PERANTI DISUMBANGKAN PEKAP, KELAB MOTOSIKAL DAN ORANG PERSEORANGAN
JERANTUT: Enam murid miskin Sekolah Kebangsaan Gusai menerima telefon bimbit bagi kemudahkan belajar dari rumah secara atas tadi, pagi ini.
Yang Di Pertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), Ahmad Abu Bakar berkata, setiap murid menerima telefon bimbit termasuk kad SIM yang mempunyai data internet salama 30 hari termasuk papan kekunci bernilai RM400.
ANTARA PERANTI DISUMBANGKAN KEPADA MURID SEKOLAH KEBANGSAAN GUSAI
“Saya berterima kasih kepada pihak sekolah, guru dan guru besar sekolah ini kerana berusaha menjalankan pengajaran secara atas talian.
“Terima kasih juga atas keprihatinan Persatuan Anak Pahang di Perantauan (PEKAP), Reappear Motorcycle Club dan orang perseorangan yang menghulurkan sumbangan sebagai tanda simpati dan kesedaran pendidikan sangat penting bagi murid di kawasan hulu,” katanya.
Katanya, terdapat murid di sekolah itu tidak mempunyai peranti yang membolehkan mereka belajar, malah ada yang terpaksa berkongsi sebuah telefon bimbit dengan adik-beradik lain untuk belajar selain kegunaan harian.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyaksikan penasihat undang-undang baharu, Julia Ibrahim mengangkat sumpah sebelum bermula Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Pahang Bil 4/2021 , pagi ini.
Julia mengantikan Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim yang bertukar tugas sebagai Pengarah Cawangan Jabatan Peguam Negara, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
WAN ROSDY MEMPENGERUSIKAN MESYUARAT EXCO SECARA MAYA PAGI TADI/GAMBAR IHSAN PEJABAT MENTERI BESAR PAHANG
“Selamat datang saya ucapkan kepada Puan Julia, semoga dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan amanah,” katanya.
Selepas majlis ringkas angkat sumpah, MB Pahang terus menjalankan mesyuarat secara sidang video.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Empat pegawai kanan FELDA Wilayah Jengka dinaikkan pangkat berkuatkuasa bulan ini.
Walaupun ia adalah berita gembira, namun kenaikan pangkat itu juga menyaksikan mereka ditukarkan dan bertugas di tempat baru.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan menyifatkan proses pertukaran kakitangan FELDA adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
“Ini adalah berita gembira tapi sedih untuk semua warga peneroka FELDA Wilayah Jengka kerana hubungan rapat dibina antara kami dan keempat mereka sejak sekian lama.
PENGERUSI JAWATANKUASA BIRO SOSIAL FELDA WILAYAH JENGKA, RAZAK DAUD
“Walaupun sedih, kami terima berita ini dengan penuh keredhaan dan semoga mereka semua dapat meneruskan khidmat cemerlang di tempat baru kelak,” katanya.
Mereka yang dipindahkan dan dinaikkan pangkat ialah Pengurus Besar FELDA Wilayah Jengka, Afzal Hanis Abd Kadir; Penolong Pengurus Besar, Azlan Zunaidak; Ketua Unit Komuniti, Sessasom Abdullah dan Akauntan FELDA Wilayah Jengka, Noorain Abd Manap.
GAMBAR IHSAN FACEBOOK FELDA WILAYAH JENGKA
Razak berkata, pihaknya agak terkilan kerana tidak dapat mengadakan jamuan perpisahan untuk empat individu yang sangat berjasa kepada warga peneroka FELDA Wilayah Jengka berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disambung hingga 18 Februari ini.
Katanya, seluruh warga peneroka merakamkan setinggi ucapan terima kasih dan tahniah kepada mereka semua dan berharap hubungan baik terjalin selama ini dapat dikekalkan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Kebimbangan orang awam terhadap tahap keselamatan pembinaan tapak fasiliti pelupusan kekal (PDF) LYNAS Advanced Material Plant (LAMP) di Bukit Ketam, dekat sempadan Pahang-Terengganu, boleh mula disuarakan melalui laman sosial Facebook Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, bermula semalam.
Difahamkan pihak JAS Pahang sudah mengeluarkan laporan impak alam sekitar (EIA) berkaitan cadangan pembinaan PDF di kawasan terbabit hujung bulan lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung berkata, laporan EIA itu boleh diakses oleh orang awam untuk diteliti sebelum mengemukakan sebarang persoalan atau bantahan berhubung cadangan pembinaan PDF di kawasan berkenaan.
TAPAK CADANGAN PDF LYNAS DI BUKIT KETAM/GAMBAR IHSAN FACEBOOK ADUN SEMAMBU
“Ini adalah peluang terbaik kira-kira 700,000 penduduk daerah Kuantan untuk menyuarakan pandangan mereka terhadap cadangan untuk membina PDF di Bukit Ketam dan tempoh diberikan kepada orang ramai untuk menyalurkan bantahan adalah sehingga hujung bulan ini sahaja.
“Seperti semua pihak sedia maklum, lokasi dicadangkan adalah sangat berisiko memandangkan berada terlalu hampir dengan Sungai Ara dan Sungai Riau yang juga antara sumber air untuk diproses bagi kegunaan penduduk daerah Kuantan.
“Kita risau jika projek ini diteruskan dan PDF itu berdepan masalah teknikal, sudah tentu yang menerima padah adalah masyarakat di Kuantan dan kawasan sekitar,” katanya.
Chean Chung sebelum ini pernah mengemukakan soalan berkaitan status pembinaan PDF itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan penjelasan daripada JAS Pahang menunjukkan lokasi dicadangkan untuk pembinaan PDF adalah berisiko terhadap kesihatan awam dan berpotensi mencetuskan isu pencemaran.
Kerajaan Pahang sebelum ini memaklumkan kerajaan negeri hanya terbabit dalam urusan penyediaan lokasi PDF dan pemilihan lokasi itu diputuskan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA).
“Kita risau jika projek ini diteruskan dan PDF itu berdepan masalah teknikal, sudah tentu yang menerima padah adalah masyarakat di Kuantan dan kawasan sekitar,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung
Sementara itu, Penyelaras PKR Parlimen Indera Mahkota, Zuraidi Ismail berkata, lokasi cadangan pembinaan PDF itu adalah sangat tidak sesuai kerana berhampiran dengan kawasan penempatan penduduk.
“Terdapat kawasan perkampungan yang terletak kira-kira 10 kilometer dari tempat PDF itu dicadangkan untuk dibina dan jika berlaku masalah di PDF berkenaan, saya yakin ia akan memberi kesan secara langsung kepada penduduk paling hampir dengan tapak pelupusan itu, ” katanya.
Beliau berharap satu sesi dialog membabitkan wakil LAMP dan penduduk serta pemimpin setempat boleh diadakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
Katanya, tempoh diberikan bagi penduduk dan orang ramai mengemukakan cadangan dan bantahan juga terlalu singkat, memandangkan orang ramai perlu meneliti terlebih dahulu laporan EIA sebelum memberikan pandangan masing-masing.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA: Dianggarkan ada kira-kira 30,000 ketua isi rumah di ibu negara, berada di bawah garis kemiskinan yang memerlukan bantuan sewajarnya.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata jumlah itu dikenal pasti berada dalam 178 lokaliti sekitar Kuala Lumpur terutama membabitkan penghuni projek perumahan rakyat (PPR).
“Di bandar (Kuala Lumpur), golongan ini tidak dapat memenuhi keperluan yang asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.
“Maka, pendapatan sekitar bawah RM2,200, kita anggap keluarga itu perlu mendapatkan bantuan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan senarai 335 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 di Sri Pentas, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.
Annuar bagaimanapun menjelaskan, pihaknya tidak dapat memberikan jumlah yang tepat ketua isi rumah tergolong di bawah garis kemiskinan kerana perbezaan angka antara agensi berkaitan.
“Ada pelbagai agensi yang melihat perkara ini seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
“Kita akan cuba selaras sebab ada lain-lain jumlah, contohnya JAWI mempunyai 23,000 sasaran ketua keluarga, kita pun ada rekod lebih kurang sama manakala JKM mempunyai jumlah kira-kira 13,000.
“Bagaimanapun, anggaran kita antaranya berdasarkan jumlah ketua isi rumah membabitkan 63,000 unit PPR di sekitar ibu negara yang mana separuhnya daripadanya tergolong di bawah garis kemiskinan,” katanya.
Mengulas mengenai program MyBeras@Wilayah yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi, Annuar berkata, ia adalah sub program kepada MyFood untuk golongan miskin bandar atau mereka yang hilang mata pencarian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita menyasar untuk mengagihkan lebih 5,000 kampit beras seminggu dengan sasaran antara 20,000 ke 30,000 kampit sebulan.
“Mereka yang ingin menyumbang kepada program ini, boleh berbuat demikian dengan memberi sumbangan menerusi portal MyInfaq.
“Malah saya sendiri akan menghubungi rakan-rakan swasta untuk bersama menjayakan program ini. Orang ramai juga boleh menyumbang sekurang-kurangnya RM10 menerusi portal terbabit,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, agihan beras dilakukan secara sistematik kepada golongan sasar di setiap zon supaya tiada insiden pelanggaran prosedur operasi tetap (SOP) PKP.
Muhyiddin dalam perutusan khas sempena Hari Wilayah malam tadi berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan mengagihkan beras kepada golongan memerlukan bermula semalam menerusi Program MyBeras@Wilayah.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JENAZAH KANAK-KANAK MANGSA DERA DIKEBUMIKAN DI MELAKA
JASIN: Jenazah kanak-kanak dipercayai mangsa dera ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya, di sini, sudah dituntut dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka, pagi ini.
Jenazah mangsa sedang dalam perjalanan dibawa pulang ke kediaman keluarga neneknya di Kampung Simpang Bekoh, di sini, untuk disembahyang dan dikebumikan.
Tinjauan di kediaman keluarga ibu kandungnya di Taman Kasturi, Simpang Bekoh, bagaimanapun mendapati rumah itu tiada kelihatan kelibat orang ramai atau saudara-mara, sebaliknya hanya kedengaran alunan ayat suci al-Quran.
Sementara itu, sumber keluarga angkat kanak-kanak berkenaan memaklumkan, keluarga ibu kandungnya bertegas untuk mengebumikan jenazah mangsa di kampung ibunya.
Beliau berkata, keputusan itu dicapai antara kedua-dua keluarga, lewat malam tadi.
“Kita akur jika pihak keluarga kandung kekal dengan keputusan itu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Hidayah, Chabau, di sini, Rosli Ibrahim, memaklumkan sebuah van jenazah dari masjid berkenaan akan membantu membawa jenazah kanak-kanak itu untuk dikebumikan.
“Kerja menggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar yang terletak kira-kira 100 meter dari kediaman keluarganya juga sudah dilakukan, semalam, selepas diminta oleh pihak keluarga terbabit,” katanya.
Jenazah dijangka dibawa ke Surau As-Syakirin, Simpang Bekoh, untuk disembahyangkan dan dikebumikan sebelum zuhur, lapor BH ONLINE.
Sebelum ini, proses bedah siasat mayat kanak-kanak itu bermula kira-kira jam 11 pagi semalam sebelum selesai jam 10 malam tadi, lapor BH ONLINE.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, mengesahkan ada pelbagai kecederaan, termasuk luka baharu dikesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH: Sebanyak 75 kontak rapat wabak Covid-19 yang dikuarantin di rumah masing-masing di sini menerima sumbangan makanan keperluan asas daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daripada Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, KRT yang membantu antaranya ialah dari Hulu Langat, Ampang, Pandan dan Kajang.
Beliau berkata, bantuan tersebut akan diserahkan kepada APM untuk diagihkan kepada mereka yang dikuarantin.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu.
“Ini menunjukkan keprihatinan seluruh rakyat Malaysia kepada masyarakat di negeri Pahang yang berada dalam kesusahan kerana Pahang baru sahaja dilanda bah besar dan pada masa sama ada masyarakat yang terkesan akibat wabak covid-19 ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin
“Mereka perlu dikuarantin di rumah selama 10 hari dan kami bimbang jika ada yang kekurangan bekalan makanan di rumah.
“Justeru kami mengambil inisiatif untuk memberikan bantuan makanan asas kepada mereka,” katanya kepada pemberita pada Program Sukarelawan MTSP Pahang di sini, hari ini.
Katanya, KRT daripada Selangor itu turut memberikan sumbangan banjir kepada penduduk terjejas banjir di daerah ini.
Beliau menambah, bantuan tersebut juga menunjukkan tanggungjawab masyarakat kepada masyarakat lain ketika menghadapi musibah.
“Bagaimanapun ketika membantu, setiap masyarakat perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan agar penularan wabak covid-19 dapat diputuskan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
STESEN Keretapi Tanah Melayu (KTM) Jerantut yang terletak di tengah bandar Jerantut lengang dan sunyi tidak sebelum ini, ia merupakan nadi penghubung antara bandar dari selatan bermula dari Johor Bharu dan Tumpat, di Kelantan.
Bandar Jerantut yang terletak mengikut jalan darat melalui Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) yang jaraknya kira-kira 200 kilometer (km) dari Kuala Lumpur dan 180 km dari Kuantan mengikut susur keluar ke Plaza Tol Temerloh.
LANDASAN MENGHALA KE TUMPAT, KELANTAN
Sejarah stesen ini berdasarkan dengan pembinaan landasan, laluan Pantai Timur bermula pada tahun 1907 daripada Gemas sehingga Bahau pada April 1910 dan seterusnya ke Kuala Tembeling pada tahun 1913.
Kemudian, laluan ini dipanjangkan ke bahagian utara sehingga Kuala Lipis yang merupakan pusat pentadbiran Pahang ketika itu pada tahun 1917, di Kelantan pembinaan laluan Pantai Timur bermula pada tahun 1906.
Pada tahun 1914, landasan kereta api antara Tumpat dengan Pasir Mas turut dibuka kepada awam. Laluan antara Kuala Lipis dan Tumpat dibuka secara berperingkat dan siap sepenuhnya apabila landasan kereta api Gua Musang-Kuala Gris siap pada tahun 1931.
TREK LANDASAN MENGHALA KE JOHOR BAHRU
Laluan kereta api ke pantai timur turut dikenali Laluan Hutan atau dengan nama Malaysia’s Jungle Railway, laluan di Pantai Timur ini bermula dari Stesen KTM Gemas, Negeri Sembilan dan berakhir di Stesen KTM Tumpat, Kelantan.
Stesen Gemas adalah tempat pertemuan laluan pantai barat dan laluan pantai timur.
Kedudukan stesen Jerantut yang dekat dengan bandar memudahkan penumpang yang tiba, khususnya pelancong luar untuk mendapatkan perkhidmatan penginapan di bandar dan pengangkutan untuk ke Taman Negara, Kuala Tahan.
Seorang penduduk Jerantut, Nasruddin Ramli (67), kereta api sangat diperlukan oleh penduduk Kampung Kuala Tembeling, Kampung Mela, Kerambit dan beberapa kampung lain ke bandar Jerantut untuk berurusan dengan pejabat kerajaan, membeli belah atau berniaga sebelum ada perkhidmatan pengangkutan lain.
“Ketika itu stesen ini sangat meriah dengan orang ramai yang datang membawa barangan jualan yang ada di pekan sehari yang ada setiap hari Sabtu malah menjadi pengangkutan jarak dekat untuk murid sekolah kerana banyak perjalanan jarak dekat khususnya antara Kuala Lipis ke Mentakab.
SEBAHAGIAN BANGUNAN LAMA STESEN KTM JERANTUT
“Kalau hujung minggu atau cuti perayaan, kereta api penuh, termasuk haiwan ternakan seperti ayam dan kambing turut berada di atas gerabak selain barang jualan,” katanya.
Katanya, beliau pernah bersekolah di Kuala Lipis pada 1970 dan 1971, kereta api menjadi pengangkutan utama dan pernah duduk di gerabak barang kerana penuh.
Seorang pendidik Anis Huda Amir (32) yang pernah menggunakan perkhidmatan kereta api mulai usia 13 tahun sehingga 17 tahun kerana bersekolah di Sekolah Tun Fatimah Johor Bharu selama 5 tahun mengganggap kereta api sangat diperlukan.
“Kemudian saya melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kota Bharu, selama lima tahun, kereta api menjadi pengangkutan untuk balik ke Jerantut termasuk rakan-rakan lain yang balik ke arah selatan.
“Lucu, pernah tertidur dan terlajak ke stesen Mentakab dari arah Lipis, mujur ada kereta api dari arah selatan menghala ke Tumpat berhenti seketika di stesen Mentakab dan terus tukar gerabak menghala semula ke Jerantut,” katanya.
PLATFORM KEDUA TERPANJANG DI MALAYSIA
Katanya, paling tidak suka kalau kereta api lewat dan menangguhkan perjalanan kadang kala sehingga 3 jam, walau begitu kenangan dialami boleh dijadikan cerita kepada anak dan cucu serta berasa dirinya tua dalam kereta api.
Kini, stesen itu lengang, hanya ada perkhidmatan keretapi Ekspres Rakyat Timuran yang tiba dari Johor Bharu di Stesen Jerantut pada jam 4.28 pagi dan Ekspres Rakyat Timuran dari Tumpat tiba di stesen ini pada jam 3.03 pagi.
PLATFORM SEPANJANG 410 METER YANG SANGAT MENGGAMIT NOSTALGIA MEREKA YANG MEMBESAR BERSAMA PENGANGKUTAN MODEN PALING UNIK DAN PALING AWAL DIPERKENALKAN DI MALAYSIA
Menariknya, stesen kereta api Jerantut mempunyai platform sepanjang 410 meter dan kedua terpanjang di Malaysia selepas Stesen Tapah di Perak.
Dikatakan stesen KTM Jerantut dibuka pada tahun 1946.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH: Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman menafikan khabar angin kononnya bandar Temerloh dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.
Beliau berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan khabar angin itu sangat dikesali dan menimbulkan situasi kelam-kabut dalam kalangan penduduk.
“Saya sangat kesal dengan tindakan pihak tertentu yang menyebarkan berita atau khabar angin berkaitan arahan PKPD di daerah ini.. perkara ini adalah tidak benar sama sekali dan daerah Temerloh masih kekal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti daerah lain di Pahang.
KETUA POLIS DAERAH TEMERLOH, ASISTEN KOMISIONER MOHD YUSRI OTHMAN
“Mungkin penyebaran khabar angin ini disebabkan orang ramai menyaksikan pertambahan jumlah pegawai dan anggota polis serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengawal laluan keluar-masuk di sekitar Temerloh, terutamanya di kawasan Taman Temerloh Jaya.
“Sebenarnya pertambahan sekatan itu adalah bagi mengawal pergerakan keluar-masuk dan menghalang orang luar dari kawasan Taman Temerloh Jaya daripada memasuki kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, petang tadi.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Khabar angin kononnya Taman Temerloh Jaya dikenakan PKPD mula tersebar awal pagi tadi, apabila segelintir penduduk berkongsi gambar sekatan jalan raya dan lorong di kawasan taman perumahan itu melalui aplikasi WhatsApp.
Mohd Yusri menasihatkan orang ramai, terutama penduduk sekitar taman berkenaan mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih daripada pihak berkuasa serta tidak membuat andaian sendiri.
“Kalau boleh dapatkan maklumat tepat dan jangan berkongsi atau menyebarkan apa saja maklumat yang belum sahih bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Beliau turut memaklumkan semua halangan dipasang di sekitar taman perumahan itu akan dikekalkan sehingga 8 Februari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR : Seorang lelaki cedera dipukul dipercayai akibat memarahi seorang remaja yang sering mengganggu anaknya di sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di sini, semalam.
Terdahulu, anak lelaki mangsa berusia 15 tahun menghubungi ibunya yang juga isteri mangsa memberitahu diganggu menyebabkan mangsa turun untuk menyelesaikan masalah itu.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa berusia 42 tahun didatangi kira-kira 30 lelaki dan berlaku pertengkaran, lapor K! Online
“Suspek kemudian menumbuk muka, memukul mangsa menggunakan besi pengunci stereng dan mengacukan pisau.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai
“Ketua blok yang dimaklumkan kejadian ke lokasi dan kesemua suspek beredar.
Mangsa cedera di rusuk kiri, luka di kepala dan belakang badan akibat terkena pisau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beh berkata, polis yang menerima laporan menjalankan siasatan dan mendapati mangsa ke lokasi kejadian untuk mencari anaknya yang ditahan enam lelaki sebelum berlaku pergaduhan itu.
“Punca kejadian dipercayai disebabkan mangsa menahan seorang remaja berusia 15 tahun dan memarahinya kerana sering mengganggu anaknya,” katanya.
Katanya, berikutan kejadian itu polis menahan dua lelaki berusia 14 dan 27 tahun bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, seorang suspek direman empat hari manakala suspek remaja dibebaskan dengan jamin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!