Servis Kedai Makan Dikecam, Pelanggan Berbuka Puasa Dalam Keadaan Kecewa
Temerloh- Sebuah kedai makan terkenal di daerah ini menerima kritikan hebat selepas seorang pelanggan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap layanan yang diterima ketika berbuka puasa bersama keluarganya.
Menurut pelanggan dari hantaran media sosial mereka telah membuat tempahan lebih awal pada jam 5 petang bagi mengelakkan sebarang kelewatan. Namun, sebaik tiba di premis berkenaan, mereka mendapati hidangan yang dipesan tidak lengkap.
Set makanan yang ditempah berharga RM99 untuk lima orang sepatutnya mengandungi beberapa lauk termasuk tomyam dan daging masak merah, namun kedua-dua hidangan tersebut tidak sampai ke meja mereka.
“Kami sekeluarga pelik kenapa air yang termasuk dalam set pun tidak sampai-sampai. Saya sudah berkali-kali bertanya kepada pekerja tentang nasi, tomyam, daging masak merah serta air, tetapi semuanya tidak muncul,” luah pelanggan berkenaan.
Lebih mengecewakan, nasi hanya sampai pada jam 7.40 malam, iaitu 20 minit selepas waktu berbuka. Situasi ini menyebabkan keluarganya terpaksa berbuka dengan makanan yang tidak lengkap.
Tidak cukup dengan itu, apabila tiba di kaunter untuk membuat bayaran, mereka dikejutkan dengan jumlah yang melebihi harga set asal.
“Saya terkejut apabila diberitahu jumlahnya lebih RM100, sedangkan kami hanya mengambil set RM99. Saya minta mereka kira semula, tetapi tetap ada perbezaan harga,” katanya lagi.
Insiden ini telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet, dengan ramai yang menyuarakan rasa simpati serta menggesa pihak kedai untuk memperbaiki sistem perkhidmatan mereka.
Sehingga kini, pihak pengurusan premis tersebut masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian ini.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
“Temerloh Meriah Menjelang Aidilfitri, Trafik Terkawal Walaupun Sibuk”
TEMERLOH – Suasana di bandar Temerloh semakin rancak dengan kemeriahan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli juadah berbuka puasa serta kelengkapan raya, terutama di bazar Ramadan Dataran Temerloh dan pusat perniagaan utama.
Tinjauan SAHIH mendapati laluan sekitar bandar dan jalan utama masih terkawal meskipun jumlah kenderaan meningkat, terutamanya pada waktu petang dan selepas berbuka puasa. Antara lokasi yang mencatatkan peningkatan trafik ialah sekitar Jalan Bandaran Temerloh dan Mentakab, serta jalan utama seperti Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dan Jalan Triang-Temerloh.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, berkata pihaknya telah mengatur strategi bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang musim perayaan ini.
“Kami menasihatkan orang ramai merancang perjalanan terutama ke bazar Ramadan dan pusat beli-belah bagi mengelakkan kesesakan. Setakat ini, aliran trafik masih dalam keadaan terkawal dengan pemantauan berterusan pihak berkuasa,” katanya.
Menurut laporan Op Lancar/Op Selamat 24, laluan utama di daerah ini berada pada tahap memuaskan , menunjukkan aliran trafik yang lancar.
Walaupun hujan turun pada sebelah petang, ia tidak menghalang penduduk untuk keluar membeli juadah berbuka dan barangan persiapan raya.
Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Jangan memandu secara tergesa-gesa atau melanggar peraturan hanya kerana mahu cepat sampai ke destinasi.
Sama-sama kita pastikan perjalanan pulang ke kampung dan persiapan raya berjalan dengan lancar dan selamat,” tambah Mazlan.
Dengan kerjasama semua pihak, sambutan Aidilfitri di Temerloh dijangka berlangsung dalam suasana yang meriah dan harmoni tanpa sebarang gangguan lalu lintas yang serius.-SAHIH
“
“
“
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Aliran trafik di Lebuhraya KL-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) mencatatkan jumlah kenderaan yang tinggi pada pagi Sabtu, 29 Mac 2025, menandakan peningkatan pergerakan kenderaan menjelang hujung minggu.
Berdasarkan data yang diperoleh, sebanyak 62,788 kenderaan telah melalui KLK dari jam 12.00 tengah malam hingga 11.00 pagi, dengan purata sebanyak 5,708 kenderaan sejam. Daripada jumlah itu, arah timur mencatatkan sebanyak 51,766 kenderaan manakala arah barat pula merekodkan 11,022 kenderaan.
Di LPT1 pula mencatatkan jumlah sebanyak 43,220 kenderaan dalam tempoh yang sama.
Purata kadar kemasukan kenderaan di lebuh raya tersebut ialah 3,929 kenderaan sejam, manakala kadar keluar ialah 2,011 kenderaan sejam dengan jumlah keseluruhan keluar sebanyak 22,118 kenderaan.
Perbandingan dengan ambang purata trafik mengikut kategori menunjukkan bahawa jumlah trafik di KLK pada pagi Sabtu ini hampir menyamai purata hujung minggu yang biasanya mencatatkan 6,119 kenderaan sejam.
Bagaimanapun, ia masih di bawah jumlah purata trafik musim perayaan yang boleh mencapai 8,195 kenderaan sejam.
Bagi LPT1, jumlah kemasukan kenderaan juga melebihi purata hujung minggu iaitu 2,139 kenderaan sejam dan menghampiri angka trafik musim perayaan sebanyak 3,816 kenderaan sejam.
Sementara itu, kadar keluar di LPT1 turut meningkat berbanding purata hujung minggu iaitu 2,049 kenderaan sejam, tetapi masih di bawah paras perayaan yang boleh mencecah 3,857 kenderaan sejam.
Pihak berkuasa menasihatkan pengguna lebuh raya agar merancang perjalanan dengan bijak dan mematuhi arahan trafik bagi memastikan kelancaran perjalanan terutama pada hujung minggu yang menyaksikan peningkatan kenderaan di lebuh raya utama negara.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN – Sebuah rumah separuh kekal di Jalan Jengka 7, Maran musnah dalam kebakaran petang semalam, hanya dua hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.14 petang itu, rumah berkeluasan 40 kaki x 80 kaki itu terbakar hampir 80 peratus. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Komander operasi, PBK, Nor Dzaini bin Md Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum mengerahkan anggota dan jentera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 31 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka.
Komander operasi lapor PPgB Mohd Zulkifli bin Mohd Zainal turut hadir di lokasi bagi meninjau keadaan dan membantu dalam operasi.
“Jentera tiba di lokasi pada jam 6.48 petang dan operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan satu nozle, satu aliran hos 100 kaki dengan satu nozle serta dua aliran hos salur bantu mula dari tangki pam jentera bomba. Kami juga menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran,” katanya.
Menurutnya, operasi turut dibantu BBP Maran yang menghantar enam anggota bersama satu jentera FRT ke lokasi kejadian.
Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.02 malam, namun kerja-kerja pemantauan masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang boleh mencetuskan api
Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian.
JBPM mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam penggunaan peralatan elektrik dan api terbuka, terutama menjelang musim perayaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dzul Azrul Azhar Ucap Selamat Hari Raya, Hargai Sokongan Rakyat Temerloh
TEMERLOH: Calon Ketua Cabang PKR Temerloh, Dzul Azrul Azhar, mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga Temerloh sambil menyampaikan penghargaan atas sokongan yang diberikan kepada beliau dan perjuangan parti.
Dalam satu kenyataan hari ini, Dzul Azrul menzahirkan rasa syukur kerana dapat menyambut Aidilfitri bersama masyarakat setempat setelah melalui bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua warga Temerloh, khususnya ahli dan penyokong PKR. Semoga lebaran kali ini membawa kebahagiaan serta mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan kita,” katanya.
Beliau juga mengajak rakyat untuk terus mengekalkan semangat perpaduan dan kesederhanaan dalam menyambut perayaan ini.
“Di sebalik kegembiraan menyambut Aidilfitri, jangan kita lupakan mereka yang kurang bernasib baik. Marilah kita bersama-sama berkongsi rezeki dan memastikan tiada sesiapa yang dipinggirkan dalam meraikan Syawal ini,” katanya lagi.
Sebagai calon Ketua Cabang PKR Temerloh, Dzul Azrul turut menegaskan komitmennya dalam membawa suara rakyat ke peringkat lebih tinggi serta memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan, saya berjanji akan terus bekerja keras dalam memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat Temerloh. Marilah kita bersama-sama membentuk masyarakat yang lebih harmoni dan maju,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati di jalan raya ketika pulang ke kampung halaman dan menjaga kesihatan sepanjang musim perayaan ini.
“Semoga perjalanan anda semua selamat dan dapat meraikan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan bersama keluarga tercinta,” katanya mengakhiri kenyataan tersebut.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ANAK PERANTAU TEMERLOH, SELAMAT PULANG BERHARI RAYA!
TEMERLOH– Suasana Aidilfitri semakin terasa apabila anak-anak perantau mula pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran bersama keluarga.
Bagi mereka yang bakal memandu sendiri, pastikan kenderaan dalam keadaan baik dan patuhi peraturan jalan raya. Jangan gopoh, kerana keluarga di kampung sudah tidak sabar menanti kepulangan anda.
Calon Ketua Cabang PKR Temerloh, Dzul Azrul Azhar, turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat pulang kepada semua anak perantau Temerloh.
Beliau mendoakan agar perjalanan mereka selamat dan diberkati serta berharap kemeriahan Aidilfitri dapat menyatukan seluruh keluarga. Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan semua agar mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.
Bagi yang menggunakan pengangkutan awam pula, elakkan tidur terlalu lena dalam perjalanan. Takut nanti terlepas stesen, melepas pula peluang untuk beraya bersama keluarga tersayang. Rancang perjalanan dengan baik supaya dapat menikmati perayaan ini tanpa sebarang kesulitan.
Dzul Azrul yang juga Ketua Biro Keusahawanan Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan bahawa semangat perpaduan dalam masyarakat amat penting, bukan hanya dalam politik, tetapi juga dalam kehidupan seharian.
Dengan kepulangan ribuan perantau, Temerloh bakal kembali meriah dengan suasana raya yang penuh nostalgia. Semoga perjalanan semua anak perantau dipermudahkan dan selamat tiba ke destinasi masing-masing.-SAHIH
Teruskan mengikuti perkembangan terkini di platform media sosial:
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Ketua Cabang PKR Temerloh Ziarah Anak Muda Hidap Cerebral Palsy
TEMERLOH – Calon Ketua Cabang PKR Temerloh, Dzul Azrul Azhar, meluangkan masa menziarahi seorang anak muda berusia 27 tahun yang menghidap penyakit Cerebral Palsy sejak lahir dalam program Ziarah Prihatin di Kampung Kenangan, di sini.
Menurut Dzul Azrul, pemuda tersebut sudah lama dikenali penduduk setempat, dan kehadirannya bukan sekadar lawatan, tetapi satu tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
“Saya sempat menziarahi anak muda ini yang telah berjuang dengan penyakitnya sejak lahir. Kehidupan yang dilalui pastinya penuh cabaran, dan saya percaya kita semua perlu mengambil iktibar serta bersama-sama membantu mereka yang memerlukan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Tambahnya, beliau amat menghargai semangat keluarga pemuda berkenaan yang tetap tabah menjaga dan memberi sokongan tanpa jemu.
“Kita perlu pastikan kebajikan golongan istimewa seperti ini terus diberi perhatian. Saya menyeru agar lebih ramai tampil menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk,” ujarnya.
Lawatan tersebut mendapat perhatian ramai apabila penduduk Kampung Kenangan berkongsi pengalaman mengenali pemuda itu sejak kecil. Rata-rata menyatakan rasa terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan Dzul Azrul dan berharap lebih ramai pemimpin serta masyarakat cakna terhadap golongan kurang upaya.
Program Ziarah Prihatin merupakan sebahagian daripada inisiatif yang dibawa oleh Dzul Azrul dalam usaha mendekati masyarakat dan memahami keperluan mereka secara lebih dekat.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BELI LUAR KEMAMPUAN, BELI DAHULU BAYAR KEMUDIAN CEKEK DARAH!
Pembelian secara ansuran melalui kaedah ‘Beli Dahulu, Bayar Kemudian’ (BNPL) boleh membawa membawa risiko hutang yang boleh membebankan jika tidak diurus dengan baik.
Hari ini, BNPL semakin popular dalam kalangan rakyat kerana ia membolehkan pembelian dilakukan tanpa perlu membayar jumlah penuh serta-merta. Pembeli hanya perlu membuat bayaran kecil secara ansuran bulanan, menjadikannya kelihatan lebih ‘ringan’ di dompet
Namun, kajian menunjukkan penggunaan BNPL tidak terkawal boleh membawa kepada hutang berpanjangan. Statistik menunjukkan jumlah transaksi BNPL meningkat kepada RM7.1 bilion pada separuh kedua 2024, iaitu kenaikan lebih 44 peratus berbanding separuh pertama tahun sama.
Menurut Kementerian Kewangan, terdapat lebih 5.1 juta pengguna BNPL masih aktif sehingga penghujung 2024, dengan majoritinya berusia antara 21 hingga 45 tahun serta berpendapatan bawah RM5,000 sebulan.
Walaupun ramai menganggap kaedah ini sebagai penyelesaian mudah dalam pembelian, hakikatnya sekitar 40 peratus pengguna BNPL menghadapi kesukaran membayar ansuran, menyebabkan mereka dikenakan caj penalti sekali gus menambah beban kewangan.
Pelbagai platform BNPL popular di Malaysia. Walaupun kebanyakan platform ini menawarkan ansuran tanpa faedah dalam tempoh tertentu, kegagalan membuat pembayaran mengikut jadual boleh membawa risiko besar seperti dikenakan caj RM10 jika lewat membayar dan ada akaun disekat sekiranya hutang tidak dilunas.
Ini menunjukkan walaupun BNPL kelihatan mudah dan fleksibel, ia tetap mempunyai risiko kewangan yang boleh membebankan pengguna sekiranya tidak digunakan dengan bijak.
Salah satu risiko utama BNPL ialah perbelanjaan yang melebihi kemampuan kewangan. Oleh kerana pengguna tidak perlu membayar jumlah penuh ketika membuat pembelian, mereka lebih cenderung membeli barangan yang sebenarnya di luar kemampuan sekiranya dibayar secara tunai.
Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan hutang yang membebankan serta tekanan kewangan, terutama selepas musim perayaan. Selain itu, caj penalti dan kadar faedah tersembunyi dikenakan akibat kelewatan pembayaran boleh menjadikan jumlah hutang BNPL jauh lebih tinggi daripada jangkaan asal.-SAHIH.
Sumber asal : Berita Harian
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENUNGGANG MAUT LANGGAR LEMBU DI JALAN FELDA BUKIT KEPAYANG
BERA – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar seekor lembu di Jalan Felda Bukit Kepayang, lewat malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, mangsa, Muhammad Hafiz Bin Khairi, 26, yang menunggang motosikal jenis Honda Vario mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Bera menuju ke Felda Bukit Kepayang sebelum motosikalnya melanggar lembu yang melintas secara tiba-tiba. Perlanggaran itu menyebabkan motosikalnya hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.
“Keadaan jalan di lokasi kejadian adalah lurus dengan sistem satu lorong dua hala serta garisan berkembar di tengah sebagai pembahagi. Bagaimanapun, tahap pencahayaan di kawasan tersebut gelap tanpa lampu jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia akibat kecederaan parah. Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat yang dijadualkan pada pagi ini.
Mangsa yang merupakan seorang pembantu restoran itu mempunyai lesen memandu yang sah, dan motosikalnya dilaporkan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan akibat impak pelanggaran.
Menurut Zulkiflee, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis juga sedang mengesan saksi bebas yang mungkin menyaksikan kejadian bagi membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika melalui kawasan yang sering menjadi laluan haiwan ternakan, terutama pada waktu malam, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Rekabentuk sebuah rumah kampung menjadi elemen penting kesenian Melayu dalam persediaan dan persiapan membina Rumah Pelita Raya Jerantut 2025 yang diletakkan di perkarangan Taman I-City, Jerantut, dekat sini.
Tujuan utama elemen ini diketengahkan agar menyedarkan masyarakat setempat tentang adat seni budaya dan falsafahnya yang kian pudar selain dapat mengimbau kenangan bagaimana masyarakat dahulu membuat persediaan menyambut raya seadanya tetapi meriah.
Yang DIpertua Majlis Daerah Jerantut (MDJ), Datuk Sharuddin Jali berkata, penyediaan Rumah Pelita Raya Jerantut 2025 itu sangat menitik beratkan elemen seni yang terdapat di rumah kampung zaman dahulu dengan mempamerkan persekitaran rumah itu dengan pelbagai elemen.
Rumah Pelita Raya 2025 Jerantut dihiasi lampu
“Di laman rumah terdapat alat lesung kaki untuk menumbuk padi menggunakan kaki sebelum mesin padi seperti sekarang digunakan sebagai lambang penduduk yang mengerjakan sawah padi sebagai makanan utama masyarakat.
“Selain itu, turut mempamerkan tempayan untuk membasuh kaki yang diletakkan di tepi tangga sebelum naik ke rumah menunjukkan bertapa kebersihan diutamakan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Katanya, terdapat juga telaga yang memang sinonim di rumah kampung dan pagar buluh turut digunakan untuk mengelilingi rumah atau kebun, malah buluh bukan sahaja tahan lasak tetapi juga mempunyai nilai seni dalam corak susunannya dalam pembinaannya.
“Menariknya, reban ayam atau serkap ayam turut terdapat di sekitar rumah kampung kerana masyarakat kampung dahulu turut memelihara ternakan seperti ayam, itik, kambing atau lembu kerana menjadi penting dalam kehidupan desa untuk sumber makanan dan jualan.
“Pembinaan rumah kampung Pelita Raya 2025 tidak meminggirkan anjung rumah iaitu kawasan separa terbuka di rumah tradisional untuk berehat atau menerima tetamu dan dihiasai seni bina Melayu sering menghiasi anjung dengan ukiran kayu dan reka bentuk yang berfungsi untuk pengudaraan,” katanya.
Kakitangtan MDJ bergambar kenangan di hadapan Rumah Pelita Raya 2025 MDJ
Beliau menambah, meriam buluh yang menjadi alat permainan penduduk kampung khususnya remaja dengan menggunakan karbait dan diisi air untuk menghasilkan bunyi dentuman kuat, selalunya dimainkan di waktu malam menjelang sambutan hari raya.
“Lampu Panjut dipasang di sekitar laman rumah terutama menjelang seminggu sambutan hari raya yang turut digelar ‘lampu tujuh likor’ dan diperbuat daripada buluh atau tin berisi minyak tanah.
“Walaupun Bunga Rafflesia, bunga terbesar di dunia itu tidak menjadi keutamaan di rumah kampung, oleh kerana hidupan ini terdapat di dalam hutan di daerah ini, pihak Majlis Daerah Jerantut (MDJ) mengambilnya sebagai satu simbol yang turut menjadi kebanggaan daerah ini turut dipamerkan di laman rumah ini,” katanya.
Katanya, pembinaan Rumah Pelita Raya 2025 MDJ, halaman rumah melambangkan ketenangan dan kesejahteraan dalam hidup masyarakat kampung dengan meletakkan kolam ikan.
Pegawai Unit Pelancongan MDJ, Yusliza Mat Yunus berkata, susunan dan binaan di Rumah Pelita Raya 2025 sangat teliti, sebelum membina pihak MDJ berbincang dan meneliti daripada gambar-gambar rumah kampung agar pembinaannya tidak mahu terlepas elemen penting itu.
“Antaranya, membina kolam ikan mini di halaman rumah melambangkan ketenangan dan kesejahteraan dalam hidup masyarakat kampung.
“Setelah melihat senibina dengan dihiasi pelita di laman rumah itu, terkenang pula saya semasa zaman kanak-kanak yang berlari riang di sekitar rumah malah sekeliling kampung rumah sanak saudara berdekatan.
“Kalau tiada pelita dipasang di sekitar rumah dan laluan ke rumah makcik, pakcik pasti takut kerena gelap, tetapi apabila lampu pelita dipasang, menjadi meriah dan kami sekumpulan kanak-kanak ‘berarak’ dari rumah ke rumah sanak saudara tanda rasa takut kerana terang benderang,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!