JERANTUT: Usaha untuk menarik lebih ramai remaja mengunjungi dan memakmurkan masjid, Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka melancarkan program Kelab Remaja Masjid, semalam.
Program itu adalah hasil perbincangan pihak pengurusan 35 masjid dalam kawasan Wilayah Jengka sejak bulan Oktober bulan lepas.
Pengerusi Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, setakat ini 40 pelajar sekolah sudah mendaftar sebagai Kelab Remaja Masjid dan jumlah itu dijangka meningkat sebaik sesi persekolahan dapat dibuka semula tidak lama lagi.
“Idea ini adalah hasil sumbang saran 35 buah masjid dan juga barisan ahli jawatankuasa gabungan masjid untuk mengatasi isu ketirisan jemaah remaja di masjid.
“Jadi kita perkenalkan program Kelab Remaja Masjid untuk tarik remaja bersama-sama memeriahkan masjid di Wilayah Jengka,” katanya.
Pengerusi Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud
Jawatankuasa itu turut disertai Pengarah Program Penggerak Kelab Remaja Masjid, Yunan Abd Samad; Penyelaras Kemajuan Hal Ehwal Islam FELDA Wilayah Jengka, Muhamat Faizal Marjani dan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 24, Hamdan Ramli.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Program itu diharap meningkatkan kehadiran remaja ke masjid dan mendapat sokongan daripada semua pihak, terutamanya ibu bapa dalam memperkasakan syiar Islam di Pahang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
CARI JALAN BAIKI KESILAPAN AGAR TIDAK BERULANG, JWN, MUZIUM NEGARA BOLEH USAHA PROGRAM KESEDARAN
Peninggalan (relics) binaan abad ke-18 atau ke-19 dipercayai kapal dagang milik Inggeris timbul di Kampung Pagar di Mukim Pejom selepas banjir berlaku baru-baru ini.
Sama seperti aliran bah yang melanda, khabar mengenai peninggalan tersebut menjadi tular dengan pantas. Namun, syukur apabila mendapati ianya kini berada bawah pengawasan dan pengurusan Jabatan Warisan Negara (JWN).
Kapal lama muncul selepas banjir di Kg Penjom baru-baru ini.
Memang sedikit terlewat, namun tetap ada ruang untuk relik kapal tersebut diselamatkan agar dapat menjadi bahan tatapan sejarah, mudah-mudahan.
Malaysiakini semalam melaporkan berita mengenai langkah JWN itu adalah suatu perkembangan yang sangat baik dan bernas
Input yang disampaikan JWN berinformatif serta berfakta, bukannya sekadar petikan cerita-cerita bawaan mulut yang seronok dengan sensasi.
Kepingan logam yang ditemui di kapal lama itu
Lebih malang ada antara cerita-cerita yang disebarkan itu sarat dengan tokok tambah dan fantasi.
Hal itu berlaku kerana kebanyakan kita tidak mempunyai maklumat yang betul selain gagal memahami serta menghargai nilai warisan sejarah itu. Maka ia menyumbang kepada apa yang boleh kita istilahkan sebagai pembantaian gergaji besi (chainsaw massacre).
Maka kita melihat relik bernilai itu disiat-siat dan dirobek oleh pihak yang jahil tanpa sedikit pun rasa bersalah atau rugi. Maka ada orang yang ‘menyamun’ kepingan tembaga pada badan kapal itu semata-mata untuk mendapatkan wang segera.
Bandar Kuala Lipis disohorkan sebagai Bandar Warisan Sejarah. Memperkenalkan Kuala Lipis dengan slogan itu sangat kena untuk sebuah pekan tua yang sudah merakam deretan sejarah semenjak zaman tori atau ratusan tahun dahulu lagi.
Bahagian kapal lama
Zaman tori itu bermaksud zaman dahulu kala dalam loghat orang Pahang. Loghat bahasa juga termasuk dalam ketegori warisan sebenarnya. Hal ini pun jarang diketahui dan tidak diambil cakna oleh orang.
Merujuk kepada slogan itu, saya berasa sedikit cuak dan musykil juga. Saya khuatir kefahaman orang ramai sekadar seronok melagukan romatis kata tersebut sahaja.
Malang juga identiti Kuala Lipis ini tidak dijiwai sambil menghayati maksud yang terkandung. Rasanya peristiwa pembantaian pada peninggala yang timbul di Kampung Pagar itu tidak akan terjadi kalau semua orang faham betapa bernilainya sesuatu warisan sejarah.
Komuniti mesti tahu dan maklum apakah langkah-langkah yang perlu diambil apabila ada sesuatu seperti relik itu ditemui. Sekurang-kurangnya di peringkat kepimpinan kampung, pemimpin masyarakat mesti tahu apakah langkah awal yang perlu diambil.
Sebahagian badan kapal lama ditemui selepas banjir baru-baru ini
Pada penemuan sebegitu ada banyak sejarah dan maklumat yang boleh kita pelajari. Malah ada kemungkinan ia ada kaitan secara langsung dengan diri kita sendiri.
Jika pun tidak, kisah dan sejarah yang disimpan relik itu sudah tentu dapat mencelikkan apa yang tidak kita nampak sebelum ini, serta menjelaskan apa yang kabur.
Namun pandangan ini bukanlah bermaksud kita wajar bermain menuding jari ke sana sini. Sebaiknya lebih elok hal ini difikirkan dan diberi penilaian bersama.
Cari jalan bagi memperbaiki kesilapan agar ia tidak berulang. Mungkin JWN dan pihak muzium boleh mengusahakan program kesedaran kepada komuniti setempat.
Juga boleh di bina jalinan kerjasama sukarela di antara pihak JWN, muzium dan NGO setempat.
Peninggalan kapal lama dipercayai berusia 200 tahun dijarah setelah diketahui umum
Kota raya Paris menjual nilai romantisme bersejarahnya dengan Menara Eiffel. Kita di sini pun mampu mengangkat nilai warisan kita ke mata dunia. Syaratnya, tentulah perlukan kebijakan mengolah serta cermat menghargai.
Kita kena ada semangat berbangga dengan jati diri sebagaimana orang kota Paris. Alangkan Bengawan Solo itu dinyanyikan orang di seluruh dunia.Faham maksud saya?
Cubalah gerak dan aktifkan otak kepada hal-hal yang positif. Maka kita selangkah lebih hampir kepada kelestarian.
Kredit : UBI MARCHINO ialah pelukis, aktivis alam sekitar dan Pengerusi Persatuan Komuniti Sahabat Warisan Lipis (Sawali).
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEHRAN: Pengawal Revolusi Iran melaksanakan ujian peluru berpandu balistik terhadap beberapa sasaran di Lautan Hindi ketika mengakhiri sesi latihan selama dua hari, lapor laman sesawang rasminya hari ini.
Peluru berpandu pelbagaikelas itu menyasarkan kapal perang musuh dan memusnahkan mereka dari jarak 1,800 kilometer, menurut laman sesawang Sepahnews.
Peluru berpandu itu dilancarkan dari Iran ke arah sasaran yang terletak di utara Lautan Hindi, kata Pengawal Revolusi Iran.
Satu video yang disiarkan media negara itu menunjukkan dua peluru berpandu dilancarkan dan tepat kena pada sasaran di laut.
Ketua Staf Pasukan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Bagheri, hadir pada hari kedua latihan itu bersama Ketua Pengawal Revolusi Iran, Mejar Jeneral Hossein Salami dan Komander Aeroangkasa Iran, Brigadier Jeneral Amir Ali Hajizadeh.
“Satu daripada dasar pertahanan dan strategi utama kami adalah untuk mampu menyasarkan kapal musuh, termasuk kapal perang dan kapal pengangkut pesawat, menggunakan peluru berpandu balistik,” kata Hossein.
Mohammad berkata, pelancaran itu menunjukkan Iran bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang musuh berniat jahat dan memberi amaran jika perlu, musuh akan dimusnahkan dengan peluru berpandu.
“Kami tidak berhasrat memulakan sebarang serangan,” katanya sambil menambah latihan itu menunjukkan kesiapsiagaan Iran untuk mempertahankan diri dengan seluruh kekuatan bagi menangani sebarang ancaman.
Latihan yang dinamakan Great Prophet15 itu turut mempamerkan serangan dron terhadap sistem pertahanan peluru berpandu, disusuli pelancaran sekumpulan peluru berpandu balistik darat ke darat generasi baharu.
Perang saraf itu diadakan ketika ketegangan memuncak menjelang hari-hari terakhir pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ia juga adalah latihan ketenteraan Iran yang ketiga dalam tempoh kurang dua minggu selepas latihan tentera laut di Teluk Oman pada Rabu dan Khamis lalu serta latihan dron tentera pada 5 dan 6 Januari lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SYDNEY: Pasukan bomba Australia sedang berusaha memadamkan kebakaran hutan di Perth hari ini, yang kini sudah merebak di luar kawalan dan mengancam nyawa serta kediaman penduduk.
Jabatan Kebakaran dan Perkhidmatan Kecemasan, dalam satu amaran, berkata penduduk di beberapa kawasan pinggir bandar diminta bertindak segera untuk selamat.
Ketika ini, kebakaran menghampiri kediaman berhampiran Oakford, yang terletak kira-kira 35 kilometer (km) di selatan Perth, lapor AFP.
Penduduk tempatan diarah meninggalkan kediaman masing-masing dan mencari tempat berlindung jika keadaan mengizinkan, susulan asap tebal mula menyelubungi kawasan itu.
Gambar daripada udara menunjukkan sekurang-kurangnya satu kediaman terbakar, dengan beberapa pesawat melepaskan air daripada udara untuk mengawal api yang marak.
Beberapa jalan ditutup dan pusat pemindahan disediakan manakala pasukan bomba berusaha mengawal kebakaran dalam keadaan amat sukar berikutan angin meniup api ke arah barat laut dan suhu melebihi 32 darjah Celsius.
Beberapa kebakaran hutan lebih kecil turut dilaporkan di sekitar pinggir bandar Perth.
Australia barat terselamat daripada kebakaran hutan pertengahan tahun lalu, yang kebanyakannya melanda dua negeri paling ramai penduduk iaitu New South Wales dan Victoria.
Kebakaran itu meliputi kawasan hutan dan belukar seluas lebih 24 juta hektar di seluruh Australia berikutan cuaca kering pada hujung 2019 dan awal tahun lalu, meragut lebih 30 nyawa serta memusnahkan ribuan kediaman.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MIRI: Seorang perempuan berusia 16 tahun dirogol oleh tahanan bawah umur ketika ditahan polis di Balai Polis Pusat Miri, Sarawak pada minggu lalu.
Berdasarkan laporan polis yang dibuatnya, dia ditahan pada 8 Januari lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian haram.
Ketika ditahan di sel lokap berasingan daripada tahanan lelaki, mangsa mendakwa pintu sel lokap lelaki tidak berkunci.
GAMBAR HIASAN
Kemudian, pada 9 Januari, mangsa berkata pelaku, yang didakwanya mempunyai kunci, membuka pintu sel lokapnya dan merogolnya di tandas.
Menurut Senator Alan Ling, yang menemani remaja itu membuat laporan polis, pelaku tersebut merupakan pesalah juvana.
Perogol itu telah didakwa pada 12 Januari atas perbuatan itu dan mengaku bersalah.
Dalam laporannya, remaja itu menggesa polis agar menyiasat kecuaian yang menyebabkan dia dirogol, serta jika ada unsur persubahatandan penglibatan pihak polis.
Ketua polis Sarawak, Aidi Ismail ketika dihubungi berkata, dua pegawai polis yang ditugaskan menjaga lokap ketika kejadian itu telah digantung tugas dan kini dalam siasatan.
“Mereka sepatutnya menjalankan tugas tetapi gagal melakukannya.
“Kami juga akan menyiasat penyelia mereka, sama ada telah mengawasi kedua-dua anggota tersebut dan adakah semuanya dalam keadaan seperti sepatutnya atau tidak, “katanya kepada Malaysiakini.
Sementara itu, Ling dan pembantunya Lawrence Law – kedua-duanya merupakan peguam – mempertimbang untuk memfailkan saman sivil bagi pihak remaja tersebut, bagi mendapatkan pampasan dan ganti rugi atas kejadian yang berlaku.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PELAJAR DAN TENAGA PENGAJAR GIAT MARA AKAN DIAKTIFKAN
LIPIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengaktifkan pelajar dan tenaga pengajar Giat Mara dalam bidang pendawaian elektrik untuk membantu membaiki pendawaian elektrik di rumah penduduk yg terjejas kerana bencana banjir baru-baru ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB)1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, tenaga mahir pelajar dan tenaga pengajar Giat Mara itu boleh membantu mangsa banjir mendapat bekalan elektrik dengan cepat.
Datuk Seri Abdul Rahman (kiri) sebelum menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir, hari ini
“Kita maklum banyak rumah mangsa yang ditenggelami air dan bekalan elektrik terputus dan memerlukan pemantauan dan pemeriksaan yang rapi sebelum bekalan disambung semula bagi mengelak kecelakaan renjatan elektrik.
“Giat Mara bersedia dengan kemahiran yang ada serta boleh membaiki rumah mangsa selain meningkatkan lagi kemahiran mereka secara amali,” katanya selepas Program Penyerahan Bantuan Prihatin Felcra di Dewan Terbuka, Kampung Mela, Mukim Cheka, hari ini.
Penyampaian di Program Penyerahan Bantuan Prihatin Felcra di Dewan Terbuka, Kampung Mela, Mukim Cheka, hari ini.
Katanya, peranan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) diminta mengenal pasti kerosakan pendawaian rumah mangsa di kawasan masing-masing.
“Sekiranya kerosakan yang serius dan memerlukan peruntukan besar, JKKK diminta membuat laporan rasmi kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara Jabatan Perdana Menteri (NADMA),” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JAKARTA : Pihak berkuasa Indonesia mengeluarkan amaran kemungkinan berlakunya gempa lebih kuat, yang boleh mencetuskan amaran tsunami di Sulawesi Barat, susulan gempa bermagnitud 6.2 , awal pagi tadi.
Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia Dwikorita Karnawati dalam siaran media menerusi webinar berkata, sehingga 10 pagi tadi, sebanyak 28 gempa susulan bermagnitud sederhana di bawah magnitud 5 berlaku di kawasan berkenaan.
Menurut analisis BMKG, gempa itu disebabkan pergerakan batuan dan tanah Mamuju dan ia adalah ulangan pergerakan batuan dan tanah yang pernah terjadi pada tahun 1969 (yang mencetuskan gempa bermagnitud 6.9) dan 1984 (yang mencetuskan gempa bermagnitud 6.7).
“Gempa susulan (yang lebih kuat) memungkinkan untuk terjadinya tanah runtuh di dasar laut sehingga berpotensi terjadi tsunami ,” kata Dwikorita.
Pihak berkuasa Indonesia kini, mengeluarkan arahan supaya penduduk di kawasan terbabit menjauhi kawasan pantai dan lereng bukit, kerana gempa susulan dikhuatiri berpotensi berlaku tsunami atau kejadian tanah runtuh.
Sementara itu, Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Kebencanaan, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia Dr Raditya Jati, dalam satu kenyataan berkata, pasukan mencari dan penyelamat membabitkan pelbagai agensi seperti BNPB, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), tentera, polis dan agensi lain yang berkaitan, dikerahkan ke kawasan kejadian.
Gempa bumi kuat bermagnitud 6.2 berpusat di enam kilometer (km) Timur Laut-Majene-Sulawesi Barat, pada kedalaman 10 km berlaku di Sulawesi Barat, Indonesia, awal pagi tadi, dikhuatiri mengorbankan ramai mangsa berikutan berlakunya runtuhan rumah dan bangunan serta kejadian tanah runtuh.
Menurut BNPB dalam satu kenyataan setakat 11 pagi tadi, lebih 600 cedera, ratusan rumah dan bangunan termasuk Rumah Sakit (hospital) Mitra Manakarra Mamuju runtuh, manakala lebih 15,000 penduduk kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah Sulawesi Barat Darno Majid dalam satu kenyataan di televisyen tempatan berkata, sehingga 12 tengah hari ini, 16 orang ditemukan terkorban dan pasukan mencari dan menyelamat masih mengesan mereka yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan.
“Bekalan elektrik terputus di Majene dan Mamuju, jaringan komunikasi juga tidak stabil,” katanya lapor Bernama.
Video/gambar: Media sosial
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JEMPOL : Jururawat dipercayai cuba mengelak anjing di tengah jalan sebelum kereta dipandunya bertembung dengan Proton Wira di Kilometer 19 Jalan Bahau – Kemayan dekat Air Hitam di sini, hari ini.
Kemalangan pada 8.11 pagi itu menyebabkan pemandu Proton Wira yang juga seorang peniaga wanita meninggal dunia, manakala dia yang memandu Toyota Vios parah di bahagian perut.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila jururawat berusia 30 tahun dari arah Air Hitam menuju Kemayan, Pahang cuba mengelak seekor anjing di laluannya.
“Berikutan itu, kereta jururawat berkenaan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta mangsa.
“Pertembungan menyebabkan mangsa iaitu Nor Asmah Ja’afar berusia 55, dari Felda Lui Selatan 2 parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat, manakala jururawat berkenaan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Gambar: Media sosial
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUCHING: Lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Sarawak ketika cuba menyelamatkan teman wanitanya yang terjun ke dalam sungai itu Khamis lalu, ditemukan mati lemas, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata, mayat Awangku Sahiful Awangku Sazali, 33, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 12.05 tengah hari tadi.
Beliau berkata, mangsa ditemukan di berhampiran Pangkalan Haji Lajim, Kampung No.6 yang terletak 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
“Mayat disahkan oleh keluarganya dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
GAMBAR IHSAN JBPM
SarawakEdition melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari Khamis lalu, mangsa dihanyut arus deras ketika cuba menyelamatkan teman wanitanya, yang terjun ke Sungai Sarawak berhampiran Medan Selera Kubah Ria.
Wanita berusia 27 tahun itu berjaya diselamatkan oleh pekerja tongkang yang berada kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.
GAMBAR IHSAN JBPM
Sementara itu, berdasarkan keterangan saksi, berlaku pertengkaran antara pasangan terbabit sebelum wanita itu terjun ke dalam sungai.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Najib Razak hari ini secara sinis menyindir keputusan kerajaan yang memberikan kebenaran beroperasi kepada kedai yang dianggap bukan keperluan asas rakyat.
Melalui media sosial bekas perdana menteri itu berkata ada pihak yang bersungguh-sungguh mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan syarikat gergasi perabot Sweden, Ikea, serta kedai emas beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) berlangsung.
“Macam-macam alasan diberi. Kedai perabot dibuka sebab mungkin ada keperluan ganti perabot yang musnah dalam banjir.
“Malah, kedai emas dibuka kerana ada setengah kedai emas yang juga beli emas dan ini perlu sebab mungkin ada mereka yang memerlukan cash (tunai) segera,” katanya, lapor Malaysiakini.
Sebab itu, kata ahli parlimen Pekan itu lagi, dia tidak sabar untuk membaca apa alasan penyokong PN mengenai kebenaran beroperasi yang diberikan kerajaan kepada kedai pakaian dalam mewah terkenal Victoria’s Secret.
“Pakaian dalam mewah juga barangan keperluan masa PKP ke?” katanya.
“Kerajaan perlu adil kepada semua pihak.. apakah gedung perabot itu termasuk dalam perkhidmatan perlu atau essential services,” kata Najib Razak.
Pada 11 Januari lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP ke atas beberapa negeri untuk tempoh 14 hari bermula 13 Januari sehingga 26 Januari sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung.
Jelas Muhyiddin, perintah itu melibatkan tiga peringkat pelaksanaan iaitu, PKP dikenakan ke atas lima buah negeri dan tiga wilayah persekutuan iaitu Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
PKP bersyarat (PKPB) pula dikenakan ke atas Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Manakala PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.
Bagaimanapun Kelantan dikenakan PKP mulai semalam.
Semalam, Najib mempersoalkan keputusan kerajan membenarkan perniagaan besar terus beroperasi tetapi pada masa sama peniaga kecil tidak dibenarkan berbuat demikian.
Najib berkata, kerajaan perlu adil kepada semua pihak, serta mempersoalkan apakah gedung perabot itu termasuk dalam perkhidmatan perlu atau essential services.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!