KOSMA AGIH DIVIDEN KEPADA LEBIH 1,000 ANGGOTA SEBELUM AIDILFITRI
KOSMA AGIH DIVIDEN KEPADA LEBIH 1,000 ANGGOTA SEBELUM AIDILFITRI
KUANTAN : Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) mengagihkan RM37.64 juta dividen modal syer dan agihan keuntungan unit ladang kepada lebih seribu anggotanya yang layak bermula 30 April ini sebagai persiapan Aidilfitri.
Dividen modal syer adalah sebanyak RM18.69 juta, manakala agihan keuntungan unit ladang pula sebanyak RM18.95 juta.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam sidang media di Kuantan.
Datuk Seri Wan Rosdy berkata, jumlah agihan keuntungan dan dividen adalah dibayar menggunakan keuntungan tahun semasa yang berakhir 31 Disember 2020, tanpa menggunakan wang rizab yang ada.
Beliau berkata, setiap anggota yang layak akan menerima 30 peratus dividen modal syer dan RM3,300 ringgit per unit bagi keuntungan unit ladang.
“Jadi dengan pengumuman ini saya percaya sedikit sebanyak akan bagi kelegaan bagi semua anggota koperasi, nilai nya pun bukan sedikit, kalau ada seunit dapat RM3,300, kalau 10 unit dapatlah RM33,000.
“Jadi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung,”katanya.
Selain itu katanya, ahli KOSMA juga layak mendapat bantuan ekonomi, dermasiswa,khairat kematian, bantuan bencana dan lain-lain faedah dan kemudahan walaupun tanpa Anggota Lembaga Koperasi (ALK).
Katanya, beliau berbangga kerana KOSMA berupaya memberi dividen yang baik kepada anggotanya walaupun tahun lalu negara menghadapi cabaran getir akibat pandemik Covid-19.
“Ini menunjukkan koperasi tersebut berdaya maju apabila masih mampu memberi dividen yang baik kepada anggotanya,”ujarnya.