RIYADH: Arab Saudi secara berperingkat membenarkan kembali jemaah menunaikan umrah untuk sepanjang tahun, mulai 4 Oktober ini, selepas tujuh bulan ditangguhkan berikutan COVID-19, kata Kementerian Dalam Negerinya, semalam.
Dalam satu kenyataan Kementerian Dalam Negeri yang diterbitkan Saudi Press Agency, sebagai permulaan kira-kira 6,000 warga dan penduduknya dibenarkan menunaikan umrah setiap hari bermula tarikh berkenaan.
Menurut kenyataan sama, jemaah dari luar pula akan dibenarkan menunaikan ibadat itu, bermula 1 November dengan kapasiti hingga 20,000 orang setiap hari.
Umrah merujuk kepada ziarah umat Islam ke Makkah dapat dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun yang menarik berjuta-juta Muslim dari seluruh dunia.
Kata kementerian itu lagi, ibadat itu dibenarkan dilaksanakan semula sepenuhnya selepas ancaman wabak itu pulih.
Sejak Mac lalu, Arab Saudi menangguhkan umrah dan mengehadkan kapasiti haji tahunan akibat bimbang penularan COVID-19 ke kota-kota sucinya.
Ziarah itu menimbulkan tumpuan logistik besar-besaran berikutan jemaah yang ramai dan mendedahkan jemaah kepada penularan jangkitan.
Katanya, langkah membenarkan semula umrah adalah sebagai tindak balas kepada aspirasi umat Islam di dalam dan luar negeri untuk melakukan ibadat terbabit serta menziarahi kota sucinya.
Penjaga kota suci Makkah dan Madinah dilihat sebagai sumber legitimasi politik kerajaan paling kuat negara itu.
Saban tahun kota suci mencatatkan jutaan umat sekali gus menyumbangkan pendapatan utama negara itu.
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman mengatur pembaharuan rancangan ekonomi 2030 negara pengeluar minyak terkemuka dunia, daripada kebergantungan terus terhadap pengeluaran minyak kepada sumber pendapatan lain, termasuk ziarah keagamaan.
Kerajaan itu berusaha membuka kembali kira-kira 30 juta jemaah haji ke negaranya setiap tahun pada bermula 2030.
-AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DOLLAH TEKAD PASTIKAN PAHANG LAYAK SAINGAN PIALA MALAYSIA
KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh tekad memastikan pasukan bimbingannya layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia, susulan skuad Tok Gajah hanya mampu berada di tangga ketujuh saingan Liga Super ketika ini.
Dengan saingan liga yang berbaki tiga perlawanan, bekas pemain kebangsaan itu mengharapkan skuad kendaliannya itu mampu beraksi lebih baik dan sekali gus mengutip mata maksimum.
“Fokus utama kami berdepan baki tiga perlawanan adalah untuk memastikan skuad Tok Gajah beraksi pada saingan Piala Malaysia. Berada di kedudukan ketujuh liga memang belum selamat kerana perbezaan mata yang tidak jauh dengan pasukan lain ketika ini.
“Oleh itu, pemain perlu lebih bersedia dan bermain dengan komitmen tinggi untuk memastikan pasukan berada di kedudukan lebih baik,” katanya seperti dilaporkan BH hari ini
Selepas lapan perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan ketujuh liga dengan mengutip 10 mata dan berkongsi jumlah mata sama dengan Terengganu FC dan Selangor.
Namun, FELDA United FC dan PJ City FC yang mengutip tujuh mata mampu memberi tekanan dengan baki tiga perlawanan itu jika Pahang gagal mencatat keputusan positif. Pahang bakal berdepan Kedah pada Sabtu ini, diikuti Perak (3 Oktober) dan Terengganu (10 Oktober).
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Ketandusan filem berunsur kenegaraan mendorong Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) memberi tumpuan terhadap usaha memartabatkan filem bergenre mengangkat kisah sejarah dan ikonik.
FINAS akan membuka permohonan dana filem kenegaraan bermula 15 Oktober depan bagi menambah kandungan berunsur kenegaraan.
Tidak terhad kepada jalan cerita berkisar sejarah kenegaraan, permohonan juga dibuka kepada penggiat seni yang berminat menghasilkan kisah tokoh sukan mahupun pemuzik tanah air.
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berkata, idea berkenaan bagi menggalakkan lebih banyak penghasilan filem berunsur kenegaraan. Ia adalah cetusan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
“Penghasilan filem berunsur kenegaraan salah satu khidmat untuk negara. Kemungkinan akan mempertimbangkan untuk dijadikan bahan tontonan di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi sekiranya sesuai untuk golongan muda.
“Bagaimanapun, penghasilan filem kenegaraan yang dihasilkan perlulah berasaskan fakta, bukannya fiksyen. Jika kisah menarik dan boleh dijadikan rujukan, Saifuddin juga mencadangkan untuk membawa filem ke peringkat antarabangsa melalui kedutaan luar negara, tetapi bukan untuk tujuan komersial.
“Saifuddin ingin mengikut jejak langkah dan inisiatif dilakukan kerajaan Libya terhadap filem epik perang, Lion of the Desert pada 1981 yang menampilkan tokoh bernama Omar Mukhtar. Filem berkenaan bukan sahaja dijadikan silibus pembelajaran di sekolah, tetapi berjaya ditayangkan di luar negara melalui kedutaan Amerika Syarikat,” katanya kepada BH Online.
FINAS mahu ikut jejak langkah kerajaan Libya terhadap filem epik perang, Lion of the Desert pada 1981 yang bukan sahaja dijadikan silibus pembelajaran di sekolah, tetapi berjaya ditayangkan di luar negara.
FINAS mahu ikut jejak langkah kerajaan Libya terhadap filem epik perang Lion of the Desert pada 1981 yang bukan sahaja dijadikan silibus pembelajaran di sekolah, tetapi berjaya ditayangkan di luar negara.
Zakaria berkata, FINAS tidak meletakkan sasaran permohonan, sebaliknya penggiat seni yang memiliki idea, layak untuk memohon dan mereka yang berjaya akan dipanggil untuk ke sesi pitching.
Bagaimanapun, katanya, bagi mengelakkan dana yang dikeluarkan digunakan sewenang-wenangnya dan mengelakkan filem daripada terbengkalai, FINAS lebih tegas dalam soal pemilihan kali ini.
“FINAS tidak mempunyai sasaran berapa banyak filem kenegaraan yang akan dikeluarkan dalam tempoh setahun. Pada peringkat permulaan, kami mensasarkan lima naskhah sahaja.
“Jika ada banyak naskhah yang bagus, FINAS sanggup mengeluarkan dana. Bagaimanapun, peruntukan dana masih belum ditetapkan kerana ia berdasarkan cadangan kertas kerja yang dihantar.
“FINAS faham, bajet menghasilkan filem berunsur kenegaraan memerlukan perbelanjaan besar kerana membabitkan kajian, props dan sebagainya,” katanya.
Katanya, FINAS mensasarkan filem kenegaraan pertama menerusi inisiatif ini akan menemui penonton selewat-lewatnya penghujung tahun hadapan apabila permohonan dibuka pada Oktober ini.
“Sekiranya berjaya disiapkan lebih awal, kami mensasarkan paling awal akan menemui penonton pada bulan kemerdekaan.
“Bagaimanapun, FINAS tidak akan lepas tangan sepenuhnya kepada produksi, sebaliknya sentiasa memantau perkembangan terkini penghasilan filem berkenaan. Kami tidak mahu insiden lama yang berlaku kepada FINAS berlaku lagi,” katanya.
Zakaria berkata, sebelum ini, terdapat beberapa filem berunsur kenegaraan yang tergantung dan gagal disiapkan, malah ada yang menghasilkan filem ‘asal boleh’.
Katanya, FINAS akan menyediakan panel pemantau yang bukan sahaja melakukan pemantauan mengenai jalan cerita, malah perjalanan penggambaran bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.
“FINAS melantik panel pemantau bagi mengelakkan filem tidak siap dan cincai. Mereka terdiri daripada penggiat industri dan ahli akademik supaya naskhah yang dihasilkan menepati piawaian.
“Selain itu, ia juga bagi memastikan filem yang dihasilkan siap pada waktu yang ditetapkan dan tidak terbengkalai, memandangkan FINAS mengeluarkan dana yang besar. Jadi, kami tidak mahu mensia-siakan modal yang dikeluarkan sekiranya filem tidak siap,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ROMPIN: Seorang pekerja ladang ditahan selepas didakwa mendera anak tirinya dalam kejadian di Muadzam Shah, dekat sini, pagi tadi.
Suspek seorang wanita berusia 24 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman mereka pagi Ahad lalu, selepas tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa memukul adiknya.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskon berkata, kejadian dera itu dimaklumkan mangsa yang berusia sembilan tahun kepada seorang gurunya pagi Isnin lalu, sebelum guru berkenaan melaporkan kepada pihak pentadbiran sekolah.
“Pihak sekolah kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Chanis, di sini, bagi tujuan pemeriksaan dan hasil pemeriksaan dijalankan pegawai perubatan mendapati terdapat kesan melecur pada dua bahagian atas hujung lengan kanan, beberapa kesan lebam di dada kanan dan kesan lebam pada bahagian atas kedua-dua paha.
“Susulan hasil pemeriksaan itu, pegawai dan anggota kami mengesan dan menahan suspek bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
“Suspek mengaku melakukan perbuatan itu selepas soal siasat dijalankan dan menyerahkan bahan bukti yang digunakan, iaitu sebilah pisau yang dipanaskan pada bahagian hujung sebelum menekap (meletakkan) pada tangan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Azari berkata, semakan dilakukan pihaknya mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau kerana terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) akta sama.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Rompin untuk permohonan reman esok, manakala mangsa kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-kanak Sultanah Hajah Kalsom, dekat Penor, Kuantan hasil bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)… kita juga akan memohon Perintah Perlindungan Sementara (IPO) untuk mangsa dari Mahkamah Majistret Rompin esok,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Aktiviti berbasikal dilarang di lebuh raya seluruh negara, namun masih dibenarkan di Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Bandaran dan lain-lain jalan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, menasihati semua penunggang basikal sentiasa mematuhi arahan ditetapkan.
“Mana-mana individu gagal mematuhi papan tanda lalu lintas melarang berbasikal di lebuh raya, boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000, jika sabit kesalahan.
“Mereka yang melanggar arahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Azisman berkata, semua penunggang basikal perlu sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya demi menjamin keselamatan diri mereka serta pengguna lain.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TANGGUH PRN SABAH JIKA COVID-19 MAKIN MEMBIMBANGKAN
KUALA LUMPUR: Penangguhan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah antara jalan terbaik mengelakkan situasi COVID-19 bertambah buruk di negeri itu.
Pakar kesihatan awam, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata situasi di Sabah tidak ubah seperti bom jangka sekiranya pilihan raya itu diteruskan, memandangkan negeri itu dikesan mempunyai tujuh kluster dan jangkitan juga sudah melepasi generasi.
Beliau berkata, terdapat dua pilihan boleh diambil kerajaan ketika ini iaitu menangguhkan pilihan raya atau melakukan undian secara pos atau dalam talian bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 bertambah buruk.
“Tetapi bagi saya, jalan terbaik adalah orang awam tidak keluar rumah dan penangguhan PRN adalah cara yang boleh dipertimbangkan memandangkan wabak hari ini dikesan tidak mempunyai simptom.
“Kebimbangan utama saya adalah mereka yang dijangkiti tidak sakit atau mempunyai simptom… mereka inilah pembawa… apabila bercampur di pusat undi, bayangkan berapa ramai akan dijangkiti,” katanya kepada BH, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Sharifa Ezat menjelaskan, kerajaan boleh mengadakan PRN, namun perlu sedar tahap kemampuan untuk mengekang wabak ini daripada terus merebak.
“Jika pilihan raya secara tradisional dilakukan, adakah mampu untuk mengawal orang awam kerana dalam setiap dewan perlu memastikan tidak ramai orang ada, mungkin 10 sahaja termasuk pengundi dan kakitangan.
“Mungkin di dalam dewan atau pusat mengundi boleh dikawal tetapi sekiranya di luar dewan, orang datang bepusu-pusu bagaimana mahu memastikan mereka mengikuti kawalan itu. Aktiviti mengundi ini membabitkan orang awam di seluruh negeri, cukupkah tenaga kerja untuk mengawal semua mereka,” katanya.
Tambahnya, isu-isu kecil juga harus dipandang secara serius dalam mengawal jangkitan ini contohnya seperti penggunaan pen untuk memangkah serta bas yang membawa orang mengundi.
“Setiap aktiviti keluar masuk di pusat undi perlu dikawal sepenuhnya, oleh itu masa juga akan bertambah. Jika sebelum ini pusat undi biasanya ditutup lewat petang, mungkin ia akan berlarutan sehingga lewat malam atau mungkin berhari-hari kerana kawalan itu perlu dilakukan dengan rapi,” katanya.
Dr Sharifa Ezat juga meminta kerajaan memberi perhatian khusus terhadap mereka yang pulang mengundi dan datang dari daerah yang berisiko tinggi seperti Tawau, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.
“Tiga daerah ini mencatat jumlah jangkitan paling tinggi di Sabah dan sekiranya adalah tinggal dan bekerja di kawasan berisiko ini, pulang ke kampung di daerah lain untuk mengundi, apa risiko yang akan berlaku khususnya apabila bertemu dengan golongan berusia dan berisiko. Ini semua perlu difikirkan dalam tempoh ini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijangka memuktamadkan perjanjian pembelian pesawat pejuang F-35, hujung tahun ini.
Berdasarkan laporan Reuters, perbincangan mengenai perjanjian itu sudah dijalankan dan surat perjanjian mengenai keputusan berkenaan dijangka dikeluarkan kerajaan UAE pada sambutan Hari Kebangsaan negara Timur Tengah itu pada 2 Disember ini.
Bagaimana pun, spesifikasi pesawat pejuang F-35 bakal dijual kepada UAE dijangka tidak sama dengan jet pejuang model sama yang dijual kepada Israel.
Washington sedang menjalankan penyelidikan bagi memastikan pesawat keluaran Lockheed Martin Corp lebih mudah dikesan sistem radar Israel.
Namun, persetujuan penjualan itu dilihat bakal menyukarkan hubungan antara AS, negara Timur Tengah dan Israel.
Amerika Syarikat juga belum membuat keputusan sama ada membekalkan sistem radar lebih canggih kepada Israel atau mengubahsuai pesawat F-35 yang bakal dijual kepada UAE bagi memenuhi permintaan negara sekutu mereka itu.
Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz dijangka mengadakan perjumpaan bersama rakan sejawatnya, Mark Esper hujung minggu ini.
Ketua Bahagian Pembelian Senjata PENTAGON, Ellen Lord pada Ogos memaklumkan bahawa sebarang keputusan mengenai perjanjian penjualan F-35 antara Amerika Syarikat dan UAE akan diselesaikan dalam masa enam bulan.
Difahamkan, kehebatan dan kecanggihan dimiliki F-35 menyaksikan pesawat itu dihalang daripada dijual kepada negara-negara Arab, berikutan bantahan Israel.
Setakat ini, Israel sudah memiliki 24 pesawat keluaran Lockheed Martin Corp itu dan Poland turut membeli 32 pesawat pejuang terbabit yang bakal diterima menjelang tahun 2024.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda dimasukkan ke Wad Diraja, IJN selepas mengadu kurang selesa dengan kesihatan.
“Adalah juga dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah dinasihatkan supaya diawasi oleh doktor ketika ini dan Seri Paduka Baginda tidak berada dalam keadaan membimbangkan.
“Baginda dijangka dibenarkan keluar dari IJN dalam waktu terdekat. Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang tiba di Kota Bharu, Kelantan semalam dalam rangka lawatan peribadi bergegas pulang pada hari ini untuk bersama dengan Baginda,” katanya.
Tunku Hajah Azizah membatalkan lawatan itu dijadualkan selama tiga hari sehingga esok.
Seluruh rakyat diseru untuk bersama mendoakan semoga baginda dikurniakan kesembuhan dengan segera serta dikurniakan kesihatan yang berpanjangan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: “Saya terima seadanya keputusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).”
Itu kenyataan B Satianathan apabila dia akhirnya dipecat persatuan itu, dipercayai susulan kekalahan besar 6-1 skuad The Red Giants ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, Sabtu lalu.
Dengan pemecatan ini, bekas jurulatih skuad kebangsaan itu disifatkan mendapat ‘cuti’ lebih awal memandangkan kontraknya bersama pasukan itu turut akan berakhir pada hujung tahun ini.
Situasi ini juga menyaksikan Satianathan menjadi korban kedua musim ini selepas pengendali Kelantan United, Zahasmi Ismail menjadi jurulatih pertama Liga Malaysia (Liga M) yang direhatkan minggu lalu.
“Ya, saya bukan meletak jawatan kerana saya dipecat. Itu yang diputuskan dalam pertemuan bersama pengurusan tertinggi FAS pagi tadi (semalam).
“Saya terima keputusan ini dan saya tidak lagi akan bersama mereka untuk menghabiskan baki musim ini, namun mereka akan membayar pampasan untuk baki kontrak saya selama empat bulan.
“Apapun, saya berbangga dengan persembahan yang ditunjukkan pemain pada musim ini di mana daripada lapan perlawanan, kita hanya tewas dua kali. Saya rasa itu adalah persembahan yang baik.
“Saya menikmati sepanjang hampir dua tahun saya di Selangor dan bekerja dengan pemain yang ada. Tetapi mereka perlu tahu realiti sebenar bola sepak semasa dan suasana yang berlaku ketika ini kerana ini bukanlah tahun 60an dan 70an,” katanya.
Untuk rekod, Satianathan memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan dilantik sebagai pengendali baharu Selangor pada November 2018 bagi menggantikan Nazliazmi Mohd Nasir.
Ketika ini, Selangor menghuni tangga ketujuh Liga Super selepas mengutip 10 mata menerusi dua kemenangan dan empat keputusan seri dan misi mereka untuk ke saingan Asia tampak sukar memandangkan saingan hanya berbaki tiga perlawanan.
Bagaimanapun, jika mereka gagal menamatkan saingan selaku naib juara, mereka masih boleh memburu tiket ke Piala AFC 2021 iaitu dengan memenangi Piala Malaysia.
Biodata B Satianathan
Nama penuh: Bhaskaran R Satiananthan
Tarikh lahir dan tempat: 9 Mei 1958 (62), Perak
Pasukan pernah dibimbing: 1992 Negeri Sembilan, 2006 MPPJ FC (sementara), 2006—2008 Skuad B-23 Malaysia, 2007—2009 Malaysia, 2009—2010 Kelantan, 2011—2015 ATM, 2017—2018 Felda United, 2018—2020 Selangor
Pencapaian: Skuad B-23 Juara Pestabola Merdeka 2007, Kelantan Juara Piala Malaysia 2010, ATM Juara Liga Perdana 2012, FELDA United Juara Liga Perdana 2018, Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2010, 2012, 2017
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU: Penolong Pegawai Pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM16,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Fazdly Abdul Razak, 42, mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd Fazdly didakwa menerima wang berjumlah RM10,000 yang didepositkan ke dalam akaun tertuduh daripada seorang lelaki, yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya, di sebuah bank tempatan di Masai, pada 13 Jun 2018.
Mohd Fazdly turut didakwa menerima wang berjumlah RM1,500 yang didepositkan ke dalam akaun tertuduh daripada lelaki sama, yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya di sebuah bank tempatan di Taman Johor Jaya, pada 4 Julai 2018.
Dia juga didakwa menerima wang berjumlah RM4,500 yang didepositkan ke dalam akaun tertuduh daripada lelaki sama, yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya di sebuah bank tempatan di Masai, pada 18 Julai 2018.
Bagi kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Mahirah Mohd Pauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nur Mahirah memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh.
Namun, tertuduh merayu jaminan berkenaan dikurangkan, berikutan beliau terpaksa menggadai tanah pusaka di kampung selain perlu menanggung tiga anak berusia antara tujuh hingga 14 tahun, isteri yang tidak bekerja selain ibu mentuanya yang menderita barah rahim tahap tiga.
Hakim kemudian menetapkan, wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM berhampiran sekali setiap bulan.
Sebutan semula ditetapkan pada 26 Oktober depan bagi penyerahan dokumen.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!