Ajak ‘Check-in’ Ketika Beruniform – Anggota Polis Boleh Dipecat!
Ajak ‘Check-in’ Ketika Beruniform – Anggota Polis Boleh Dipecat!
KUALA LUMPUR – Tindakan anggota polis berpakaian seragam yang mengajak individu awam ‘melepak’ atau ‘check-in’ boleh membawa padah termasuk dibuang kerja, jika disabit pelanggaran tatatertib serta salah guna kuasa.
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan bahawa sebarang tingkah laku tidak profesional ketika memakai uniform rasmi dianggap menjejaskan imej pasukan serta maruah penjawat awam.
Menurut JIPS, anggota polis yang menyalahgunakan kedudukan untuk mengugut atau mengajak secara tidak bermoral boleh disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan (gangguan seksual secara lisan atau perbuatan) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atas perbuatan tidak senonoh di tempat awam.
Bukan sahaja melanggar Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib), malah bercanggah dengan Kod Etika PDRM yang jelas menggariskan larangan perlakuan tidak bermoral ketika bertugas.
Tambahnya, anggota yang disabit kesalahan boleh dikenakan tindakan seperti gantung tugas, diturunkan pangkat atau dibuang kerja selepas siasatan dalaman dijalankan.
Orang awam yang menjadi mangsa gangguan boleh membuat aduan rasmi kepada JIPS melalui portal https://jips.rmp.gov.my atau emel aduan@eaic.gov.my, atau hotline PDRM di 03-2266 3333.
Aduan juga boleh disalurkan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) jika melibatkan pelanggaran hak asasi.-SAHIH