KUANTAN: Sebanyak 26 Loji Rawatan Air (LRA) gagal beroperasi dalam kejadian banjir yang melanda negeri Pahang baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, ia berikutan peningkatan paras air sungai yang menenggelamkan LRA dan peralatannya.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Menurutnya, ada LRA gagal beroperasi disebabkan terputus bekalan elektrik dan kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan yang menyebabkan jajaran paip terputus atau pecah.
“Dalam melaksanakan kerja-kerja pemulihan bekalan air kepada pengguna, PAIP telah menerima bantuan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat operator air dan pihak badan bukan kerajaan (NGO).
“Antara agensi yang tampil membantu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Ranhill SAJ, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA),” katanya melalui satu kenyataan pada Selasa, lapor Bernama.
Saiful Zaini berkata, bantuan turut diterima daripada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
“Bantuan yang dihulurkan itu telah membantu melancarkan usaha yang dijalankan pihak PAIP untuk mempercepatkan agihan bekalan air kepada pengguna yang terjejas.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Pihak PAIP turut menerima bekalan air minuman sepanjang tempoh bencana banjir yang telah berlaku baru-baru ini,” katanya yang turut berharap jalinan kerjasama baik terjalin antara pelbagai pihak dapat diteruskan pada masa akan datang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH : Seramai 30 aktivis pelancongan daripada tujuh negara menyumbangkan bantuan kepada mangsa banjir di sini menerusi Majlis Pelancongan Malaysia (MTC).
Presiden MTC, Uzaidi Udanis berkata, kesemua aktivis tersebut adalah dari Rusia, China, Kazakhstan, Italy, Dubai, Denmark, dan Rusia.
“Jadi aktivis-aktivis ini rasa terpanggil untuk memberikan bantuan kepada mangsa banjir di daerah ini memandangkan majoriti daripada mereka terjejas teruk.
ANTARA AKTIVIS LUAR NEGARA YANG TAMPIL MENGHULURKAN SUMBANGAN KEPADA PENDUDUK TERJEJAS BANJIR DI PAHANG
Beliau berkata, Temerloh merupakan antara destinasi pelancongan terpenting negara dan baru-baru ini daerah itu merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Mereka juga telah membantu membersihkan rumah penduduk dan menyumbangkan barang makanan, peralatan dapur, toto, tilam dan bantal.
“Segelintir aktivis tersebut menetap di negara ini, ada berjuga menjalankan perniagaan di sini, berkhidmat dengan kedutaan, bekerja di sini dan sebagainya.
“Mereka terlibat dengan aktiviti pelancongan negara seperti hiking,” katanya di sini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berterima kasih kepada aktivis-aktivis tersebut dan MTC yang menguruskan bantuan tersebut.
DATUK SERI MOHD SHARKAR MENERIMA SUMBANGAN DARIPADA KUMPULAN AKTIVIS LUAR NEGARA
“Mereka telah mengumpul barangan tersebut dan bagi kepada penduduk terjejas banjir di sini. Mereka cuba membantu apa yang patut. Kita ucapkan terima kasih,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Penduduk lima buah kampung memohon Menteri Besar Pahang mempertimbang dan mengeluarkan arahan projek pembalakan di kawasan Hutan Simpan Jerantut Tambahan (Kompartmen 1), Mukim Pedah, Jerantut dihentikan serta-merta atau dikaji dan dipindahkan ke tempat lain.
Kawasan yang terjejas dan terlibat dengan projek tersebut memberi kesan berlaku kemusnahan alam sekitar di Kampung Bharu, Kampung Sungai Badak, Kampung Lata Kasah, Kampung Binjai dan Kampung Sungai Par yang membabitkan seramai kira-kira 1,500 orang penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Bantahan Pembalakan, Rosmani Md Sharif berkata projek pembalakan itu memusnahkan eko-sistem di kawasan pembalakan itu dengan berlakunya pencemaran air sungai, kerosakan dan hakisan tanah, serta flora dan fauna terjejas di situ.
“Malah, turut memusnahkan habitat haiwan dan unggas untuk berlindung serta menjejaskan sistem saliran yang turut membawa bencana seperti banjir di kawasan sekitar.
“Kami telah membuat bantahan secara bertulis dan telah dihantar kepada pejabat Menteri Besar Pahang dan turut dipanjangkan ke Ke Bawah Duli yang Maha Mulia (KDYMM) Pemangku Raja Pahang, “ katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis, pagi tadi.
Katanya, surat bantahan bertulis itu telah diterima oleh MB Pahang pada September 2020 dan KDYMM Pemangku Raja pada 3 Disember 2020.
“Namun pihak kontraktor telah masuk dan menjalankan kerja awal pembalakan pada 22 Januari 2021, kami terkilan dengan dengan kerja tersebut tanpa mengambil kira pandangan kami bagi pihak penduduk.
“Tiada sebarang perbincangan dengan pihak kami dan tidak pernah menerima sebarang jawapan daripada pejabat MB Pahang berkaitan bantahan yang dibuat,”katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Damak, Zuridan Mohd Daud berkata, isu seperti itu telah disampaikan untuk makluman pihak Menteri Besar dengan cara terbaik demi faedah kedua pihak, agar situasi menang-menang boleh diperolehi.
ADUN DAMAK, ZURIDAN MOHD DAUD
“Sebagai wakil rakyat, saya perlu menerima makluman dan rayuan orang ramai khususnya dalam kawasan Damak dan keperluan itu ada asasnya kerana sebagai tempat tadahan hujan dan juga kawasan tarikan pelancong setempat seperti aktiviti mendaki Bukit Panau dan penternakan ikan kolam,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
19 INDIVIDU DAN 5 PREMIS DIKOMPAUN AKIBAT INGKAR PKP
BENTONG: Seramai 19 individu dan lima premis perniagaan dikompaun akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di negeri ini bermula Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tindakan kompaun itu dibuat selepas individu dan premis terbabit gagal mematuhi arahan ditetapkan pihak berkuasa.
SEBANYAK 34 SEKATAN JALAN RAYA DIADAKAN DI SELURUH PAHANG SEJAK JUMAAT LALU
“Tindakan kompaun ini diambil selepas kita berpuas hati bahawa mereka telah gagal mengikuti SOP ditetapkan.
“Sepatutnya pelanggaran SOP tidak berlaku kerana kita pernah melalui PKP kali pertama pada bulan Mac tahun lalu dan kebanyakan daripada kita sudah memahami setiap SOP ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah Bentong, hari ini.
PENGGUNA JALAN RAYA PERLU MENDAPATKAN SURAT KEBENARAN MERENTAS DAERAH DARIPADA POLIS DIRAJA MALAYSIA BAGI MEMUDAHKAN URUSAN HARIAN MEREKA
Turut bersama beliau, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar dan Pegawai Khas Menteri Besar Pahang, Datuk Jasvir Singh Ram Singh.
Mengulas lanjut mengenai jumlah SJR di seluruh Pahang, Mohd Yusri berkata, sebanyak 34 SJR diadakan membabitkan 695 pegawai dan anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA.
“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan aspek pematuhan oleh kebanyakan pengguna jalan raya.. sekitar 97 peratus memahami arahan dan mempunyai surat kebenaran rentas daerah atau negeri untuk tujuan kerja atau urusan penting lain.
PEMATUHAN SOP DAN KERJASAMA PENGGUNA JALAN RAYA SANGAT PENTING BAGI MENGELAK DARIPADA DIKENAKAN KOMPAUN
“Sejak PKP 2.0 dikuatkuasakan empat hari lalu, polis Pahang menerima 2,348 permohonan untuk surat rentas negeri dan daerah dan 2,293 daripadanya diluluskan,” katanya.
Sementara itu, Jasvir Singh mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada petugas SJR sekitar daerah Bentong.
Katanya, bantuan berupa pelitup muka, pencuci tangan dan lampu picit SJR ini amat penting dan diperlukan.
“Kita akan melihat apa-apa keperluan lain petugas SJR termasuklah tandas bergerak di kawasan yang tiada kemudahan tandas awam,”ujarnya.
Datuk Jasvir Singh Ram Singh-pegawai khas Menteri Besar Pahang
DATUK JASVIR SINGH (KIRI) MENYAMPAIKAN SUMBANGAN DARI PEJABAT MENTERI BESAR PAHANG KEPADA TIMBALAN KETUA POLIS PAHANG, DATUK MOHD YUSRI HASSAN BASRI
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota polis serta badan bukan kerajaan (NGO) yang turun padang membantu mangsa banjir yang melanda Pahang, awal bulan ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
IRON MAN TEMERLOH HIBURKAN KANAK-KANAK DI HOSPITAL
TEMERLOH: Seorang lelaki yang digelar sebagai Iron Man Temerloh sanggup berbelanja puluhan ribu ringgit semata-mata untuk mengumpul apa sahaja barangan yang bertemakan watak adiwira itu.
Malah, dalam kehidupan seharian, Mohd Faizal Muda, 34, menggunakan pakaian, beg, kasut, topi keledar, jam tangan, cermin mata, tali pinggang, sarung telefon pintar dan cadar bertemakan adiwira kesayangannya itu.
Koleksi pertamanya topi keledar dibeli RM800 dan sejak 2008 dia sudah membelanjakan lebih RM30,000 termasuk untuk membeli sut adiwira itu daripada sebuah syarikat di United Kingdom.
IRON MAN TEMERLOH TURUT AKTIF DALAM MISI BANTUAN BANJIR DI SEKITAR PAHANG
Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu memberitahu dia turut memiliki dua lagi sut Iron Man yang ditempah khas dan kini menjadi antara koleksi paling berharga dalam simpanannya.
Menurutnya, dia menempah sut lengkap Iron Man yang pertama dari Filipina bernilai RM4,500 manakala yang kedua dibeli daripada sebuah syarikat tempatan berharga RM5,000.
Pegawai Unit Pendidikan Pesakit Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, itu berkata, minat terhadap watak Iron Man bermula sejak kecil.
Jelasnya, gelagat gila-gila aktor terkenal Hollywood Robert Dawney Jr yang berjaya menghidupkan watak Iron Man dalam beberapa siri filem menyebabkan dia semakin bersemangat mengumpul barangan bertemakan adiwira berkenaan.
“Selepas bekerja dan mempunyai pendapatan tetap, saya kumpul koleksi karakter kesayangan ini dan menjadikannya hobi nombor satu.
“Selepas membeli topi keledar saya hias seluruh kereta Proton Wira milik saya dengan lukisan Iron Man. Memang berbaloi kerana lukisan itu menarik perhatian orang ramai hingga kerap menang pelbagai anugerah dalam pertandingan menghias kereta disertai di seluruh negara,” katanya.
MOHD FAIZAL MENYERTAI MISI BANTUAN BANJIR ANJURAN SUKARELAWAN WARGA BANGLADESH YANG TURUT DISERTAI PELAWAK TERKENAL, AZLEE SENARIO DI KUALA KRAU, BARU-BARU INI
Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, dia turut menerima jemputan menghiburkan kanak-kanak di hospital dan sekolah selain menyertai program kempen derma darah serta majlis amal.
“Saya hiburkan kanak-kanak dan gembira dengan keterujaan mereka bila melihat kehadiran Iron Man di hospital.
“Jemputan bukan sekadar untuk penganjuran program sekitar Pahang, malah saya pernah ke Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur.
“Semuanya dilakukan bila ada waktu terluang, saya bersyukur kerana keluarga dan majikannya memahami minat saya ini asalkan tidak mengabaikan tugasan hakiki,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, penjagaan koleksi itu tidak sukar kecuali sut Iron Man yang perlu diberi penjagaan khas selain dibersihkan secara kerap.
“Ada masa terluang saya mencuci sut berkenaan. Saya dapat banyak ilmu hasil perkongsian maklumat dengan rakan kenalan menerusi kumpulan The Ultimate Cosplayer.
“Memang sesiapa nak mengumpul koleksi dan membeli kena banyak bertanya serta mengkaji agar tidak mudah tertipu,” katanya.
Sejak 2014 Mohd Faizal, mula mengumpul koleksi adiwira Marvel yang lain seperti Captain America dan Thor, bagaimanapun jumlahnya tidak sebanyak Iron Man.
“Saya akan terus mengumpul koleksi ini selagi mampu dan harap akan jadi satu kenangan manis sepanjang hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika misi bantuan mangsa banjir di Pahang anjuran sukarelawan warga Bangladesh Malaysia yang turut disertai Azlee Senario di Taman Desa Kuala Krau, di sini, baru-baru ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RUGI LEBIH RM 30,000 POKOK LADA KAMPUNG DAN PISANG NANGKA DITENGGELAMI BANJIR
JERANTUT : “Bagai padang jarak padang terkukur.. dulunya kawasan ini menghijau dengan pokok, kini berukar menjadi padang berwarna kelabu dan kecoklatan.
“Begitulah gambaran kebun lada kampung dan kebun pisang saya selepas ditenggelami banjir lebih seminggu,” kata pekebun Asrul Abd Hamid, 46 tahun.
GAMBAR IHSAN ASRUL ABD HAMID
Dalam kejadian banjir besar minggu lalu keseluruhan kebun tanaman lada kampung seluas 0.4 hektar dan tanaman pisang nangka seluas empat hektar dikampung Bukit Nikmat Hilir, musnah ditenggelami banjir.
Katanya, lada kampung sebanyak 1,500 pokok yang baru mengeluarkan hasil semuanya tenggelam.
Menurut Asrul, dia menanam sebanyak 1500 pokok lada kampung mengambil masa matang kira kira dua bulan dan ketika banjir berlaku, tuaian sepatutnya dilakukan.
Asrul Abd Hamid-Pekebun
“Lada kampung yang ada itu sedia dituai dan sedang mendapat permintaan tinggi di pasaran sekarang kerana musim tengkujuh dan manpu meraih pendapatan RM 10,000.
“Manakala kebun pisang nangka keluasan 0.4 hektar turut ditenggelami air banjir sedalam dua ke tiga meter.
“Saya mula kutip hasil pisang pada penghujung bulan Oktober. Sepatutnya saya dapat mengutip hasil penuh pada bulan ini,” katanya.
GAMBAR IHSAN ASRUL ABD HAMID
Katanya dari lebih kurang 1,200 pokok pisang nangka itu di anggarkan dapat menghasil 12 tan buah pisang dan kini semua habis musnah dan anggaran kerugian kira-kira RM 20,000.
Katanya, kedua dua tanaman itu sepatutnya mampu meraih hasil jualan kira kira RM 30,000 namun tidak menjadi kenyataan apabila semua pokok ditenggelami banjir. Semua buah yang matang buruk dan busuk.
“Saya reda dengan ketentuan ini, apabila semua pokok musnah hanya dalam sekelip mata, impian untuk meraih pendapatan lumayan tidak menjadi kenyataan.
“Ini adalah kali pertama kawasan kebun yang diusahakan sejak lebih 5 tahun lalu ditenggelami banjir, ” katanya.
GAMBAR IHSAN ASRUL ABD HAMID
Beliau berkata, banjir kali ini turut memusnahkan beberapa beg baja yang disimpan dan tidak dapat diselamatkan kerana air naik begitu cepat hingga menyebabkan laluan ke kawasan kebun turut ditenggelami banjir hingga mencecah dua meter dalam.
Katanya, rakan rakan petani lain turut menghadapi keadaan yang sama, dan penduduk hanya mampu melihat bencana banjir yang berlaku sambil berdoa semoga kejadian lebih buruk tidak terus berlaku pada masa akan datang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN : Bagi memastikan mangsa-mangsa banjir terus mendapat pembelaan sewajarnya, sumbangan dan bantuan diteruskan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Selain itu sumbangan dan bantuan turut melibatkan sumbangan dari pihak individu iaitu Sukhdave Singh dan Balwinder juga pihak swasta, KJSS Resources Jerantut/Melaka.
Sebanyak 70 mangsa banjir di sekitar Kampung Sungai Jerik dan Kuala Sentul menerima sumbangan barangan keperluan dan makanan yang disampaikan oleh Pegawai Khas Menteri Besar yang juga Ahli Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Jasvir Singh Ram Singh.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Jasvir berkata, bantuan berterusan yang disalurkan kepada segenap lapisan masyarakat yang terjejas itu membuktikan kesungguhan dan keikhlasan kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membantu mangsa.
“Ia menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat berbilang kaum di negeri ini sentiasa terbela.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy atas keprihatinan ini dan terima kasih juga kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang membantu dalam misi sumbangan bantuan ini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KETEREH: Peniaga di sekitar daerah ini merayu agar Majlis Daerah Ketereh (MDK) segera mencabut kain rentang bertulis Kawasan Wabak COVID-19 yang dipasang di hadapan premis mereka.
Kebanyakan peniaga berpendapat bahawa pemasangan kain rentang itu menjejas pendapatan mereka yang sudah semakin teruk sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada minggu lalu.
Ada antara peniaga mendakwa pendapatan mereka terjejas hampir 70 peratus lebih-lebih lagi pelanggan kini tidak boleh duduk dan makan di kedai.
Seorang peniaga kedai makan, Mohd. Alamin Hamzah, 48, berkata, pemasangan kain rentang berhampiran premisnya sekali gus menyebabkan pelanggan takut untuk berhenti dan membuat pesanan makanan.
“Saya tidak menghalang pemasangan kain rentang kerana memang kawasan berhampiran ini berisiko, namun lebih baik ia di pasang jauh dari premis perniagaan.
“Ini boleh menimbulkan keraguan terhadap orang ramai yang hendak membeli makanan kerana mereka makin takut dengan penularan wabak Covid -19 yang semakin meningkat di negeri,” katanya ditemui KOSMO!Online di sini hari.
Mohd. Alamin berkata, dia sudah memaklumkan perkara itu kepada MDK berhubung masalah berkenaan agar ia di pasang di kawasan yang betul.
Katanya, dia berharap kawasan perniagaan tidak perlu dipasang kain rentang itu kerana ramai peniaga yang sudah buntu selepas menanggung kerugian semasa PKP.
Dia mencadangkan agar kain rentang itu dipasang di tepi jalan utama yang merupakan laluan pengguna jalan raya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Pahang telah menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini yang bermula 22 Januari hingga 4 Februari 2021 selaras seperti ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Pahang menetapkan orang ramai tidak dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing kecuali hanya dua (2) orang sahaja wakil isi rumah untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat-ubatan, penokok diet dan keperluan asas di dalam daerah yang sama.
MENTERI BESAR, DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Selain itu, turut dikecualikan hanya maksimum tiga (3) orang sahaja termasuk pesakit untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan di dalam daerah yang sama.
Calon atau pelajar yang menduduki peperiksaan utama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 dan 2021, Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) turut dibenarkan.
Turut dibenarkan kepada calon dan pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM), Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus untuk Tingkatan 1 dan 4 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.
Manakala, pergerakan kenderaan persendirian jabatan Kerajaan atau syarikat swasta bagi tujuan pergi dan balik tempat kerja atau menjalankan URUSAN RASMI KERAJAAN bergantung kepada kapasiti tempat duduk kenderaan tersebut.
Perjalanan rentas daerah dan negeri TIDAK DIBENARKAN kecuali bagi hal-hal kecemasan seperti kematian serta dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).
RENTAS NEGERI DAN DAERAH TIDAK DIBENARKAN/GAMBAR HIASAN
Bantuan pasca banjir melalui penghantaran bantuan bencana kemanusiaan dari luar negeri Pahang perlu mendapat kelulusan menerusi sistem ebanjir.gov.my dan kebenaran rentas negeri daripada PDRM.
Bantuan dibenarkan untuk penghantaran di drop point penghantaran barangan di Bentong, Rompin dan Kuantan , pengagihan akan dilaksanakan oleh Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Negeri dan Daerah.
Pergerakan rentas daerah bagi badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan negeri Pahang bagi kerja-kerja gotong-royong pasca banjir adalah DIBENARKAN untuk daerah yang memerlukan sahaja tetapi bilangan sukarelawan dibenarkan seramai 10 hingga 15 orang sahaja bagi satu NGO atau agensi.
Semua aktiviti kemanusiaan perlu membuat permohonan dibuat melalui ebanjir.gov.my dan kebenaran rentas daerah daripada PDRM.
Selain itu, aktiviti memancing rekreasi TIDAK DIBENARKAN sepertimana ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PANDU PUTERI BERJAYA KUMPUL SATU LORI PLASTIK TERBUANG
JERANTUT : Sebanyak satu lori plastik pelbagai jenis berjaya dikutip oleh seramai 63 orang ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Daerah Jerantut yang terdiri daripada Ahli Pandu Puteri Tunas, Remaja dan Renjer dari pelbagai sekolah di Jerantut.
Usaha mengutip plastik di sekitar tapak pekan sehari Jerantut dan sekitar taman permainan, sekali gus dapat memastikan plastik tidak mencemari bandar pelancongan itu dan mendidik masyarakat menjaga kebersihan alam sekitar.
Pengerusi Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Jerantut, Khairun Nissa Aris berkata usaha persatuan itu adalah untuk memberi kebaikan kepada semua pihak, terutama peserta dan masyarakat sekeliling untuk mengurangkan penggunaan plastik di dalam kehidupan seharian.
GAMBAR IHSAN PANDU PUTERI JERANTUT
“Ia adalah satu amalan yang amat baik kerana plastik merupakan bahan yang mengambil masa yang paling lama untuk diuraikan.
“Pada masa ini, plastik bagai tidak boleh dipisahkan kerana ramai bergantung kepada penggunaan barangan plastik dalam kehidupan harian,” katanya.
Beliau berkata, boleh dikatakan setiap rumah pasti mempunyai barangan plastik kerana kelebihannya tahan lama, kalis air, cantik dan murah menyebabkan ia sentiasa menjadi pilihan masyarakat selain membantu memudahkan banyak urusan harian mereka.
“Dalam masa yang sama, tidak kurang juga ramai menganggap lambakan penggunaan bahan plastik sebagai isu remeh sehinggakan mereka membuang sampah merata-rata dan bukan di tempat sepatutnya.
“Namun di sebalik itu, ramai tidak menyedari plastik adalah musuh senyap kepada manusia dan boleh membunuh,” katanya.
Khairun Nissa berkata usaha PPPM ini juga selaras dengan Program Alam Sekitar Bangsa-bangsa Bersatu (United Nation Environment Program – UNEP) untuk ahli pandu puteri mendapatkan lencana baharu, peringkat kebangsaan iaitu Tide Turners Plastic Challenge Badge (TTPCB), suatu gerakan baharu untuk bertindak dalam pertempuran menentang pencemaran plastik.
Katanya, TTPCB ini adalah gerakan remaja global untuk memerangi pencemaran plastik di seluruh dunia, untuk memberikan inspirasi kepada orang muda dan remaja memimpin perubahan di kediaman, sekolah dan masyarakat setempat.
GAMBAR IHSAN PANDU PUTERI JERANTUT
“Lencana ini bukan sahaja mendorong orang muda dan remaja untuk mengambil tindakan mengurangkan sampah plastik dalam kehidupan mereka sendiri, tetapi juga membantu mereka menjadi pemimpin dalam komuniti setempat.
“Dalam masa yang sama, usaha ini adalah untuk memastikan seramai mungkin orang menyertai perjuangan global untuk mengatasi bencana plastik yang merosakkan lautan dan memberikan peluang kepada mereka untuk mengambil tindakan terhadap masalah itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!