Enam kampung di sempadan Kemboja terima sumbangan lembu korban rakyat Malaysia
Enam kampung di sempadan Kemboja terima sumbangan lembu korban rakyat Malaysia
KEMBOJA – Enam buah kampung berdekatan sempadan Kemboja – Vietnam mengikuti ibadah korban yang dilaksanakan oleh rakyat Malaysia dari Pahang yang menyumbangkan 10 ekor lembu pada hari raya pertama Aidil Adha, di sini.
Penduduk kampung yang menerima sumbangan lembu itu, Kampung (Kg) Mimai Lek, Kg. Mimai Ket, Kg Samkom, Kg Pasit, Kg 10.8 dan Kg Chimaun serta sebuah kampung di Vietnam
Iman Masjid Diyauttin, Kg Chimaun, Daerah Ponyekrek, Wilayah Tbongkhmom, di sini bertindak sebagai penyelaras berkata, kedudukan penduduk kampung tersebut agak terpencil dan perjalanan ke tempat itu memakan masa yang agak lama dan mencabar kerana jalan yang tidak sempurna.
Katanya, penduduk di situ agak daif dengan kekurangan prasana dan hanya bergantung kepada kerja hasil pertanian.
“Penduduk Melayu Champa yang beragama Islam di situ dan beberapa kampung lain di daerah Ponyekrek hanya dapat menikmati daging korban daripada sumbangan luar, khususnya pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu daripada Malaysia.
“Paling memilukan kebanyakan penduduk Melayu Champa di daerah itu sudah dua tahun tidak menjalankan majlis korban kerana tidak ada bantuan luar berikutan ancaman pandemik Covid-19 dan penutupan sempadan antarabangsa,” katanya.
Katanya, penduduk di sini cuma dapat menikmati daging korban setahun sekali sahaja ketika sambutan Hari Raya kierana penduduk Islam di situ tidak mampu membeli daging lembu untuk juadah keluarga kerana harganya mahal, iaitu RM35 sekilogram.
“Sekiranya penduduk perlukan daging lembu, mereka terpaksa ke bandar yang agak jauh serta memakan masa serta menanggung kos pengangkutan yang tinggi.
“Di kampung ini dan berdekatan tidak ada peniaga atau orang Islam yang menyembelih lembu untuk dijual kerana ternakan ini kebanyakannya dimiliki oleh penduduk tempatan (Kemboja) yang beragama Buddha,” katanya di Kampung Chimaun, hari ini.
Rumly yang mengiringi empat orang dermawan dari Jerantut, Pahang yang menjalankan ibadah korban di Kampung Chimaun dan tujuh buah kampung di situ dan sebuah kampong di Vietnam. tersebut.
Penyumbang lembu dari Jerantut, Pahang yang mewakili penyumbang lain untuk ibadah korban itu, iaitu Abdul Rafiq Fatteh Mohamad, Kamaruddin Ariffin Idris, Ahmad Nazlan Idris dan Yusof Che Daud yang menyumbangkan lapan ekor lembu untuk majlis korban di kampung daerah itu.
Rumly berkata, kesemua lembu korban diperoleh dan dibeli daripada penternak lembu bangsa Kemboja yang beragama Buddha menjalankan ternakan di daerah itu.
“Setiap tahun menjelang Hari Raya Aidiladha, saya sendiri akan menguruskan pembelian ternakan korban antara harga RM2,500 hingga RM3,000 ke setiap buah kampung di daerah ini.
“Mana mampu penduduk di sini hendak membeli lembu untuk majlis korban kerana mereka hidup susah yang cuma memperoleh pendapatan tidak kurang daripada RM500 dan di bawah kategori kemiskinan.
Sementara itu, Imam Masjid Kampung Mimai Lek, Ashaari Adam, 66, menambah penduduk di situ agak terkejut apabila diberitahu empat orang dermawan dari Jerantut, Pahang hadir untuk menyumbangkan lembu korban.
“Saya dan penduduk di sini sangat bersyukur dapat menikmati daging korban tahun ini setelah dua tahun majlis (korban) tidak diadakan di sini kerana ancaman pandemik Covid-19.
“Kami di sini sangat susah cuma memperoleh pendapatan yang kecil namun masih tidak mencukupi untuk belanja barang keperluan dapur dan berharap ada dermawan dan NGO dari Malaysia yang dapat menyumbangkan ternakan setiap tahun untuk majlis korban di sini,” katanya.-SAHIH.