Rekod kebangsaan SUKIPT bawa pulangan RM20,000
Rekod kebangsaan SUKIPT bawa pulangan RM20,000
KUALA LUMPUR: Atlet yang berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 bakal menerima ganjaran RM20,000 sebagai penghargaan terhadap pencapaian mereka.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, insentif itu diharap mampu menjadi pembakar semangat kepada atlet muda untuk terus menyerlah, selain membuka ruang kepada usaha mencungkil lebih banyak bakat berpotensi.
Menurutnya, SUKIPT kali ini turut menawarkan insentif RM3,000 masing-masing kepada Olahragawan dan Olahragawati, manakala pasukan terbaik lelaki serta wanita bakal menerima RM7,000.
“Ini selaras dengan dasar kita di peringkat pendidikan tinggi iaitu apa yang kami panggil sebagai ‘Podium dan Ijazah’.
“Maknanya mereka juga terlibat menjadi atlet-atlet yang hebat, dalam masa yang sama mereka juga akan bagi tumpuan dalam bidang pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian SUKIPT 2026 di Universiti Malaya, di sini, malam Sabtu.
SUKIPT 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September menghimpunkan 64 kontinjen daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).
Sebanyak 30 jenis sukan dipertandingkan dengan keseluruhan 229 pingat emas menjadi rebutan sepanjang temasya berkenaan.
Dalam pada itu, Zambry berkata, pencapaian atlet institusi pendidikan tinggi (IPT) di pentas antarabangsa membuktikan sukan universiti mampu menjadi medan penting melahirkan bakat yang boleh menyumbang kepada kecemerlangan sukan negara.
Katanya, kejayaan atlet IPT meraih pingat serta mencipta dan memperbaharui rekod dalam pelbagai kejohanan termasuk pencapaian pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 menunjukkan mahasiswa negara memiliki potensi besar dalam arena sukan.
“Di sinilah kita dapat mencungkil bakat-bakat dalam bidang sukan yang dipertandingkan itu, bagi kita meletakkan mereka ini di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa,” katanya.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: SUKIPT 2026, Zambry Abd Kadir, Kementerian Pendidikan Tinggi, atlet IPT, rekod kebangsaan, insentif RM20,000, Universiti Malaya, sukan universiti
