Penunggang motosikal maut bertembung dengan motosikal ditunggang remaja 17 tahun
LIPIS – Seorang penunggang motosikal berusia 51 tahun meninggal dunia dalam kemalangan yang turut melibatkan sebuah motosikal lain yang ditunggang oleh seorang ramaja di KM3, Jalan Sungai Koyan pada jam 5,20 petang, hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia, Zahary Tazlan, seorang peladang, beralamat di Felda Sungai Koyan meninggal dunia di tempat kejadian setelah bertembung dengan sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang remaja berusia 17 tahun.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, kejadian itu berlaku apabila penunggang motosikal yang ditunggang seorang remaja 17 tahun yang turut membawa adiknya yang membonceng dalam perjalanan dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Koyan 3.
“Tiba di tempat kejadian, penunggang remaja itu dipercayai hilang kawalan semasa menurun bukit yang berselekoh dan masuk ke laluan bertentangan serta bertembung dengan motosikal yang ditunggang oleh mangsa yang maut.
“Penunggang remaja telah dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Koyan 3 untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala adiknya tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Azli berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah dari kecuaian penunggang remaja yang gagal mengawal kenderaan.
“Penunggang motosikal meninggal dunia kira-kira jam 5.20 petang ketika menerima rawatan, punca kematian akan diketahui selepas bedah siasat Covid-19 diperolehi.
“Kemalangan disiasat dibawa Sek. 41 (1) APJ 1987,” katanya. SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Seorang guru Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP), Klang, Selangor menerangkan sesuatu kepada muridnya mengenai mural Perdana Menteri Malaysia.
SKRP jadikan lukisan mural media pembelajaran
KLANG – Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP), Klang, Selangor, menjalankan konsep pembelajaran luar bilik darjah (PLBD) untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang menyeronokkan bagi murid.
Langkah itu juga selaras PLBD untuk menjadi suatu program atau aktiviti luar bilik darjah yang terancang dan berstruktur. Aktiviti itu berpusatkan murid dan bertujuan untuk menyokong serta mengukuhkan pelaksanaan kurikulum sekolah yang merangkumi persekitaran pembelajaran progresif.
Guru Besar SKRP, Hazi Kadir, berkata bagi mencapai matlamat itu pihak sekolah melukis sebelas lukisan mural bersaiz besar untuk menarik perhatian murid dalam mata pelajaran Sains, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Sejarah, Moral dan Pendidikan Jasmani.
“Sebagai contoh, dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Prestasi (DSKP) pembelajaran sejarah tahun empat, dilukiskan mural gambar wajah sepuluh Perdana Menteri yang pernah dilantik di Malaysia.
“Semasa sesi pembelajaran guru akan membawa murid kelas mereka untuk melihat lukisan mural Perdana Menteri berkenaan untuk menerangkan atau berbincang mengenai peranan tokoh pemimpin utama negara itu,” katanya.
Katanya, pembelajaran ini akan berlangsung dalam suasana santai apabila murid berada luar bilik darjah dan sudah pasti melahirkan keseronokan kepada mereka untuk belajar.
“Selain itu lukisan mural ini yang hanya mengambil masa sebulan sahaja untuk disiapkan menjadi konsep dua dalam satu sebagai sumber pembelajaran dan menceriakan sekolah.
“Lukisan mural SKRP itu adalah hasil lukisan dua pelukis profesional iaitu Akhmal Asraf dan Mohamad Syafiq, mereka memang pelukis sepenuh masa dan hasil kerja amat berkualiti serta memang cantik,” katanya.
Hazi berkata, lukisan mural mereka itu dilukiskan pada dinding utama SKRP serta sudut yang berkaitan tempat pembelajaran.
“Mereka menggunakan cat yang berkualiti tinggi supaya boleh bertahan lama serta tahan pada cuaca, lukisan mural itu juga amat menarik kerana banyak menerapkan nilai ilmu, sebagai contoh memupuk minat murid kepada melukis serta bercita-cita menjadi pelukis.
“Selain itu, lukisan mural itu turut dilukis pada dinding makmal sains, bilik RBT dan sebagainya iaitu lokasi yang memang menjadi tumpuan utama dan dapat dilihat dari jalan besar,” katanya.
Katanya, di samping itu turut mendapat reaksi amat baik daripada ibu bapa serta pelawat apabila mereka berasa sangat teruja selain menjadi tempat mereka berswafoto ketika masuk ke kawasan sekolah.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas :Razak Daud (3 dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Norhidayah yang bakal bertukar ke Felda Bukit Sagu, Kuantan.
Kakitangan Felda Jengka 24 bertukar diraikan
JERANTUT – Felda Jengka 24 mengadakan majlis makan malam bagi meraikan kakitangannya yang bertukar ke Felda Bukit Sagu 2 di Kuantan.
Kakitangan tersebut, Norhidayah Omar yang merupakan pembantu pembangunan masyarakat, Pembangunan Komuniti dan Sosial akan bertugas di tempat kerja baru bermula 28 Oktober ini.
Pengerusi Biro Sosial Gabungan Ketua-Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, sebagai penjawat awam Felda, pertukaran itu boleh memberikan pengalaman dan pembelajaran baharu kepada setiap kakitangan terlibat.
“Semenangnya penjawat awam dilatih untuk tidak tetap di satu-satu tempat. Ia bukan berlaku di sini sahaja malah seluruh agensi kerajaan ketika ini.
“Mereka boleh ditukarkan ke mana sahaja mengikut arahan tugas,” katanya di sini semalam yang diadakan di Nada Café, Bandar Pusat Jengka di sini.
Razak yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 mengucapkan terima kasih kepada Norhidayah sepanjang tempoh berkhidmat di tanah rancangan terbabit.
“Selain mengeratkan silaturahim, majlis itu turut menghargai sumbangan Norhidayah ketika berkhidmat di Felda Jengka 24,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bekas Homeguard berusia 114 tahun meninggal di Lipis.
LIPIS – Bekas homeguard atau pengawal kampung dipercayai tertua di Malaysia , Ariffin Mat Deris meninggal dunia diusia 114 tahun di Kampung Tanjung Buluh, Kerambit, dekat sini pada jam 5.30 petang semalam.
Arwah meninggal di rumah anaknya, Zulkifli Ariffin kerana sakit tua di hadapan semua anak-anak dan cucunya.
Anaknya, Zulkifli berkata, arwah sedar dan sebelum menghembuskan nafas terakhir masih boleh bercakap tiba-tiba pengsan dan meninggal.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak polis Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Lipis dan penduduk kampung yang membantu bersama menyempurnakan pengebumian arwah bapa saya.
“Setinggi-tinggi terima kasih kepada IPD Lipis yang sentiasa cakna dengan arwah bapa saya dan menjadikan arwah dan Kampung Tanjung Buluh sebagai kampung angkat polis daerah,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Tanjung Buluh, malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, arwah menjadi salah seorang daripada anggota keluarga angkat IPD Lipis kerana mengenang jasanya ketika berkhidmat dengan pasukan homeguard.
Katanya, Ariffin yang lebih dikenali dengan panggilan Chik, pernah bertugas sebagai homeguard antara 1948 hingga 1959 di Kampung Banggul Cik Wan, Pasir Mas (Kelantan).
“Arwah antara seorang homeguard yang paling tua di negara ini di samping empat orang rakannya lagi yang berusia antara 80 hingga 100 tahun yang masih hidup dan tinggal di Kampung Tanjong Buluh, Lipis.
“Mereka adalah bekas pejuang keselamatan ini era Komunis, oleh itu pihak kami menjadikan mereka keluarga angkat IPD Lipis,” katanya di Tanjong Buloh dekat sini , semalam.
Azli berkata, Pejabat Parlimen Lipis dan IPD di sini amat menghargai dan menyanjung tinggi perkhidmatan arwah Ariffin sebagai pejuang yang sanggup berkorban menjaga keselamatan kampung serta mempertahankan negara daripada ancaman Komunis sebelum dan pasca merdeka.
Jenazah arwah selamat disempurnakan di Tanah Perkuburan Tanjung Buluh, Kerambit dan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Daerah Lipis, Idros Ismail dan Pegawai Pentadbiran hal Ehwal Awam, Inspektor Mohamad Khairul Anam Ismail kira-kira jam 10.00 malam.-SAHIH.
Sumber : Berita Harian
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pengamal media cemerlang tangkis berita palsu di PRK
BENTONG – Selaras dengan saranan Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia untuk menangkis ancaman berita palsu, pengamal media komited menjalankan tugas demi menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Mereka berkampung di Pelangai seawal 22 September lalu hingga ke hari pengundian dan keputusan yang akan diketahui pada malam ini.
Rata-ratanya mengakui berdepan pelbagai cabaran namun demi tugas untuk menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat, tanggungjawab itu diselesaikan sebaik mungkin.
Bagi Pengamal Media,Mohd Zalani Md Atan,63, beliau perlu membawa bekalan ubat-ubatan sepanjang bertugas di Pelangai memandangkan beliau merupakan pesakit darah tinggi dan diabetis.
Pengamal Media,Mohd Zalani Md Atan,63,
“Saya seronok dengan kerja saya, walaupun adakalanya terpaksa melaksanakan tugasan di tempat makan.
“Kadang-kala terpaksa juga mengorbankan waktu makan saya demi menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat”katanya.
Sementara Norra Yusof, 40, berkata beliau perlu meninggalkan keluarga di Kuantan, ketika beliau berada di Pelangai.
Pengamal Media, Norra Yusof, 40,
“Ini perkara lazim bagi seorang pengamal media. Saya berterima kasih kepada suami dan anak-anak yang memahami dengan tugasan saya,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.
Bagi Fansurina Abdullah,40, beliau sudah berulang-alik ke dari Kuantan ke Pelangai hampir sebulan yang lalu.
“Sebelum penamaan calon, saya sudah berada di Pelangai bagi membuat tinjauan di kawasan ini.
“Banyak cabaran antaranya jadual yang sangat padat, memandangkan saya bertugas studio untuk slot Legasi Pelangai, saya perlu menyelaraskan jadual mengikut waktu yang ditentukan oleh tetamu jemputan.
Pengamal media, Fansurina Abdullah,40
“Saya juga perlu meninggalkan anak dan keluarga saya di Kuantan selama saya berada di Pelangai. Setiap hari saya hanya membuat panggilan video bersama anak saya bagi menghilangkan rasa rindu.
“Saya harap semua orang memahami keadaan kami sebagai media,”katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Kempen calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil (PRK) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam sudah meliputi kira-kira 55 peratus pengundi di kawasan berkenaan.
Katanya, beliau akan mempertingkatkan usaha untuk menyantuni semua pengundi khususnya golongan muda, berbaki seminggu lagi tempoh kempen.
Menurutnya, penerimaan masyarakat terhadap beliau amat positif memandangkan kawasan itu secara tradisi adalah kubu kuat BN.
“Kita ada beberapa lagi segmen masyarakat (yang perlu disantuni). Maksudnya masih ada lagi kawasan yang saya belum masuk,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat berkata sokongan masyarakat terhadap PN lebih baik berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Penerimaaan setakat ini semua okey. Masyarakat Cina, India dan Orang Asli pun mula menerima kedatangan kami,” katanya yang pernah bertanding di kerusi DUN itu pada PRU15.
PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, Kasim dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor, bulan lalu.
Pada PRU15, Johari yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim, Ahmed Wafiuddin (Pakatan Harapan) dan calon Pejuang, Isa Ahmad.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Menjadikan Pelangai sebagai pintu gerbang (gateway) ke Pahang adalah antara impian calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam, untuk meningkatkan taraf sosioeknonomi masyarakat setempat.
Beliau berkata, ini kerana Pelangai mempunyai potensi yang luas, untuk dipromosikan sebagai sebuah pusat agropelancongan dan tempat hentian bagi mereka yang melalui kawasan itu, untuk ke pantai timur atau selatan tanah air.
“Sepanjang perjalanan dari Karak masuk ke Pelangai memang ada pelbagai produk… kita di sini ada durian Telemong.
“Orang kata durian dari Raub yang sedap, tetapi kalau cuba makan percayalah durian Telemong lagi power.
“Kita juga ada banyak inap desa dan ladang-ladang cantik yang ada pemandangan cantik, boleh healing… waktu pagi kawasan ini sangat sejuk, memang nyaman.
Amizar berkata, idea menjadikan Pelangai sebagai pintu gerbang ke Pahang, tercetus hasil perbincangannya dengan penyandang DUN Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, tidak lama sebelum nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas yang mengorbankan Johari.
“Arwah dah bagi satu pelan tindakan yang jelas… bagi dia Pelangai ini ialah pintu masuk dan keluar ke beberapa negeri.
“Jadi saya nak tambah nilai daripada itu. Pelangai Gateway merupakan impian saya.
“Kita mesti ada satu benda yang istimewa untuk bawa masuk orang datang ke Pelangai,” kata Amizar.
Beliau berkata, sekiranya idea itu dapat dilaksanakan, ia juga akan mengalakkan pembangunan infrastruktur di sini.
Amizar berkata, ‘Pelangai Gateway’ akan menjadi satu ‘jenama’ yang besar, yang juga berpotensi memberi suntikan kepada ekonomi setempat, hasil aktiviti jual beli atau penyediaan perkhidmatan oleh masyarakat tempatan.
“Ia juga boleh memberikan pulangan pelaburan kepada orang yang melabur, kerana kita ada satu daya tarikan untuk orang datang berbelanja di sini… Insya-Allah satu hari nanti, mungkin dua hingga lima tahun lagi, akan berlaku banyak perubahan di Pelangai ini,” katanya.
Pelangai mendapat jolokan ‘penghujung Pahang’ kerana kedudukannya yang bersempadan dengan Negeri Sembilan di barat Pahang.
PRK yang akan berlangsung pada 7 Oktober ini, menyaksikan Amizar berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Wakil rakyat perlu selesai isu lampu jalan FELDA Kemasul
BENTONG – Penduduk di FELDA Kemasul, dekat Pelangai berharap wakil rakyat dipilih pada 7 Oktober ini dapat menyelesaikan masalah lampu jalan di sepanjang laluan masuk kawasan tanah rancangan itu.
Menurut penduduk, laluan itu menjadi jalan utama penduduk, termasuk pelajar yang menghadiri kelas tuisyen pada sebelah malam.
Difahamkan laluan itu sepanjang 11 kilometer dan tidak mempunyai lampu jalan sejak sekian lama.
Seorang penduduk, Mohd Khairy Mohd Rejab berharap perkara berkenaan menjadi fokus utama wakil rakyat jika menang dalam pilihan raya kecil (PRK) awal bulan depan.
“Jalan di sini memang gelap dan sangat perlukan lampu jalan.
“Bahaya kepada pelajar yang keluar untuk menghadiri tuisyen dan juga penduduk yang menggunakan jalan itu untuk membeli barangan keperluan pada waktu malam,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohamad Naim Samsuddin turut berharap perkara itu menjadi keutamaan calon bertanding dalam PRK kali ini.
“Ini laluan utama untuk kami dari Kemasul menghala ke pekan Triang atau ke Simpang Pelangai.
“Kalau boleh pasang lampu jalan, mudahlah sikit, yang penting keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di sini.
“Saya harap wakil rakyat yang dipilih nanti dapat mengambil perhatian terhadap keperluan kami,” katanya.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Empat puluh ahli Kelas Al-Quran Masjid Punggor Darat, Rengit, Batu Pahat bersama-sama barangan keperluan asas yang disumbangkan untuk Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Warga Emas PJMM teruskan kelangsungan hidup
SEMENYIH – Warga emas yang menghuni di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor dinasihatkan untuk terus mengharungi kelangsungan hidup dengan tabah serta sabar walaupun diselubungi kesedihan kerana disisih oleh ahli keluarga atau hidup sebatang kara tanpa waris.
Pengerusi Kelas Al-Quran Masjid Punggor Darat, Rengit, Batu Pahat, Johor, Nuriah Anuar, berkata dia bersama-sama 40 ahli yang melawat PJMM berasa amat terharu dan sebak apabila Pengerusi PJMM, Azman Rasman menceritakan pelbagai kisah silam warga emas terbabit.
Menurutnya, dalam ucapan ringkas Azman yang menyambut kedatangan kami itu memang menyentuh perasaan ahli semua yang rata-rata sudah berusia seperti warga emas yang berlindung di PJMM.
Tambahnya, antara kami ada mempersoal sikap sesetengah ahli keluarga khususnya anak-anak yang sanggup mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga ibu atau bapa selepas membesarkan mereka dan berjaya dalam kehidupan.
“Alasan seperti mengatakan sukar atau membebankan mereka untuk menguruskan ibu atau bapa yang uzur tidak boleh diterima kerana perkara ini boleh dilakukan dengan cara terbaik dengan duduk berbincang bersama-sama ahli keluarga lain.
“Paling menyedihkan apabila mengambil sikap lepas tangan tanpa bertanya khabar langsung selepas ibu atau bapa mereka dihantar oleh pihak hospital serta pihak berkenaan ke pusat jagaan apabila discas selepas menerima rawatan,” katanya ketika berucap pada majlis lawatan ke PJMM bersama-sama ahli pada 7 September 2023.
Selain Azman menyambut kedatangan mereka turut Setiausaha PJMM, Muhammad Shafiq Mohiadin. Dalam kunjungan itu ahli kelas berkenaan menghulurkan sumbangan termasuk pelbagai makanan dan keperluan asas.
Nuriah berkata, kunjungan ke PJMM itu merupakan aktiviti pertama kelas berkenaan melawati pusat jagaan bagi menyelami nasib mereka yang ditimpa musibah dan memerlukan sokongan serta pembelaan daripada mereka berkenaan untuk meneruskan kehidupan.
Menurutnya, kunjungan itu juga diharapkan membuka minda ahli untuk melihat secara dekat kegigihan pengurusan PJMM serta sukarelawan mereka menyantuni warga emas dengan penuh kasih sayang dan sabar walaupun tidak mempunyai kaitan persaudaraan.
“Kami menguar-uarkan kewujudan PJMM ini kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Batu Pahat untuk turut sama menghulurkan bantuan bagi
Manakala seorang ahli jawatankuasa kelas berkenaan yang ditemui, Siti Salmiah Abdul Hamid, berkata mereka merancang untuk mengusulkan cadangan menjadikan PJMM sebagai keluarga angkat supaya dapat terus mengikuti perkembangan serta menghulurkan bantuan.
“Selain itu kami akan berusaha bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk sama-sama terus membantu PJMM di samping pelbagai rumah kebajikan atau pusat jagaan anak yatim serta tahfiz,” katanya.
Sementara itu, Azman berkata, PJMM tidak dapat menerima jumlah warga emas melebihi 50 orang berikutan kekangan mencari dana untuk menampung kos operasi seperti bayaran bil utility, kos rawatan dan pengangkutan ke hospital atau pusat kesihatan, perbelanjaan bagi barangan basah serta kering dan sebagainya.
Sehubungan itu, katanya, PJMM sentiasa mengalu-alukan pelbagai pihak seperti korporat, agensi kerajaan serta NGO untuk mengadakan aktiviti amal kebajikan di situ di samping menghulurkan sumbangan barangan keperluan makanan asas dan kewangan.
Mereka yang ingin membantu termasuk untuk mengeluarkan zakat boleh menghubungi nombor telefon Azman Rasman 019-977 7419 dan Sazali Mohiden (019-368 8142) sementara sumbangan wang boleh disalur ke Akaun CIMB Islamic bernombor 8603160021 (Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia) atau ke Akaun Maybank Islamic bernombor 562384521053 (Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia). – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Golongan muda di Kampung Shafie dekat Simpang Pelangai sangat yakin dengan kemampuan BN membawa pembangunan berterusan di kawasan itu.
Perkara itu antara disuarakan mereka ketika bertemu calon BN untuk PRK Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam petang semalam.
Amizar yang sebelum itu melakukan walk about di pekan Manchis sempat meluangkan masa berkonvoi motosikal mengelilingi kampung berkenaan.
“Ketika di pekan Manchis, saya sempat ‘mengopi’ bersama golongan veteran dan mendengar apa yang mereka inginkan di situ.
“Kebanyakannya mahu infrastruktur sedia ada dipertingkatkan untuk kemudahan mereka.
“Ia akan menjadi perhatian utama jika saya dipilih sebagai wakil rakyat pada 7 Oktober ini,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Amizar turut memberitahu, lawatan mesra di Kampung Shafie lebih kepada pendekatan bersama anak muda.
Katanya, anak muda di situ percaya bahawa BN mampu menjadi wadah bagi membantu pembangunan belia dan anak muda, terutamanya di kawasan kampung.
“Sambutan diterima daripada penduduk di pekan Manchis dan Kampung Shafie sangat baik.
“Mereka sangat yakin dengan BN dan kita akan pastikan DUN Pelangai bertambah maju dan makmur selepas ini,” katanya. -SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!