BANJIR KILAT DI KAMPUNG SUNGAI JERIK: HUJAN BERTERUSAN MENGAKIBATKAN RUMAH PENDUDUK DINAIKI AIR
MARAN: Hujan lebat berterusan sejak jam 3 pagi semalam dan air naik kira-kira dua meter menenggelamkan beberapa buah rumah di kawasan rendah sekitar Kampung Jara dan Kampung Sungai Jerik.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK ) Kampung Jara, Hassan Khalil berkata, banjir kilat berlaku selepas subuh kira-kira jam 6.15 pagi.
Beberapa keluarga dipindahkan ke PPS di Balai raya Kampung Jara
“Sehingga petang semalam paras air masih bertahan dan lapan keluarga seramai 32 orang dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) banjir di Balai Raya Kampung Jara.
“Pihak berkuasa dan JKKK Kampung Jara menasihatkan mereka berpindah kerana kita bimbang sekiranya hujan lebat berterusan akan menyebabkan banjir lebih teruk,” katanya.
Menurutnya, kawasan yang teruk dilanda banjir kilat itu termasuk di hadapan Kuil Sri Marathandavar, dilaporkan beberapa buah kereta turut tenggelam.
Sebuah lori turut ditenggelami air
Sementara itu bekas Setiausaha Kuil Sri Marathandavar, Datuk G Pongavanam terkejut banjir kilat luar biasa berlaku di hadapan kuil berkenaan.
“Walaupun pernah berlaku banjir kilat setiap kali hujan lebat tetapi tidak seteruk ini, kali ini menyebabkan jalan utama dari Maran ke Pekan Sungai Jerik tidak boleh dilalui, manakala beberapa kedai makan dan bengkel kenderaan turut dinaiki air di Pekan Tong Kiat,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENGEDAR DADAH DITAHAN DALAM OPERASI POLIS: SALAH SEORANG SUSPEK POSITIF DADAH
SEBERANG PERAI: Empat lelaki disyaki pengedar dadah ditahan polis ketika melakukan kegiatan itu di dalam sebuah pondok pengawal keselamatan di Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam operasi kira-kira pukul 9.15 malam itu pihaknya menahan suspek berkenaan yang berusia di antara 34 hingga 61 tahun.
“Polis merampas 7.2 gram (g) dadah jenis heroin bernilai RM360 dan 0.1 g syabu (RM10) daripada suspek tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd .Noor.
“Ujian saringan air kencing turut mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah, manakala dua daripadanya mempunyai rekod lampau,” katanya seperti yang dilaporkan KOSMO!ONLINE.
Noorzainy berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(A), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DISERANG LELAKI DENGAN CANGKUL: SUSPEK DIPERCAYAI TERBABIT DALAM KES PECAH RUMAH
SITIAWAN : “Saya bersyukur tidak diapa-apakan, namun kejadian itu sangat mencemaskan terutama apabila lelaki itu kelihatan agresif dengan memegang cangkul,” kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ira.
Ira, 40, berdepan detik cemas lebih 15 minit apabila rumahnya didatangi lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Taman Serdang di sini, pada 10.30 pagi semalam.
Lebih menakutkan, lelaki yang tidak memakai baju dan hanya berseluar pendek itu dikatakan turut membawa cangkul dan memecahkan cermin tingkap dan pintu rumahnya.
Malah, lelaki itu didakwa masuk rumah dan sempat mengambil air botol dalam peti ais sebelum keluar mengikut pintu belakang.
Ira berkata, ketika kejadian dia tinggal berseorangan di rumah dan sedang menonton televisyen di ruang tamu, manakala suaminya berkerja.
Ira Mangsa kejadian
Menurutnya, sebelum itu, dia menyedari lelaki itu berjalan mundar-mandir di hadapan kawasan rumahnya sambil mengheret sesuatu.
“Saya kemudian memeriksa dan mengunci semua pintu serta tingkap sebelum melihat lelaki itu membuka pagar sambil membawa cangkul.
“Saya terus menghubungi suami, jiran dan polis. Lelaki itu kemudian mengetuk dan menyuruh buka pintu, malah dia juga mengelilingi rumah hampir empat kali,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, lelaki itu kemudian bertindak agresif dengan merosakkan jaring di pintu jeriji dan memecahkan tingkap serta pintu kayu rumahnya.
“Melihat pintu sudah pecah dan terkopak saya terus melarikan diri ke dalam bilik dan mengunci serta menahan pintu dengan tiang besi penyangkut baju.
“Lelaki itu dapat masuk dalam rumah dan cuba menolak pintu bilik tetapi saya menahannya dari dalam. Dia kemudian keluar ikut pintu belakang dan sempat mengambil air botol dalam peti ais,” katanya yang mendakwa selak pintu rumahnya tercabut dipercayai kesan tolakkan kuat lapor ya kepada HARIAN METRO.
Ira berkata, suaminya pulang ke rumah dan mengejar lelaki itu dengan bantuan orang kampung sebelum lelaki itu pergi semula ke rumahnya dan melarikan motosikal suaminya.
GAMBAR IHSAN ORANG AWAM
“Saya rasa dia bukan mahu merompak kerana beg tangan di meja hadapan tidak di usik, malah lelaki itu tidak menyelongkar rumah,” katanya membuat laporan polis di Seri Manjung.
Jirannya, Mohamed Nor Mohamed Alwi, 70, berkata, dia melihat lelaki tidak dikenali itu berjalan di sekeliling rumah jirannya itu dengan memegang cangkul seperti sedang marah sebelum isterinya menghubungi polis.
“Selepas keluar dari rumah jiran, lelaki itu pergi ke rumah seorang lagi jiran dan mengetuk pintu rumah sebelum dia memasuki kawasan rumah saya dan mengetuk pintu jeriji yang berkunci.
“Ketika itu pintu kayu memang sudah terbuka dan saya dan isteri bertentangan mata dengan lelaki itu dan dia menanyakan nama tetapi kami yang panik hanya diam sebelum dia menyepak pasu bunga,” katanya.
Katanya, selepas itu mereka mendapat maklumat lelaki itu kemalangan di Taman Sejati dan sudah ditahan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pecah rumah di Taman Serdang dan suspek sudah ditahan semalam.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JALAN KUANTAN-SEGAMAT DITUTUP: TANAH RUNTUH AKIBAT HUJAN LEBAT
PEKAN: Jalan Kuantan-Segamat, di sini ditutup kepada semua kenderaan berikutan tanah runtuh di Kilometer 63 dan 73 jalan berkenaan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof, berkata pihaknya menerima maklumat berlaku kejadian tanah runtuh pada jam 10 pagi, lapor BH ONLINE.
Katanya, kejadian itu berlaku akibat hujan lebat dan air yang mengalir terlalu deras dari kawasan bukit.
“Kejadian tanah runtuh tidak membabitkan kemalangan jiwa dan kenderaan. Ketika ini, kerja pembaikan jalan serta cucian tanah runtuh sedang dijalankan.
“Sehubungan itu, Jalan Kuantan-Segamat di Kilometer 63 dan 73 ditutup untuk semua kenderaan bagi kerja baik pulih jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengguna yang ingin menuju ke Kuantan, Pekan dan Segamat boleh menggunakan jalan alternatif.
“Kejadian tanah runtuh tidak membabitkan kemalangan jiwa dan kenderaan. Ketika ini, kerja pembaikan jalan serta cucian tanah runtuh sedang dijalankan,” Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof
Katanya, pengguna jalan raya dari arah Segamat boleh melalui Jalan Leban Chondong, Muadzam Shah-Rompin-Nenasi -Pekan-Kuantan.
“Mereka yang dari arah Gambang dan Kuantan pula boleh melalui Jalan Pekan-Paloh Hinai-Bandar Pekan-Leban Chondong, Rompin,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
INSIDEN LAMA DITULARKAN SEMULA : WARGA EMAS DITINGGALKAN DI TEPI JALAN
SHAH ALAM : Kisah seorang lelaki warga emas yang ditinggalkan di tepi jalan sekitar Kota Kemuning di sini merupakan insiden lama yang ditularkan semula di laman sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian tersebut berlaku pada bulan Mac lalu dan lebih kepada merupakan masalah keluarga.
Katanya, siasatan ketika itu juga mendapati bapa tersebut enggan tinggal bersama anaknya selepas berkahwin baharu.
“Semakan mendapati kes tersebut berlaku pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini pada Mac lalu.
“Perkara itu cuma telah ditularkan semula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Lelaki tersebut diberikan pertolongan pihak berkuasa.Gambar ini merupakan kisah lama yang ditularkan semula.
Terdahulu, tular seorang lelaki warga emas dipercayai dibuang anak kandungnya sendiri ditemui terbaring di tepi jalan di sekitar Kota Kemuning di sini.
Lelaki tersebut yang dikatakan mempunyai penyakit angin ahmar ditemukan dalam keadaan terbaring oleh anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan tersebut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENDUDUK CEMAS AIR LAUT PASANG BESAR: OMBAK HEMPAS BELAKANG RUMAH
BESUT: Kejadian air laut pasang besar sehingga menyebabkan banjir menimbulkan situasi cemas dalam kalangan penduduk Kampung Pantai dan Kampung Pengkalan Atap dekat Kuala Besut di sini, malam tadi.
Seorang daripada mangsa di Kampung Pengkalan Atap, Abdul Razak Mohd Zaid, 31, berkata dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, menyebabkan penghuni lapan rumah berhampiran pantai cemas apabila ombak besar menghempas bahagian belakang rumah masing-masing.
“Kejadian itu mengakibatkan limpahan air laut bukan sahaja memasuki rumah kami tetapi melimpah sehingga ke jalan raya kira-kira 50 meter di hadapan rumah,” katanya kepada BERNAMA.
Abdul Razak berkata kejadian itu menyebabkan penduduk yang tidak sempat melakukan persiapan awal menanggung kerugian apabila barangan rumah seperti perkakas elektrik rosak.
GAMBAR IHSAN ORANG AWAM
“Saya terpaksa meletakkan guni pasir di belakang pintu dapur untuk mengelak pintu tercabut dibadai ombak,” katanya.
Sementara itu seorang lagi penduduk di kampung yang sama, Mohd Napi Sulong, 56, berkata kejadian itu adalah yang terburuk sepanjang tahun ini dan keadaan itu hampir sama dengan apa yang berlaku pada 2014.
“Saya tahu fenomena air pasang besar ini adalah kebiasaan yang berlaku setiap kali musim tengkujuh namun tidak sangka ia seteruk ini,” katanya.
Berikutan kejadian itu seramai 36 mangsa membabitkan sembilan keluarga dari kedua-dua kampung terbabit dipindahkan ke Balai Raya Kampung Pantai di Kuala Besut, tengah malam tadi.
Meskipun fenomena air pasang besar reda sejak awal pagi tadi, namun rata-rata penduduk masih bimbang untuk pulang ke rumah masing-masing hari ini kerana dijangka kejadian yang sama akan berlaku lagi malam ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RARA BAKAL BERTUNANG BULAN DEPAN? : DIKHABARKAN BERTEMU JODOH DENGAN PEMUDA UMNO
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Ketari, Young Syefura Othman dikhabarkan bakal mengakhiri zaman janda dengan mengahwini seseorang pemimpin daripada Pemuda UMNO.
Ummi Alfida Ali menerusi hantaran di FACEBOOKnya memaklumkan perkara itu serta mendedah hubungan pasangan berkenaan.
ADUN KETARI, YOUNG SYEFURA OTHMAN (TENGAH) KETIKA SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI PAHANG, BARU-BARU INI/FACEBOOK
Ummi berkata, beliau tidak sabar untuk menunggu hari pertunangan mereka pada 14 Januari ini dan majlis perkahwinan yang dilaporkan berlangsung Mac depan.
“Kompang dipalu di tahun baru.. moga kekal ke anak cucu.
“Pasangan yang paling letop yang bakal viral selepas Neelofa, YB Rara dan adikku Edrin Furtado ‘the most gorgeous couple’.
“Sama cantik sama padan selamat bercuti dan Selamat tahun Baru.. Tak sabar tunggu hari tunang 14 januari dan reception pada Mac (2021),” katanya dipetik dari MALAYSIAPOST.
Ummi menambah, beliau gembira atas perkhabaran berita tersebut malah akan menaja pelamin mereka.
“Saya nak belanja pelamin nanti.. Saya tumpang gembira untuk awak berdua, ” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KETUKAN MISTERI KINI DI TEMERLOH: PENDUDUK DAKWA NAMPAK LEMBAGA HITAM
TEMERLOH: “nampak kelibat tiga lembaga berbulu hitam berdiri di atas beranda di tingkat atas rumah ini, manakala anak saya, Haikal nampak kelibat tiga lembaga hitam di dalam rumah,” demikian dakwa Sharifah Mazian.
Menurut jirannya, yang juga ahli jawatankuasa Masjid Temerloh Jaya, Syaiful Afenddi Ismail, 44, kejadian ketukan pintu misteri itu diceritakan oleh mangsa baru-baru ini.
Syaiful Afenddi berkata, kejadian itu berlaku di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Temerloh Jaya sejak 27 Disember lalu.
“Kejadian malam pertama, tuan rumah dakwa mendengar beberapa kali ketukan kuat pada pintu rumah, tetapi tidak membuka kerana pernah mendengar cerita mengenai ketukan pintu misteri itu.
“Keluarga itu ada memanggil ustaz Azmi, seorang pengamal perubatan Islam untuk memulihkan kawasan rumah dan pada malam itu mereka mendengar lebih banyak ketukan misteri.
“Cabaran yang dihadapi oleh ibu tunggal, bersama dua anak lelaki berusia tiga dan 12 tahun serta seorang anak perempuan berusia 18 tahun adalah pada malam ketiga, kerana gangguan semakin hebat dan menyeramkan,” katanya.
Menurut Syaiful Afenddi, pada pukul 9 malam, dia menerima panggilan telefon daripada Sharifah Mazian memaklumkan kejadian ketukan misteri itu.
“Malah dalam telefon pun saya turut mendengar bunyi ketukan kuat itu… saya bergegas ke rumah berkenaan bersama Ustaz Azmi bagi membantu keluarga tersebut.
“Ketika saya serta berapa orang jiran di dalam rumah sambil membaca ayat ayat suci, tiba tiba saya dibaling dengan botol air mineral, dari satu arah tetapi tidak mengena… seolah-olah ‘makhluk’ itu mengamuk.
“Malah semasa ustaz Azmi bersama pembantunya berdua di dalam rumah ketika sedang membuat rawatan, mereka turut terdengar bunyi tapak kaki berjalan menaiki tangga dengan hentakan kuat ke tingkat atas,” katanya.
Syaiful Afenddi berkata, satu laporan polis mengenai kejadian itu sudah dibuat dan berharap misteri berkenaan dapat dirungkai tidak lama lagi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PERPINDAHAN PERSEMPADANAN MEMBERI MANFAAT DAN KEMUDAHAN PENDUDUK DI KAWASAN TERBABIT
JERANTUT: Perpindahan persempadanan secara harmoni bakal melibatkan kawasan Felda Jengka 8, Jengka 9, Jengka 10, Jengka 12 dan Jengka 24 termasuk Felda Lepar Utara 3, yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang dan akan diwartakan segera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata perpindahan sempadan secara harmoni itu bakal memberi manfaat dan kemudahan kepada semua penduduk di kawasan tersebut kerana sebelum ini terdapat banyak birokrasi berlaku ketika berurusan dengan pihak pentadbiran tertentu.
ADUN Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah
“Kebetulan semua kawasan itu terletak di dalam DUN Pulau Tawar yang turut menyukarkan pihak saya untuk menyusun perancangan dan bantuan, sesiapa sahaja waikl rakyat akan sukar melakukan perancangan tertentu khusus untuk membangunkan kelompok Generasi kedua Felda.
“Ada kawasan itu, pentadbiran pejabat agama di Chenor, pejabat daerah di Maran, pejabat kesihatan di Jengka dan pendidikan di Maran, malah pentadbiran politik pula terletak dalam DUN Pulau Tawar,Jerantut,” katanya di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) Di Dewan Tengku Azlan, Pulau Tawar, semalam.
Katanya, penyusunan semula mengikut persempadanan pentadbiran politik semasa akan memberi kemudahan semua pihak dan memudahkan wakil rakyat menyusun pelan strategik pembangunan dan pelbagai perancangan lain.
“MMK telah meluluskannya dan akan diwartakan segera pada 2021 dan perancangan dapat dilakukan dengan segera demi penduduk kawasan itu,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, berharap semua penerima RRP menghargai jasa kerajaan negeri kerana membelanjakan sejumlah RM6.37 juta.
Datuk Nazri (2 dari kiri) semasa penyerahan rumah kepada penerima RRP di Pulau Tawar, semalam
“Kerajaan negeri membina 98 buah rumah di seluruh negeri pada tahun 2020 dan bakal meneruskan projek PPR di tahun 2021 untuk membantu golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.
“Datuk Menteri Besar sangat mementingkan kebajikan rakyat yang memerlukan rumah, oleh itu kerajaan menyediakan rumah yang selamat dan selesa kepada golongan B40, kerajaan membiayai projek rumah tersebut dan diberikan secara percuma kepada mereka yang layak,” katanya
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HADIAH ISTIMEWA TAHUN BAHARU: WARGA EMAS TERIMA KUNCI RRP
KUANTAN: Seorang warga emas menerima hadiah tahun baharu paling bermakna apabila kerja pembinaan projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) siap sepenuhnya lebih awal dari tempoh ditetapkan dan menerima kunci rumah berkenaan petang semalam.
Ngah Ismail, 87, yang hidup bersendirian sejak kira-kira 30 tahun lalu di Kampung Beserah Pantai, dekat sini, kini boleh menjalani kehidupan lebih selesa di rumah berkenaan, hasil inisiatif kerajaan Pahang yang memperkenalkan program RRP bagi rakyat negeri ini yang layak.
Beliau yang tidak pernah mendirikan rumah tangga dan sebelum ini bekerja sebagai nelayan, menerima bantuan bulanan daripada agensi berkaitan bagi menampung keperluan hariannya.
ADUN BESERAH, ANDANSURA RABU (KIRI) BERSAMA PENERIMA PROGRAM RUMAH RAKYAT PAHANG (RRP) NGAH ISMAIL (TENGAH) KETIKA PENYERAHAN KUNCI DI KAMPUNG BESERAH PANTAI, DEKAT KUANTAN
“Saya memang bersyukur sangat apabila dipilih menerima RRP memandangkan keadaan rumah sebelum ini sudah sangat uzur… kayu lantai pun sudah reput dan memang menunggu masa untuk runtuh.
“Jadi, apabila dimaklumkan oleh ahli dewan undangan negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu mengenai perkara ini (terpilih menerima RRP), saya sangat gembira dan berterima kasih kepada kerajaan Pahang,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan kunci RRP oleh Andansura dan wakil kerajaan negeri.
Sementara itu, Andansura berkata, kawasan dewan undangan negeri (DUN) Beserah menerima tiga projek RRP sepanjang tahun ini dan dua daripadanya sudah siap dan diserahkan kepada penerima, manakala satu lagi dijangka dapat disiapkan awal tahun depan.
“Inisiatif RRP ini diperkenalkan bagi membantu mereka berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.
“Nilai bagi setiap unit RRP adalah RM65,000 dan ditanggung sepenuhnya kerajaan Pahang dengan syarat utama ialah penerima memiliki tanah sendiri.
“Dalam kawasan DUN Beserah kita ada tiga program RRP di Kampung Beserah Pantai, Kampung Cherating dan Kampung Alor Batu, dekat Jabor,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!