Fattah kekal terajui ANGKASA, Abdul Rahman Timbalan Presiden baharu
KUALA LUMPUR 5 Julai 2025 – Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah mengekalkan jawatan sebagai Presiden ANGKASA selepas memenangi pemilihan sempena Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA Ke-39 (MAPA 2025) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Abdul Fattah memperoleh 3,585 undi menewaskan seorang lagi calon yang turut bertanding bagi jawatan berkenaan.
Bagi jawatan Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dipilih selepas meraih 3,477 undi.
Sementara itu, enam wakil perwakilan negeri turut dipilih bagi menganggotai Jawatankuasa Menentusah Draf Minit Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA Ke-39. Seramai 16 calon bertanding bagi jawatankuasa berkenaan.
Enam individu yang dipilih ialah Adnan Awang (3,109 undi), Intan Norzira Tormudzi (2,984 undi), Norizah Abdullah (2,084 undi), Shafie Mohd Noor (1,952 undi),Habibah Ja’afar (1,849 undi) dan Tn Hj Razali bin Malik (1,775 undi).
Pengumuman rasmi keputusan pemilihan itu dibuat oleh Timbalan Pengerusi Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA Ke-39, Datuk Haron Abdullah pada jam 3.45 petang.
Mesyuarat turut dihadiri 4,898 wakil sah terdiri daripada lapan anggota Lembaga ANGKASA, 179 anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri serta wakil 4,937 koperasi anggota ANGKASA dari seluruh negara.
Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan ANGKASA, Hj Hasnan Hj Mustapha berkata, pemilihan berjalan lancar dan mengikut prosedur ditetapkan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Gerakan koperasi negara terus diperkasakan menerusi Pelan Digital Koperasi Malaysia 2030 sebagai antara tunjang utama pemerkasaan koperasi di era digital, selari dengan dasar-dasar pembangunan ekonomi negara.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha itu disokong melalui dasar seperti Dasar Koperasi Malaysia (DAKoM) 2030 dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030.
“Pelaksanaan pelan digital ini penting dalam memperkukuh sektor koperasi sebagai sektor ekonomi ketiga negara.
“Ia juga membolehkan koperasi meningkatkan daya saing dan relevan dalam ekosistem ekonomi digital semasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa ke-39 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Mesyuarat kali ini menyaksikan kehadiran hampir 5,000 perwakilan koperasi dari seluruh negara dan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul.
Abdul Fattah dalam pada itu menjelaskan, bagi menyokong pelan ini, Angkasa memperkukuh pelaksanaan program BA100 iaitu inisiatif membangunkan sektor peruncitan secara digital.
“Sehingga Mei 2025, sebanyak 3,591 buah outlet berdaftar di bawah program ini, melebihi sasaran awal iaitu 3,000 outlet.
“Angkasa menyasarkan nilai jualan mencecah RM375 juta menjelang tahun 2030,” ujarnya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Gabungan NGO pacu aktiviti rakyat setiap Sabtu di Temerloh
TEMERLOH, – Karnival Mini Usahawan Bazaar Lurah Semantan yang berlangsung hari ini bukan sekadar program sehari, sebaliknya menjadi antara usaha berterusan Gabungan NGO Daerah Temerloh dalam memperkasa ekonomi komuniti, khususnya usahawan wanita dan desa.
Majlis perasmian disempurnakan Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli, yang turut menyertai aktiviti Fun Walk dan Fun Fit bersama lebih 600 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.
Pengerusi Dewanita Negeri Pahang, Rusyatina Wahab, yang juga Timbalan Pengerusi Usahawan Daerah Temerloh dan Ketua Sekretariat Gabungan NGO, sebanyak 12 NGO bergabung di bawah sekretariat itu dan akan menganjurkan aktiviti mingguan setiap Sabtu di lokasi sama.
“Kita beri ruang kepada semua NGO dalam gabungan untuk kendalikan pelbagai aktiviti seperti pertandingan masakan, senam zumba, sukan rakyat dan seni budaya. Setiap minggu ada tema berbeza bagi menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.
Katanya, seramai 600 peserta mendaftar menyertai acara pagi ini dan apabila digabungkan dengan kehadiran ahli keluarga, jumlah pengunjung mencecah hampir 1,000 orang.
Antara pengisian lain termasuk sukaneka kanak-kanak, pertandingan gubahan bunga kantan serta karaoke walk-in yang berlangsung hingga jam 3 petang, bagi memastikan pengunjung kekal berada di lokasi bagi menyokong usahawan tempatan.
Sebanyak 20 usahawan diberi peluang mempromosi produk masing-masing dengan kadar sewa minimum RM20 bagi menampung kos kebersihan dan kemudahan asas.
“Kita sengaja tak buka tapak terlalu banyak sebab kalau peniaga ramai, tapi pengunjung kurang, mereka pula yang rugi. Jadi kita buat secara giliran supaya semua usahawan dapat peluang,” katanya.
Karnival itu turut mendapat sokongan tajaan daripada Mohamad Hafizal Mahmood, Kedai Emas Sri Semantan selaku penaja utama, yang komited menyokong pembangunan ekonomi usahawan tempatan khususnya dalam kalangan wanita dan belia desa.
Antara NGO terbabit termasuk Kelab Usahawan Desa, Persona, Pawah (Permotoran Wanita), Pemadam, Kelab Sukan Senam Seni Kebudayaan Temerloh (KSSSKT), Kelab Sukan Jabatan Daerah (KSG), Puspanita, Women Institution, serta beberapa masjid di sekitar daerah ini.
Rusyatina berkata, program seterusnya dijangka diadakan di kawasan masjid dengan sasaran penyertaan 500 orang, yang turut membuka peluang kepada peniaga kecil.
“Platform ini bukan sahaja mengangkat produk tempatan, malah beri ruang wanita lebih aktif dan berdikari dalam komuniti,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ePelancar bantu warga koperasi akses info lebih pantas
KUALA LUMPUR – Warga koperasi kini boleh mendapatkan informasi terkini berkaitan dunia koperasi secara lebih pantas dan mudah menerusi aplikasi ePelancar yang boleh dimuat turun secara percuma melalui App Store dan Play Store.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, aplikasi itu dibangunkan sebagai pusat informasi digital Wadah Pelancar yang mengumpulkan berita, maklumat dan pencapaian terkini koperasi di seluruh negara.
Menurutnya, pendekatan itu seiring usaha digitalisasi koperasi serta memberikan akses yang lebih meluas kepada semua warga koperasi termasuk ahli lembaga, pengurusan dan ahli biasa.
“Melalui ePelancar, pelbagai maklumat penting seperti berita semasa koperasi, laporan kejayaan, aktiviti serta dasar berkaitan boleh diakses terus dari telefon pintar.
“Ia bukan sahaja pantas, malah memudahkan pengguna mendapatkan maklumat tanpa perlu menunggu edaran bercetak atau menunggu laporan rasmi,” katanya dalam satu kenyataan.
Aplikasi berkenaan turut menampilkan versi digital majalah Pelancar, Pelancar Edisi Khas, Coop Malaysia Update serta info mengenai inisiatif ekonomi seperti CoopBiz.
Selain itu, ePelancar juga menjadi platform rujukan utama dalam memperkasakan gerakan koperasi negara dengan menyediakan bahan informasi sahih, kemas kini dasar semasa dan pelbagai panduan pengurusan koperasi.
“Ini adalah sebahagian usaha transformasi digital ANGKASA dalam memperluas capaian dan memperkukuh sistem komunikasi dalam ekosistem koperasi,” katanya lagi.
Aplikasi ePelancar boleh dimuat turun secara percuma menerusi Play Store di pautan berikut: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.epelancar.
“Sumber informasi koperasi kini lebih dekat dan cepat, khas untuk anda – warga koperasi.”-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Rakyat terbeban, PAS akan tubuh jawatankuasa khas Perikatan Nasional
TEMERLOH – PAS akan mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas di peringkat Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat bagi merangka strategi menangani tekanan ekonomi yang semakin membebankan rakyat.
Langkah itu diambil susulan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dinaikkan daripada enam kepada lapan peratus serta peluasan skop cukai yang dikatakan memberi kesan langsung kepada pengguna biasa.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jawatankuasa khas itu akan menggabungkan kepakaran tokoh ekonomi dan pimpinan utama daripada PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Gerakan serta parti-parti komponen dalam PN.
“Kita akan duduk berbincang bersama bagi meneliti langkah-langkah segera yang boleh diambil untuk mengurangkan beban rakyat, bukan sekadar mendesak kerajaan, tetapi menyediakan penyelesaian yang boleh dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah umum PAS TERAJU Pahang anjuran PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab di Markaz PAS Paya Kecik, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim direhatkan sementara daripada jawatan tersebut bagi memberi laluan kepada siasatan terhadap kes Muhammad Yusoff Rawther dilakukan secara telus dan bebas.
“Seperti yang berlaku di Thailand, Perdana Menteri mereka turut direhatkan ketika siasatan dijalankan. Ini langkah adil kepada semua pihak dan menjaga integriti pentadbiran,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan SST dan kenaikan tarif elektrik secara serentak menambahkan beban rakyat yang sedia terkesan dengan peningkatan kos sara hidup sejak awal tahun.
“Kesan dua peratus itu besar. Biarpun kerajaan kata hanya barangan mewah atau import terlibat, tetapi impaknya dirasai secara menyeluruh,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Penerangan BERSATU Pahang, Datuk Mohd. Rofaie Hamdan berkata, program ceramah itu adalah kerjasama antara PAS DUN Mentakab dan BERSATU Bahagian Temerloh bagi menjelaskan isu-isu semasa kepada rakyat.
“Antara yang dibangkitkan termasuk pelaksanaan SST, pemansuhan subsidi petrol RON95 serta ketidakpastian dasar ekonomi kerajaan yang memberi kesan besar kepada kehidupan harian rakyat,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ANGKASA catat jualan lebih RM4.6 juta menerusi Jualan Rahmah Madani
KUALA LUMPUR 3 JULAI 2025 – Amanah dan kepercayaan kerajaan kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus terbukti apabila berjaya merealisasikan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) khusus untuk sektor koperasi.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, penglibatan ANGKASA dalam program anjuran Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu adalah hasil mandat kerajaan susulan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 yang turut disertai oleh YAB Perdana Menteri.
“Sebanyak 92 buah koperasi di seluruh negara berjaya melaksanakan PJRM dengan jualan keseluruhan mencecah RM4.6 juta. Ia dilaksanakan di 79 kawasan Parlimen dan 116 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), melibatkan lebih 106,000 penerima manfaat,” katanya.
Menurut beliau, ANGKASA bertindak sebagai penyelaras kepada koperasi terlibat menerusi kerjasama erat bersama KPDN bagi memastikan harga barangan asas yang ditawarkan lebih rendah, dengan subsidi antara 20 hingga 30 peratus.
“Pelaksanaan PJRM bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup rakyat, tetapi turut membuka ruang ekonomi baharu kepada koperasi untuk menjalankan perniagaan barangan asas di lokasi masing-masing,” katanya.
Selain itu, PJRM juga menyediakan pelbagai pilihan produk asas yang menepati keperluan pengguna semasa serta memastikan koperasi mampu menawarkan barangan pada harga berpatutan.
Difahamkan, lebih 98 pengendali koperasi dan outlet seperti koperasi pengguna, AngkasaMart dan I-Koperasi terbabit menjayakan siri jualan yang kini telah mencecah 245 lokasi seluruh negara.
“ANGKASA akan terus komited meluaskan pelaksanaan PJRM agar lebih banyak koperasi dapat terlibat, seterusnya menjadikan sektor koperasi sebagai pemangkin kesejahteraan rakyat,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Tetamu yang hadir pada Program Bicara Dari Hati terkedu apabila Fauziah memberi penjelasan tiga Ikon YNI merupakan OKU cacat penglihatan walaupun kelihatan normal dari segi fizikal.
Program YNI buka mata masyarakat tentang erti syukur
KAJANG – Bersyukur bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi satu manifestasi rendah diri serta pengakuan terhadap nikmat kurniaan Allah SWT. Ia menjadi benteng kepada sifat mazmumah seperti riak, hasad dan takbur, di samping mendorong insan untuk berbuat baik sesama manusia.
Atas semangat ini, Yayasan Nur Inspirasi (YNI) telah menganjurkan Program Bicara Dari Hati di pelbagai lokasi seluruh negara. Program ini mensasarkan komuniti berbeza seperti pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, penghuni rumah kebajikan, pusat tahanan dan perkampungan nelayan.
Fauziah ketika menceritakan mengenai fungsi YNI dalam menyantuni pelbagai komuniti seluruh negara dengan mengetengahkan erti syukur.
Menariknya, program ini digerakkan oleh tiga ikon YNI yang merupakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, iaitu Dinie Rashid, Rashidi Abd dan Khairilazreen.
Walaupun pada pandangan mata kasar mereka kelihatan seperti pemuda biasa, hakikatnya mereka ialah insan istimewa yang pernah mengalami kegelapan penglihatan dalam usia muda akibat penyakit glaukoma.
Dalam sesi santai namun menyentuh hati itu, ketiga-tiga ikon berkongsi kisah perjuangan dan kecekalan mereka menerima takdir, serta bagaimana mereka mengubah ujian menjadi kekuatan.
Dinie Rashid, yang kini melanjutkan pelajaran di universiti, pernah mengalami tekanan dan kemurungan setelah penglihatannya merosot.
“Namun sokongan ibu bapa dan kesedaran saya sendiri serta bersyukur menjadikannya lebih tabah.
“Saya kini hanya mampu melihat 20 peratus, namun saya bersyukur kerana dapat menyanyi dan berkongsi kisah sebagai ikon YNI,” katanya.
Rakannya, Rashidi Abd, dia kehilangan penglihatan semasa usia remaja dan pernah gagal dalam SPM akibat tekanan.
“Namun kini, saya merupakan penulis dan jurufoto yang berjaya. “Allah itu Maha Adil. Saya diberi kemahiran dalam bidang lain, dan itu saya syukuri,” katanya dalam sesi di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih.
Khairilazreen, yang kini buta sepenuhnya, berkongsi bahawa beliau tetap bersyukur kerana sempat menikmati keindahan dunia sebelum gelap sepenuhnya.
Kini, beliau mahir bermain muzik dan urutan, serta memberi inspirasi kepada ramai dalam setiap jelajah bersama YNI.
“Walaupun saya tidak nampak wajah ibu bapa di pusat jagaan ini, saya harap mereka tetap bersyukur kerana masih dapat meneruskan kehidupan dengan aman,” katanya di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang.
Pengerusi YNI, Datin Fauziah Mohd Ramly, turut menyentuh pengajaran besar daripada Surah Ar-Rahman yang mengingatkan manusia supaya tidak mengingkari nikmat Allah. Sejak 13 tahun lalu, beliau aktif menyantuni golongan memerlukan seperti gelandangan, miskin bandar dan remaja bermasalah melalui mesej kesyukuran.
“Melalui pengalaman tiga ikon ini, masyarakat dapat memahami bahawa bersyukur bukan hanya ketika senang, tetapi lebih bermakna apabila diuji. Kita perlu sentiasa bersyukur agar tidak kufur nikmat,” katanya yang juga ibu kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Program YNI ini membuktikan bahawa keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk memberi inspirasi kepada orang lain. Syukur adalah anugerah hati yang dapat menyinari hidup sesiapa sahaja yang mahu melihat dengan mata hati.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
14 Calon UMNO Jerantut Tawar Diri Ke Perhimpunan Agung 2025
JERANTUT – Seramai 14 calon daripada UMNO Bahagian Jerantut disenaraikan sebagai calon wakil ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia 2025 (G7), yang dijangka berlangsung tahun hadapan.
Senarai rasmi calon itu telah disahkan oleh Setiausaha UMNO Bahagian Jerantut, Zainorin Abidin menerusi satu pengumuman rasmi yang dikeluarkan baru-baru ini.
Antara 14 nama calon yang bertanding seperti Dato’ Azli Ismail (calon nombor 1), Dato’ Khatijah Mohd Said (3) dan Tuan Haji Ahmad Murad Mat Hashim @ Idris (7).
Turut disenaraikan ialah beberapa muka baharu serta wakil wanita seperti Alina A. Rahman (2) dan Nur Farhana Adila Suhaimin (9), yang dilihat membawa semangat baharu dalam barisan kepimpinan UMNO Jerantut.
Antara calon lain yang disenaraikan ialah Suffyan Mustapa Kamar (4), Tn Haji Razak Daud (5), Wan Albahizam Wan Basri (6), Ahmad Faroq Fauzi (8), Jaimi Wan Mustaffa (10), Jamalludin Baharun (11), Mohd Muhaidin Mahasan (12), Ahmad Aswadi Abdullah (13) dan Muhammad Ali Shafie Mohd Sofian (14).
Proses pemilihan ini dijangka berlangsung dalam suasana harmoni dan demokrasi sepenuhnya, sejajar dengan prinsip perjuangan UMNO yang menjunjung nilai kesetiaan dan khidmat kepada rakyat.
Calon-calon G7 ini bakal mewakili suara dan aspirasi akar umbi Bahagian Jerantut dalam Perhimpunan Agung UMNO, forum tertinggi parti yang menjadi pentas perbahasan dasar serta hala tuju politik UMNO.
UMNO Bahagian Jerantut menyeru ahli-ahli untuk memberikan sokongan dan membuat pilihan terbaik demi memperkasa parti menjelang cabaran politik akan datang.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Yayasan ANGKASA Santuni Pelajar, Hampir RM17 Juta Telah Disalurkan
KUALA LUMPUR – Komitmen Yayasan ANGKASA dalam memperkasa bidang pendidikan terus kukuh apabila seramai 1,898 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) telah menerima manfaat pembiayaan dan biasiswa sejak tahun 2000 hingga 2024.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, jumlah keseluruhan pembiayaan pendidikan yang disalurkan mencecah RM16.37 juta, manakala sebanyak RM6.87 juta telah ditukar kepada biasiswa kepada pelajar yang layak.
“Ini adalah bukti kesungguhan Yayasan ANGKASA dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam kalangan warga koperasi dan anak-anak mereka, selaras dengan usaha membangunkan ekosistem koperasi yang lebih holistik,” katanya.
Menurutnya, sektor koperasi kini diiktiraf sebagai antara penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), justeru pembangunan pendidikan dalam kalangan generasi muda melalui koperasi wajar diteruskan dan diperluaskan.
Selain bantuan kewangan, Yayasan ANGKASA juga giat melaksanakan pelbagai aktiviti nilai tambah untuk pelajar, termasuk bengkel pembangunan sahsiah, kem kepimpinan serta program persediaan menghadapi dunia pekerjaan.
“Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kewangan, malah turut membentuk jati diri, disiplin dan daya saing dalam kalangan pelajar agar mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Yayasan ANGKASA ditubuhkan pada tahun 2000 sebagai badan kebajikan pendidikan yang bernaung di bawah ANGKASA bagi menyantuni kebajikan anak-anak anggota koperasi di seluruh negara.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ANGKASA terus prihatin, infaq bantu rakyat pelbagai sektor
KUALA LUMPUR – Prihatin terhadap kebajikan rakyat, Yayasan Infaq ANGKASA (YIA) yang bernaung di bawah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus mengorak langkah proaktif dalam membantu masyarakat.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, yayasan tersebut yang diasaskan melalui Skim Infaq Lil-Waqf pada tahun 2010 kini berjaya mencatat kutipan infaq kumulatif sebanyak RM32.57 juta, dengan agihan kepada golongan memerlukan berjumlah RM21.45 juta.
“Agihan dana ini melibatkan empat sektor utama iaitu sektor sosial sebanyak 41 peratus, kesihatan (25%), pendidikan (26%) dan ekonomi (8%),” katanya.
Menurutnya, Yayasan Infaq ANGKASA yang didaftarkan secara rasmi di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 pada 9 Julai 2021, memainkan peranan besar dalam menaik taraf kehidupan rakyat dari segi sosioekonomi dan pendidikan, di samping memperkukuh aspek kesihatan komuniti.
“Kita laksanakan pengagihan dana secara tersusun dan sistematik, berlandaskan prinsip Maqasid Syariah supaya sumbangan benar-benar sampai kepada yang memerlukan.
Penyerahan bantuan dan simbolik perasmian projek kerjasama Yayasan Infaq ANGKASA bersama koperasi terpilih, antaranya Projek Charity Parking di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Selangor.
Tambah Abdul Fattah, YIA akan terus diperkasa sebagai wadah penyatuan dan pemberdayaan masyarakat menerusi koperasi dan inisiatif infaq yang inklusif.
“Setiap sen yang disumbangkan adalah amanah. Kami pastikan ia diurus dengan telus demi manfaat semua pihak,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!