POLIS SIASAT SURAT HISHAMMUDDIN MOHON MENGHADAP AGONG
PETALING JAYA: Polis Kuala Lumpur mengesahkan menerima laporan wakil pihak Istana Negara berhubung surat yang kononnya ditulis Hishammuddin Tun Hussein untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan jumlah sokongan ahli parlimen.
Memetik Bernama, Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata, laporan diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields semalam.
Mengulas lanjut perkara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar, berkata pengadu adalah pegawai Istana Negara membuat laporan selepas menerima kiriman WhatsApp tertera surat menggunakan kepala surat Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) yang juga Menteri Luar.
HISHAMMUDDIN HUSSEIN
“Pengadu terima mesej daripada aplikasi WhatsApp mengatakan pihak Istana Negara ada terima surat daripada BN bagi tujuan pembentukan kerajaan Malaysia yang baharu.
“Pengadu kemudian membuat semakan dengan pihak Istana Negara dan mendapati surat itu tidak diterima oleh pihak istana dan mengesyaki cap terima itu adalah palsu,” katanya seperti dilapor Bernama.
Anuar berkata, pihaknya kini menyiasat perkara itu bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Kelmarin, Setiausaha Akhbar Hishammuddin, Mohd Hafiz Ariffin, membuat laporan polis di IPD Dang Wangi berhubung satu surat ditulis kepada Yang di-Pertuan Agong, yang mendakwa Hishammuddin yang juga Bendahari Agung BN mendapat sokongan menjadi Perdana Menteri yang baharu.
Menurut beliau, surat itu palsu dan disebarkan dengan niat untuk memburukkan reputasi Hishammuddin serta mewujudkan kekeliruan orang ramai.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ANWAR MASIH BIMBANG DENGAN BAYANG- BAYANG PENGKHIANATAN
PETALING JAYA: Ucapan penggulungan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan beliau masih bimbang dengan isu pengkhianatan, selepas lebih setahun berlakunya peristiwa Langkah Sheraton.
Ketika menyampaikan ucapan tersebut pada Kongres Nasional 2020, beliau mengakui masih terdapat unsur-unsur pengkhianatan seperti yang disuarakan oleh beberapa ahli parti.
Katanya, perkara itu terus berlaku kerana ketaksuban segelintir ahli terhadap seseorang pemimpin dalam parti.
“Kelemahan kita ini adalah kadang-kadang kita terlalu taksub dengan ketua, sama ada saya atau orang lain.
“Oleh yang demikian, fikiran kita tidak lagi taat kepada jemaah dan kepimpinan tetapi kita izinkan wujudnya kelompok-kelompok,” katanya di sini hari ini.
Katanya, wujudnya pemikiran sedemikian sedikit sebanyak akan mengancam kestabilan parti.
“Oleh kerana kita ada pengalaman lalu orang khianat, kita tak boleh kemudian mengambil keputusan bahawa saya sahaja tidak khianat, orang lain ada kemungkinan khianat. Akhirnya parti ini berpecah.
“Saya tidak boleh tentukan orang bagi kata dua sama ada kamu terima orang itu atau kami tolak kamu dalam parti atau kamu mesti tolak orang itu baru kami menyertai parti. Ini bukan jemaah, yang menentukan akhirnya adalah ahli,” katanya.
Namun, beliau enggan mengambil keputusan drastik terhadap ahli-ahli yang masih cenderung untuk mengkhianati parti.
“Saya lihat masih ada sedikit-sedikit disuarakan wakil kita tentang kemungkinan pola-pola yang sedemikian berlaku.
“Tetapi orang yang khianat dahulu, katalah sebahagiannya bersekongkol dengan kartel, kita harus beri ruang untuk bersama tanpa prasangka melainkan mereka itu nyata dan terbukti melanggar peraturan,” katanya.
Bagaimanapun Anwar menegaskan, meskipun masih ada ahli-ahli yang cenderung mengkhianati parti, beliau mengingatkan mereka supaya kembali ke landasan asal parti.
“Mereka juga harus ingat sejarah lampau itu menimbulkan sedikit kerisauan, melainkan mereka buat sesuatu dalam langkah, dalam tindakan menunjukkan bahawa yang berlalu itu sudah dan kita maju terus. Sepanjang setahun ini, itu desakan saya kerana kita tidak mahu parti mengambil sikap terlalu keras terhadap orang mahu menyertai parti dan perkuatkan parti.
“Jadi keputusannya adalah memperkukuh jemaah yang taat kepada parti dan prinsip perjuangan harus dirangkul. Bukan keputusan ketua, bukan presiden atau pimpinan untuk menolak atau menyangkal, apatah lagi kalau dia ikut arahan kelompok lain, orang lain yang menentukan atau kelompok dalam parti menentukan. Tidak, ia mesti keputusan menghormati jemaah,” katanya.
Justeru, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyarankan, jika ada ahli yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti, ia boleh dilakukan menerusi pemilihan parti, lapor Utusan Online.
“Kita ada kuasa dan ruang untuk menukar, baik presiden dan lain-lain dalam pimpinan semasa pemilihan parti akan datang.
“Tetapi sementara yang ada, saudara bertanggungjawab untuk perkuatkan kekuatan kita, dan bawa perubahan sebaiknya,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sejarah Penubuhan Negara Haram Israel Pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk mengiktiraf Baitulmaqdis atau Jerusalem sebagai ibu negara Israel dilihat seolah-seolah menghina rakyat Palestin dan masyarakat Islam seluruh dunia.
Israel itu sendiri merupakan sebuah negara haram. Pembentukannya menindas rakyat Palestin selama beberapa dekad sehingga sekarang.
Tahukah anda, sebelum perpindahan kaum Yahudi beramai-ramai ke Palestin, rakyat negara tersebut hidup aman damai dan normal seperti kita walaupun dihuni oleh mereka yang berbilang agama dan bangsa? Adakah kita sedar bagaimana Palestin yang dahulunya aman damai boleh berubah sekelip mata menjadi tanah jajahan Israel?
Bermulanya Idea Perpindahan Kaum Yahudi Dari Eropah ke Palestin Pelan yang serius bagi menubuhkan sebuah negara Yahudi pertama kali dilontarkan di Persidangan Bale di Switzerland pada tahun 1897. Persidangan yang diadakan pada tahun tersebut turut dikenali sebagai First Zionist Congress, dengan kehadiran orang kuat Yahudi berfahaman Zionist seperti Theodor Herzl (Bapa Politik Moden Zionisma) dan Abraham Salz.
Kebanyakan mereka yang hadir merupakan bijak pandai Yahudi daripada pelbagai negara di sekitar Eropah yang inginkan tanah air sendiri. Persidangan ini dianggap berjaya bagi mereka kerana berjaya mencapai kata sepakat bagi penubuhan sebuah negara Yahudi di Palestin.
Hasil persidangan ini, kumpulan gerakan Yahudi dilihat menjadi lebih aktif dalam mencapai objektif mereka. Sultan Abdul Hameed, yang merupakan khalifah terakhir bagi kerajaan Turki Uthmaniyah berasa menjadi tanggungjawab baginda untuk mempertahankan Palestin, kerana wilayah tersebut di bawah naungan kerajaan Turki.
Pada tahun 1900, baginda telah mengeluarkan perintah bahawa jemaah pilgrim Yahudi tidak dibenarkan untuk tinggal lebih dari 3 bulan di Palestin. Sultan Abdul Hameed sangat mengetahui rancangan jahat kaum Yahudi tersebut.
Kaum Yahudi merupakan kaum yang licik. Pelan bagi penubuhan negara Israel telah lama wujud, lebih awal dari Persidangan Bale. Mereka mula mendekati baginda pada tahun 1882 melalui Friends of Zion bagi memohon penempatan di Palestin.
Baginda kemudiannya memberi respons dengan mengeluarkan perintah bahawa semua kaum Yahudi yang ingin berpindah ke Turki tidak dibenarkan untuk tinggal di Palestin.
Walaupun kaum Yahudi berang dengan perintah tersebut, mereka mula menghantar delegasi demi delegasi bagi terus memujuk Sultan Abdul Hameed untuk mengubah keputusan baginda. Namun, respons yang diterima adalah lebih teruk daripada sebelumnya.
Pada tahun 1901, baginda meluluskan undang-undang bagi menghalang penjualan tanah di Palestin kepada mana-mana Yahudi. Tahun berikutnya, Theodor Herzl membentuk sebuah lagi delegasi baharu bagi menyakinkan baginda berkenaan penempatan Yahudi di Palestin. Ini merupakan percubaan kedua baginda selepas percubaan pertama pada tahun 1896.
Delegasi yang dihantar pada tahun 1902 gagal kerana Sultan enggan bertemu mereka. Jadi, delegasi ini bertemu dengan Perdana Menteri Tahsin Baba dengan cadangan mereka tersebut.
Kaum Yahudi sangat pandai dalam manipulasi kerana mereka bijak dalam ekonomi dan kaya dengan wang ringgit. Mereka membuat tawaran untuk membayar semua hutang kerajaan Turki Uthmaniyah sebanyak £23 million, dan membantu membina armada perang dengan kos yang sangat tinggi.
Mereka turut menawarkan loan tanpa bunga sebanyak ₺35 million bagi memulihkan ekonomi dan perbendaharaan negara.
Semua tawaran ini dibuat bertujuan bagi mendapatkan kebenaran Sultan untuk membenarkan kaum Yahudi menubuhkan sebuah negara Yahudi di Palestin. Sekiranya baginda menerima tawaran tersebut, ini bermakna baginda menjual maruah dan seluruh kehidupan rakyat Palestin serta tanah suci itu sendiri kepada mereka.
Seorang Sultan yang berani dan tidak mudah kalah dengan hasutan dunia, baginda menolak semua tawaran tersebut.
Perang Dunia Pertama & Kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyah Selepas kekalahan kerajaan Turki Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama, British dan Perancis telah menandatangani Perjanjian Sykes-Picot, di mana tanah arab dibahagikan mengikut zon pengaruh kuasa-kuasa besar dunia.
Menurut perjanjian ini, Palestin diletakkan di bawah bidang kuasa British. British memainkan peranan penting dalam perpindahan kaum Yahudi dari Eropah ke Palestin, yang berlaku secara berperingkat.
Migrasi ini turut mendapat sokongan negara-negara Eropah yang lain terutamanya ketika berlakunya Perang Dunia Kedua. Negara-negara tersebut kesian akan kaum Yahudi yang ditindas dan diseksa oleh Adolf Hitler. Hitler melakukan kekejaman Holocaust terhadap mereka tanpa sebarang belas kasihan.
Deklarasi Balfour Suatu Pengkhianatan British Pada tahun 1917, kerajaan British berjanji kepada pemimpin-pemimpin Arab untuk memberikan kemerdekaan kepada negara-negara Arab termasuklah negara Palestin melalui surat-surat yang dikenali sebagai The McMahon-Hussein Correspondence.
Pada masa yang sama, British secara rahsia turut menandatangani Deklarasi Balfour yang menjanjikan tanah Palestin sebagai tanah air kepada kaum Yahudi. Ketika itu, kaum Yahudi hanya meliputi 8% populasi keseluruhan Palestin, dan mereka hanya memiliki 2.5% tanah di tanah suci tersebut.
Tahun berikutnya, British bersama dengan nasionalis Arab bergabung menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyah. Mereka berjaya memecahbelahkan Empayar Uthmaniyah dan akhirnya menjajah Palestin secara total.
Tanpa perlindungan kerajaan Turki, Palestin menjadi lemah. kerajaan British kemudiannya dengan serta merta memulakan kempen bagi perpindahan kaum Yahudi di Eropah ke Palestin.
Perpindahan secara beransur-ansur bangsa ini menyebabkan populasi mereka di Palestin meningkat. Sehingga tahun 1947, jumlah populasi Yahudi di Palestin mencecah lebih kurang 650,000 orang, bersamaan 31% keseluruhan penduduk.
Mereka mula menubuhkan organisasi-organisasi pertahanan dan keganasan, dengan latihan dalam keganasan terancang. Kebanyakan kaum Yahudi yang menyertai organisasi ini adalah terlatih, dan mereka menyertai Perang Dunia Kedua bagi mendapatkan pengalaman serta skil bagi pertempuran seterusnya dengan Palestin dan tanah Arab yang lain.
Apabila Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengarahkan pembahagian tanah Palestin melalui United Nations Partition Plan for Palestine pada tahun 1947, kaum Yahudi telah stabil dari segi ketenteraan dan mempunyai 75,000 tentera bersenjata yang terlatih.
Keganasan Negara Haram Israel di Bawah Zionist Pada tahun 1948, kaum Yahudi secara rasmi menuntut penubuhan sebuah negara untuk kaum mereka di tanah Palestin dan menamakan negara tersebut sebagai Israel.
Beratus ribu masyarakat Muslim di Palestin dihalau keluar dari negara sendiri atas desakan keselamatan oleh tentera-tentera Yahudi. Tentera-tentera ini adalah yang terlatih oleh organisasi keganasan seperti Irgun, Levi dan Haganot. Organisasi-organisasi ini mendapat sumber kewangan dan senjata dari tentera British serta Amerika Syarikat.
Pada tahun 1967, Israel telah menyerang Mesir, Jordan dan Syria, serta menjajah tanah Palestin yang lain termasuklah kawasan Masjid Al-Aqsa buat pertama kalinya.
Sejak dari itu, Masjid Al-Aqsa sering kali menjadi target ancaman oleh Israel untuk dihancurkan, termasuklah usaha untuk meruntuhkan masjid ini melalui penggalian bawah tanah. Penjajahan Israel ke atas bumi Palestin memberi tekanan kepada rakyat Palestin dan ke satu tahap mereka tidak lagi dapat menerimanya.
Pemberontakan Rakyat Palestin – Intifada Pertama & Kedua Pada 8 Disember 1987, rakyat Palestin memulakan pemberontakan (Intifada Pertama) di West Bank dan semenanjung Gaza terhadap penjajahan kaum Yahudi. Pemberontakan ini berlangsung selama hampir 6 tahun, dengan jumlah syahid rakyat Palestin seramai lebih kurang 2000 orang.
Pada 28 September 2000, Perdana Menteri Israel iaitu Ariel Sharon telah memasuki Masjid Al-Aqsa bersama 3000 orang tentera. Tindakan provokasi ini dilihat seolah-olah menghina rakyat Palestin dan menjatuhkan maruah mereka.
Rakyat Palestin bertindak balas dengan melakukan bantahan. Dari situ, bermulalah Intifada Kedua. Intifada kali ini berlangsung selama lebih kurang 4.5 tahun yang mengakibatkan syahid seramai lebih kurang 3400 orang rakyat Palestin. Akibat daripada Intifada Kedua, Israel telah membina dinding pembahagi di West Bank.
Adakah pengumuman Donald Trump untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel baru-baru ini akan menjadi penyebab berlakunya Intifada Ketiga?
Kesimpulan Israel sudah sekian lama mengimpikan tanah Palestin untuk dijadikan negara mereka kerana kepentingan dari segi sejarah kaum mereka, yang berbalik kepada Nabi Musa A.S, Nabi Daud A.S. dan Nabi Sulaiman A.S..
Dengan bantuan kuasa-kuasa besar dunia, mereka semakin hampir untuk mencapai cita-cita mereka. Namun, sebagai umat Islam, wajib bagi kita untuk mempertahankan tanah Palestin, Masjid Al-Aqsa dan darah saudara seagama kita di sana.
Jika kita tidak mampu untuk berperang bersama mereka di sana, sekurang-kurangnya apa yang kita boleh lakukan adalah dengan memboikot secara konsisten semua produk Israel atau mana-mana produk yang menyumbang kepada kententeraan negara haram Israel.
Sedangkan mereka yang non-muslim pun turut menuntut hak rakyat Palestin ditegakkan, apakah alasan kita sebagai umat Islam untuk tidak turut bersama membantu mereka yang seagama dengan kita?
Bayangkan kita dalam situasi mereka, tidakkah kita mengharapkan saudara seagama kita untuk turut memberi sokongan kepada kita? Adakah kita sanggup melihat anak-anak Palestin merana tanpa peluang untuk membesar dewasa seperti anak-anak kita di Malaysia?
Sekurang-kurangnya marilah kita bersama-sama menunaikan solat hajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin.-sumber FB
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KEPUTUSAN MAJLIS RAJA-RAJA AGAR PARLIMEN BERSIDANG ADALAH WAJAR
KUALA LUMPUR: Keputusan mesyuarat Majlis Raja-Raja bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin adalah wajar.
Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menghormati pandangan raja-raja menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh sesuai Parlimen bersidang.
Menurutnya, ini wajar walaupun persidangan itu hanya dijangka bermula antara September dan Oktober seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pemulihan Negara kelmarin.
Katanya, jika Perdana Menteri degil dan ingkar, Seri Paduka boleh meminda Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri.
“Sekiranya perkara ini digantung, maka Seri Paduka tidak perlu lagi bertindas atas nasihat Perdana Menteri untuk memanggil Parlimen bersidang.
“Kesannya, Seri Paduka boleh bertindak atas budi bicaranya untuk memanggil persidangan Parlimen dan menetapkan bila tarikh untuk bersidang.
“Kalau Perdana Menteri setuju menasihati Yang di-Petuan Agong pada bulan ini, maka bulan depan juga Parlimen boleh bersidang selaras dengan titah Seri Paduka,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, penegasan Seri Paduka perlu diberi perhatian serius oleh Perdana Menteri dan Kabinet dan keputusan mesyuarat menggambarkan keprihatinan Seri Paduka bagi mencari jalan keluar kepada krisis yang melanda negara ketika ini.
“Perkembangan ini meletakkan kedudukan institusi Raja-raja Melayu sebagai institusi yang dihormati dan menjadi harapan rakyat berbilang kaum terutama pada saat getir negara berdepan dengan wabak Covid-19, kesempitan ekonomi dan kegawatan politik, lapor Utusan Online.
“Pandangan yang dizahirkan ini menunjukkan institusi istana sangat mengambil berat soal kelangsungan amalan demokrasi bagi memastikan wujud budaya ‘semak dan imbang’ sebagai mekanisma penting untuk mengelakkan salahlaku, ketirisan dan ketidakcekapan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SIDANG DUN PAHANG DIJADUALKAN BULAN OGOS MUNGKIN TANGGUH
KUANTAN: Sidang dewan undangan negeri (DUN) Pahang yang dijadualkan bermula pertengahan bulan Ogos ini, dijangka akan ditangguhkan ke tarikh lain yang akan ditentukan kemudian.
Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhammad berkata, persidangan yang dijadualkan berlangsung selama lima hari itu, sebelum ini diumumkan pada hari terakhir sidang DUN tahun lalu.
“Perubahan tarikh akan dibuat bergantung pada perkembangan semasa wabak Covid-19 dan status Proklamasi Darurat ketika ini.
“Memandangkan kerajaan Persekutuan sudah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 Jun, jadi buat masa ini kita perlu menunggu keputusan muktamad selepas penilaian risiko dilakukan pihak berkaitan.
“Kalau diikutkan jadual asal, persidangan akan diadakan antara 16 hingga 20 Ogos depan, jadi banyak aspek perlu diambil kira memandangkan setiap kali persidangan diadakan, kita perlu merancang banyak perkara seperti upacara pembukaan persidangan DUN, tarikh persidangan dan pembentangan belanjawan, ” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ishak berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat bertarikh 25 Mei yang dihantar kepada semua ahli dewan undangan negeri (ADUN) untuk mengemukakan usul yang akan dibentangkan semasa persidangan ke sekretariat sebelum hujung bulan ini.
Surat itu turut menyatakan bahawa tarikh persidangan ditetapkan antara 16 dan 20 Ogos, bergantung kepada Proklamasi Darurat yang sepatutnya berakhir pada 1 Ogos ini.
“Tindakan menghantar surat kepada ADUN adalah prosedur biasa bagi memastikan sekretariat bersedia jika persidangan dapat diteruskan pada tarikh yang sudah ditetapkan.
“Cuma, buat masa ini tarikhnya belum dimuktamadkan lagi, jadi kita kena tunggu pengesahan daripada pihak berkaitan terlebih dahulu,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Pembangkang menggesa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin supaya semua tindakan kerajaan membendung penularan COVID-19 dapat dibahaskan dan masalah rakyat terutama sepanjang tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dapat disuarakan.
Mereka mendakwa, cadangan mengadakan sidang Parlimen secara dalam talian pernah dinyatakan kerajaan sebelum ini, namun tiada tindakan susulan dan kelmarin, cadangan itu sekali lagi dinyatakan untuk diadakan secara hibrid.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, berkata sidang Parlimen lebih baik diadakan secara fizikal sepenuhnya kerana semua Ahli Parlimen sudah menerima dua dos vaksin.
“Bagi mengelak kehadiran yang ramai di Parlimen, pegawai kepada menteri boleh membantu di pejabat menteri di Putrajaya.
“Alasan kerajaan untuk tidak mengadakan sidang Parlimen bagi mengelak jangkitan COVID-19 adalah tidak munasabah kerana Ahli Parlimen adalah satu-satunya warga institusi yang sudah menerima vaksin sepenuhnya.
“Jika warga mahkamah dan sekolah yang tidak sepenuhnya menerima vaksin lagi boleh dibuka, kenapa tidak Parlimen,” kata pemimpin DAP itu kepada BH, hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan Parlimen berupaya berperanan seperti sewajarnya, walaupun negara masih berdepan pandemik COVID-19 dan program pemulihan yang giat berjalan di semua peringkat.
Hannah berkata, persidangan Parlimen secara fizikal itu juga akan memberi keyakinan kepada rakyat mengenai keberkesanan vaksin, lapor BH ONLINE.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata beliau hanya berharap sidang Parlimen dapat diadakan segera walau dalam apa cara sekali pun.
“Lebih baik ada sidang dalam apa juga bentuk, daripada tidak ada sidang langsung,” katanya.
Beliau berkata, Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan harus menjadi peringatan yang Jemaah Menteri perlu bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENJELASAN LGM TERHADAP DAKWAAN MANTAN PENGERUSI LGM
LEMBAGA Getah Malaysia (LGM) ingin menarik perhatian kepada kenyataan yang dibuat oleh mantan Pengerusi LGM, YB Dato’ Ahmad Nazlan Idris (yang berkhidmat daripada 2 April 2020 hingga 14 April 2021) yang telah disiarkan di media sosial pada 31 Mei 2021. Dalam hubungan ini, LGM ingin memberi penjelasan fakta mengenai kenyataan tersebut:
Advertisement
i. LGM Properties Corporation (LGMPC) adalah sebuah perbadanan ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Getah Malaysia (Perbadanan) 1996 (Akta 551) untuk menguruskan hartanah dan menjana pendapatan untuk LGM. Bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan dan prestasi LGMPC, beberapa tindakan telah diambil termasuk menubuhkan tiga Jawatankuasa Khas pada peringkat Lembaga LGM sejak 28 September 2020. Peranan Jawatankuasa berkenaan adalah untuk menilai dan mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan yang bersesuaian. Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LGMPC yang baharu telah dilantik pada 25 Januari 2021 melalui proses pemilihan dan temuduga yang teratur serta dipersetujui oleh YB Menteri. CEO LGMPC ini telah diberi mandat sepenuhnya untuk membuat penstrukturan operasi LGMPC bagi mengatasi kegagalan tadbir urus dan meningkatkan prestasi keseluruhan yang kurang memberangsangkan sebelum itu.
ii. Dalam hubungan ini, Akta 551 melalui Seksyen 14 menetapkan bahawa Lembaga hendaklah bertanggungjawab kepada YB Menteri dan YB Menteri boleh memberikan arahan yang selaras dengan Akta dan Lembaga hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin, melaksanakan arahan sedemikian. Oleh itu, kenyataan mantan Pengerusi LGM tentang campur tangan YB Menteri dalam urusan LGM atau LGMPC adalah tidak bertepatan dengan kuasa Menteri yang termaktub di dalam akta.
iii. Proses pajakan tanah Lot 20013 (sebelum ini dikenali Lot 76) bagi tempoh 10+5 tahun telah dilaksanakan secara tender terbuka dan telus oleh LGMPC pada Oktober 2020. Lembaga Perolehan LGM membuat keputusan pada 30 November 2020, bahawa syarikat yang berjaya dalam tender tersebut adalah Al Noor Foundation dengan harga bidaan tertinggi RM0.70 sekaki yang selaras dengan kadar penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH), Kementerian Kewangan. Yayasan tersebut adalah syarikat berhad menurut jaminan yang tidak berasaskan keuntungan dengan majoriti pemegang amanahnya adalah rakyat Malaysia dan bukan milik rakyat Turki sebagaimana kenyataan mantan Pengerusi LGM.
iv. Pada 3 Disember 2020, LGM telah menghantar surat kepada YB Menteri untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan akhir bagi keputusan tender tersebut. Walaubagaimanapun, YB Menteri pada 7 Januari 2021 telah mengarahkan tempoh pajakan dilanjutkan kepada 15+10 tahun dan dibuka kembali Request For Proposal (RFP) kepada syarikat-syarikat yang terbabit dengan proses tawaran sebelum ini. Namun, sehingga sekarang perkara ini masih dalam proses tindakan di peringkat LGM dan LGMPC, serta belum dimuktamadkan.
v. Oleh itu, kenyataan mantan Pengerusi LGM bahawa YB Menteri mahukan 5+10+10 tahun adalah tidak tepat. Selain itu, kenyataan bahawa hasil yang boleh diperoleh oleh LGM selepas 25 tahun melebihi RM1 bilion adalah tidak tepat.
vi. Berhubung dengan Lot 20012 (sebelum ini Lot 75), masih tiada cadangan penjualan oleh Lembaga LGM dan belum diangkat kepada Kementerian untuk pertimbangan YB Menteri. Pada masa ini, LGM masih membuat semakan berkaitan dengan JPPH dan Jabatan Warisan Negara.
LGM menegaskan bahawa proses untuk membuat keputusan adalah mengikut tatacara yang telus dan berintegriti melibatkan keputusan Lembaga Pengarah terlebih dahulu, diikuti dengan ulasan oleh Kementerian untuk diangkat sebagai pengesyoran kepada pihak YB Menteri bagi pertimbangan dan kelulusan sebelum dikembalikan kepada Lembaga Pengarah untuk tindakan.
Pihak LGM mengambil berat berhubung maklumat separa matang dan terperingkat milik Lembaga yang disebarkan serta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk tindakan undang-undang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud untuk memutuskan masa yang sesuai membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata di bawah perlembagaan negeri, tempoh DUN semasa akan berakhir pada 6 Jun, iaitu genap lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, peruntukan di bawah perlembagaan negeri tidak mempunyai kesan, susulan penguatkuasaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
“Oleh itu, pembubaran DUN akan ditetapkan pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Al-Sultan Abdullah, selepas berunding dengan Abdul Taib. Kami mempunyai keyakinan dan kepercayaan penuh terhadap kebijaksanaan mereka untuk membuat keputusan, lapor Bernama.
“Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) juga akan menghadap Al-Sultan Abdullah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat majlis tertinggi GPS, di sini hari ini.
Menurut Nanta, sepanjang situasi semasa pandemik COVID-19, kehidupan rakyat keutamaan GPS.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya ada orang meminta tawaran imbuhan untuk keluar BERSATU sengaja dibuat untuk menarik perhatian, kata Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan.
Katanya, beliau percaya cerita itu sengaja dibuat untuk menarik perhatian terhadap sebuah parti serpihan yang gagal memikat orang ramai setakat ini.
“Saya tidak pernah dengar isu ini dalam BERSATU, begitu juga dakwaan Dr Mahathir Mohamad kononnya ada orang tawar dia untuk masuk BERSATU.
“Secara prinsipnya saya boleh katakan BERSATU sentiasa terbuka untuk sesiapa saja yang menyokong dasar dan agenda prihatin rakyat yang sedang kita bawa.
“Namun, saya tegaskan adalah tidak logik jika ada tuduhan bahawa ada sesiapa menawarkan apa-apa imbuhan kepada Dr Mahathir dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
GAMBAR HIASAN
Kenyataan itu bagi menjawab dakwaan Dr Mahathir bahawa ada kalangan pemimpin BERSATU menawarkan diri untuk lompat menyertai Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) jika parti itu boleh menandingi imbuhan sehingga RM70,000 sebulan yang diterima mereka ketika ini.
Pengerusi PEJUANG itu mendakwa, pemimpin BERSATU itu masih bersama parti berkenaan kerana mementingkan wang, walaupun menyedari Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya mampu bertahan sebagai Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Sementara itu, Wan Saiful berkata, beliau tertarik dengan pandangan Dr Mahathir bahawa PRU-15 mungkin tidak menyelesaikan masalah berikutan banyak parti kecil akan bertanding, lapor BH Online.
“Ini bermakna Dr Mahathir sendiri faham kewujudan parti kecil seperti PEJUANG hanya menambah perpecahan saja dan bukan penyelesaian kepada sebarang masalah pun.
“Jadi ada baiknya rakan dalam PEJUANG berfikir semula adakah mereka mahu jadi penyebab kepada perpecahan seperti dikatakan Dr Mahathir itu,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KENYATAAN ARAH PENJAWAT AWAM LETAK JAWATAN MELAMPAU
KUALA LUMPUR: ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil menyifatkan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menggesa penjawat awam untuk meletakkan jawatan jika tidak selesa dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai berlebihan dan melampau.
Malah kata wakil rakyat Amanah itu, kenyataan Hadi melanggar undang-undang Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kepada rakyat untuk menyokong mana-mana parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang lapor Malaysiakini.
“Kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi hari ini bahawa penjawat awam yang tidak selesa dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh meletak jawatan adalah satu tindakan yang ultra vires (berlebihan).
“Perlembagaan dan undang-undang. Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan memberikan kebebasan kepada setiap rakyat untuk menyokong mana-mana parti politik sama ada pemerintah atau pembangkang.
“Manakala undang-undang yang mengawal selia penjawat awam iaitu Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) tidak meletakkan penentangan terhadap parti kerajaan sebagai satu alasan tindakan tatertib.
“Oleh itu, penjawat awam bebas untuk tidak berasa selesa atau tidak menyokong parti pemerintah walaupun tugas hakiki mereka adalah melaksanakan dasar kerajaan semasa,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Semalam, menerusi satu hantaran di Facebook, Hadi menuntut supaya penjawat awam mengikut arahan kerajaan yang dikuasai parti-parti yang memerintah walaupun mereka tidak menyokong parti yang membentuk kerajaan itu.
Kata anggota parlimen Marang itu, sekiranya penjawat awam tidak selesa dengan kerajaan bukan daripada parti yang disokong mereka, secara moral mereka boleh meletakkan jawatan.
Mengulas lanjut, Faiz turut berpandangan, penjawat awam mempunyai hak untk menyatakan pandangan peribadi berhubung dasar kerajaan kerana ia turut memberi kesan dalam kehidupan mereka.
“Janganlah menganggap sesuatu kritikan itu sebagai penentangan politik,” katanya dengan menggesa supaya PAS lebih matang dan mengamalkan demokrasi.
Selain itu, Faiz turut menyifatkan tindakan Hadi seakan satu pemerintahan kuku besi yang memaksa rakyat.
“Rakyat bukanlah robot yang boleh diatur, tetapi rakyat mempunyai akal untuk bijak menilai.
“Inilah badi kerajaan tebuk atap yang mengkhianati mandat rakyat, bertindak zalim dan membelakangkan demokrasi,”katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!