DUN Pahang lulus usul lantik ADUN lantikan, Haris Salleh antara yang menggalas tugas ADUN lantikan di Jerantut
DUN Pahang lulus usul lantik ADUN lantikan, Haris Salleh antara yang menggalas tugas ADUN lantikan di Jerantut
KUANTAN – Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini, meluluskan usul melantik lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Mereka adalah pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan Pekan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri; Ketua MCA Bahagian Temerloh, Datuk Wong Tat Chee; Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah; Pengerusi AMANAH Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Timbalan Pengerusi PKR Pahang, Rizal Jamin.
Pelantikan itu mendapat sokongan majoriti mudah selepas dicadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan disokong tujuh ADUN Pahang.
Tujuh ADUN yang menyokong adalah Datuk Mohd Johari Hussain dari Tioman, Datuk Shafik Fauzan Sharif (Inderapura), Datuk Abd Aziz Mat Kiram (Batu Talam), Mohd Shahrim Md Zain (Chini), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Tras), Su Keong Siong (Ketari) dan Ho Chi Yang (Tanah Rata).
Wan Rosdy sebelum itu berkata pelantikan ADUN lantikan itu dibuat dengan mengambil kira latar belakang keluarga, pendidikan dan pencapaian serta komitmen dalam khidmat bakti kepada masyarakat.
Katanya, mereka yang dilantik adalah dalam kalangan ‘berkaliber dan berkemahiran tertentu’ serta berganding bahu bersama ADUN lain untuk menyumbangkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Saya percaya dengan pelantikan ini, ahli yang dilantik dapat membantu dalam mencapai misi dan visi kerajaan negeri dalam memberikan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata lima ADUN lantikan itu akan mengangkat sumpah pada Sidang DUN Pahang, Ogos depan.
Katanya, tiada kawasan diberikan kepada lima ADUN lantikan itu dan mereka berkhidmat dalam usaha membantu kerajaan negeri. – SAHIH