MIRI: Kesemua 101 kru pelantar penggerudian Naga 7 yang karam di perairan Bintulu-Miri dekat sini, semalam disahkan selamat.
Conoco Phillips Sarawak Ltd yang mengesahkannya berkata, kesemua pekerja mereka itu sudah dibawa ke sini untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan Tindakan Kecemasan kami sudah digerakkan ke Naga 7 dan pihak berkuasa lain juga turut dimaklumkan mengenainya.
“Keutamaan dan perhatian utama kami adalah keselamatan pekerja dan semua mereka sudah dipindahkan dari Naga 7 tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Pelantar penggerudian Naga 7 dilaporkan karam ketika sedang melakukan kerja penggerudian (telaga minyak) di Blok Salam 3 di perairan Bintulu-Miri.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, pihaknya memberi kelulusan serta-merta kepada kesemua 101 kru terbabit dibawa ke Pusat Transit Luar Pesisir (OTC) di sini.
“Ini adalah kes kecemasan di laut dan kita memberi kebenaran segera kepada mereka untuk mendarat di Miri (OTC),” katanya yang dihubungi, lapor Harian Metro.
Kim Shin juga berkata bahawa kesemua mereka itu diarahkan kuarantin selama 14 hari.
Kesemua kru yang bekerja di pelantar penggerudian Naga 7 disahkan selamat.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU – Tanpa ada segan silu, 66 individu dikesan menikmati makanan dan minuman di tempat terbuka meskipun tahu berbuatan mereka mencemarkan kesucian bulan Ramadan.
Sakit perut, tidak larat serta faktor kesihatan antara alasan remeh yang diberikan mereka ketika dicekup penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Ketua Penolong Pengarah bahagian penguatkuasaan JAINJ, Dzulkafli Mohamad berkata, kesemua individu berusia 20 hingga 50 tahun itu dikenakan tindakan saman sejak awal Ramadan hingga hari ini.
“Mereka dikesan melakukan perbuatan tidak menghormati bulan Ramadan apabila makan dan minum secara terbuka di tempat awam di restoran dan warung.
“Setakat hari ini, sebanyak 66 saman dikeluarkan di bawah Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 kerana tidak menghormati Ramadan di seluruh negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
GAMBAR HIASAN
Dzulkafli berkata, mereka yang disaman boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Jelasnya, bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, lapor KOSMO! Online.
Ujarnya, individu yang dikenakan tindakan saman ini perlu hadir untuk memberi keterangan di pejabat JAINJ sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.
“Setakat ini, masih belum ada individu yang didakwa di Mahkamah lagi. Penguatkuasaan ini akan diteruskan hingga penghujung bulan Ramadan.
“Sekali pun tidak boleh berpuasa makan di tempat yang tersembunyi. Jangan makan dikhalayak ramai,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MAYAT WANITA SEPARUH BOGEL DITEMUKAN DI TEPI SUNGAI RAMBAI
KUALA SELANGOR: Mayat seorang wanita keadaan separuh bogel ditemukan di tepi Sungai Rambai, Bestari Jaya, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, mayat ditemui oleh orang awam pada 7.30 malam.
“Hasil semakan awal mendapati mangsa berpakaian baju kemeja berwarna maroon dan berseluar jeans. Malah, tiada sebarang identiti dijumpai.
“Bagaimanapun, baju mangsa dipercayai dalam keadaan hampir tercabut dan mangsa berada dalam keadaan separuh bogel,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ramli berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan hasilnya mendapati, terdapat kesan kecederaan pada fizikal tubuh mangsa.
GAMBAR IHSAN PDRM
Beliau berkata, mangsa dipercayai warga tempatan berikutan terdapat suntikan BCG dan dipercayai meninggal dunia lebih 48 jam.
Sehubungan itu, Ramli berkata, siasatan lanjut berhubung kes itu masih diteruskan, lapor Harian Metro.
“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Asisten Superintendan Mohd Sufian Amin di talian 012-614 9580 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai mengelak daripada membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk itu ialah Deeja Cosmetic Yulai Cream, Deeja Cosmetic Laila Cream dan Deluxe Beauty – Ultra Lightening Cream Pearl Fairness yang masing-masing mengandungi hidrokuinon, merkuri dan betametason 17- valerat.
“Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM. Oleh itu, produk-produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
GAMBAR IHSAN KKM
Dr Noor Hisham berkata, produk yang mengandungi hidrokuinon dan betametason 17-valerat adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.
“Ia juga boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit,” katanya.
GAMBAR IHSAN KKM
Betametason 17-valerat pula boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.
Bagi produk kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri, bahan itu dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak- kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, lapor KOSMO! Online.
“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Umno Bahagian Jerantut mengadakan Majlis Perjumpaan Bersama Ketua-Ketua Cawangan UMNO Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar bagi memperkasakan jentera pentadbiran masing-masing khususnya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing.
Ketua UMNO Bahagian Jerantut merangkap Adun Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata, pertemuan itu sebagai satu perjumpaan biasa yang kerap diadakan selain merapatkan saf pentadbir DUN Pulau Tawar ia juga mencerminkan kekuatan dan keahkraban antara ahli.
Datuk Nazri Ngah menyampaikan sumbangan sempena sambutan Aidil Fitri , di Dewan Galeri Mat Kilau, Pulau Tawar, hari ini.
Katanya, kebetulan di bulan Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, pertemuan itu menjadi lebih bermakna.
“Selain itu, memohon semua ahli memberi tumpuan bagi menghadapi pilihan raya yang semakin hampir agar jangan berpecah, jaga hubungan sesama ahli dan kukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang terjalin erat,” katanya.
Turut hadir, Naib Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Ridzuan Mansor, Setiausaha UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Zukarmi Abu Bakar, Ketua Puteri UMNO Bahagian Jerantut, Faezah Ishak serta barisan AJK UMNO Bahagian Jerantut.
Ketua Cawangan UMNO Jengka 24 dan merangkap Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud merakamkan jutaan terima kasih atas keprihatinan seorang pemimpin yang menjaga kepentingan ahli di bawah pentadbirannya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
REMAJA 16 TAHUN ANTARA DIBERKAS DALAM OPERASI TAPIS KHAS
JERANTUT : Seorang remaja berusia 16 tahun yang tidak bersekolah antara sembilan orang suspek berbangsa Melayu dalam empat serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jerantut di Felda Sungai Tekam Utara dan Felda Lepar Utara dekat sini semalam.
Operasi Tapis Khas itu yang dilakukan bermula pada jam 11 malam, 2 Mei dan berakhir jam 8 pagi, 3 Mei itu, remaja berusia 16 tahun itu diberkas di Felda Tekam Utara dan menemui dadah jenis heroin seberat 161.2 gram dan syabu seberat 11 gram yang dianggarkan bernilai RM6,480 di belakang rumah suspek.
Timbalan Ketua Polis Jerantut, Deputi Suprintendan Azman Mat Khamis (tengah) di Ibupejabat Polis Daerah Jerantut, pagi ini.
Bercakap kepada pemberita di IPD Jerantut hari ini, Timbalan Ketua Polis Jerantut, Deputi Suprintendan Azman Mat Khamis berkata, kes tangkapan remaja berkenaan amat unik kerana belum pernah dilakukan oleh polis sebelum ini, suspek tersebut itu turut positif dadah syabu dan aktif sebagai pengedar dadah di kawasan Felda itu sejak sebulan lalu.
“Penglibatan remaja ini sebagai pengedar serta penagih dadah memerlukan perhatian serius oleh semua pihak dan menunjukkan kegiatan tersebut semakin bermaharajalela di kawasan Felda daerah ini khususnya membabitkan golongan bawah usia.
“Penahanan remaja di bawah Akta ADB 1952 dan kemungkinan didakwa di bawah Akta Juvana memandangkan dia masih di bawah usia,” katanya di IPD Jerantut hari ini.
Katanya, polis juga menahan seorang seorang lelaki Melayu berusia 44 tahun di tepi jalan Felda Kota Gelanggi ke Felda Lepar Utara dan merampas 6.86 gram dadah syabu yang diperoleh dari Felda Tekam Utara, manakala hasil ujian urin suspek turut positif dadah berkenaan.
“Penahanan lelaki ini membawa tangkapan ke atas dua orang lelaki Melayu berusia 25 dan 46 tahun di Stesen Minyak Euro 5, Felda Tekam Utara dan menahan sebuah kereta jenis ATOS serta rampasan dadah syabu seberat 52 gram, heroin (39 gram), pil erimin 5 (10 gram) dan ganja 1.0 gram yang kesemuanya bernilai RM6,350.
“Ketiga lelaki berkenaan yang menjadi pengedar sejak 2020 ditahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 sekiranya sabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori dan siasatan mendapati mereka mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah akta yang sama dan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK),” katanya
Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kereta Proton Saga milik seorang lelaki berkenaan dan merampas wang tunai berjumlah RM1,319 yang dipercayai hasil aktiviti pengedaran dadah termasuk hasil ujian urin mendapati ketiga-tiganya positif syabu.
Azman berkata, dalam Op Tapis Khas bertempat di Felda Lepar Utara polis juga berjaya menahan lima orang lelaki Melayu berusia antara 30 tahun hingga 62 tahun serta merampas dadah syabu seberat 0.13 gram, ganja (2.81 gram), daun ketum (1.63 kilogram), air ketum (23 liter) dan rokok seludup (32 kotak).
“Keseluruhan operasi empat serbuan di Felda tersebut, polis telah merampas dadah syabu seberat 70.13 gram, heroin (200.2 gram), ganja (3.81 gram), air ketum (23 liter) dan daun ketum (1.63 kilogram) yang dianggarkan bernilai RM26,107.
“Sejak bulan Januari hingga Disember 2020, kita telah menangkap seramai 517 pengedar dan penagih dadah melibatkan 640 kes pelbagai kesalahan di bawah ADB 1952 dan pada bulan Januari hingga April tahun ini, juga membabitkan tangkapan 199 orang dengan 223 kes,” katanya.
Selanjutnya, Azman berkata, polis akan terus membuat operasi berdasarkan maklumat diperoleh di daerah ini terutamanya kawasan Felda yang sudah lama menjadi sarang pengedaran dan penagihan dadah.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TABUNG AKHIRAT MUDAHKAN ORANG RAMAI HULUR SUMBANGAN
KUANTAN: Inisiatif diperkenalkan ahli jawatankuasa (AJK) Masjid Kampung Baru, dekat Bentong menjenamakan tabung masjid kepada nama Bank Akhirat, bukan sahaja menarik perhatian orang ramai, bahkan turut memberi impak terhadap kesedaran masyarakat dalam bersedekah.
Langkah itu bukan sahaja boleh dipuji, bahkan patut dicontohi semua masjid dan surau di seluruh Pahang.
Difahamkan, usaha memperkenalkan Bank Akhirat itu dimulakan AJK masjid berkenaan sejak kira-kira setahun lalu dan mendapat sambutan baik daripada ahli kariah masjid itu.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Pemilihan lokasi menempatkan Bank Akhirat di pintu masjid berkenaan juga sangat strategik bagi memudahkan ahli kariah dan orang ramai menyalurkan sumbangan dan infaq mereka secara pandu lalu.
Usaha itu turut mendapat pujian Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang menyifatkan pendekatan diambil pihak pengurusan Masjid Kampung Baru Bentong sangat berlainan dan menarik.
“Pengenalan Bank Akhirat ini boleh dijadikan teladan kepada pihak pengurusan masjid atau surau lain di Pahang dan ia adalah usaha yang sangat baik serta wajar mendapat pujian.
“Konsep pandu lalu digunakan bagi menjayakan insiatif ini juga bersesuaian dan tepat pada masa memandangkan kita masih berdepan ancaman penularan COVID-19.
“Lagipun, kita sudah lama tidak dibenarkan mengedarkan tabung masjid ketika solat fardu dan solat Jumaat, jadi apabila ada Bank Akhirat, mudahlah (untuk) orang ramai menghulurkan sumbangan dan derma mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Syed Ibrahim berkata, pelancaran rasmi Bank Akhirat di Masjid Kampung Baru Bentong itu diharapkan menjadi pencetus kepada lebih banyak kewujudan Bank Akhirat dapat di seluruh Pahang selepas ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Lebih ramai golongan belia di Pahang digalakkan menceburi bidang perniagaan dan mencari jalan untuk terbabit dengan lebih proaktif dalam membantu pembangunan masyarakat setempat.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri menyediakan dana berjumlah RM10 juta bagi tujuan menggalakkan lebih ramai belia menyertai bidang perniagaan, selain untuk pengembangan perniagaan sedia ada.
WAN ROSDY (TIGA DARI KANAN) MENYAMPAIKAN CEK KEPADA PENGERUSI MBM PAHANG, MOHD IZZAT AFIFI ABDUL HAMID
“Dana ini kita umumkan November lalu, ketika pembentangan Belajawan Negeri 2021 dan ia bertujuan sebagai modal awal kepada golongan belia yang ingin menyertai bidang perniagaan.
“Sebagai golongan yang bakal menjadi pemimpin masa depan, belia perlu berfikiran kreatif dan kritikal untuk memastikan kehadiran mereka dalam masyarakat dapat memberi manfaat dan membantu meningkatkan sosio ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin Belia Sempena Mesyuarat Majlis Belia Malaysia (MBM) Pahang, di sini, malam tadi.
Pada majlis sama, Wan Rosdy turut menyampaikan cek berjumlah RM470,000 kepada wakil 26 anggota gabungan MBM negeri.
Mesyuarat kali ini juga menyaksikan pertandingan bagi jawatan Pengerusi MBM Pahang yang dimenangi Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.
Turut hadir dalam majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Johari Hussain dan bekas Pengerusi MBM negeri, Wan Emril Nizam Wan Embong.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan memberi jaminan bahawa kerajaan akan melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun dalam tempoh terdekat.
Kenyataan Takiyuddin tersebut disambut baik oleh banyak pihak yang sebelum ini menuntut agar kerajaan memberi peluang kepada golongan berusia 18 tahun menjadi pengundi secara sah di negara kita.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan apakah pelaksanaan tersebut dapat dikuatkuasakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau tidak.
Memandangkan semua parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengalu-alukan penglibatan golongan remaja bagi menentukan hala tuju politik negara, pihak kerajaan kini perlu mengambil langkah proaktif agar pelaksanaan itu menjadi kenyataan.
Pada 16 Julai 2019, sejarah tercipta apabila Rang Undang-undang (RUU) meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur mengundi dari 21 ke 18 tahun disokong oleh semua 222 ahli Parlimen dan diluluskan dalam Dewan Rakyat.
Oleh itu, kini tidak menjadi sebarang halangan besar lagi bagi kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan suara anak muda dapat diterima pada PRU15.
GAMBAR HIASAN
Berbanding dengan jaminan dibuat Takiyuddin untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat, lain pula jawapan diberikan SPR.
Pada 25 Mac lalu, SPR mengumumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya dapat dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
Menurut Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, ia disebabkan pihaknya terpaksa mendepani situasi semasa negara yang sedang bergelut dengan penularan Covid-19.
Sekiranya pandemik Covid-19 membantutkan usaha SPR merealisasikan impian golongan muda yang berhak bersuara dalam negara kita, ia sesungguhnya satu perkara yang mendukacitakan, lapor Sinar Harian.
Adanya penyertaan pengundi 18 tahun pada PRU15, politik Malaysia selepas itu sudah tentu mampu menyerap lebih banyak suara anak muda yang sentiasa menginginkan pembaharuan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MAHKAMAH BATAL SAMAN FITNAH HANNAH YEOH TERHADAP MUSA HASSAN
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi pada Isnin membatalkan saman bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan atas alasan terdapat isu teknikal dalam kes itu.
Saman itu adalah berhubung kenyataan Musa yang didakwa berbaur fitnah semasa beliau berucap dalam satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 30 Januari tahun lepas.
Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, yang mewakili Musa, ketika dihubungi berkata, Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membatalkan saman itu selepas mendapati Yeoh gagal mematuhi arahan mahkamah berkaitan pemfailan beberapa dokumen praperbicaraan.
“Perintah pembatalan ini dibuat tanpa kos dengan kebebasan untuk plaintif memfailkan semula saman,” katanya selepas pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) di hadapan Rozana.
Peguam Lim Wei Jiet, yang mewakili Yeoh, pula berkata plaintif tidak dapat memfailkan beberapa dokumen kerana ia memerlukan persetujuan daripada peguam defendan dan meskipun kesemua dokumen sudah dihantar namun persetujuan itu belum diperoleh.
“Peguam defendan terpaksa menguruskan kecemasan peribadi beberapa hari lepas, yang menjadikan lebih sukar untuk memperoleh persetujuan itu. Malangnya, hakim tidak menerima penjelasan ini dan membuat keputusan seperti itu.
“Kes ini telah dibatalkan namun hanya atas alasan teknikal. Kami mendapat arahan untuk memfailkannya semula secepat mungkin dan tetap akan meneruskan saman fitnah terhadap Musa,” katanya.
Beliau kemudian memaklumkan pemberita bahawa saman itu telah difailkan semula pada Isnin dan sedang menanti mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi pengurusan kes, lapor Bernama.
Berdasarkan tuntutan saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Yeoh mendakwa Musa memberi ucapan pada forum bertajuk “Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?”
Ahli Parlimen Segambut itu mendakwa, kenyataan dalam ucapan itu adalah tidak benar, menyusahkan, palsu, salah dan tidak berasas selain telah dirancang terlebih dahulu, dibuat dengan niat jahat, mencemarkan nama baik, memfitnah serta memusnahkan reputasi plaintif.
Beliau memohon mahkamah mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang Musa, pegawai atau ejennya daripada menyebut, menerbit, menyebabkan untuk diterbitkan perkataan yang didakwa berunsur memfitnah selain menuntut ganti rugi umum, teruk dan teladan selain kos serta relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!