NEW YORK: Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) membuat keputusan menyekat perintah kerajaan yang melarang memuat turun aplikasi WeChat.
Keputusan itu dibuat beberapa jam sebelum larangan itu berkuatkuasa ketika pertempuran teknologi dan pengintipan berterusan antara Washington dan Beijing.
Susulan itu, perintah kerajaan yang dibuat pentadbiran Presiden Donald Trump kini ditangguhkan.
Sabtu lalu, AS mengeluarkan perintah melarang muat turun aplikasi video popular, TikTok dan menyekat penggunaan aplikasi China, WeChat, atas alasan keselamatan negara.
Pegawai AS menyifatkan langkah itu penting bagi keselamatan negara kerana Presiden AS, Donald Trump, kini bergelut dengan Beijing dalam beberapa isu sehingga menyukarkan kempen pemilihan semulanya.
WeChat yang dimiliki gergasi teknologi TenCent, dianggarkan mempunyai 19 juta pengguna aktif setiap hari di AS.
Bagaimanapun ketika dihubungi, TenCent enggan mengulas keputusan itu.
Sementara itu, Mahkamah California itu menyatakan keputusan itu memberikan ‘usul perintah injunksi di seluruh negara terhadap pelaksanaan’ terhadap WeChat, dengan hakim melahirkan kebimbangan terhadap kebebasan bersuara.
Pakar berpendapat, keputusan itu akan memperlahankan aplikasi WeChat dan menyebabkan ia tidak dapat digunakan di AS untuk perbualan video bersama keluarga dan rakan, menurut para pakar.
Profesor undang-undang di University of Richmond, Carl Tobias, berkata keputusan itu memberikan kelegaan sementara kepada plaintif yang mahu memastikan aplikasi mereka tidak ditutup.
“Jika kerajaan merayu dan menang dalam rayuannya, plaintif masih boleh merayu keputusan itu. Pihak plaintif memerlukan masa. Dalam tempoh itu, presiden mungkin tidak lagi menduduki jawatan itu,” katanya.
Trump sedang berusaha untuk memenangi penggal keduanya sebagai Presiden pada pilihan raya 3 November ini dan mengangkat isu keselamatan nasional serta menunjukkan sikap agresifnya terhadap China dalam kempennya.
Beliau turut sering mendakwa pencabarnya dari Demokrat, Joe Biden sebagai bersikap ‘lemah’ terhadap Beijing.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
AGRA (INDIA): India membuka semula Taj Mahal kepada pelawat hari ini ketika negara itu dilihat bakal mengatasi Amerika Syarikat (AS) di peringkat global dalam kes jangkitan COVID-19.
Pegawai kanan arkeologi menjaga Taj Mahal, Vasant Swarnkar, berkata peraturan ketat dilaksanakan kepada pelawat seperti penjarakan fizikal, mengehadkan jumlah pengunjung kepada 5,000 orang sehari dan membeli tiket dalam talian.
“Bulatan untuk pelawat ditandakan, pemakaian pelitup muka diwajibkan dan semua pengunjung perlu melalui imbasan haba,” katanya.
Taj Mahal adalah makam yang dibina daripada marmar putih terkenal di dunia terletak di selatan New Delhi, destinasi pelancongan paling popular di India.
Ia biasanya mampu menarik kedatangan tujuh juta pengunjung setahun, tetapi ditutup sejak Mac lalu akibat penularan pandemik COVID-19.
India yang memiliki populasi 1.3 bilion penduduk merekodkan 5.4 juta kes jangkitan COVID-19 setakat ini. Kira-kira 100,000 jangkitan baharu dan 1,000 kematian dilaporkan setiap hari di negara itu.
Selepas perintah sekatan yang ketat sejak Mac lalu menyaksikan kehidupan 10 juta penduduk terjejas, Perdana Menteri, Narendra Modi, tidak lagi mengikut jejak langkah beberapa negara yang mengetatkan aktiviti harian rakyat.
Beliau sebaliknya melonggarkan beberapa sekatan sebelum ini termasuk membenarkan perjalanan kereta api, penerbangan domestik, pasar dibuka, restoran dan kini mengunjungi Taj Mahal.
Namun di tempat lain, terutama di kawasan luar bandar yang mana jangkitan dilihat terus meningkat, ia menunjukkan garis panduan ditetapkan kerajaan bagi mengelak jangkitan COVID-19 sering diabaikan.
“Saya rasa, bukan di India saja, tetapi di seluruh dunia. Manusia ‘letih’ dengan langkah ekstrim diambil untuk menyekat penularan COVID-19,” kata profesor fizik dan biologi di Universiti Ashoka, Gautam Menon.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KAHERAH: Kementerian Antikuiti Mesir semalam mengumumkan penemuan 14 keranda di bandar makam Saqqara, yang terpendam selama 2,500 tahun.
Keranda terbabit ditemui dua hari lalu ketika kerja penggalian dibuat pasukan arkeologi di tempat 13 lagi keranda kayu ditemui minggu lalu, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kementerian itu mengatakan lebih banyak aktiviti penggalian dirancang dengan jangkaan terdapat satu lagi kawasan mengandungi keranda kayu akan ditemui di lokasi berkenaan.
Dalam satu video dikeluarkan bulan ini, Menteri Pelancongan dan Antikuiti, Khaled al-Anani mengatakan penemuan baru-baru ini di Saqqara satu permulaan baharu kepada aktiviti arkeologi di negara itu.
Bandar Saqqara yang terletak kira-kira 16 kilometer di selatan piramid Giza adalah sebahagian daripada kota kuno Memphis, sebuah tapak Warisan Dunia dan tapak utama Piramid Djoser.
Mesir berusaha untuk mempromosikan penemuan arkeologinya di seluruh negara dalam usaha menghidupkan kembali sektor pelancongan yang terkesan akibat sekatan perjalanan berikutan penularan COVID-19.
Julai lalu, pihak berkuasa membuka kembali piramid Giza dan kawasan arkeologi lain kepada orang ramai selepas ditutup selama tiga bulan dan mengecualikan yuran visa pelancong bagi menarik pelancong.
Mesir juga merancang melancarkan projek utama, Muzium Agung Mesir dalam beberapa bulan akan datang.
Sektor pelancongan, yang terjejas ekoran pergolakan politik dan serangan keganasan selama bertahun-tahun, mula pulih untuk menarik pengunjung, dengan sekitar 13.6 juta kehadiran tahun lalu, ketika krisis COVID-19 mula melanda.
-AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GOPENG: Seramai 150 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) hari ini, mencari petunjuk baharu bagi menjejak peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan, yang hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail 2019 (GUT19) di sini, tahun lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Yunus Abu, berkata Latihan Pengoperasian STORM itu membabitkan anggota dari Selangor, Pulau Pinang dan Perlis, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Bidor, pasukan komunikasi dan logistik di peringkat JBPM Perak dan Ibu Pejabat selain dibantu oleh teknikal komunikasi daripada SAPURA, bagi mencari jejak kehilangan Mohammad Ashraf, 30, atau lebih dikenali Acap yang hilang lebih setahun lalu.
Beliau berkata, latihan bermula semalam sehingga 23 September ini oleh pasukan elit gabungan beberapa negeri di Semenanjung itu membabitkan beberapa latihan operasi dan menyelamat termasuk Latihan Pengoperasian SAR Acap Trail.
“Bagi fasa pertama kita menggerakkan pasukan khas kita ini untuk berjalan lasak membabitkan laluan 25 kilometer mengikut trek yang dilalui oleh Acap.
“Jadi, kita berharap usaha pencarian melalui Acap Trail ini dapat membantu mengurangkan keresahan pihak keluarga Acap sendiri,” katanya pada media ketika menyertai Latihan Pengoperasian STORM, JBPM Tahun 2020 Peringkat Zon Utara di Gua Tempurung, hari ini.
Mohd Yunus berkata, meskipun ia bukan satu operasi pencarian secara khusus tetapi ia antara usaha jabatan bagi mengesan sebarang petunjuk baharu kehilangan Acap.
“Sebenarnya kita tidak menutup di sini dan berusaha dengan sebarang petunjuk baharu, jadi (melalui latihan) kita berusaha menjejaki melalui jalan yang dilalui oleh Acap.
“Dalam tempoh lebih setahun ini kita mengharapkan ada petunjuk baharu, setidak-tidaknya ada kemungkinan Acap ini terjatuh dan tertimbus oleh tanah dalam tempoh lebih setahun ini, dengan faktor cuaca berkemungkinan kita dapat menemui sebarang baju atau kasut atau sebagainya untuk membolehkan kita meneruskan pencarian yang lain,” katanya.
Acap dilaporkan hilang pada 24 Mac tahun lalu apabila pihak penganjur dan rakannya yang membuat pencarian gagal menemuinya selepas acara tamat pada 2 petang sehari sebelum itu.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pelbagai pihak termasuk bomba, polis, sukarelawan, rakan dan keluarga dihentikan hampir sebulan kemudian.
Sehingga kini kehilangan masih menjadi misteri berikutan tiada sebarang jejak dan petunjuk yang ditemui.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
6 PATI DIBERKAS,DIPERCAYAI LEMAS KETIKA CUBAAN MEMASUKI NEGARA
JOHOR BAHRU: Enam individu dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyeludup masuk ke negara ini ditemui lemas di pesisir Pantai Teluk C, Bandar Penawar, di Kota Tinggi, awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kesemua mangsa berkenaan dipercayai lemas ketika cubaan memasuki negara ini menerusi jalan yang tidak di wartakan.
Katanya, polis menerima maklumat tentang kejadian berkenaan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kira-kira jam 9.40 pagi tadi.
“Mayat mangsa ditemui anggota keselamatan kira-kita jam 1 tengah hari tadi.
“Mangsa membabitkan empat wanita dan dua lelaki dipercayai warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ayob Khan berkata, semua mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, bagi tujuan bedah siasat dan ujian COVID-19.
Pada masa sama, sembilan PATI warga Indonesia turut ditangkap dalam operasi anggota Rejimen Pertama Kor Armor DiRaja di lokasi berkenaan.
Semua PATI yang ditahan termasuk tiga wanita, berusia antara 36 hingga 58 tahun, dikesan ketika bersembunyi di dalam kawasan berhampiran pantai.
Mereka dibawa ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk pemeriksaan dan saringan COVID-19, sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) diarah melaksanakan audit menyeluruh pada kadar segera ke atas kerja yang membabitkan keselamatan awam.
Arahan itu susulan insiden konkrit struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) jatuh dan menimpa kenderaan dipandu seorang wanita, semalam.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata insiden itu tidak seharusnya berlaku dan kementeriannya tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan nyawa orang ramai, dengan tindakan tegas akan diambil berdasarkan hasil siasatan dibuat.
“Isu keselamatan di tempat kerja amat penting untuk diambil perhatian dan dipatuhi setiap pekerja yang terbabit dalam kerja pembinaan. Mereka bukan sekadar perlu tahu dan faham saja tetapi perlu dipatuhi sepenuhnya sebelum, semasa dan selepas pembinaan.
“Kejadian parapet yang jatuh menimpa kenderaan awam semalam dapat dielakkan jika semua pihak terbabit mematuhi sistem dan prosedur kerja yang betul, mengikut garis panduan kerja yang diluluskan dan mematuhi spesifikasi dan kontrak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang semalam, seorang wanita cedera apabila keretanya ditimpa batu konkrit struktur pembinaan SUKE yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Insiden itu menyebabkan wanita berkenaan terperangkap dalam kereta dipandunya yang remuk pada bahagian bumbung selepas ditimpa kepingan konkrit dianggarkan bersaiz satu meter persegi itu.
Mangsa dilaporkan hanya cedera pada tangan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan dalam kejadian berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala Ampang.
Fadillah berkata, LLM dan kementeriannya kini melaksanakan semakan keselamatan dan tindakan akan diambil untuk menyemak pelaksanaan tanggungjawab di semua peringkat sama ada pemantauan, kualiti, reka bentuk dan metodologi kerja.
Katanya, pihak LLM dan Kumpulan Syarikat PROLINTAS (PROLINTAS) sudah diarahkan menyemak semula reka bentuk dan pembinaan yang membabitkan risiko kepada orang awam sebelum kerja di semua projek SUKE dan DASH dapat diteruskan semula.
“Kerajaan akan merujuk pihak perunding kepada pihak Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) jika didapati terdapat unsur kecuaian dari segi reka bentuk dan pemantauan tapak.
“Tindakan tegas akan diambil kepada individu yang didapati cuai semasa pelaksanaan pembinaan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, arahan lain yang dikeluarkan termasuk meminta LLM dan PROLINTAS meneliti kembali kaedah reka bentuk yang paling sesuai membabitkan struktur supaya risiko kepada orang awam dan pekerja dapat dikurangkan.
“Pemantauan dan kaedah kerja pihak perunding dan kontraktor perlu diteliti semula supaya keselarasan kaedah reka bentuk dan pemantauan di tapak dapat diseragamkan.
“Kajian menyeluruh perlu dibuat pakar yang berpengalaman bagi mencapai reka bentuk terbaik untuk meminimakan risiko semasa pembinaan membabitkan laluan trafik di jalan sedia ada,” katanya.
Berhubung tindakan segera selepas insiden semalam, Fadillah memaklumkan, pihak pemaju utama, MRCB Builders memberi Arahan Memberhenti Kerja kepada subkontraktor (Makna Setia Sdn Bhd) dan menutup lokasi kejadian untuk tujuan siasatan.
Katanya, Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) SUKE berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan dinding parapet dan kereta yang terbabit, selain pihak pemaju memeriksa semua tembok parapet untuk tujuan keselamatan dan menyemak semula dokumen Prosedur Kerja Selamat serta Kaedah Kerja Pemasangan Tembok Parapet.
“Kerja penutupan jalan dilakukan pihak trafik MRCB bagi kerja pengukuhan tembok parapet sehingga selesai, bermula jam 9 malam tadi dan atas arahan bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), semua besi permulaan hendaklah dikimpal dengan besi parapet secepat mungkin.
“Kerja pengukuhan kedudukan tembok parapet berakhir pada jam 5 pagi tadi dan pemeriksaan bersama dijalankan bagi memeriksa kimpalan yang dibuat. Pihak JKKP juga sudah melawat lokasi kejadian semalam dan kita masih menunggu hasil hasil siasatan daripada JKKP,” katanya.
Mengenai keadaan mangsa, Fadillah berkata, berdasarkan maklumat terkini daripada keluarga mangsa, keadaannya stabil dan kini menerima rawatan di hospital, selain turut diberikan bantuan sepenuhnya bagi meringankan beban beliau.
“Pihak pemaju dan kontraktor juga diarahkan untuk mengambil tindakan bagi meringankan beban dan tekanan yang dihadapi mangsa dan keluarganya akibat daripada kejadian ini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, meninggal dunia di sebuah hospital di ibu negara, awal pagi tadi.
Wan Mokhtar dilaporkan meninggal dunia pada jam 6.20 pagi, pada usia 88 tahun.
Berita kematian Allahyarham disampaikan sendiri oleh anaknya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.
Wan Abdul Hakim menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya pagi ini, memaklumkan jenazah ayahnya akan disembahyangkan di Masjid Bukit Jelutong, Shah Alam selepas Zohor.
Beliau berkata, jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam selepas itu.
Wan Mokhtar menjadi Menteri Besar Terengganu daripada tahun 1974 sehingga tahun 1999 dan pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi pada tahun 2000 sehingga tahun 2005.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA TERENGGANU: “Saya masih Budok Kuba (budak kerbau). ‘Tsunami’ ini lebih menguatkan semangat dan beri kekuatan untuk terus berusaha, kerana saya yakin rezeki berganda akan tiba kemudian nanti.”
Demikian kata Muhammad Syukur Khamis, 15, atau Mowgli Malaysia setelah kehilangan 56 daripada 110 ekor kerbau milik keluarganya, akibat wabak hawar berdarah.
Melihat wajah sugul Muhammad Syukur, sukar dipastikan apa yang bergelodak di hatinya, namun beliau mengakui, peristiwa yang berlaku sejak 9 September lepas amat meruntun jiwa, hingga adakala terasa seperti sudah kehilangan kawan baik.
Beliau turut dikenali sebagai Kampung Boy kerana kebolehannya berinteraksi dengan haiwan itu sejak berusia enam tahun, seperti mana juga adik-beradiknya yang lain kerana sering mengikut bapa mereka, Khamis Jusoh, 64, ke kandang.
Muhammad Syukur mempunyai beberapa ekor kerbau kesayangan, termasuk Semek dan Tongkol yang mati, baru-baru ini.
Tidak seperti mana remaja lain yang biasanya meluangkan masa dengan pelbagai gajet dan permainan dalam talian, Muhammad Syukur mengakui jiwanya lebih tenang berada di sekeliling haiwan ternakan, meskipun kaki dan tangannya ada kala tercalit najis haiwan itu serta lumpur.
Muhammad Syukur berkata, kejadian itu bukan sahaja memberi peringatan kepadanya, tetapi juga kepada penternak lain supaya sedar mengenai kepentingan vaksin, dan sensitif dengan persekitaran supaya tidak berlaku lagi jangkitan yang sama.
Bagi Khamis pula, semangat anak-anaknya bagaikan suntikan kekuatan baharu untuk terus bertahan dan sehingga kini tujuh daripada lapan anaknya, bertungkus lumus memastikan bangkai kerbau ditanam dengan baik dan baki yang masih hidup, akan dapat bertahan.
Katanya, kehilangan besar itu adalah pengalaman pertama sejak menjadi penternak 50 tahun lalu dan paling menyedihkannya apabila melihat kerbau bunting turut mati, malah ada anak kerbau yang enggan menerima susu lain selepas ibunya mati.
“Semua anak saya balik ke kampung sebaik sahaja dimaklumkan berita duka ini. Biasanya mereka akan datang ke kandang selepas subuh…kadang-kadang sampai jam 1 pagi baru pulang semula ke rumah, untuk pastikan semua kerbau ini sihat.
“Hanya seorang anak yang tidak balik kerana sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Sumber Manusia di Universiti Malaysia Sarawak.
“Ketika musibah ini berlaku, anak yang selalu memberi semangat … kami tetap bersama, kerana mereka sedar hasil pendapatan dari membela kerbau inilah, yang menanggung mereka selama ini.
Sebelum Muhammad Syukur popular dulu pun kami pernah dihina kerana dikatakan berbau busuk, kami tetap juga teruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kubang Bujuk, di sini.
Khamis berkata, wabak itu membantutkan hasratnya untuk menternak secara fidlot, namun dia yakin Muhammad Syukur akan merealisasikannya suatu hari nanti, berdasarkan minat anak bongsu daripada lapan beradik itu dengan haiwan.
Tekadnya, mahu menambah bilangan kerbau yang masih sihat agar dapat membiak dengan baik.
Khamis mahu anak-anaknya terus berusaha seperti mana di peringkat awal beliau mula menternak, iaitu penghujung tahun 1970-an dengan hanya bermula daripada tiga kerbau yang diwarisi daripada ayahnya.
Kunjungan Bernama ke kandang itu mendapati selain Muhammad Syukur, tiga lagi adik beradiknya iaitu Muhamad Kamil, 31; Muhamad Alias, 30, dan Norain Solehah, 21, turut bermandi hujan dan bergelumang lumpur, kerana mahu memasang jaring untuk dijadikan bumbung kandang itu.
Mereka juga dilihat bersama-sama memberi makanan kepada 54 ekor kerbau yang masih sihat dan memasang pagar besi, agar haiwan itu tidak merempuh keluar kandang sepanjang proses kuarantin selama 14 hari berjalan.
Kawasan seluas seekar itu juga kelihatan sunyi sepi, tidak sepertimana keadaan sebelum ini yang sentiasa menjadi tumpuan ramai hingga menarik perhatian ramai jurugambar profesional dari dalam dan luar negara, bagi merakam aksi luar biasa Muhammad Syukur bersama lebih 100 ‘rakan sepermainannya’ itu.
Sebelum ini, foto unik remaja itu bersama binatang peliharaan pernah mendapat tempat pertama dalam Asia Geographic -Image of Asia Photography Award 2018 oleh jurugambar profesional, Mohd Nazri Sulaiman dan dinobatkan sebagai 20 gambar terbaik dunia dalam Pertandingan Fotografi Antarabangsa berprestij, Siena International Photo Awards 2018.
Terbaharu, gambarnya yang dirakam Yusuf Madi diangkat sebagai Imej Asia 2020 untuk bulan Ogos oleh Asian Geographic bagi kategori Orang/Jalanan.
-BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di Jalan 43, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan dekat sini, malam tadi.
Pihak polis menerima maklumat kejadian pada jam 10.15 malam, menghantar sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi dan menemui mangsa dalam keadaan terbaring berlumuran darah.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata pemeriksaan awal yang dijalankan menemui beberapa kesan tikaman pada bahagian belakang badan, leher dan kepala mangsa.
“Mangsa yang juga seorang lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 30-an dipercayai dibunuh di lokasi mayatnya ditemui.
“Kita sudah mengenal pasti suspek dan tangkapan juga sudah dilakukan. Usaha sedang dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek yang masih bebas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menyiasat motif pembunuhan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Berikut adalah keputusan perlawanan English Premier League (EPL) awal pagi tadi.
Chelsea vs Liverpool
Leicester City vs Burnley
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!