KEBENARAN RENTAS NEGERI, JAGA DISIPLIN DIRI
KEBENARAN RENTAS NEGERI, JAGA DISIPLIN DIRI
JERANTUT: Kebenaran rentas negeri yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang tadi disambut baik oleh rakyat negara ini.
Beliau berkata, demi Keluarga Malaysia, rakyat boleh menziarah dan berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta penutupan sempadan negeri.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Keluarga Malaysia atas kerjasama yang diberikan selama ini kerana mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan menyokong kempen imunisasi Covid-19.
“Namun, saya ingin mengingatkan Keluarga Malaysia agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan. Ini penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat,” katanya melalui media, petang ini.
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan berkata, rakyat Malaysia boleh menggunakan kesempatan ini untuk balik ke kampung melawat ibubapa dan saudara mara demi menyantuni keluarga masing-masing dan mengeratkan siratulrahim.
“Jangan abaikan SOP, jika hal ini diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak Covid-19 ini akan kembali meningkat. Anda kini adalah barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus COVID-19.
“Semua peringkat rakyat perlu meningkatkan tahap disiplin diri menjaga SOP, kalau dulu hanya 100 peratus, kini kena jaga 200 peratus demi keselamatan semua orang, elakkan di tempat bersesak-sesak dan patuhi semua arahan,”katanya ketika ditemui, hari ini.
Sementara itu, Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud berkata, berterima kasih kepada kerajaan kerana telah membenarkan kebenaran rentas negeri.
“Rakyat boleh melawat keluarga, yang telah lama tidak berjumpa sejak PKP, berkemungkinan kita boleh hidup dalam keadaan normal dan boleh merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, pendidikan dan lain-lain.
“Diharapkan sektor pelancongan boleh dibuka untuk rakyat, kepada pemain sektor ini dapat menjana pendapatan untuk menyara keluarga masing-masing,”katanya.
Perkembangan berkaitan, penutupan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Bentong mennghala ke Kuantan akan ditutup mulai jam 11.30 malam.-SAHIH.