Hasrat Adibah terbit album bersama Big Band RTM tidak kesampaian
Hasrat Adibah terbit album bersama Big Band RTM tidak kesampaian
Hasrat Allahyarhamah Adibah Noor untuk menerbitkan album jazz bersama Big Band, Radio Televisyen Malaysia (RTM) di bawah kendalian Datuk Mokhzani Ismail tidak kesampaian.
Penyanyi lagu Terlalu Istimewa, Adibah Noor, 52, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, jam 7.30 malam, semalam.
Pemergian Allahyarham turut mengejutkan Datuk Mokhzani kerana pada Disember 2021, Allahyarham ada menghubungi Datuk Mokhzani berbincang dan bercadang menerbitkan lagu-lagu genre jazz.
Datuk Mokhzani berkata, beliau bersetuju untuk menerbitkan album dengan lima buah lagu kerana sudah agak lama genre jazz Big Band tidak dikeluarkan.
“Adibah juga bersetuju untuk menulis lirik lagu baharu ciptaan saya untuk album tersebut dan bersedia untuk masuk studio Julai ini.
“Oleh kerana Adibah mahu memberi fokus untuk program realiti Gegar Vaganza 8 (GV8) awal tahun ini, perancangan tertunda dan saya pula bersara,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
Katanya, setelah beliau diberi peluang menyambung perkhidmatan sebagai pengarah muzik, hasrat terbit album yang tertangguh itu membugar semula.
“Saya cuba hubungi Adibah melalui aplikasi whatapps tetapi arwah mendiamkan diri, mungkin pada masa itu Adibah sudah tidak terdaya, kerana mahu mendiamkan diri dan merahsiakan penyakitnya.
“Hari ini, saya di kampung (Perlis), saya terkejut mendengar perkhabaran Adibah sudah tiada, saya sedih atas kehilangan seorang permata negara,” katanya.
Katanya, beliau telah mengubah tiga buah lagu berjudul Sang Rembulan, Hujan dan I Love You For a Sentimental Reason untuk Adibah.
Mencerita perjalanan awal Adibah dalam bidang seni suara, Mokhzani berkata, beliau sering membawa Allahyarham untuk mengadakan persembahan termasuk di Lembah Klang.
“Pada awal pembabitan Adibah yang boleh menyanyi lagu pelbagai genre, memberi peluang arwah meningkat daripada penyanyi biasa kepada mempunyai lagu sendiri dan terus menjadi pengacara.
“Awalnya saya bayar dia hanya RM500 setiap persembahan, kemudian setelah dia menjadi lebih popular, dia dibayar sehingga RM10,000,” katanya.
Kata Mokhzani, Adibah juga tidak kedekut mempelawa beliau untuk mengada persembahan bersama-sama dan sanggup berkongsi rezeki.
“Selepas persembahan, dia (Adibah) membayar kepada saya, kalau bayaran kecil, dapat sedikit dan kalau bayaran besar dapat banyak, dia kata ada rezeki lebih, kita dapat lebih.
“Dia juga suka berseloroh, seronok bekerja dengannya yang juga bersikap professional dalam kerja, kami menjangka akan masuk studio untuk album ini pada Julai tahun ini, Allah lebih menyayanginya, moga ditempatkan bersama orang yang beriman,” katanya.-SAHIH.