JERANTUT: Tindakan Bahagian Pentadbiran Kastam China (GACC) tidak memperakui sijil kesihatan veterinar (SKV) dikeluarkan Jabatan Veterinar Malaysia memberi kesan terhadap pengeksportan sarang burung walit ke negara berkenaan.
Pengerusi Persatuan Pedagang Sarang Burung Walit Pahang, Datuk Ko Ah Kuan berkata, tindakan itu juga memberi masalah kepada pengusaha tempatan sebaik sahaja GACC membuat keputusan menangguhkan sementara eksport dari Malaysia.
DATUK KO AH KUAN
Beliau berkata, surat rasmi mengenai keputusan GACC itu dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan pihak Jabatan Veterinar juga sudah menghentikan sementara pengeluaran SKV kepada pengusaha sarang burung walit.
“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kebanyakan pengusaha sarang burung walit tidak dapat memasarkan produk mereka selepas kilang memproses sarang burung walit tidak dibenarkan beroperasi.
GAMBAR HIASAN
“Pengusaha kini mengalami masalah berikutan banyak stok sedia ada tidak dapat dipasarkan dan tindakan GACC ini dilihat sebagai menambahkan lagi beban terpaksa dihadapi pengusaha,” katanya.
Ah Kuan berkata, walaupun harga sarang burung agak kompetatif ketika musim pandemik COVID-19, namun disebabkan pelaksanaan PKP memberi kesan terhadap pendapatan ahli persatuan.
“Saya berharap kerajaan dapat mengadakan rundingan bersama GACC dan kerajaan China bagi mencari jalan penyelesaian isu ini secepat mungkin, ” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
FELDA PERLU TAMBAHAN MASA UNTUK PENYELARASAN PINJAMAN PENEROKA
JERANTUT: FELDA perlu menimbang cadangan agar tempoh 14 hari untuk menandatangani perjanjian antara FELDA dan peneroka melalui inisiatif penyelarasan pinjaman peneroka dilanjutkan bagi memberi peluang mereka memahami isi kandungannya dengan lebih jelas.
Generasi kedua yang juga Ketua Peneroka Felda Sungai Retang, Mohd Hafizan Umar, 43 berkata, tambahan masa adalah perlu bagi membolehkan peneroka menyemak jumlah besar hutang yang tercatat dalam penyata peneroka yang dimuat turun melalui e-portal.
Ketua Peneroka Felda Sungai Retang, Mohd Hafizan Umar
Katanya, ia perlu disemak oleh peneroka dan juga Jawatankuasa Tanam Semula (JTKS) di peringkat rancangan dan perlu disahkan bersama laporan kewangan JKTS.
” Ini bagi memastikan tiada kesalahan serta ketelusan nilai hutang dalam penyata yang dikeluarkan oleh FELDA.
“Saya ada menerima maklumbalas bahawa masih terdapat kesalahan di dalam penyata yang dikeluarkan oleh FELDA berakhir 31 Disember 2019, maka perlu ada tempoh masa yang sesuai untuk peneroka menelitinya, ” katanya.
Beliau berkata, tambahan hari itu perlu bagi memberi peluang kepada peneroka generasi pertama berbincang dengan anak-anak mereka yang kebanyakan berada di perantauan.
” Persetujuan inisiatif ini memerlukan perbincangan keluarga peneroka kerana ia dengan jelas melibatkan waris, sebagaimana termaktub dalam perjanjian yang ditetapkan oleh FELDA.
” Ramai peneroka menganggap tempoh masa 14 hari untuk mendapatkan persetujuan dilihat amat singkat dan terburu-buru dalam keadaan negara sedang menghadapi pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP),” katanya.
Beliau berkata, kesefahaman semua pihak penting terutamanya syarat yang telah dikeluarkan perlu difahami peneroka agar inisiatif yang baik ini dapat dilaksana dengan lancar dan bersifat menang -menang antara FELDA dan peneroka kerana ia telah lama ditunggu-tunggu oleh seluruh warga FELDA sejak sekian lama.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Abdul Razak Daud, 60, berkata, kebanyakan peneroka setuju dengan syarat yang baru yang dikeluarkan oleh pihak FELDA kerana ianya lebih sistematik dan munasabah.
” Peneroka hendaklah mengambil peluang atas usaha kerajaan dan FELDA untuk membantu para peneroka dan ia adalah satu kerugian besar jika peneroka menolaknya.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Abdul Razak Daud
” Inilah perjuangan kita selama ini dan yang ditunggu -tunggu supaya Felda menghapuskan sebahagian pinjaman peneroka dan hari ini kita amat bertuah kerajaan dan FELDA telah bersetuju melupuskan sebanyak 80%. hutang dengan FELDA,” katanya.
Abdul Razak berkata,perjanjian pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat antara FELDA dan peneroka dilihat bersifat adil kepada kedua-dua pihak.
Katanya peneroka masih dibenarkan mengurus kebun sendiri dengan syarat melaksanakan pengurusan kebun mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan amalan pertanian baik yang ditetapkan oleh FELDA serta perlu menghantar hasil sepenuhnya kepada FELDA.
Dalam pada itu, , Abdul Razak berkata tidak timbul isu peneroka terpaksa menyerahkan tanah bagi menikmati manfaat penghapusan pinjaman yang ditawarkan itu.
Katanya perjanjian tujuh muka surat itu hanya meminta persetujuan peneroka untuk menyerahkan pengurusan kebun di tanah rancangan bermula dari tarikh perjanjian.
“Ia bukan bermaksud tanah kami diambil seperti didakwa, Felda hanya menguruskan kebun sama seperti sebelum ini.
“Kalau kami perlu serah tanah, pengurusan Felda tidak pun meminta geran sebagai cagaran hapus hutang,” katanya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew (1915-1995) atau dikenali sebagai “Mr Honda” merupakan pengasas Boon Siew Honda. Loh dilahirkan di Hui-An, Daerah Fujian, China. Dia menghabiskan zaman kanak-kanaknya mengumpul najis babi yang berguna sebagai bahan bakar untuk mendapatkan duit. Ketika berusia 12 tahun, dia tiba di Pulau Pinang menaiki sebuah bot kecil dari China.
Dia hanya mampu bertutur dalam bahasa Hokkien. Ketika baru tiba dia bekerja sebagai pelatih mekanik kereta dengan upah 3 ringgit sebulan. Dia tinggal dalam kuarters pekerja ‘kolie keng’ di 4, Katz Street, Pulau Pinang dan dia menambah pendapatan dengan mengambil upah membasuh bas dengan bayaran 10 sen setiap buah.
Ketika berusia 18 tahun, Loh membeli 11 unit bas pertamanya dengan menggunakan simpanan 2,000 ringgit. Dia membaiki bas tersebut dan menjualnya dengan harga 12,000 ringgit. Kemudiannya dia membeli 39 unit bas yang lain.
Pada tahun 1942, kesemua wang hasil keringatnya dirampas oleh tentera penjajah Jepun semasa Perang Dunia ke 2. Tetapi Loh tidak berputus asa, selepas 1945 setelah Jepun kalah, dia mula menjual basikal dan peralatan motorsikal, kemudian dia mengembangkan perniagaannya untuk menjual kereta terpakai dan juga bas.
Pada tahun 1950-an, Loh membuat langkah pertama dalam pembangunan hartanah dengan membina vila di Taman Saw Kit dan Jalan Loh Boon Siew di Pulau Pinang.
Pada tahun 1958, ketika bercuti di Jepun Loh melihat motosikal Honda Super Cub sangat mendapat sambutan.
Dia percaya bahawa mesin berkos rendah pasti akan mendapat pasaran yang meluas di Malaysia yang sedang membangun. Loh mengatur perjumpaan dengan Mr. Soichiro Honda kerana menyedari potensi besar Honda. Sebagai tanda ikatan kepercayaan dan hormat yang semakin mendalam, Japanese Honda Motor Co Ltd kemudian melantik Boon Siew sebagai pengedar tunggal motorsikal Honda di negara ini pada ketika itu, 50 unit Honda 4-stroke cub dibawa masuk ke Malaysia.
Beberapa tahun kemudian kilang dibuka di Pulau Pinang bagi memasang Honda Cub dan motosikal Honda telah dinamakan semula sebagai Boon Siew Honda. Honda Cub menjadi motosikal paling laris di Malaysia dan Loh Boon Siew sebagai orang pertama membawa masuk motosikal Honda Cub ke Asia Tenggara. Perkataan Kapcai berasal dari Honda Cub yang bermaksud motosikal kecil, sumber FB
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HARGA EMAS MAMPU CECAH KE PARAS TERTINGGI SEKALI LAGI
KUALA LUMPUR: Harga emas pukal berupaya mencecah ke paras tertinggi tahun lalu iaitu AS$2,076 seauns atau RM301.93 segram dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Ia berikutan trend kenaikannya yang menyaksikan harga emas
hari ini berada pada paras tertinggi dalam tiga bulan berikutan ketidaktentuan tahap pemulihan ekonomi global, jangkaan peningkatan inflasi dan jaminan bank pusat Amerika Syarikat (AS) bahawa dasar monetari kekal akomodatif.
Ketua Strategi Pasaran Global ATFX, Alejandro Zambrano, berkata prospek positif harga logam berharga itu dalam tempoh jangka pendek di tengah-tengah peningkatan kes COVID-19 yang dibayangi kebimbangan mengenai kadar inflasi di seluruh dunia.
Katanya, untuk tempoh beberapa minggu akan datang, harga emas berkemungkinan diniagakan lebih tinggi selepas pelabur turut bimbang dengan pasaran saham yang berada di bawah tekanan dan akan beralih kepada emas sebagai aset selamat.
“Buat masa ini, kenaikan harga emas juga selaras dengan kebimbangan mengenai inflasi dan kenaikan ini adalah baik selain berpotensi melonjak sehingga paras tertingginya. Cuma, masih belum ada petunjuk jelas mengenai prospek mengenai sejauh mana ia akan melonjak.
“Faktor inflasi akan mendominasi pasaran emas dalam tempoh dua bulan akan datang dan ia akan menjadi pemangkin apa yang kita akan lihat untuk tempoh jangka panjang.
“Selagi emas diniagakan di atas paras terendah 29 April iaitu AS$1,755 (RM7,235.97) seauns atau RM255.24 segram, saya menjangkakan komoditi ini mungkin dapat mencapai paras tertinggi 20 Januari iaitu AS$1,874 (RM7,726.62) seauns atau RM272.55 segram,” katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Zambrano berkata, prospek peningkatan harga emas juga bakal didorong jangkaan kadar faedah lebih tinggi di AS menjelang akhir tahun ini.
“Untuk tempoh jangka panjang, secara realistiknya saya melihat harga emas akan meningkat tetapi kita melihat mata wang kripto seperti Bitcoin memiliki minat yang rendah untuk membeli emas ketika ini.
“Mungkin akhir tahun ini, pelabur akan bercakap mengenai kadar faedah lebih tinggi di AS dan ia berpotensi memacu harga emas.
“Buat masa ini, kenaikan harus stabil, tetapi kita harus berhati-hati dalam tempoh beberapa bulan akan datang kerana tekanan terhadap Rizab Persekutuan (Fed) untuk mengurangkan program pelonggaran kuantitatif, yang akan melonjakkan dolar AS dan ‘menenggelamkan’ emas,” katanya.
Mengulas mengenai pakej rangsangan AS, beliau berpendapat ia akan memberi kesan jangka panjang kepada pasaran emas, namun tiada impak kepada harga untuk tempoh terdekat.
“Namun, jika pakej rangsangan itu mula mendorong kepada inflasi, ini mungkin menyebabkan pelabur beralih kepada emas, tetapi saya berpendapat ia tidak akan menjadi tumpuan peniaga dalam masa terdekat.
“Bagaimanapun, saya melihat kenaikan komoditi lain yang besar harus membantu harga emas. Sebagai contoh, harga jagung di AS meningkat sebanyak 50 peratus pada tahun ini sahaja,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Pasaran Asia Pasifik OANDA, Jeffrey Halley, berkata emas menjadi semakin menarik ketika ini susulan ketidaktentuan membimbangkan terhadap inflasi sejak minggu lalu.
Bagaimanapun, katanya, di sebalik kebimbangan inflasi, sokongan kritikal kepada AS$1,800 (RM7,421.51) seauns atau RM261.79 segram tidak pernah diuji, sekali gus memberi petanda baik untuk peningkatan harga emas bagi tempoh jangka panjang.
“Selepas mencatat harga di bawah AS$1,810 (RM7,462.74) seauns Khamis lalu, emas melonjak 0.90 peratus kepada AS$1,843 (RM7,598.80) seauns pada Jumaat ketika hasil Perbendaharaan AS turun sedikit dan dolar pula merosot.
“Menariknya, dalam gambaran yang lebih besar, emas mengekalkan keuntungan jangka panjangnya walaupun hasil jangka panjang AS tetap berada di puncak julatnya. Ini menguatkan lagi bahawa emas mengesan harga struktur rendah pada AS$1,680 (RM6,926.74) seauns.
“Kebimbangan mengenai COVID-19 di Asia juga mendorong bpembelian aset lindung nilai memandangkan pasaran ekuiti berada di bawah tekanan. In mendorong emas 0.55 peratus lebih tinggi kepada AS$1,853 (RM7,640.03) seauns atau RM269.49 segram, melonjak melepasi pergerakan purata 200-hari (200-DMA) pada AS$1,848 (RM7,619.42) seauns,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: McDonald’s Malaysia menafikan pihaknya menyalur bantuan kepada Israel serta menyifatkan perkara itu sebagai pembohongan dan fitnah.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar, menjelaskan McDonald’s Malaysia (Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd) diambil alih sepenuhnya Reza Group dari Arab Saudi bersama seorang rakan niaga tempatan sejak 2017, dengan ekuiti syarikat itu dimiliki oleh mereka yang beragama Islam.
Tegasnya, sebagai sebuah syarikat tempatan, McDonald’s Malaysia tidak menyumbang, menyokong atau terbabit dalam sebarang konflik politik mahupun agama di mana-mana negara.
“McDonald’s Malaysia sedar akan kewujudan mesej WhatsApp yang tular berkenaan pemboikotan jenama kami. Pihak McDonald’s Malaysia ingin menjelaskan bahawa pemboikotan ini adalah tidak berasas dan kenyataan tentang jenama kami menyalurkan bantuan kepada pihak Israel adalah suatu pembohongan dan fitnah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmir berkata, pendirian mengenai isu itu sudah dijelaskan pihaknya pada 2017 dan telah dikongsi secara meluas orang ramai menerusi mesej WhatsApp mereka, selain diterbitkan media arus perdana, dalam talian dan blog.
Beliau berkata, pada tahun sama, pihaknya juga mendapatkan pandangan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang antaranya menyatakan seruan ‘wajib boikot’ hanyalah sah jika ia diperintah oleh umara’ atau pemerintah negara selain boikot tanpa fakta sah boleh dianggap sebagai fitnah dalam hukum Islam.
Menurutnya, McDonald’s Malaysia sudah membuat laporan polis terhadap individu dan kumpulan yang membuat dakwaan palsu dan menyebarkan mesej tidak berasas melalui platform media sosial dan saluran lain untuk memboikot restoran-restoran McDonald’s di Malaysia.
Azmir berkata, perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi hak-hak dan kepentingan syarikat serta lebih 15,000 warga tempatan yang bekerja dengan McDonald’s Malaysia.
“McDonald’s Malaysia tidak pernah t erbabitdalam sebarang agenda yang menyokong Israel. Malahan, penjelasan kami berhubung isu ini telahpun diterima baik oleh badan-badan bukan kerajaan utama seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), MYCARE, Aqsa Syarif, Palestine Centre of Excellence dan Viva Palestina Malaysia,” katanya, lapor Bernama.
McDonald’s Malaysia turut mendoakan supaya penindasan dan keganasan yang berlaku ke atas Palestin akan segera berakhir, katanya.
–
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat berbanding dolar AS sewaktu dibuka hari ini dengan meraih 100 mata asas (bps) berikutan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang memihak kepada kadar faedah rendah untuk mengekalkan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) kepada hampir sifar.
Pada jam 9 pagi semalam, unit tempatan menokok kepada 4.1090/1130 berbanding dolar AS daripada 4.1190/1240 sewaktu ditutup pada Rabu.
Ketua strategi pasaran global Axi Stephen Innes berkata, dolar US merosot di seluruh papan selepas pengumuman FOMC yang dimuktamadkan pada 17 Mac.
“Oleh itu ringgit akan menyaksikan sedikit peningkatan hari ini,” katanya dalam satu nota.
Bagaimanapun, berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah kecuali yen Jepun.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0678/0715 daripada 3.0593/0637 sewaktu ditutup pada Rabu, jatuh berbanding pound Britain kepada 5.7407/7471 daripada 5.7250/7332 dan turun berbanding euro kepada 4.9250/9303 daripada 4.9053/9129 sebelum ini.
Unit tempatan itu meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7708/7751 daripada 3.7751/7807 pada Rabu.-BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen sebanyak 5.20 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.90 peratus untuk Simpanan Syariah bagi tahun 2020.
Kadar dividen yang diumumkan dana persaraan nasional itu membabitkan agihan sebanyak RM47.64 bilion merangkumi, RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah dengan RM4.76 bilion.
Dengan purata lima tahun dividen sebenar pada kadar 4.62 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 4.32 peratus bagi Simpanan Syariah selepas diselaraskan untuk inflasi, KWSP telah melebihi sasaran strategik dengan pengisytiharan purata dividen sebenar tidak kurang daripada 2.00 peratus dalam tempoh lima tahun berturut-turut.
KWSP berjaya mencatatkan prestasi yang memberangsangkan untuk 2020 walaupun mengharungi situasi yang tidak terjangka iaitu pandemik COVID-19 dan dalam persekitaran unik yang menyaksikan dunia berhadapan dengan krisis berkembar iaitu krisis kesihatan dan ekonomi.
Pengerusi KWSP, Ahmad Badri Mohd Zahir, berkata KWSP sudah berjaya melindungi simpanan persaraan ahli dengan baik, di samping memenuhi keperluan mendesak untuk menangani cabaran semasa.
“Ada ketikanya, KWSP perlu mengambil keputusan yang sukar bagi memastikan ahlinya mampu bertahan dalam situasi semasa yang mencabar dan pada masa sama mengimbangi keperluan masa depan mereka.
“Penyebaran dan kebolehjangkitan COVID-19 yang pantas telah menyebabkan ia sukar dibendung dan dikawal. Namun, langkah proaktif kami dalam menangani kesan daripada wabak berkenaan telah membantu kami untuk mengatasi pelbagai cabaran, lapor BH Online.
“Fokus ke arah digitalisasi telah membolehkan kami membantu ahli dengan lebih cekap dan lancar di samping memastikan KWSP tetap relevan dengan ahli yang kian celik teknologi,” katanya.
Pengerusi KWSP, Ahmad Badri Mohd Zahir, berkata KWSP berupaya mencatatkan prestasi yang memberangsangkan untuk tahun 2020 walaupun mengharungi situasi yang tidak terjangka iaitu pandemik COVID-19, dan dalam persekitaran unik yang menyaksikan dunia berhadapan dengan krisis berkembar iaitu krisis kesihatan dan ekonomi.
“KWSP telah berjaya melindungi simpanan persaraan ahli dengan baik, di samping memenuhi keperluan mendesak untuk mereka menangani cabaran semasa. Ada ketikanya, KWSP perlu mengambil keputusan yang sukar bagi memastikan ahlinya mampu bertahan dalam situasi semasa yang mencabar dan pada masa sama mengimbangi keperluan masa depan mereka.
“Penyebaran dan kebolehjangkitan COVID-19 yang pantas telah menyebabkan ia sukar dibendung dan dikawal. Namun, langkah proaktif kami dalam menangani kesan daripada wabak itu telah membantu kami untuk mengatasi pelbagai cabaran.
“Fokus ke arah digitalisasi telah membolehkan kami membantu ahli dengan lebih cekap dan lancar di samping memastikan KWSP tetap relevan dengan ahli yang kian celik teknologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, tindak balas pantas KWSP dalam mengadaptasi strategi dan proses pelaburan telah berjaya memastikannya mampu mencapai prestasi yang optimum.
Katanya, KWSP juga akan terus memanfaatkan kekuatan kira-kira 250 anggota pelabur profesional KWSP yang komited dan proaktif dalam menguruskan portfolio pelaburan.
Sementara itu, menurut beliau lagi, kerjasama kukuh dan infrastruktur digital yang mantap juga telah melancarkan proses penyesuaian diri kami dengan norma kerja yang baharu.
“KWSP juga telah mengimbangi semula portfolio pelaburannya berdasarkan pertimbangan teliti yang menyeluruh. Ini mengambil kira pelbagai peristiwa global seperti pandemik COVID-19, ketidakpastian pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada bulan November 2020, perang dagangan AS-China yang berterusan serta kesan daripada perundingan Brexit kepada pasaran modal di seluruh dunia,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Sehingga kini, kira-kira 98 peratus permohonan bantuan pinjaman diluluskan oleh bank, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, sejak Ogos lalu, kerajaan membuka permohonan untuk program Moratorium Lanjutan dan Bantuan Bank Bersasar (MLBBB) kepada golongan yang benar-benar memerlukannya. ⠀⠀ ⠀⠀ Kata beliau, bagi peminjam yang hilang pekerjaan atau mengalami potongan gaji, mereka boleh mengemukakan dokumen berkaitan untuk mendapatkan moratorium lanjutan atau pengurangan ansuran sepadan dengan pengurangan gaji bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan (bergantung kepada jenis pinjaman).
Menurutnya, bagi yang mempunyai kekangan lain seperti pendapatan isi rumah atau perniagaan terjejas boleh mendapatkan pelbagai bantuan yang disediakan oleh institusi kewangan.
“Orang ramai juga tidak perlu bimbang kerana fleksibiliti yang diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh ini tidak akan terpapar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam. ⠀⠀ ⠀⠀ “Sehingga kini, sekitar 98 peratus permohonan bantuan pinjaman diluluskan oleh bank. Penting untuk kita bezakan MLBBB dan Moratorium Automatik. Inisiatif terkini adalah lebih bersasar dan membantu mereka yang benar-benar memerlukan. Golongan B40 dan M40, khususnya, akan terus terbela di bawah program ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook malam tadi.
Tengku Zafrul berkata, bagi mereka yang masih mampu disarankan terus membayar balik ansuran pinjaman selaras dengan perjanjian bayaran masing-masing.
“Tak usah lengah-lengahkan bayaran balik anda. Apabila peminjam mengurangkan jumlah hutang, ia juga demi kebaikan peminjam sendiri.
“Jika betul-betul mengalami kekangan, terdapat pelbagai bantuan yang disediakan,” katanya.
Sumber: Utusan ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Peningkatan keuntungan luar biasa membabitkan saham-saham sarung tangan, yang mendapat manfaat daripada krisis kesihatan telah meletakkan pasaran saham Malaysia pada kedudukan yang kukuh, sekali gus mendorongnya untuk muncul sebagai salah satu bursa paling kuat di Asia.
Namun begitu, tekanan dapat dirasai dan menjalar masuk dari pelbagai sudut.
Pasaran saham mengalami kemerosotan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan oleh kebimbangan yang kian meningkat dalam persekitaran pasaran tempatan.
Data Bloomberg menunjukkan bahawa penjualan asing saham-saham Malaysia meningkat minggu lalu, dengan aliran keluar mencapai AS$5 bilion setakat tahun ini, kadar terpantas sejak 2015.
Sementara saham berkaitan penjagaan kesihatan terus menjadi kegemaran pelabur runcit tempatan dan asing, kaunter kewangan sebaliknya pula mengalami tekanan dengan mencatatkan penurunan minggu ke minggu.
Terdapat dua jenis pelabur dalam pasaran ekuiti iaitu pelabur institusi (berkaitan kerajaan, dana pencen, dana amanah) dan pelabur runcit atau pelabur individu.
Sementara pelabur institusi cenderung memberikan sokongan kepada pasaran tempatan semasa penurunan untuk keuntungan jangka panjang, pelabur runcit pula lebih kepada melabur untuk keuntungan jangka pendek.
Menurut data dalam tempoh Isnin hingga Khamis, sejumlah RM217.9 juta aliran keluar runcit telah dicatatkan sementara aliran keluar dana asing pula sebanyak RM225.6 juta.
Kegiatan jualan secara besar-besaran dapat disaksikan pada kaunter-kaunter ( Pasaran Ace pada hari Khamis dan Jumaat selepas negara dikejutkan dengan pengumuman berkaitan situasi politik tempatan.
Bagaimanapun pada Jumaat, beberapa kaunter terpilih bangkit kembali dengan indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI mengakhiri urus niaga lebih tinggi pada 1,509.14, meningkat 8.34 mata. Peningkatan semula ini dipacu terutamanya oleh Hartalega dan Top Glove walaupun 19 kaunter lain berada dalam zon merah.
Seorang penganalisis berkata dalam minggu-minggu mendatang, beberapa aspek penting perlu dipantau kerana bursa tempatan dijangka berada dalam situasi tidak menentu yang berterusan.
“Dengan berakhirnya moratorium pada 30 September ini, saham perbankan dijangka mengalami kemerosotan berikutan kebimbangan berlakunya peningkatan dalam pinjaman tidak berbayar seiring dengan prestasi bank global.
“Ini boleh menjuruskan kegiatan menjual untuk mendapatkan keuntungan dalam kalangan pelabur runcit terutamanya ke atas saham bermodal kecil dan sederhana,” kata beliau.
Beliau menambah kestabilan politik tempatan turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur terutamanya bon-bon MGS.
“Kestabilan dalam pasaran tempatan penting kerana sebarang berita tidak menyenangkan boleh mengehadkan keuntungan di pasaran modal,” jelas beliau.
Di FBM KLCI, bursa tempatan kini berhadapan paras halangan semerta pada 1,520 dengan sokongan pada 1,480.
“Indeks Kekuatan Relatif (RSI) telah menunjukkan kedudukan saham KLCI yang terlebih jual walaupun kaunter sarung tanganlah yang menjadi penggerak utama indeks,” katanya.
Beliau menambah saham perbankan, didahului oleh gergasi perbankan tempatan Maybank telah menyaksikan permodalan pasarannya merosot kepada RM79.58 bilion selepas beberapa siri penurunan berterusan sejak COVID-19 menggegarkan pasaran global, sama seperti saham perbankan asing.
“Namun, apabila dibandingkan dengan bank asing, institusi kewangan tempatan terlindung daripada kejutan yang teruk kerana kedudukan kewangannya yang kuat, “katanya.
Bagi kaunter berkaitan penjagaan kesihatan, kaunter-kaunter ini terus menarik minat yang kuat dari dari pelabur domestik dan asing memandangkan kebimbangan terhadap COVID-19 tetap tinggi sementara keyakinan mendapatkan vaksin kembali neutral kerana ia masih lagi dalam fasa percubaan.
Untuk kaunter berkaitan tenaga pula, ia terus tidak menentu kerana harga minyak masih lemah kerana permintaan yang hambar.
“Prospek untuk sektor pengangkutan dan penerbangan masih lagi samar-samar kerana ia kini diletakkan di bawah garis masa yang tidak diketahui, tertakluk kepada pembukaan semula sempadan global selepas berakhirnya COVID-19,” kata beliau.
Penanda aras minyak mentah Brent berada pada harga AS$41.90 setong ketika ditutup pada Jumaat.
Sama seperti pasaran global yang akan terus dipengaruhi oleh perkembangan COVID-19 iaitu daripada kes jangkitan sehinggalah kepada perkembangan vaksin – begitu juga dengan bursa tempatan.
Selain COVID-19, perang teknologi antara Washington-Beijing yang sedang berlangsung akan terus memberi tekanan kepada saham teknologi kerana indeks petunjuk tempatan sentiasa memantau pergerakan NASDAQ.
Pilihan raya AS yang akan datang juga membuatkan para pelabur lebih peka. Pasaran yang baharu menjadi tumpuan juga tidak sabar menanti untuk melihat hala tuju ekonomi seterusnya yang bakal diambil oleh Rumah Putih.
Dari sudut pandangan tempatan, keputusan FTSE Russel untuk mengekalkan Malaysia dalam senarainya telah menyediakan ruang “kelegaan” jangka pendek untuk menarik pelabur.
Bagaimanapun, pasaran mungkin akan kekal dalam situasi tidak menentu sehingga selepas Belanjawan 2021 dibentangkan pada 6 November ini dan selepas selesainya segala ketidakpastian politik dalam negara.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Kalau sudah rezeki tidak ke mana, bermula dengan pelbagai pekerjaan berasas makanan yang diusaha di rumah, kini SuyaBakery boleh berdiri teguh dengan membekal makanan kek dan roti di daerah ini.
Pengurusnya, Mohd Muzzammil Roslee (35) berkata, SuyaBakery yang bermula di rumah dengan seorang pekerja pada 2013 menghadapi pelbagai pahit manis dalam perusahaannya untuk mendapatkan pasaran.
“Berkat kesabaran dan disokong oleh pelbagai agensi termasuk menghadiri bermacam kursus pemasaran dan pembuatan, kini premis yang terletak di Bandar Inderapura mula mendapat tempat di hati pelanggan setempat dan daerah berdekatan.
“Kini, mempunyai enam pekerja di bahagian dapur dan tiga di bahagian kaunter bagi memudah dan melancarkan perniagaan dan tempahan,” katanya ketika ditemui di kedainya, di sini, hari ini.
Katanya, menghargai pelanggan, syarikatnya memberi sumbangan produk makanan selama satu tahun kepada murid dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kiol atas kejayaan lulus 100 peratus Ujian Penilaian Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan Sekolah-Sekolah Orang Asli 2019.
Katanya selain itu, Program Cabutan bertuah yang diadakan baru-baru ini, turut dihadiri Pengarah SME Corp Pahang ,Nadia Yusof , Timbalan Pengarah MARA, Pahang, Zainuddin Zakaria , Ketua Bahagian Pembangunan Usahawan Negeri Pahang, MARA, Noraidah Ishak dan Pegawai MARA Daerah Jerantut, Syafizzi Tahir.
Dalam program cabutan bertuah, pemenang Motosikal Yamaha Y15, Sufi Nur Nadhirah Azman yang mewakilkan suaminya Mohamad Syafiq Hassan menyatakan kegembiraan kerana baharu menerima cahayamata.
Seorang pembantunya, Umi Atikah Ismail (29), berkata SuyaBakery mempunyai jenama utama kek keju leleh dan roti serunding daging yang menjadi permintaan utama di situ.
“Ada ketikanya, kami mengeluarkan hampir seribu buku kek keju leleh seminggu, selain itu turut membuka peluang kepada pembekal tempatan untuk menghantar kerepek, maruku dan beberapa jenis bahan makanan untuk dijual,”katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!