Persatuan Haiwan mohon bantu cari penjenayah bunuh kucing
JERANTUT – Persatuan Haiwan Malaysia mohon masyarakat bantu menjejaki penjenayah yang membunuh lebih 15 ekor anak kucing secara direndam hingga mati di Pasar Borong Jerantut, semalam.
Kejadian disedari semalam oleh seorang pengadu yang merupakan penduduk berdekatan dan diserahkan kepada Persatuan Haiwan Malaysia kira-kira jam 8.00 malam.
Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jerantut pada jam 6.00 petang, hari ini.
Persatuan itu turut menawarkan ganjaran sebanyak RM5,000 kepada sesiapa sahaja yang berjaya merungkai kezaliman pembunuhan dahsyat terhadap 15 anak kucing malang ini bagi menuntut keadilan supaya mengekang kejadian lebih buruk berulang.
Persatuan Haiwan Malaysia memberi jaminan kerahsiaan maklumat saksi utama yang berjaya merungkai kes jenayah psikopat ini supaya dapat diadili di mahkamah dan menerima hukuman atas kekejaman dilakukannya.-SAHIH.
FB Persatuan Haiwan Malaysia
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KGMMB mohon tumpu kepada penilaian UASA dan perkasa PBD
JERANTUT : Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi lebih tumpuan serta memperkasa kaedah penilaian sekolah rendah yang sedang dilakukan sekarang menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Juhari Mohamad Nor
Presidennya, Juhari Mohamad Nor berkata, Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) satu kaedah penilaian yang sedang dijalankan dan dihadapi oleh murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah yang telah dimulakan tahun lalu yang menggantikan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)
Katanya, di peringkat sekolah rendah dan menengah, UASA adalah pentaksiran dilaksanakan secara sumatif dengan bank soalan disediakan oleh KPM.
“UASA melibatkan murid sekolah rendah tahap dua iaitu murid tahun Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6, manakala pelajar menengah rendah melibatkan pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3,” katanya ketika dihubungi.
“Pendekatan baharu ini membolehkan penilaian ke atas murid dilaksanakan mengikut tahun dan tingkatan, sekali gus memperkasa Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD),” katanya.
Juhari berkata, pelaksanaan UASA adalah bagi sesi akademik semasa sahaja dan tertakluk kepada semua murid yang berdaftar dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).
“Murid yang berdaftar dalam APDM ialah murid yang berada di Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah di bawah Agensi Kerajaan termasuk Sekolah Menengah Agama Negeri yang berdaftar dengan KPM.
“Murid yang berada di sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM dan maklumat mereka didaftarkan dalam APDM turut terlibat,” katanya.
Katanya, penilaian atau pentaksiran untuk UASA telah ditetapkan format dan tahapnya oleh pihak KPM bagi memudahkan pendidik untuk mendedahkan serta membantu persediaan murid sebelum menduduki ujian ini.
“Instrumen pentaksiran serta panduan pemarkahan bagi murid tahap dua sekolah rendah akan melibatkan lima mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, manakala soalan mata pelajaran lain akan disediakan guru.
“Murid sekolah menengah peringkat menengah rendah pula, instrumen penilaian melibatkan 20 mata pelajaran seperti, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Matematik, Sains, Asas Sains Komputer serta Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), “ katanya.
Katanya, tidak terkecuali, mata pelajaran Bahasa-bahasa pilihan yang turut dinilai termasuk Maharat Al-Quran, Usul Al-Din, Al-Syariah dan Al-Lughah Al-‘Arabiah Al-Mu’asirah.
“Sebenarnya, tiada masalah pelajar yang memohon untuk memasuki Maktab Rendah Sains mara (MRSM) kerana calon yang memohon perlu melalui ujian khas MRSM.
“Hanya yang berjaya lulus dengan markah ditetapkan akan diterima masuk ke MRSM,” katanya.
Katanya, selain itu, UASA tidak akan berlaku perbandingan di kalangan sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta ranking kebangsaan yang berlaku sebelum ini melalui Ujian Penialain Sekolah Rendah (UPSR).
“Apabila berlaku perbandingan dan mengejar ‘nama’ maka setiap sekolah akan sedaya upaya mengejar yang terbaik sehingga melupakan objektif sebenar pendidikan secara holistik yang diterapkan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
“Antara hasrat FPK ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan,” katanya.
Katanya, oleh itu pemansuhan UPSR tidak menjadi satu polemic kepada sistem penilaian dan pentaksiran pendidikan negara kerana KPM telah menyediakan UASA sebagai alternatif penilaian terhadap murid selain Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) atau Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah (PBD). – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding Pilihan Raya kecil (PRK) Kemaman, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor adalah bekas seorang pegawai kanan tentera Malaysia, bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dan mantan Panglima Angkatan Tentera (PAT) berpangkat jeneral.
Pengalaman luas dalam pentadbiran ketenteraan dapat membantu beliau sebagai Ahli Parlimen untuk berkhidmat dengan berkesan untuk membantu pengundi di kawasan Parlimen Kemaman.
Sebagai bekas Pegawai Staf 1 Tadbir di Cawangan Sumber Manusia Tentera Darat, Ketua Staf Markas 3 Divisyen dan Assisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan serta Panglima 2 Divisyen melengkapkan pengalaman dan pengetahuan dalam perkhidmatan sebagai ahli parlimen.
Beliau menerima pendidikan awal rendah di Sekolah Kebangsaan Kampung Raja (SKKR) di Kg Raja, Besut, dan di Sekolah Menengah Sultan Ismail, kemudian mengikuti latihan sebagai Bakal Pegawai Kadet di Pre-Officer Cadet Training Unit (Pre-OCTU) Sekolah Pegawai Kadet di Kem Sebatang Karah, Port Dickson.
Beliau turut meneruskan pengajiannya semasa masih dalam perkhidmatan dan memperolehi Master in Defence Studies dari Universiti New South Wales (Australia) dan Master of Science in Defence dan Strategic Studies dari Universiti Quaid-i-Azam (Pakistan).
Semasa berkhidmat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi terlibat secara langsung dalam Insurgensi Kedua Tanah Melayu semasa zaman mudanya sebagai pegawai tentera.
Beliau memimpin unitnya sebagai Ketua Platun dan kemudian sebagai Ketua Kompeni yang menentang pemberontak komunis. Beliau meneruskan kerjaya tenteranya sebagai Pembantu Ketenteraan kepada Timbalan Panglima Tentera Darat, Ketua Jurulatih di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA).
Beliau juga sebagai Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu DiRaja (18 RAMD), Pegawai Staf 1 Bahagian Keselamatan Negara, BKN,(sekarang Majlis Keselamatan Negara Malaysia), Pegawai Staf 1 Tadbir di Cawangan Sumber Manusia Tentera Darat, Ketua Staf Markas 3 Divisyen, Assisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan serta Panglima 2 Divisyen.
Beliau kemudian dinaikkan pangkat ke Jeneral pada 15 Jun 2013 dan pada masa yang sama memegang jawatan Panglima Tentera Darat (PTD).
Antara anugerah kebesaran tentera, persekutuan dan negeri yang dikurniakan kepada Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi adalah PGAT PMN PSM PJN SSAP SPMT SPMP SPMS SPTS SPMK SPKK DPPN DCSM PSAT DGMK DSDK DSAP DMPN PAT JSM SMZ KAT KMN PNBB.
Beliau turut menerima anugerah luar negara seperti, Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera) (20 Mac 2018) dari Singapura dan Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Pangkat Pertama (D.P.K.T.) yang membawa gelaran Dato Paduka Seri (15 Julai 2017) dari Negara Brunei.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GUA MUSANG – Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu menerima laporan daripada penduduk kampung dan juga beberapa portal akhbar tempatan berkenaan jalan runtuh di laluan Kampung Orang Asli Hendrop menuju ke Kampung Orang Asli Tuel, di Jajahan Kecil Lojing, semalam.
jalan runtuh di laluan Kampung Orang Asli Hendrop menuju ke Kampung Orang Asli Tuel, di Jajahan Kecil Lojing yang runtuh semalam. Foto kanan, jalan tersebut telah dibersihkan,
Menurut Jurucakap Unit Komunikasi Korporat JAKOA memaklumkan memandangkan jalan tersebut berdaftar di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan berada di bawah pemantauan Pejabat Tanah serta Jajahan Kecil Lojing, pihak JAKOA Kelantan dan Terengganu telah berhubung dengan Penolong Ketua Jajahan berkenaan dan beliau menyatakan bahawa runtuhan tersebut telah dibersihkan.
“Walau bagaimanapun, hanya separuh daripada runtuhan dapat dibersihkan terlebih dahulu kerana bimbang akan berlakunya runtuhan susulan.
“Namun jalan tersebut dapat dilalui secara sehala dan seterusnya dapat menghubungkan penduduk Kampung Orang Asli Tuel ke Kampung Orang Asli Hendrop serta Gua Musang bagi menjalankan urusan harian,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, pihak Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing juga memaklumkan bahawa pembersihan tersebut adalah untuk sementara waktu sahaja dan tindakan lanjut akan diusahakan segera bagi kemudahan serta keselamatan penduduk Orang Asli yang terjejas.
JAKOA akan terus menghulurkan bantuan daripada aspek sosial dan kebajikan sebagaimana skop penugasan yang ditetapkan menggunakan peruntukan yang disalur oleh kerajaan. -SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merakam gambar kenangan bersama salah seorang penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Kedondong, dekat sini ,semalam.
Agong ingatkan penerima Ru’RASA jaga rumah diterima
JERANTUT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah kepada semua penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) agar menjaga dan menghargai rumah yang diterima sebagai satu harta yang sangat bernilai sehingga akhir hayat .
“Saya selalu ingatkan supaya jadikan rumah sebagai syurga buat kita semua dan biarlah rumah ini diwarisi keluarga sahaja. Jangan kita cepat nak fikir soal hendak jual atau sewakan rumah yang dikurniakan.
“Itu bukan niat kita beri rumah ini, sebaliknya kerana mahu memberikan sedikit sebanyak keselesaan kepada mereka yang menghadapi kesukaran,” titah Seri Paduka semasa mencemar duli menyempurnakan Majlis Pengurniaan Replika Kunci Ru’RASA di Kampung Kedondong di sini , semalam.
Titah baginda, terdapat dua reka bentuk rumah Ru’Rasa disediakan bagi jenis kediaman bertiang untuk penerima rumah dibina di kawasan pesisir sungai dan rumah yang berisiko tinggi serta kerap mengalami banjir.
“Manakala rumah tidak bertiang sebuah dibina bagi kawasan yang selamat daripada banjir,” titah baginda di Majlis Penyerahan Kunci rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) kepada seorang 22 penerima di Kampung Kedondong, Pulau Tawar dekat sini hari ini.
Sementara itu, seorang penerima Ru’RASA , Rozi Yaakob (56) yang menetap di Kampung Kedondong dekat sini sejak 20 tahun lalu berkata, dia dan isterinya, Siti Hawa Abd Ghani (52) bersyukur dengan pengurniaan rumah daripada Seri Paduka.
“Saya tidak menjangka menerima rumah kurniaan itu setelah rumah pusaka milik mentuanya rosak kerana kerap dilanda banjir setiap musim tengkujuh akhir tahun.
“Kami sekeluarga bersyukur dengan bantuan rumah baharu ini daripada Al-Sultan Abdullah kerana rumah lama kami kerap dilanda banjir dan setiap kali selepas banjir rumah pusaka rosak telah mendapat perhatian baginda, menjunjung kasih Seri Paduka Tuanku di atas pengurniaan rumah yang selesa ini,” katanya.
Seorang lagi penerima, Habita @ Haziqah Mohamed Koya, 47, dari Kuala Tembeling menyifatkan Ru’RASA sangat membantu dalam meringankan beban kewangan keluarganya yang terpaksa menyewa rumah dengan kos RM700 sebulan sejak 10 tahun lepas.
“Anak-anak paling seronok bila diberitahu dapat masuk ke rumah sendiri. Boleh dikatakan, dalam seminggu antara tiga ke empat kali mereka akan menjenguk rumah dari luar dan akhirnya kami sudah boleh mula berkemas untuk berpindah ke rumah baharu ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BUKIT TINGGI BANJIR KILAT, HUJUNG TAHUN YANG MENAKUTKAN
BENTONG – Tiga puluh buah rumah di Bukit Tinggi, Bentong, dimasuki air akibat banjir kilat yang melanda kawasan tanah tinggi itu kira-kira 9.00 malam tadi.
Walaubagaimanapun, tiada penduduk yang terjejas dipindahkan setelah air surut sepenuhnya malam tadi namun jalan utama dari Bukit Tinggi ke Kampung Janda Baik tidak boleh dilalui dan ditutup oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut satu laporan oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 9.46 malam.
Sejurus itu, 2 buah jentera bersama 3 pegawai dan 6 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bentong telah bergegas ke lokasi kejadian.
Operasi yang diketuai PBK I (KUP) Haznan Basir, mendapati terdapat kejadian limpahan air dari ban penghalang di kawasan tersebut dan bukan pecahan ban seperti yang dilaporkan.
Keadaan tersebut terkawal sepenuhnya pada jam 10.50 malam namun kerja pemantauan terus dilakukan sekiranya hujan lebat akan turun semula dan menyebabkan limpahan air kali kedua berlaku yang mendatangkan bahaya kepada penduduk sekitar.
Malam tadi, beberapa rakaman video kejadian tersebut tular di laman sosial Facebook menunjukkan arus deras turun dari kawasan tinggi hingga membanjiri kawasan rendah di pekan Bukit Tinggi.
Menerusi rakaman video berkenaan, beberapa kenderaan terperangkap dalam banjir dan harta benda dihanyutkan arus.
Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman yang lokasi tersebut memaklumkan keadaan banjir sudah surut dan kerja pembersihan sedang dijalankan.
Beliau turut meminta pengusaha chalet, rumah inap dan pengunjung yang berkhemah di Janda Baik serta Bukit Tinggi supaya waspada dengan keadaan cuaca semasa selain mematuhi arahan pihak berkuasa jika terdapat keperluan untuk berpindah.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Persimpangan Batu Embun ini wajib diambil perhatian oleh pihak berkuasa akan tahap keselamatan pengguna jalan raya di sini.
Terdapat beberapa papan tanda yang terletak di tepi jalan di persimpangan itu, menghalang pandangan pengguna jalan raya di sini.
Kegelisahan yang diadukan ini demi kebaikan seluruh pengguna jalan raya agar tidak berlakunya kemalangan
Pihak yang berwajib harus mengambil tindakan yang cepat dan mohon ada tindakan sewajarnya.- Gambar kredit pada pemiliknya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Warga Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP), Klang, Selangor, bersama-sama ibu bapa murid menunaikan solat subuh berjemaah di Dataran Haji Shaharuddin sekolah itu.
SKRP anjur solat sbuh berjemaah
KLANG – Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP), Klang, menganjurkan program Jom Solat Subuh Berjemaah membabitkan guru, murid dan ibu bapa sejak 25 Ogos lalu.
Program yang berlangsung di Dataran Haji Shaharuddin sekolah berkenaan pada minggu keempat setiap bulan membabitkan semua warga sekolah terutama murid Tahap Dua dan akan menjadi program sepanjang tahun.
Guru Besar SKRP, Hazi Kadir berkata, selepas bertukar ke sekolah berkenaan dia membawa bersama beberapa program ke arah pembangunan pembelajaran dan modal insan dalam pelbagai segi bagi tujuan melahirkan kecemerlangan dan kegemilangan.
Hazi Kadir dan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SKRP, Mohd Razi Samsudin beramah mesra dengan ibu bapa yang hadir.
“Jauh sekali untuk bermegah-megah sebaliknya program solat subuh berjemaah itu adalah antara usaha yang dirancang begitu rapi untuk menyatupadukan seluruh warga SKRP selain dapat mendirikan ibadah bersama-sama.
“Program itu juga secara tidak langsung menepati amalan berikhtiar yang bermula daripada usaha dan berdoa termasuk selepas menunaikan solat seharusnya seiring bagi memastikan kejayaan akan berjaya dinikmati seluruh warga sekolah.
Katanya, usaha murni solat subuh berjemaah itu disambut baik oleh semua pentadbir serta barisan Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab bagi memenuhi takwim aktiviti bulanan panitia sebagai amalan banyak manfaat.
“Objektif utama program berkenaan adalah untuk melahirkan murid yang berpegang teguh dengan agama serta mewujudkan suasana keakraban, kemesraan, keseronokan serta kasih sayang antara guru dan murid.
“Program itu juga dapat melahirkan warga sekolah yang memiliki sahsiah diri mulia, berbudi pekerti, berhemah dan cintakan ajaran islam melalui amalan solat berjemaah yang dianjurkan itu,” katanya.
Katanya, kehadiran 400 jemaah pada hari pertama program itu dilaksanakan menunjukkan ia mendapat sambutan memberangsangkan daripada ibu bapa, murid dan guru yang membuktikan mereka menyokong usaha bermanfaat SKRP.
Sementara itu, beberapa guru memaklumkan murid begitu teruja apabila setiap kali dapat datang awal ke sekolah untuk bersama-sama guru, ibu bapa serta kawan mereka menunaikan solat subuh berjemaah.
Guru penyelaras program berkenaan, Ustaz Muhammad Syaharuddin Ibrahim berkata, bagi menambahkan lagi kemeriahan dan menggalakkan lebih ramai murid datang bersolat subuh berjemaah dia akan menukarkan menu sarapan pagi di samping memberikan wang saku kepada murid yang hadir.
“Saya akan berbincang serta mendapatkan persetujuan terlebih dahulu daripada guru pentadbir terbabit sebelum langkah ini dibuat kerana usaha itu adalah untuk kebaikan juga motivasi kepada murid,” katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni pesakit, Rabiabi Mohd Ali ketika mencemar duli merasmikan Pusat Hemodialisis Kelima Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Taman Impian Permai, hari ini.
Pusat Hemodialisis YASA kelima dibuka di Jerantut
JERANTUT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) cawangan yang kelima di Taman Impian Permai, dekat sini, hari ini.
Selain di Jerantut, empat lagi pusat seumpama ini terletak di Taman Melati, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pekan, Setiawangsa dan Cheras, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pusat hemodialisis YASA ditubuhkan bertujuan menyahut seruan dan membantu Kerajaan kerana pesakit yang memerlukan rawatan begitu ramai dengan jumlah kes baharu mencecah 8,000 kes setahun.
Pada tahun 2022, keempat-empat pusat hemodialisis YASAyang telah beroperasi telah menyediakan rawatan dialisis berjumlah 20,363 rawatan sebulan dengan peratusan penggunaan mesin di setiap pusat ialah antara 95 dan 100 peratus.
YASA turut kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sedang menyediakan pembukaan Pusat Hemodialisis YASA yang keenam di Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan pada awal tahun depan.
Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah dan turut hadir sama Exco Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.
Pusat Hemodialisis YASA Jerantut merupakan pusat hemodialisis yang kelima yang telah ditubuhkan oleh YASA yang beroperasi mulai hari Isnin hingga Sabtu, pada jam 7 pagi hingga 5 petang dengan 12 mesin dialysis.
Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan pesakit yang menjalani rawatan di pusat hemodialisis tersebut.
Seri Paduka turut berkenan menyaksikan penyerahan kunci ambulans pertama kepada YASA Ambulans yang dilengkapi dengan alat defibrillator dan ventilator bagi tujuan bantuan dan rawatan bagi kes-kes trauma dan kecemasan.
Operasi ambulans ini diketuai seorang doktor pemantau bersama dua orang pembantu perubatan dan tiga orang pemandu tetap.
Keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda terhadap pesakit-pesakit buah pinggang kronik dan juga keperluan perkhidmatan hemodialisis kepada mereka yang tidak berkemampuan, khususnya dari golongan M40 dan B40 dan kos rawatan pesakit ditaja sepenuhnya oleh YASA. Seri Paduka Baginda menyeru lebih ramai individu dan banyak lagi pihak swasta untuk tampil membantu golongan sasar ini mendapatkan rawatan hemodialisis menerusi tajaan dan subsidi rawatan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Ketua Kampung Bantal, Hamdan Ali Jabar Dollah ( kiri ) menerima bantuan makanan kering musim banjir daripada Seri Paduka di pinggir Sungai Tembeling, Ulu Tembeling hari ini.
Agong lepaskan misi bantuan banjir Ulu Tembeling
JERANTUT – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melepaskan misi penghantaran barangan keperluan makanan ke pangkalan hadapan Mukim Ulu Tembeling di Masjid Kampung Kuala Sat hari ini.
Al-Sultan Abdullah menunaikan solat Jumaat di Masjid Kg Kuala Sat bersama rakyat yang turut disertai anakanda baginda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melepaskan misi penghantaran barangan keperluan makanan ke pangkalan hadapan Mukim Ulu Tembeling di Masjid Kampung Kuala Sat hari ini. -Kredit FB Yohanis Ahmad.
Turut serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Mufti Pahang, Datuk Dr. Abdul Rahman Osman.
Selepas selesai solat Jumaat, Seri Paduka Baginda berkenan menyampaikan sumbangan kepada 200 asnaf terdiri dari enam kampung tradisional dan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Kucing.
Baginda seterusnya menyampaikan bakul makanan bernilai lebih RM814,000 kepada enam Pengerusi Jawatankuasa Pangkalan Mukim Hulu Tembeling. Kampung terlibat ialah Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Pagi, Kampung Gusai, Kampung Mat Darling dan Kampung Orang Asli Sungai Kucing.
Sebelum berangkat pulang, baginda berkenan melakukan ziarah kasih lima buah rumah bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM).
Sumber -KOSMO! ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!