IBU BUAT LAPORAN POLIS ANAK CEDERA DIPUKUL GURU
IBU BUAT LAPORAN POLIS ANAK CEDERA DIPUKUL GURU
ALOR SETAR – Seorang ibu membuat laporan polis mendakwa anak lelakinya yang merupakan murid tahun tiga sebuah sekolah di Kuala Kedah di sini mengalami kecederaan akibat dipukul guru.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir memberitahu, wanita berusia 32 tahun itu membuat laporan berhubung kejadian pada pukul 4.36 petang ini.
“Pengadu mendakwa dia menyedari kecederaan dialami anaknya yang berusia sembilan tahun ketika mahu menjemputnya pulang dari sekolah kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.
“Kecederaan melibatkan bahagian lengan sebelah kiri, jari kiri dan muka sebelah kiri anaknya,” katanya di sini hari ini, lapor KOSMO online.
Menurutnya, mangsa kemudian mendakwa seorang guru memukulnya menggunakan pembaris kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.
“Proses siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” tambahnya.
Gambar: Media sosial