Future Force ATM tonjol wajah baharu pertahanan negara
Future Force ATM tonjol wajah baharu pertahanan negara
PUTRAJAYA: Transformasi dan pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menjadi antara tarikan utama sambutan Hari Kebangsaan 2026 apabila elemen Angkatan Masa Hadapan atau Future Force dipamerkan kepada orang ramai.
Panglima 4 Divisyen Tentera Darat Malaysia yang juga Ketua Penyelaras Jawatankuasa Perarakan dan Perbarisan Hari Kebangsaan 2026, Mejar Jeneral Mohd Shauari Mat Piah berkata, elemen berkenaan akan ditampilkan menerusi sebuah kenderaan berhias khas yang membawa gambaran hala tuju pertahanan negara.
Menurutnya, sebuah treler panjang akan digunakan bagi menempatkan replika berkaitan proses pemodenan ATM, termasuk peranan Markas ATM dalam menyelaras aset Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
“Satu treler panjang yang mana di atas itu diletakkan replika-replika pemodenan Angkatan Tentera Malaysia, dimulai dengan pemodenan ATM, Markas ATM sendiri, bagaimana Markas ATM mengkoordinasikan semua aset yang ada dalam angkatan tentera darat, laut dan udara,” katanya.
Mohd Shauari berkata, kenderaan berkenaan bukan sekadar mengetengahkan aset sedia ada dan aset yang bakal diperoleh, malah membawa mesej keyakinan kepada rakyat terhadap kesiapsiagaan serta keupayaan pertahanan negara.
Katanya, paparan itu selaras dengan semangat sambutan Hari Kebangsaan yang memberi ruang kepada rakyat melihat sendiri perkembangan semasa pelbagai agensi, khususnya berkaitan pertahanan dan keselamatan.
“Untuk tahun ini, Alhamdulillah, kita dapat mempamerkan kepelbagaian aset mengikut spektrum dan keupayaan ATM yang merangkumi elemen tempur, mobiliti, sokongan, komunikasi, logistik dan istiadat,” katanya.
Seramai 3,581 anggota ATM terbabit dalam perarakan dan persembahan tahun ini, terdiri daripada 2,913 peserta kontinjen, 181 anggota simpanan serta 487 anggota sokongan.
Buat julung kalinya, perbarisan Hari Kebangsaan turut menampilkan kontinjen Johor Military Force (JMF), selain kontinjen Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Hari Kebangsaan 2026, ATM, Future Force, Angkatan Masa Hadapan, Mohd Shauari Mat Piah, pertahanan negara, aset ATM, JMF, PLKN, Putrajaya
