207 Warga PDRM Disiasat – Kes Dadah Paling Tinggi Bawa Tindakan Buang Kerja
207 Warga PDRM Disiasat – Kes Dadah Paling Tinggi Bawa Tindakan Buang Kerja
MARAN – Seramai 207 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tahun lalu atas pelbagai kesalahan melibatkan integriti termasuk berkait penyalahgunaan dadah, jenayah, rasuah dan syariah.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Dato’ Sri Azri Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 32 pegawai dan anggota diambil tindakan buang kerja dengan majoriti kes melibatkan dadah.
“Dalam 207 tindakan tatatertib yang diambil, sebanyak 52 kes adalah berkaitan dadah dan 17 daripadanya membawa kepada pemecatan.
“Ia merupakan angka tertinggi berbanding kesalahan lain,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dan Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai.
Azri berkata, JIPS sentiasa menekankan soal integriti sebagai tunjang utama dalam PDRM dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku warga pasukan keselamatan itu.
“Sebagai agensi penguatkuasa undang-undang, kita perlu jadi contoh kepada masyarakat.
“Jika ada warga PDRM terlibat dalam aktiviti tidak bermoral, tindakan tegas wajib diambil agar tidak mencemarkan imej pasukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan mana-mana anggota yang menghadapi masalah peribadi atau tekanan agar tampil mendapatkan bantuan dan khidmat kaunseling disediakan PDRM bagi mengelakkan berlakunya tindakan luar batasan.
“Kita ada sistem sokongan dalaman, jangan pendam, kita bantu,” tegas beliau.-SAHIH