CHINA SEKAT ENTITI UK
CHINA SEKAT ENTITI UK
BEIJING: China mengumumkan sekatan terhadap sembilan individu dan empat entiti di United Kingdom (UK) dalam kemelut diplomatik terbaru antara kedua-dua negara.
Mereka didakwa ‘berniat jahat menyebarkan penipuan dan berita palsu’ berhubung layanan Beijing terhadap etnik minoriti Islam Uighur di Xinjiang.
Kementerian Luar China, dalam satu kenyataan, berkata sekatan yang diumum hari ini membabitkan bekas pemimpin parti Konservatif Britain, Duncan Smith dan beberapa ahli Parlimen lain.
“UK mengenakan sekatan terhadap beberapa individu dan entiti dari China, kononnya kerana isu hak asasi di Xinjiang, sekali gus menjejaskan teruk hubungan China-UK.
“Tindakan ini adalah berasaskan penipuan dan maklumat palsu yang secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa, asas hubungan luar antarabangsa serta mencampuri hal ehwal dalaman China,” katanya.
Menurut kenyataan sama, mereka yang disekat turut dilarang memasuki China termasuk Hong Kong dan Macau.
Katanya, harta mereka di negara berkenaan turut dibekukan dan warga serta institusi China dilarang berurusan dengan mereka.
Selain UK, kuasa barat seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) turut mengkritik isu hak asasi manusia di wilayah barat laut China itu,lapor AFP.