Kadar pengangguran turun, kerja sendiri meningkat
Kadar pengangguran turun, kerja sendiri meningkat
PETALING JAYA – Biarpun kadar pengangguran di Malaysia telah menurun, namun bilangan mereka yang bekerja sendiri meningkat kepada 20,100 orang di mana kebanyakannya melakukan kerja bergaji rendah, kata ahli ekonomi.
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata kualiti pekerjaan dan paras gaji kekal rendah.
Menurutnya, penurunan kadar pengangguran tidak sepatutnya dikaitkan dengan keadaan ekonomi dan sosial yang semakin baik mahupun susulan daripada pelaksanaan dasar kerajaan.
Katanya, kebanyakan yang bekerja sendiri terdiri daripada mereka yang bergaji harian dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau pekerja ekonomi gig bergaji rendah yang kurang terjamin dan tanpa faedah tambahan.
Ahli ekonomi itu berkata rakyat tidak mempunyai pilihan selain keluar dan melakukan apa saja kerja biarpun gaji yang ditawarkan itu rendah.
Beliau menggesa kerajaan untuk melihat sekali lagi rancangan pembangunannya kerana “model baharu” diperlukan apabila terdapat masalah struktur dalam pasaran tenaga buruh.
“Kita perlu mengaitkan pekerjaan dengan gaji, jika tidak, kita akan mendapat lebih ramai orang bekerja dengan gaji yang lebih rendah dan itu tidak nampak positif seperti digambarkan oleh angkanya,” katanya.
Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan melaporkan bahawa kadar pengangguran menurun kepada bawah 700,000 pada November, iaitu paling rendah sejak April 2020.
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, situasi tenaga buruh pada November adalah kukuh dan berlaku pertambahan yang baik dalam kadar tenaga buruh.
Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, ancaman pengangguran adalah bersifat sementara.
“Beri sedikit masa. Apabila ekonomi pulih, kami percaya gaji pekerja akan naik,” katanya.
Katanya, kerajaan perlu memberi tumpuan dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dengan menawarkan gaji lebih tinggi terutama untuk pekerjaan 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar.
SUMBER: FMT