PETALING JAYA – Rakaman video tular yang memaparkan kelibat seorang nenek melintas jalan di Jambatan Binjai Manis Ketereh, Kelantan pada jam 3 pagi baru-baru ini akhirnya terjawab apabila individu tersebut disahkan manusia biasa.
Perkara itu didedahkan pengendali laman Facebook Hello Kelantan yang memuat naik gambar warga emas tersebut hari ini namun maklumat seperti nama, umur dan mengapa dia berjalan bersendirian tidak diketahui.
“Ini mak cik yang dipercayai ditemui pada pada jam 3 pagi di kawasan Jambatan Binjai Manis Ketereh yang tular di media sosial baru-baru ini sehingga menimbulkan pelbagai persepsi.
“Bahaya berjalan seorang diri malam-malam. Semoga Allah panjangkan usia dan permudahkan urusan mak cik,” tulis kapsyen hantaran tersebut.
Video dengan muzik latar yang agak menyeramkan itu sebelum ini menarik perhatian netizen yang kebanyakan mereka menyifatkan warga emas berkenaan sebagai jelmaan makhluk halus.
“Mungkin mak cik ini ada penyakit nyanyuk atau sebagainya. Tolonglah pantau kasihan dia,” kata seorang pengguna media sosial bernama Nur Nunu.
“Bahaya mak cik awal-awal pagi lintas jalan dalam gelap. Kereta laju-laju semua bimbang jika jumpa penyamun, haiwan buas. Kami doa mak cik sihat dan kalau hendak keluar bawa lampu suluh,” tulis netizen bernama Ayzoll AZ.
“Biasanya kalau jumpa jam 2 pagi hingga 5 pagi itu mungkin orang kampung hendak pergi menoreh getah. Orang dulu-dulu memang hati kental,” ulas seorang lagi netizen. – K! ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN : Kerajaan Negeri Pahang bersetuju mewartakan Taman Negeri Tasik Chini seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini bagi memastikan kawasan hutan itu dipelihara dan diuruskan dengan baik selari dengan Dasar Perhutanan Negara.
Bagi memastikan kelestarian alam sekitar Tasik Chini, Kerajaan Negeri Pahang juga bersetuju agar ‘tiada kelulusan baru’ untuk melombong di kawasan terbabit.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, tidak dinafikan masih terdapat kegiatan perlombongan di situ namun ia bukan baharu seperti ditularkan dan kawasan lombong sedia ada tidak termasuk dalam Hutan Simpanan Kekal.
Pemandangan indah di Tasik Chini, tasik terbesar semulajadi di Malaysia.-Gambar Media Sosial.
“Operasi perlombongan di situ dikenakan syarat-syarat tambahan yang ketat bagi memastikan tiada pencemaran daripada aktiviti tersebut. Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) juga perlu disediakan oleh pihak berkenaan.
“Kebenaran itu tentunya bukan mudah dan perlu melalui pelbagai proses melibatkan tindakan pihak berkuasa negeri dan agensi kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), “katanya melalui Facebooknya, semalam.
Katanya, kuasa kerajaan negeri dalam perkara itu berdasarkan Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 manakala kuasa kerajaan Persekutuan mengikut Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525) menerusi skop kebenaran pengoperasian sesuatu aktiviti perlombongan.
Gambar dari udara, Tasik Chini dipercayai dijarah,-Foto Media Sosial
“Ia bermaksud, kegiatan melombong di sesuatu kawasan tidak akan mendapat kelulusan jika tidak melibatkan kerajaan negeri dan Persekutuan. Pelbagai aspek diambil kira terutamanya alam sekitar supaya tiada pencemaran daripada kegiatan itu.
“Kerajaan negeri komited melaksanakan aspek pemulihan dan pemuliharaan Tasik Chini yang diisytiharkan sebagai tapak rezab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2009,” katanya.
Shakar berkata, pada 2019, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan Projek Tanam Semula berjumlah RM250,000 bagi menanam semula pokok tutup bumi di bekas lombong. Ini bermakna, kawasan lombong tersebut akan dipulihkan selepas operasinya tamat.
Pada 9 Jun 2021, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengesahkan bahawa kualiti air Tasik Chini sehingga kini dikategorikan bersih berdasarkan pemantauan yang dilakukan jabatan berkenaan.
“Dapatan ini berdasarkan pemantauan bermula tahun 2005 lagi, sejak Tasik Chini dianugerahkan status Rizab Biosfera oleh UNESCO pada Mei 2009 di bawah program Manusia dan Biosfera yang dikoordinasi oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).
Dipercayai aktiviti perlombongan dijalankan.- Gambar Media Sosial.
“Terdapat 15 stesen pemantauan kualiti air Tasik Chini di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan, dengan kekerapan pemantauan sekali sebulan di setiap stesen,” katanya.
Parameter-parameter utama yang diukur ialah Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Pepejal Terampai (SS), Nitrogen Amonia (AN) dan Besi (Fe). Walaubagaimanapun terdapat juga sememangnya mempunyai bacaan parameter-parameter yang lain.
Katanya, secara umumnya didapati bahawa, data kualiti air bagi tahun 2020 dan 2021 (sehingga Mac) menunjukkan kualiti air Tasik Chini dalam kategori bersih.
“Usaha pemulihan dan pemuliharaan Tasik Chini telahpun dimulakan dan tentunya proses itu akan mengambil masa agak panjang dalam usaha memastikan Tasik Chini kembali pulih.
“Dalam tempoh itu, agensi-agensi berkaitan seperti Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, dan Jabatan Perhutanan akan terus membuat pemantauan bagi memastikan tiada pencemaran daripada aktiviti perlombongan di Tasik Chini,” katanya.
Katanya, untuk jangka masa pandangan, kerajaan juga sedang menyiapkan Enakmen Biodiversiti Negeri Pahang bagi dibentangkan di dalam Mesyuarat Dewan Undangan Negeri, agar dijadikan undang-undang, supaya mempastikan kerajaan negeri mempunyai punca kuasa untuk kita menjaga fauna dan flora untuk warisan akan datang.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TIGA TAMAN DIKENAKAN PKPD DI TEMERLOH, 350 JALANI UJIAN.
TEMERLOH: Kira-kira 350 penduduk di Taman Temerloh Jaya, Temerloh Jaya Indah dan Temerloh Jaya Makmur mula menjalani ujian saringan Covid-19 setelah kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula semalam.
Setiausaha, Masjid Taman Temerloh Jaya, Zulkanain Hashim berkata, jawatankuasa masjid berkenaan hari ini turut sama turun padang membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menyediakan tempat dan kemudahan yang diperlukan bagi memudahkan proses saringan terbabit.
Antara daripada 350 orang menjalani saringan oleh petugas KKM, hari ini, di Temerloh
Katanya, proses saringan disasarkan kepada golongan bergejala, kontak rapat, berisiko dan komorbid diberi keutamaan, proses saringan dilakukan selama 3 hari bermula hari ini dan bersambung pada 15 dan 17 Jun ini.
“Hari ni proses saringan yang telah dilakukan oleh KKM di Masjid Taman Temerloh Jaya, pihak KKM mohon bantuan daripada pihak masjid untuk menyediakan lokasi saringan, kita memberi bantuan kemudahan yang diperlukan untuk dilaksanakan saringan kepada penduduk taman ini.
“Kira-kira 350 individu disasar pagi setiap sesi ujian saringan yang dijalankan dan mereka yang disaring adalah melibatkan 10 peratus daripada 13 ribu penduduk secara keseluruhannya di ketiga-tiga kawasan taman perumahan itu, “katanya.
Ujian saringan dijalankan kepada penduduk di Taman Temerloh Jaya, Temerloh Jaya Indah dan Temerloh Jaya Makmur, mulai hari ini
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan penduduk terlibat untuk terus mematuhi arahan pihak berkuasa dan prosedur operasi standard (SOP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang ditetapkan, selain tidak keluar daripada kawasan kediaman masing-masing kecuali jika perlu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pelaksanaan PKPD selama 14 hari bermula semalam, melibatkan Taman Temerloh Jaya, Temerloh Jaya Indah dan Temerloh Jaya Makmur pada 10 Jun lalu.
Ini ekoran berlaku peningkatan jangkitan kes Covid-19 di kawasan terbabit. PKPD dimulai pada Sabtu hingga 25 Jun ini di taman tersebut.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Sebuah stesen bersepadu bakal dibina di daerah Temerloh apabila Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) siap sepenuhnya.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, perancangan itu dibuat memandangkan Temerloh adalah lokasi pertemuan antara Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan juga ECRL.
Menurutnya, kerajaan negeri merancang pembangunan di sekeling stesen bersepadu boleh dimanfaatkan rakyat sama ada yang memilih menggunakan perkhidmatan KTM atau ECRL.
“Malahan, secara tidak langsung akan mewujudkan bandar-bandar baharu yang lebih tersusun dan ini pasti dapat melonjakkan lagi sektor pelancongan di sini sekali gus menjadi penggerak baru ekonomi di Temerloh.
“Pembangunan pesat dari sudut sosio-ekonomi, infrastruktur, pelancongan dan peluang pekerjaan dapat diwujudkan susulan daripada pembukaan satu stesen bersepadu itu,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin
Mohd Shahkar berkata, diharap setiap rakyat di Pahang dapat menerima kesan daripada limpahan ekonomi yang wujud di kawasan berkenaan.
“Semua ini adalah perancangan pembangunan masa depan Temerloh yang akan menjadi sebuah daerah berkembang maju,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan ECRL dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara berkembang lebih rancak menerusi keupayaan mengangkut lebih banyak kargo dari Pelabuhan Kuantan di Kuantan, Pahang menuju ke Pelabuhan Klang di Selangor.
“Laluan ECRL dari Kuala Lumpur menuju Kelantan menerusi Pahang dan Terengganu bakal membuka lembaran baharu dari segi kemajuan pengangkutan awam sekali gus ‘new horizon’ kepada Malaysia.
“Kawasan penempatan awam yang menjadi stesen perhentian ECRL juga akan menikmati impak positif sekali gus mempengaruhi pembangunan ekonomi sekitar termasuk di daerah Temerloh.
“Tentunya daerah Temerloh juga bakal berubah wajah kerana kawasan ini turut terlibat dengan pelaksanaan projek berimpak tinggi berkenaan,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SIDANG DUN PAHANG DIJADUALKAN BULAN OGOS MUNGKIN TANGGUH
KUANTAN: Sidang dewan undangan negeri (DUN) Pahang yang dijadualkan bermula pertengahan bulan Ogos ini, dijangka akan ditangguhkan ke tarikh lain yang akan ditentukan kemudian.
Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhammad berkata, persidangan yang dijadualkan berlangsung selama lima hari itu, sebelum ini diumumkan pada hari terakhir sidang DUN tahun lalu.
“Perubahan tarikh akan dibuat bergantung pada perkembangan semasa wabak Covid-19 dan status Proklamasi Darurat ketika ini.
“Memandangkan kerajaan Persekutuan sudah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 Jun, jadi buat masa ini kita perlu menunggu keputusan muktamad selepas penilaian risiko dilakukan pihak berkaitan.
“Kalau diikutkan jadual asal, persidangan akan diadakan antara 16 hingga 20 Ogos depan, jadi banyak aspek perlu diambil kira memandangkan setiap kali persidangan diadakan, kita perlu merancang banyak perkara seperti upacara pembukaan persidangan DUN, tarikh persidangan dan pembentangan belanjawan, ” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ishak berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat bertarikh 25 Mei yang dihantar kepada semua ahli dewan undangan negeri (ADUN) untuk mengemukakan usul yang akan dibentangkan semasa persidangan ke sekretariat sebelum hujung bulan ini.
Surat itu turut menyatakan bahawa tarikh persidangan ditetapkan antara 16 dan 20 Ogos, bergantung kepada Proklamasi Darurat yang sepatutnya berakhir pada 1 Ogos ini.
“Tindakan menghantar surat kepada ADUN adalah prosedur biasa bagi memastikan sekretariat bersedia jika persidangan dapat diteruskan pada tarikh yang sudah ditetapkan.
“Cuma, buat masa ini tarikhnya belum dimuktamadkan lagi, jadi kita kena tunggu pengesahan daripada pihak berkaitan terlebih dahulu,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KERAJAAN NEGERI MELALUI PPTC KOMITED MENGEKALKAN KELESTARIAN TASIK CHINI
KUANTAN: Kerajaan Pahang komited dalam usaha memulihara, memelihara dan mengekalkan kelestarian alam Tasik Chini, Pekan dengan memperuntukkan tanah seluas 8.1 hektar di kawasan berkenaan untuk dijadikan makmal alami (living laboratory) bagi menjalankan penyelidikan dan proses pembelajaran.
Perkara tersebut disahkan Ketua Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Berdasarkan kenyataan tersebut, menurutnya kerajaan negeri berkolobrasi bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menubuhkan PPTC bagi keperluan pelaksanaan dasar di bawah Rancangan Struktur Negeri Pahang (2050) dan Rancangan Khas Kawasan Tasik Chini (2018) ke arah pembangunan mampan dan pemuliharaan tasik itu sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).
“Dengan adanya PPTC di bawah naungan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM ini pelbagai penyelidikan dapat dijalankan termasuk pengajaran, kerja lapangan, kesedaran alam sekitar dan penyebaran maklumat pengurusan tasik secara bersepadu.
“Selain itu, penyelidikan translasi juga dilaksanakan dengan menyumbang semula hasil dapatan penyelidikan dalam bentuk program kesedaran, modul pembelajaran dan latihan kepada masyarakat tempatan.
“Usaha tersebut bertujuan membantu membangunkan status sosioekonomi dan taraf pendidikan khususnya masyarakat Orang Asli yang mendiami sekitar Tasik Chini seperti di Kampung Gumum, Kampung Melai, Kampung Cendahan dan Kampung Tanjung Puput,” katanya.
Sehubungan itu, katanya lagi usaha kerajaan negeri berjaya mengekalkan kelestarian alam sekitar dan kebudayaan di sebahagian besar kawasan Tasik Chini, sekali gus akan diteruskan bagi memastikan keseluruhan kawasan Tasik Chini terus dipulihara dan terpelihara alam sekitarnya.
“Pembinaan stesen ‘real-time monitoring’ ke atas kualiti air di sungai-sungai pembekal di Tasik Chini juga membantu dalam aspek pemantauan kualiti air dengan lebih berkesan.
“Beberapa projek pemuliharaan yang dijalankan bersama-sama agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Pahang serta Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM).
“Antara yang pemuliharaan yang dilaksanakan termasuklah aktiviti penanaman semula hutan, pembinaan nurseri ikan serta pelepasan ikan bagi penambahan sumber perikanan air tawar, pemulihan tebing Sungai Chini, pemuliharaan teratai serta latihan dan kesedaran alam sekitar kepada komuniti tempatan,” katanya.
Sementara itu, UKM melalui PPTC telah memberi komitmen tinggi kepada kerajaan negeri bukan sahaja penyediaan kepakaran dan kewangan termasuk usaha pemuliharaan melalui penyediaan Pelan Perlaksanaan Strategik bersama-sama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang digunakan dalam Rancangan Khas Kawasan Tasik Chini. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SHAH ALAM – Gara-gara isu tanaman dan masalah meletakkan kenderaan menyebabkan sekumpulan jiran bergaduh dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Seksyen 24 di sini semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 petang itu tular dalam video berdurasi 4 minit 4 saat menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya telah menerima dua laporan berkaitan isu tersebut daripada kedua-dua belah pihak.
Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada isu tanaman serta masalah meletakkan kenderaan oleh kedua-dua jiran sehingga mencetuskan insiden pertengkaran dan pergaduhan.
“Kesemua yang terlibat telah dipanggil untuk dirakam percakapan dalam membantu siasatan. Kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk berdamai dan telah membuat penarikan semula terhadap laporan polis yang dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, bagaimanapun polis masih meneruskan siasatan secara adil dan saksama meskipun kedua dua pihak telah menarik semula laporan polis itu.
Kes disiasat dijalankan mengikut Seksyen 269, Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera untuk tindakan lanjut.
“Masyarakat dinasihatkan supaya tidak mengambil sebarang tindakan secara melulu dalam apa jua situasi yang boleh menyebabkan pelanggaran undang undang,” jelasnya. – K! ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA KINABALU: Seekor buaya sepanjang empat meter dipercayai tersesat berjaya ditangkap oleh penduduk kampung berhampiran perairan Pulau Gaya dekat sini, pada petang semalam.
Kehadiran reptilia itu disedari oleh penduduk Kampung Pondo, seawal jam 8 pagi sebelum rakaman video tular di media sosial mengenai penduduk kampung berusaha menangkap buaya terbabit.
Kehadiran reptilia itu disedari oleh penduduk Kampung Pondo, seawal jam 8 pagi. – Gambar Media Sosial.
Ketua Kampung Pulau Gaya, Rajit Serong, 60, berkata, penduduk kampung bergilir-gilir mengekori buaya itu dengan menggunakan bot.
“Buaya itu berlegar-legar berhampiran pantai Kampung Lobong dan kelihatan jelas ketika air laut semakin surut.
“Kami terus memasang jerat menggunakan tali sebelum berjaya menangkapnya kira-kira jam 5.30 petang tadi,” katanya ketika dihubungi.
Penduduk kampung bergilir-gilir mengekori buaya itu dengan menggunakan bot.
Tambahnya, mereka terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan.
“Ini kali pertama mereka menangkap haiwan ganas itu sejak tinggal di pulau berkenaan. Tujuan kami menangkapnya kerana bimbang keselamatan penduduk di pulau ini terutama kanak-kanak dan nelayan,” katanya.-Media Sosial.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TAPAH – Seorang lelaki cedera ringan apabila kereta dipandunya merempuh sebuah kedai makan di Kilometer 68, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Bidor semalam.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, pemandu kereta jenis BMW berusia 37 tahun berkenaan turut melanggar tiang lampu di tepi jalan hingga patah.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku ekoran kereta dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas semasa dalam perjalanan dari Bidor ke Tapah.
“Siasatan mendapati, kereta itu terbabas melanggar tiang lampu di tepi jalan sebelum terperosok masuk ke dalam sebuah kedai makan di tepi jalan.
“Bagaimanapun, semasa pegawai penyiasat tiba di tempat kejadian, pemandu kereta itu tiada dan laporan polis hanya dibuat di Balai Polis Bidor pada pukul 12 tengah hari,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa hanya cedera ringan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59). K! Online.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Penduduk Felda Jengka 24 menarik nafas lega apabila Perintah kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan menjelang tengah malam tadi dan tidak disambung , namun begitu dinasihatkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diarahkan.
Tinjauan SAHIH di lokasi berkenaan mendapati, semua penduduk akur dengan arahan pihak berkuasa untuk kekal di rumah masing-masing bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang tercetus ekoran segelintir penduduk disahkan positif, akibat aktiviti ziarah pada Aidil fitri lalu.
Pengurus Felda Jengka 24, Mohd Tamrin Zakaria berkata, penduduk di Felda itu memberikan sepenuh kerjasama dengan menghadkan pergerakan termasuk menghentikan sementara semua aktiviti pertanian dan perniagaan.
“Mereka sangat patuh dan mengawal pergerakan masing-masing untuk menghindari penularan wabak itu di kawasan penemp[atan mereka serta mengikut arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Semua arahan yang ditetapkan KKM seperti di ladang ditangguhkan 100 peratus, peniagaan makanan bermasak turut dihentikan buat sementara waktu, mereka yang memakai gelang merah jambu dan telah melalui saringan calitan terus berada di rumah,” katanya.
Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail turut menghulurkan bantuan kepada penduduk Jangka 24 ketika PKPD tempoh hari, turut serta Datuk Nazri (kiri) dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris (2 dari kanan)
Katanya, Jawatankuasa mengagih makanan kepada penduduk setempat tidak dibenarkan, oleh itu pihak itu mengagih secara keseluruhan penduduk.
Sementara itu, Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud berkata, warga Felda Jengka 24, merakamkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Menteri Besar, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Ibupejabat Felda dan Wilayah Jengka, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang membantu memberi sumbangan dan keperluan semasa PKPD.
Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud berkata, warga Felda Jengka 24, merakamkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak memberi sumbangan dan keperluan semasa PKPD.
“Susulan pelaksanaan PKPD di Felda ini, seramai 1,377 penduduk yang terlibat dengan arahan itu dibantu oleh pelbagai pihak termasuk menyediakan lampin pakai buang untuk kanak-kanak dan warga emas, susu formula serta barangan keperluan harian.
“Malah, sukarelawan dari pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut ditugaskan di lokaliti ini bagi membantu menguruskan keperluan penduduk serta penugasan ketat oleh anggota polis di beberapa laluan utama Felda ini,” katanya
Kerajaan telah mengumumkan penamatan PKPD tiga kawasan di Pahang, dua kawasan di Sabah serta satu di Negeri Sembilan bermula hari ini dan esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan yang ditamatkan PKPD di Pahang ialah, Kampung Baru Melayu Bentong, FELDA Jengka 24, Jerantut dan Ladang Chin Teck, Muadzam Shah, Rompin.
“Selain itu, dua kawasan di Sabah ialah FELDA Sahabat 40 (Kampung Kembara Sakti), Tungku, Lahad Datu serta Kampung Padawan, Papar; manakala satu di Negeri Sembilan di tiga kawasan perumahan Mukim Juasseh, Kuala Pilah.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!