahun.
“Bot-bot dan kesemua kru termasuk tekong telah ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pernepa, Kuantan bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan sebanyak 90 kilogram untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati dua buah bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu melanggar syarat sah lesen serta dokumen pengenalan diri yang meragukan, manakala dua buah bot lagi telah dilepaskan kerana tiada kesalahan yang dikesan.
“Maritim Malaysia akan memperkasakan penguatkuasaan serta menggesa komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan apabila beradadi laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.
“Komuniti maritim di Perairan Pahang supaya menjauhi sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah dan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang bagi memastikan perairan negeri Pahang aman dan sejahtera.
Katanya, warga komuniti juga diingatkan supaya sentiasa bersedia menghadapi musim tengkujuh dan angin Monsun Timur Laut serta peka terhadap amaran hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.-SAHIH.