Ismail usahakan pembinaan balai bomba Kuala Krau
Ismail usahakan pembinaan balai bomba Kuala Krau
TEMERLOH – Kira-kira 10 tahun lalu, penduduk di sekitar kawasan Kuala Krau hanya mengharapkan bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh, Jerantut atau Jengka apabila berlaku kecemasan di situ.
Kesukaran itu disedari bekas ahli parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan dia berusaha mencari jalan agar sebuah balai bomba dapat dibina di kawasan berkenaan.
Selepas perbincangan dan pertemuan dengan pihak bertanggungjawab, akhirnya usaha dia berhasil selepas kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meluluskan pembinaan balai bomba di Kuala Krau.
Projek itu dianggarkan bernilai RM2.8 juta dan dimulakan pada tahun 2019.
Sebaik siap projek berkenaan, Datuk Seri Ismail meneruskan usahanya dengan menggalakkan penduduk mempelajari pengetahuan asas dalam aspek kebombaan.
Maka diwujudkan pula pasukan bomba sukarela, khusus untuk melatih penduduk supaya bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan bencana.
Bukan sahaja latihan mengawal kebakaran, tetapi turut diterapkan adalah operasi pemindahan mangsa banjir.
Balai bomba itu memiliki tiga bot penyelamat dan sebuah jentera yang mampu digerakkan apabila berlaku kecemasan.
Sebelum adanya balai bomba itu, jarak balai paling hampir adalah kira-kira 40 kilometer.
Balai bomba Kuala Krau siap dan mula beroperasi pada tahun 2022.
Ia dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri Menteri KPKT ketika itu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Ini adalah antara kisah yang tidak ramai penduduk Kuala Krau sedari.
Atas daya usaha dan khidmat bakti Datuk Seri Ismail, balai bomba berkenaan bukan sahaja menjadi mercu tanda kebanggaan penduduk, bahkan meningkatkan imej dan kesiapsiagaan dalam menjamin keselamatan harta benda jika berlaku kebakaran di Kuala Krau.— SAHIH