JERANTUT : Orang ramai di Jerantut diharap berhati-hati setelah tiga lagi pesakit dikesan oleh pihak Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Jerantut yang positif Covid-19, yang turut melibatkan kes pertama positif pada 25 September lalu, hari ini.
Dua pesakit wanita berusia 25 dan 35 tahun serta seorang lelaki berusia 56 tahun merupakan ahli keluarga yang tinggal di alamat yang sama di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Peringkat 3 dan 4 dilaporkan positif setelah mendapat rawatan dan pemeriksaan susulan.
Gerai sepanjang jalan berdekatan PAKR Peringkat 3 dan 4 dan PAKR Bandar Jerantut (410) diarah ditutup. – FOTO: Ihsan
Semua yang terbabit telah pergi ke Sabah secara berkumpulan bersama 14 orang lagi dan melawat tempat pelancongan, Pasar Filipina, Balai Polis Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Dengkil dan Gombak.
Selain itu, dilaporkan tiga orang anak suspek telah hadir ke sekolah di kawasan Bandar Jerantut.
Masjid Tengku Ahmad, Jerantut turut disembur dengan cecair sanitasi oleh pihak bomba- FOTO : Ihsan
Sementara itu, Masjid Tengku Ahmad, Jerantut turut disembur dengan cecair sanitasi oleh pihak bomba dan gerai sepanjang jalan berdekatan PAKR Peringkat 3 dan 4 dan PAKR Bandar Jerantut (410) diarah ditutup.
Orang ramai dikehendaki mematuhi operasi prosedur standard (SOP) dengan mengekalkan pejarakan fizikal, memakai pelitup muka, sentiasa membasuh tangan dan cuba hindari keluar ke kawasan orang ramai tanpa tujuan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Adakah Liga Malaysia (Liga M) kini boleh dianggap sebagai Liga Petani selepas hanya satu pasukan mampu merangkul kejuaraan dan pasukan lain terus ketinggalan apabila sekadar memburu gelaran naib juara?
Ketika ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) sedang berada di ambang kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut dan situasi ini menyaksikan dominasi mereka dalam saingan domestik terus gagal dicabar mana-mana pasukan.
Malah, dengan penswastaan pasukan bermula musim depan, timbul persoalan jika situasi itu akan terus melebarkan jurang antara pasukan yang mampu berbelanja besar dengan pasukan yang perlu bekerja dengan bajet yang terhad.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan kemajuan bola sepak di negara ini sepatutnya tidak terikat dengan pendapatan ataupun perbelanjaan sesebuah pasukan.
Jelasnya, jurang yang dapat disaksikan ketika ini bukanlah kerana gaji ataupun perbelanjaan tetapi ia lebih kepada jurang aspek teknikal yang tidaklah begitu besar dan mampu untuk ‘dikejar’ pasukan lain menerusi perancangan yang lebih strategik dan efektif.
“Industri kita sedang membangun dan bola sepak kita pun berada dalam proses transformasi. Kalau ada pelaburan daripada segi latihan dan infrastruktur, jurang perbelanjaan itu tidak besar kerana ia ditunjukkan dengan persembahan di atas padang.
“Jadi, kalau kita lihat jurang antara JDT dengan pasukan lain, saya boleh kata sendiri ia bukanlah jurang duit tetapi jurang bola sepak yang mana ia membabitkan aspek seperti pelaburan, infrastruktur, nutrisi, sains sukan dan sebagainya,” katanya.
Mengambil contoh UiTM FC, Stuart menjelaskan apa yang dilakukan pasukan itu ketika ini memberi gambaran yang terbaik terhadap apa yang boleh dicapai sesebuah pasukan sekiranya mereka bijak menggunakan sumber yang ada sekalipun tidak memiliki dana yang besar.
“Kita tengok UiTM FC yang menggunakan infrastruktur universiti, kepakaran sains sukan dan teknologi yang mereka ada. Saya rasa setiap pasukan ada kekuatan dan kelemahan sendiri.
“Pasukan seperti UiTM FC menggunakan kekuatan mereka untuk merealisasikan perbezaan atas padang walaupun ada kekurangan daripada segi bajet dan kemampuan lain.
“Selepas ini dengan penswastaan pasukan, mereka boleh bekerjasama dengan lebih banyak pihak contohnya dengan universiti tempatan untuk jangka masa panjang seperti yang dilakukan Liverpool yang bekerjasama dengan Universiti John Moores,” katanya.
Sumber- Berita Harian
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA KINABALU: “Yang di-Pertua Negeri Sabah meminta sedikit waktu bagi membuat pelantikan Ketua Menteri Sabah baharu.
“Dia (Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin) sudah meminta beberapa waktu dan ianya akan segera diselesaikan,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Dalam pada itu, Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata beliau menyerahkan segalanya kepada Tun Juhar untuk membuat keputusan terbaik.
“Yang di-Pertua Negeri akan putuskan,” katanya ringkas.
Sementara itu, dalam pertemuan yang mengambil masa kira-kira 30 minit yang berlangsung di Istana Negeri, Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim juga mengatakan mereka sudah menyerahkan dokumen kepada istana.
Semua dokumen berkenaan adalah dokumen-dokumen berkaitan pernyataan berkanun untuk menyokong pemilihan Ketua Menteri Perikatan Nasional (PN).
“Prosesnya lancar dan perbincangan yang baik.” katanya.
Turut mencuri tumpuan pengamal media ialah kedatangan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, namun beliau enggan ditemubual pihak media.
Sumber: Utusan
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tiba di pintu utama Istana Negeri kira-kira pukul 2.27 petang.
Selang beberapa minit kemudian, kenderaan membawa Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor turut kelihatan memasuki perkarangan istana sekitar pukul 2.30 petang.
Turut kelihatan tiba Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim pada jam 2.47 petang dan diikuti Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan pada pukul 3 petang.
Semua pemimpin utama parti berkenaan dipercayai hadir ke Istana Negeri untuk bertemu Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Istiadat angkat sumpah jawatan berkenaan dijangka dilaksanakan hari ini namun tiada sebarang makluman rasmi diterima ketika ini.
Terdahulu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terdiri daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) memenangi 14 kerusi dan Parti Bersatu Sabah (PBS) sebanyak tujuh kerusi.
Nama gabungan terbabit sepatutnya digunakan secara rasmi apabila tiga parti ini berjaya menubuhkan kerajaan baharu.
Sumber: Utusan
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Peningkatan keuntungan luar biasa membabitkan saham-saham sarung tangan, yang mendapat manfaat daripada krisis kesihatan telah meletakkan pasaran saham Malaysia pada kedudukan yang kukuh, sekali gus mendorongnya untuk muncul sebagai salah satu bursa paling kuat di Asia.
Namun begitu, tekanan dapat dirasai dan menjalar masuk dari pelbagai sudut.
Pasaran saham mengalami kemerosotan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan oleh kebimbangan yang kian meningkat dalam persekitaran pasaran tempatan.
Data Bloomberg menunjukkan bahawa penjualan asing saham-saham Malaysia meningkat minggu lalu, dengan aliran keluar mencapai AS$5 bilion setakat tahun ini, kadar terpantas sejak 2015.
Sementara saham berkaitan penjagaan kesihatan terus menjadi kegemaran pelabur runcit tempatan dan asing, kaunter kewangan sebaliknya pula mengalami tekanan dengan mencatatkan penurunan minggu ke minggu.
Terdapat dua jenis pelabur dalam pasaran ekuiti iaitu pelabur institusi (berkaitan kerajaan, dana pencen, dana amanah) dan pelabur runcit atau pelabur individu.
Sementara pelabur institusi cenderung memberikan sokongan kepada pasaran tempatan semasa penurunan untuk keuntungan jangka panjang, pelabur runcit pula lebih kepada melabur untuk keuntungan jangka pendek.
Menurut data dalam tempoh Isnin hingga Khamis, sejumlah RM217.9 juta aliran keluar runcit telah dicatatkan sementara aliran keluar dana asing pula sebanyak RM225.6 juta.
Kegiatan jualan secara besar-besaran dapat disaksikan pada kaunter-kaunter ( Pasaran Ace pada hari Khamis dan Jumaat selepas negara dikejutkan dengan pengumuman berkaitan situasi politik tempatan.
Bagaimanapun pada Jumaat, beberapa kaunter terpilih bangkit kembali dengan indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI mengakhiri urus niaga lebih tinggi pada 1,509.14, meningkat 8.34 mata. Peningkatan semula ini dipacu terutamanya oleh Hartalega dan Top Glove walaupun 19 kaunter lain berada dalam zon merah.
Seorang penganalisis berkata dalam minggu-minggu mendatang, beberapa aspek penting perlu dipantau kerana bursa tempatan dijangka berada dalam situasi tidak menentu yang berterusan.
“Dengan berakhirnya moratorium pada 30 September ini, saham perbankan dijangka mengalami kemerosotan berikutan kebimbangan berlakunya peningkatan dalam pinjaman tidak berbayar seiring dengan prestasi bank global.
“Ini boleh menjuruskan kegiatan menjual untuk mendapatkan keuntungan dalam kalangan pelabur runcit terutamanya ke atas saham bermodal kecil dan sederhana,” kata beliau.
Beliau menambah kestabilan politik tempatan turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur terutamanya bon-bon MGS.
“Kestabilan dalam pasaran tempatan penting kerana sebarang berita tidak menyenangkan boleh mengehadkan keuntungan di pasaran modal,” jelas beliau.
Di FBM KLCI, bursa tempatan kini berhadapan paras halangan semerta pada 1,520 dengan sokongan pada 1,480.
“Indeks Kekuatan Relatif (RSI) telah menunjukkan kedudukan saham KLCI yang terlebih jual walaupun kaunter sarung tanganlah yang menjadi penggerak utama indeks,” katanya.
Beliau menambah saham perbankan, didahului oleh gergasi perbankan tempatan Maybank telah menyaksikan permodalan pasarannya merosot kepada RM79.58 bilion selepas beberapa siri penurunan berterusan sejak COVID-19 menggegarkan pasaran global, sama seperti saham perbankan asing.
“Namun, apabila dibandingkan dengan bank asing, institusi kewangan tempatan terlindung daripada kejutan yang teruk kerana kedudukan kewangannya yang kuat, “katanya.
Bagi kaunter berkaitan penjagaan kesihatan, kaunter-kaunter ini terus menarik minat yang kuat dari dari pelabur domestik dan asing memandangkan kebimbangan terhadap COVID-19 tetap tinggi sementara keyakinan mendapatkan vaksin kembali neutral kerana ia masih lagi dalam fasa percubaan.
Untuk kaunter berkaitan tenaga pula, ia terus tidak menentu kerana harga minyak masih lemah kerana permintaan yang hambar.
“Prospek untuk sektor pengangkutan dan penerbangan masih lagi samar-samar kerana ia kini diletakkan di bawah garis masa yang tidak diketahui, tertakluk kepada pembukaan semula sempadan global selepas berakhirnya COVID-19,” kata beliau.
Penanda aras minyak mentah Brent berada pada harga AS$41.90 setong ketika ditutup pada Jumaat.
Sama seperti pasaran global yang akan terus dipengaruhi oleh perkembangan COVID-19 iaitu daripada kes jangkitan sehinggalah kepada perkembangan vaksin – begitu juga dengan bursa tempatan.
Selain COVID-19, perang teknologi antara Washington-Beijing yang sedang berlangsung akan terus memberi tekanan kepada saham teknologi kerana indeks petunjuk tempatan sentiasa memantau pergerakan NASDAQ.
Pilihan raya AS yang akan datang juga membuatkan para pelabur lebih peka. Pasaran yang baharu menjadi tumpuan juga tidak sabar menanti untuk melihat hala tuju ekonomi seterusnya yang bakal diambil oleh Rumah Putih.
Dari sudut pandangan tempatan, keputusan FTSE Russel untuk mengekalkan Malaysia dalam senarainya telah menyediakan ruang “kelegaan” jangka pendek untuk menarik pelabur.
Bagaimanapun, pasaran mungkin akan kekal dalam situasi tidak menentu sehingga selepas Belanjawan 2021 dibentangkan pada 6 November ini dan selepas selesainya segala ketidakpastian politik dalam negara.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
NEW YORK: New York yang pernah menjadi pusat wabak COVID-19 di Amerika Syarikat (AS), menyaksikan negeri itu merekodkan peningkatan kes jangkitan lebih 1,000 sehari, menurut pegawai tempatan pada Sabtu.
Angka itu tidak pernah disaksikan sejak 5 Jun, berdasarkan statistik diterbitkan Pejabat Gabenor Andrew Cuomo.
“Daripada 99,953 ujian dilaporkan semalam (Jumaat), 1,005 adalah positif,” kata Cuomo dalam hantaran dimuat naik di Twitter.
“Adalah penting masyarakat New York untuk terus mengamalkan tabiat asas yang boleh mendorong keupayaan melawan COVID-19 ketika kita sedang bergerak memasuki musim luruh dan selesema.
Kita akan terus memantau data secara rapat dan pastikan masyarakat New York dimaklumkan supaya mereka boleh membuat keputusan bijak untuk diri sendiri serta keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Secara keseluruhannya, situasi kesihatan di New York bertambah baik sejak kemuncak pandemik pada musim bunga.
Restoran di bandar New York yang sebelum ini terhad menjamu pelanggan dalam premis, kini dibenarkan untuk menyajikan makanan di luar bermula Rabu.
Namun, ia berdasarkan kapasiti yang dibolehkan iaitu pada kadar 25 peratus.
Keseluruhannya, AS pada Jumaat merekodkan tujuh juta kes jangkitan COVID-19 sejak pandemik itu tercetus.
Penyakit itu membunuh hampir 205,000 orang di negara itu, menurut angka dikeluarkan Universiti Johns Hopkins.
Sumber: AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
NEW YORK: India selaku pengeluar vaksin terbesar dunia akan menggunakan sumbernya untuk manfaat masyarakat dunia dalam memerangi pandemik COVID-19, kata Perdana Menteri, Narendra Modi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu.
Dalam ucapannya secara maya di Perhimpunan Agung PBB, Modi berkata kapasiti pengeluaran dan penghantaran vaksin akan digunakan untuk membantu semua manusia dalam memerangi krisis berkenaan.
“India juga akan membantu semua negara dalam meningkatkan rantaian dan kapasiti penyimpanan untuk pengiriman vaksin,” katanya.
Dalam ucapannya itu, beliau tidak menyentuh secara langsung mengenai perubahan iklim atau pertempuran di sempadan India dan China pada Jun lalu yang menyaksikan 20 anggota tentera India terbunuh.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menegaskan dalam ucapannya kepada PBB bahawa mana-mana negara yang membangunkan vaksin COVID-19 perlu berkongsi secara universal.
Morrison membuat rayuan dengan tegas ketika Amerika Syarikat menolak usaha global untuk berkolaborasi dalam membangunkan vaksin.
“Ini adalah tanggungjawab global dan tanggungjawab moral untuk memastikan pengagihan vaksin dilakukan secara meluas,” kata Morrison.
Modi turut mengulangi gesaan India supaya pembaharuan terhadap PBB dilakukan dan supaya negara kedua terpadat di dunia itu diberi lebih banyak pengaruh dalam badan global.
“Selama lapan hingga sembilan bulan ini, seluruh dunia memerangi wabak coronavirus. Di manakah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam usaha bersama melawan wabak ini? Di manakah tindak balasnya yang berkesan?,” soal Modi.
India bersama Norway, Ireland dan Mexico akan menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB untuk dua penggal bermula 1 Januari 2021.
Sumber: AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MELBOURNE: Perintah berkurung di Melbourne akan ditamatkan pada Isnin, selepas hampir dua bulan dilaksanakan di bandar kedua terbesar Australia itu dalam usaha mengekang peningkatan mendadak COVID-19.
Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews, berkata penduduk Melbourne bebas keluar dari kediaman mereka pada bila-bila masa untuk bekerja, bersenam dan membeli barang keperluan.
Kelonggaran itu diberikan selepas 16 jangkitan baharu dan dua kematian dilaporkan di Victoria pada Ahad serta kes aktif negeri terbabit menurun di bawah paras 400 untuk pertama kalinya sejak 30 Jun lalu
Perintah berkurung dikuatkuasakan di Melborune pada 2 Ogos lalu, bersamaan dengan sekatan lain ekoran berlaku lonjakan kes COVID-19 di bandar yang memiliki populasi sekitar lima juta orang.
Andrew berkata keputusan itu tidak dibuat secara sewenang-wenangnya tetapi tiada mana-mana pihak berhak untuk meletakkan semua risiko terhadap warga Victoria.
Bagaimanapun pergerakan orang ramai masih terbatas dalam lingkungan lima kilometer (km) dari kediaman mereka dan denda bagi yang melanggar sekatan lain akan dinaikkan menjadi AS$3,515 (RM14,662) bagi menghalang perbuatan itu.
Melbourne, ibu kota Victoria menjadi pusat gelombang kedua Australia selepas virus tersebar dari hotel yang menjadi pusat kuarantin perantau pulang dari luar negara.
Menurut Andrews beberapa sekatan lain juga akan ditarik semula, sekali gus membolehkan pekerja di industri tertentu kembali dan majlis keagamaan dalam skala kecil disambung semula.
Murid sekolah rendah akan kembali ke kelas mulai pertengahan Oktober dan pusat jagaan kanak-kanak turut akan dibuka semula dengan segera.
Lawatan ke hospital dan kemudahan penjagaan warga emas dibenarkan dengan syarat yang ketat, namun lawatan ke rumah akan tetap dilarang serta perjumpaan di luar rumah terhad kepada lima orang dari dua isi rumah.
Andrews berkata kediaman adalah antara persekitaran yang paling berisiko untuk penularan virus.
Secara relatifnya, Australia berjaya membendung penyebaran COVID-19, dengan merekodkan lebih 27,000 kes dan 872 kematian daripada populasi penduduk seramai 25 juta orang.
Sumber: AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA BHARU: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta bagi melaksanakan 802 projek pemuliharaan sungai di seluruh negara, sekali gus mengurangkan risiko banjir.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata peruntukan berkenaan adalah tambahan kepada peruntukan sedia ada yang diluluskan Unit Perancang Ekonomi (UPE) sebanyak RM80.3 juta untuk pelaksanaan 615 projek.
Katanya, kesemua 802 projek itu adalah bertujuan menangani dan mengurangkan impak kejadian banjir kepada rakyat menerusi pelaksanaan projek pemuliharaan tebing sungai, naik taraf sistem saliran dan kerja kecemasan luar jangka.
“Kita menganggarkan seramai 500,000 penduduk di kawasan yang dikenal pasti akan menerima manfaat apabila kesemua projek berkenaan siap menjelang akhir 2020.
“Bagi memastikan pelaksanaan 802 projek ini dapat memacu pertumbuhan ekonomi setempat, kaedah perolehan digunakan adalah melalui sebut harga dan undian membabitkan projek berskala kecil.
“Bagi projek bernilai RM100,000 ke bawah, perolehan projek adalah melalui kaedah undian, manakala yang bernilai RM800,000 ke bawah, ia melalui kaedah sebut harga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir majlis cabutan undi bagi kerja-kerja di bawah peruntukan KASA bagi jajahan Kota Bharu di sini, hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, semua projek berkenaan membabitkan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak diharap dapat berjalan secepat mungkin dan mampu disiapkan mengikut jadual,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA KINABALU: Belum ada keputusan muktamad untuk penetapan tarikh angkat sumpah Ketua Menteri baharu Sabah.
Berdasarkan maklumat dari Istana Negeri Sabah, tiada upacara angkat sumpah jawatan Ketua Menteri hari ini, lapor ASTRO Awani.
Difahamkan, terdapat sekurang-kurangnya tiga kumpulan daripada parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih berbincang untuk mencadangkan nama calon bagi jawatan Ketua Menteri.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada mana-mana kumpulan daripada GRS berhubung perkara itu.
Keadaan di pintu utama Istana Negeri juga tidak kelihatan sebarang pergerakan mana-mana pemimpin sama ada daripada GRS atau WARISAN.
Awal pagi tadi, Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata pengumuman mengenai calon Ketua Menteri yang baharu akan dibuat sebelum upacara berlangsung di Istana Negeri.
Dalam sidang medianya kira-kira jam 2.30 pagi tadi, Hajiji berkata keputusan untuk melantik Ketua Menteri akan dibuat selepas perbincangan antara Perikatan Nasional dan GRS diadakan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!