JENGKA – Sebuah rumah kakitangan Felda di Felda Mawar Jengka 10 musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.26 petang itu, rumah separa kekal berkeluasan 40 x 60 kaki persegi yang didiami seorang pengurus Felda dilaporkan musnah 100 peratus, namun tiada mangsa yang cedera.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.26 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira 12 minit kemudian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, rumah berkenaan sudah terbakar hampir keseluruhannya. Operasi diketuai oleh PBK II Mohd Tarmizi dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut.
“Kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran hos sepanjang 300 kaki dengan pancutan nozzle dan air diambil dari tangki pam jentera serta pili bomba berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.28 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 6.16 petang.
Menurut Salahuddin , pemilik rumah tiada di kediaman ketika kejadian kerana sedang menghantar anak ke asrama sekolah.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud memaklumkan bahawa semua 35 buah masjid di wilayah itu diminta menjalankan kutipan derma kilat bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa.
Pengerusi Gabungan Persatuan Wanita (GPW) Wilayah Jengka, Zariah Harun turut mengumumkan bahawa 37 GPW di kawasan itu akan melancarkan kutipan derma kilat bagi tujuan yang sama.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Motosikal Berkuasa Tinggi Terbang ke Longkang, Video Tular!
BENTONG – Aksi tiga motosikal berkuasa tinggi terbabas ke dalam longkang di Kilometer 43.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah timur, di sini, bukan sahaja mencemaskan, malah sempat dirakam dan kini tular di media sosial!
Rakaman berdurasi satu minit 20 saat itu mula tersebar sekitar malam Ahad lalu, sekali gus menggemparkan pengguna jalan raya lain yang menyaksikan insiden tersebut.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 9.45 pagi pada 27 April 2025 (Ahad).
“Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang hilang kawalan lalu tergelincir sebelum terbabas ke dalam longkang di bahu kiri jalan.
“Seorang penunggang yang berjaya dihubungi mengalami kecederaan di kaki kanan, sementara dua lagi penunggang masih belum dapat dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zaiham, pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan usaha mengesan dua lagi penunggang giat dijalankan.
Beliau turut menyeru saksi kejadian tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan polis tidak akan berdiam diri terhadap golongan penunggang motosikal yang menjadikan lebuh raya sebagai ‘litar perlumbaan’ sehingga membahayakan pengguna jalan lain.
“Operasi berterusan akan dilaksanakan di lokasi-lokasi panas untuk memastikan tiada pihak mengambil kesempatan memperjudikan nyawa sendiri dan orang lain,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Menyusun Langkah Strategik Demi Kemenangan PN di Temerloh
Dalam menghadapi cabaran politik yang semakin kompleks, pendekatan penyusunan semula strategi di kawasan-kawasan utama seperti Parlimen Temerloh menjadi faktor penting untuk memastikan kemenangan berterusan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
Sebagai kawasan yang mempunyai keunikan tersendiri — dengan komposisi pengundi Melayu yang dominan serta pertumbuhan pesat komuniti muda — Temerloh memerlukan pendekatan yang dinamik dan segar.
Justeru, penyusunan semula strategi termasuklah soal pemilihan calon dan pengukuhan jentera pilihan raya perlu dipertimbangkan dengan penuh teliti.
Dalam konteks ini, memastikan calon yang mampu mengimbangi suara tradisional dengan kehendak generasi muda menjadi satu keutamaan.
Pendekatan yang lebih inklusif, berwibawa, serta mempunyai ketokohan di peringkat nasional dilihat sebagai nilai tambah yang mampu mengukuhkan lagi keyakinan pengundi di kawasan ini.
Keterbukaan dalam kalangan parti-parti komponen PN, khususnya PAS dan Bersatu, untuk berbincang secara harmoni mengenai pengukuhan di Temerloh, memperlihatkan kematangan politik yang menjadi tunjang kekuatan gabungan tersebut.
Apa juga keputusan yang bakal diambil, sudah pasti akan berpandukan semangat setiakawan, demi memperkukuh gabungan dan mengekalkan Temerloh di bawah naungan PN.
Dalam suasana politik hari ini, rakyat menuntut bukan sahaja komitmen kepada perjuangan Islam dan Melayu, tetapi juga kecekapan dalam tadbir urus, kemampuan mendepani isu ekonomi, serta keprihatinan terhadap aspirasi generasi baharu.
Sehubungan itu, langkah-langkah memperkemaskan strategi di Temerloh adalah wajar demi memastikan suara rakyat terus dibela dengan lebih berkesan.
Akhirnya, apa yang penting ialah kemenangan Perikatan Nasional di Temerloh dan seluruh negara — sebuah kemenangan yang dicapai atas dasar muafakat, kebijaksanaan berpolitik, dan kesetiaan kepada perjuangan bangsa, agama dan tanah air.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jentera Pemuda Pahang Cemerlang, UMNO Jerantut Kukuh Di Bawah Kepimpinan Wan Rosdy dan Haris Salleh
BIDOR – Jentera Pemuda UMNO Pahang berjaya menampilkan prestasi luar biasa sepanjang tempoh 14 hari sepanjang berkempen , membuktikan kekuatan dan kesatuan dalam parti di bawah kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, beliau sendiri yang turut bersama dalam misi berkenaan menyaksikan kecekapan jentera Pemuda yang berkempen secara tersusun dan mematuhi segala peraturan.
“Jentera Pemuda bekerja dengan sangat cemerlang. Mereka bergerak penuh disiplin, teratur, dan bersemangat tinggi demi memastikan kemenangan parti,” katanya ketika ditemui.
Menurut Razak, kejayaan ini adalah hasil bimbingan dan tunjuk ajar Datuk Seri Wan Rosdy sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, selain kepimpinan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh yang sentiasa memberi sokongan penuh di peringkat akar umbi.
“Kita lihat kesungguhan jentera ini sebagai satu manifestasi keberkesanan kepimpinan di negeri dan bahagian. Ia membuktikan UMNO Jerantut berada dalam landasan yang sangat kukuh,” tambahnya.
Beliau berkata, semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan sepanjang kempen itu turut menyuntik motivasi kepada semua ahli parti di cawangan-cawangan untuk memperhebatkan persiapan menghadapi cabaran politik akan datang.
“Sokongan padu kepada kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy dan Haris Salleh mesti diteruskan. Dengan kekuatan jentera yang ada, UMNO Jerantut mampu menjadi contoh kepada seluruh negeri,” ujarnya lagi.
Razak turut menyeru semua jentera untuk kekal berdisiplin dan bersemangat bagi memastikan kesinambungan kejayaan parti pada masa hadapan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tokwan Bangga MTNP Tersenarai Lima Terbaik SPM Kebangsaan
KUANTAN – Malam tadi menjadi detik penuh bermakna apabila Pengerusi Lembaga Pengarah Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), yang mesra digelar Tokwan, meluangkan masa menyantuni pelajar-pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Dalam satu majlis ringkas namun penuh bererti di MTNP, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian luar biasa institusi itu yang terus mengukuhkan kedudukan sebagai sekolah terbaik di Pahang dan tersenarai dalam lima terbaik di peringkat kebangsaan.
“Sebagai Pengerusi, saya amat berbangga dengan Gred Purata Sekolah (GPS) MTNP tahun ini iaitu 1.15. Ini membuktikan komitmen tinggi semua pihak dalam memastikan kejayaan pelajar, bukan sahaja dalam akademik, malah dalam hafazan Al-Quran,” katanya.
Wan Rosdy turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga MTNP termasuk pengurusan, kakitangan serta para pelajar atas usaha gigih dan kesungguhan mereka.
Beliau berharap kejayaan ini akan terus menjadi inspirasi kepada generasi muda Pahang dan membuktikan bahawa kecemerlangan duniawi dan ukhrawi mampu digabungkan dengan jayanya.
“Prestasi dipertingkat, kemakmuran dipertahan,” ujarnya mengakhiri ucapan penuh semangat malam tadi.
Majlis turut diserikan dengan sesi bergambar dan penyampaian saguhati kepada pelajar cemerlang.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dato’ Rofaie Hamdan Ucap Tahniah Kepada Calon SPM Temerloh
TEMERLOH – Ketua BERSATU Bahagian Temerloh, Dato’ Rofaie Hamdan merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di daerah ini atas kejayaan yang diraih dalam keputusan peperiksaan baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pencapaian yang diperoleh para pelajar bukan sahaja membanggakan keluarga dan sekolah, malah menjadi penanda aras penting dalam membina masa depan negara.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua calon SPM di Temerloh atas pencapaian anda. Semoga ianya menjadi pembakar semangat untuk terus cemerlang dalam pelajaran dan kehidupan akan datang,” katanya.
Beliau turut berharap kejayaan itu akan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berusaha lebih gigih dalam mengejar impian dan mencapai kecemerlangan pada peringkat lebih tinggi.
Dalam masa sama, Dato’ Rofaie mengingatkan para pelajar agar tidak berpuas hati dengan pencapaian semasa, sebaliknya terus menetapkan matlamat baru dan berusaha mencapainya dengan penuh dedikasi.
“Pendidikan merupakan kunci kepada masa depan yang lebih gemilang. Jangan berhenti di sini. Jadikan kejayaan ini sebagai langkah pertama untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” ujarnya.
Kenyataan itu turut disertai dengan gambar Dato’ Rofaie bersama pelajar-pelajar yang kelihatan ceria meraikan keputusan SPM masing-masing.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada para guru dan ibu bapa yang tidak jemu memberikan sokongan dan bimbingan kepada para pelajar sepanjang tempoh pembelajaran mereka.
“Pengorbanan guru dan ibu bapa adalah faktor penting di sebalik kejayaan anak-anak kita. Terima kasih atas segala usaha yang telah dicurahkan,” katanya lagi.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bekas Tentera Dipenjara Tanam Sayur, Penceroboh Ratusan Hektar Hutan Bebas?
Persoalan mengenai keadilan dan pelaksanaan undang-undang kembali hangat diperkatakan selepas perbandingan dua kes melibatkan penggunaan tanah hutan simpan mendapat perhatian ramai.
Kes pertama membabitkan A. Raman Hashim, seorang bekas tentera Melayu yang didapati bersalah kerana menanam sayur di kawasan hutan simpan. Beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM50,000 atas kesalahan tersebut.
Sebaliknya, dalam kes kedua yang melibatkan sekumpulan pekebun durian di Raub, mereka didakwa menceroboh lebih 11,000 ekar tanah hutan simpan—bersamaan keluasan kira-kira 6,250 padang bola sepak FIFA. Antara dakwaan lain termasuklah menjual kayu balak secara haram, mengelak cukai, aktiviti perlombongan emas, merosakkan ekosistem, menghalang tugas penguat kuasa, serta terbabit dalam salah guna kuasa dan rasuah.
Namun sehingga kini, tindakan undang-undang ke atas pihak terbabit masih menjadi tanda tanya. Lebih mengejutkan, hasil durian daripada tanah yang diceroboh itu turut dieksport ke luar negara dengan keuntungan lumayan selama 40 tahun.
Insiden ini mengundang pelbagai reaksi masyarakat yang mempertikaikan keadilan sistem perundangan negara. Ramai mempersoalkan mengapa tindakan berat dikenakan ke atas individu yang mencari rezeki secara kecil-kecilan, sedangkan pencerobohan berskala besar dibiarkan berleluasa.
“Mohon sita segala aset harta setiap penceroboh!” demikian gesaan keras yang tular di media sosial, mencerminkan kemarahan netizen terhadap ketidakadilan yang dilihat begitu ketara.
Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas bagi memastikan undang-undang dilaksanakan secara adil dan saksama tanpa mengira status atau pengaruh individu terbabit.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Peneroka pertama Jengka 24 Takluk Puncak Setinggi 6,165 Meter – Sasar Tawan Everest Pula
JENGKA – Tidak ramai tahu bahawa di sebalik deretan ladang sawit di Felda Jengka 24, tersimpan kisah luar biasa seorang peneroka berusia 62 tahun yang kini giat melatih diri untuk menakluk puncak tertinggi dunia – Gunung Everest.
Syed Abdullah bin Syed Qasim, atau lebih dikenali sebagai Pak Syed dalam kalangan pendaki gunung, bukanlah nama asing dalam dunia pendakian dan perlumbaan ultra trail.
Bermula dengan hobi mendaki sekitar tahun 2011, beliau kini telah menjejakkan kaki ke lebih 20 lokasi pendakian di Nepal termasuk Island Peak, Annapurna Base Camp sebanyak 18 kali dan Everest Base Camp sebanyak empat kali.
Namun, pencapaian terbesarnya setakat ini ialah kejayaan menawan puncak Gunung Yala dan Island Peak (Olympique) yang berketinggian 6,165 meter di Nepal pada bulan Oktober tahun lalu – sekaligus menjadikan beliau peneroka Felda Jengka 24 pertama menakluk gunung setinggi itu.
“Saya mula mendaki ikut kawan ke Gunung Bubu. Lepas tu terus rasa seronok, tak berhenti sampai sekarang.
Setiap bulan saya naik Gunung Nuang untuk latihan. Kemudian saya mula masuk perlumbaan ultra trail,” cerita Pak Syed yang kelihatan segak dan sihat meskipun sudah menjangkau usia emas.
Menurut beliau, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semangatnya untuk mencabar diri semakin membara.
Dorongan dari seorang sahabat yang pernah menawan K2, gunung kedua tertinggi dunia, mendorong beliau menyertai perlumbaan trail sebagai persediaan fizikal dan mental ke Everest.
Kini, Pak Syed aktif menyertai pelbagai siri ultra trail termasuk dalam pelbagai kategori termasuk kategori veteran .
Antara pencapaian terbaiknya ialah dalam perlumbaan UTMB di Taiping, Perak – salah satu siri dunia yang diiktiraf.
“Berlari dalam lumpur, meredah hutan… semua itu bukan untuk kejar hadiah. Ia sebahagian latihan untuk Everest. Saya cabar diri sendiri,” katanya.
Pak Syed menyasarkan untuk menawan Gunung Everest sama ada pada tahun 2026 atau 2027 bergantung kepada penajaan dan sokongan kewangan.
Kos yang dianggarkan bagi misi tersebut mencecah RM300,000 seorang jika menggunakan pakej joint trek.
“Setakat ini saya masih mencari penaja. Tapi saya percaya, dengan izin Allah dan persiapan yang cukup, tak ada yang mustahil,” ujar beliau.
Ketika ditanya tentang cabaran terbesar di Everest, Pak Syed menyebut penyakit gunung atau Acute Mountain Sickness (AMS) sebagai faktor utama, namun yakin dapat mengatasinya berdasarkan pengalaman luas di altitud tinggi.
Dengan semangat luar biasa yang ditunjukkan, tidak mustahil Pak Syed bakal mencipta sejarah sebagai pendaki tertua dari Felda yang menawan Everest – satu inspirasi buat seluruh warga peneroka.
Sementara itu, Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud berkata, seluruh komuniti peneroka amat berbangga dengan kejayaan dan semangat juang Pak Syed.
“ sebagai ketua peneroka Felda Jengka 24 , begitu berbangga dan bergembira kerana ada wakil daripada kalangan peneroka sendiri yang mengambil bahagian dalam pendakian gunung di peringkat dunia.
“Setakat ini belum ada individu daripada kelompok peneroka yang pergi sejauh ini.
Maka kami harap misi Pak Syed ke Gunung 77 miEverest akan mendapat perhatian pihak kerajaan negeri atau NGO dalam bentuk sokongan kewangan dan dana,” ujarnya.
Menurut Razak lagi, usaha Pak Syed berpotensi untuk mengharumkan nama Felda dan Malaysia di mata dunia.
Pak Syed kini giat menjalani latihan fizikal dan mental di sekitar tanah air selain merancang ekspedisi ke beberapa gunung tinggi sebagai persediaan akhir ke Everest.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kongres Nasional KEADILAN 2025 Diadakan di Johor Bahru, Guna Sistem Baharu Wakil Perwakilan
KUANTAN – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengesahkan Kongres Nasional 2025 akan diadakan di Johor Bahru selama tiga hari bermula 23 Mei ini, dengan penglibatan lebih 30,000 perwakilan dari seluruh negara.
Menurut Setiausaha Agung KEADILAN, Dr. Fuziah Salleh, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang berlangsung hari ini berjalan lancar dalam suasana penuh semangat ‘comradeship’ dan setiakawan antara pimpinan parti.
Mesyuarat turut membincangkan isu keanggotaan, disiplin parti, Pemilihan 2025 serta persiapan Kongres Nasional yang akan datang.
Dr. Fuziah berkata, Kongres AMK dan Wanita Nasional akan berlangsung pada 23 Mei, manakala Kongres utama pula pada 24 dan 25 Mei. “Untuk memberi kemudahan kepada perwakilan Sabah dan Sarawak, pusat undian satelit akan dibuka di Kuching dan Kota Kinabalu bagi membolehkan mereka mengundi secara fizikal tanpa perlu ke Johor Bahru,” katanya.
MPP turut menetapkan bahawa mana-mana ahli yang telah menjadi calon Pemilihan 2025 tetapi kemudiannya menyertai parti lain akan digugurkan keanggotaannya serta pencalonan mereka akan terbatal secara automatik.
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan mengumumkan nama-nama terlibat dalam masa terdekat.
Menariknya, Kongres kali ini buat julung kali akan menggunakan sistem proportionate representation seperti yang telah diluluskan dalam Kongres Khas pada 15 Disember lalu. Sistem ini dijangka memberi representasi yang lebih adil dan seimbang kepada semua cabang di seluruh negara.
Dr. Fuziah turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Presiden serta Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa yang mengetuai JPP atas usaha berterusan mempersiapkan Pemilihan dan Kongres akan datang.
“Segala persiapan sedang berjalan lancar dan makluman rasmi kepada perwakilan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
REMAJA MAUT KEMALANGAN DI KM 12 JALAN JERANTUT-BENTA
JERANTUT – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 12, Jalan Jerantut-Benta berhampiran Damak malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri bin Muhammad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika mangsa, Gan Kim Chuan menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC bersendirian dari arah Damak menghala ke Jerantut.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya ketika melalui bahu kiri jalan sebelum terbabas dan jatuh ke tengah jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Tambah Zukri, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
Polis turut mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu atau menunggang kenderaan, terutamanya di kawasan berisiko tinggi seperti jalan kampung dan selekoh tajam.
“Patuhi had laju, elakkan menunggang di bahu jalan dan pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan,” ujarnya.
Tragedi ini menambah satu lagi angka dalam statistik kemalangan maut di daerah ini dan menjadi peringatan buat semua agar lebih berwaspada di jalan raya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!