Penyeludup nekad terjun tinggalkan 200 kg daun ketum
KANGAR – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi menahan sebuah sampan kayu setelah tekongnya melarikan diri berhampiran Pulau Ketam, dekat sini pada jam 4.30 awal pagi semalam..
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Polis Shamsol Kassim berkata, dalam serbuan terbabit pihaknya menemui 20 bungkusan plastik hitam disimpan di bahagian hadapan sampan kayu tersebut mengandungi daun ketum.
Bungkusan daun ketum ditinggalkan oleh penyeludup
Katanya, daun ketum itu dibawa menuju ke arah sempadan laut Malaysia – Thailand sebelum berjaya dikesan oleh bot ronda PPM.
“Panik akibat dikesan oleh bot ronda penguatkuasa, suspek seorang lelaki dipercayai tekong sampan kayu tersebut nekad memecut laju ke arah pantai sebelum meloloskan diri di kawasan hutan bakau berdekatan.
“Pemeriksaan lanjut dibuat di atas sampan kayu berkenaan menemui kira-kira 200 kg bungkusan plastik hitam disorok di bawah kanvas biru di bahagian hadapan sampan.
“Keseluruhan daun ketum dan sampan kayu berserta enjin dianggarkan bernilai RM 15,000 dan kesemua rampasan kemudiannya dibawa ke IPD Kangar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Malaysia antara 58 negara memilih mengundi berkecuali-isu Rusia
KUANTAN : Malaysia antara 58 negara memilih mengundi berkecuali terhadap isu penggantungan keahlian Rusia dalam Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) pada pengundian Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sesi ke-11, baru-baru ini.
Menteri Luar, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah menjelaskan perkara itu dibuat bagi mengulangi prinsip Malaysia untuk tidak menyokong sebarang tindakan mempolitikkan isu-isu yang dibentangkan di MHAM.
Menurut beliau, pihaknya dalam perhimpunan terbabit turut menekankan agar sebarang keputusan melibatkan penggantungan keanggotaan ahli MHAM perlu dteliti dan dibincangkan terlebih dahulu.
Jelasnya, sebelum 7 hari bulan majlis hak asasi manusia di mana malaysia adalah anggota sekarang membuat keputusan harus ada siasatan dan kita bersetuju untuk ada siasatan tetapi ada resolusi dari beberapa buah negara bawa juga ke perhimpunan bangsa-bangsa bersatu untuk mengantung keanggotaan rusia dalam majlis hak asasi manusia apabila timbul keadaan begini malaysia tiada pilihan semasa mengundi kita mengundi tetapi kita mengambil membuat undian berkecuali. “. ”
Sebelum ini, dalam proses tersebut, keputusan menetapkan Rusia digantung keahlian apabila 93 negara menyokong, manakala 24 negara membantah dan 28 negara mengambil tindakan untuk tidak mengundi.
Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Hindu Sanggam di Kuantan, Pahang.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota turut menjelaskan mesyuarat kabinet 6 April lalu bersetuju Perlembagaan Persekutuan dipinda terlebih dahulu Isnin ini, sebelum pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti dilakukan.
Menurutnya, memang sebulat suara membuat keputusan yang pertama dan ini pun pandangan peribadi saya juga pertama ialah undang-undang untuk atau undang-undang berkaitan lompat atau beralih parti ini memang diperlukan cuma ianya memerlukan penghalusan untuk menggelakkan daripada niat atau matlamat yang baik..Kalau tak betul cara ia digubalkan boleh mendatangkan kesan yang berlainan” katanya
Ia melibatkan pindaan dengan memasukkan fasal baharu ke dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang berkait dengan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
Beliau mengulas lanjut perkara tersebut, selepas terdapat media melaporkan berlaku pertelagahan ahli kabinet mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan yang akan dilaksanakan kelak.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Nur Nabilah Selamat Tiba, teruskan Rawatan Di HUKM
SEPANG : Pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, Universiti Utara Malaysia, UUM, Nur Nabilah Mohd Azahar yang terlibat dalam kemalangan di Curacao, Caribbean pada hujung tahun lalu telah selamat tiba di tanah air, Jumaat lalu.
Pesawat yang membawa Nur Nabilah itu telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8 malam.
Ketibaan Nur Nabilah telah disambut Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, pegawai-pegawai kanan dari Wisma Putra dan UUM serta ibu bapanya, Mohd Azahar Zakaria dan Nor Manira Khalib.
Prof. Dr. Haim Hilman berkata, beliau bersyukur ke hadrat Allah kerana pelajar yang dikasihi, Nur Nabilah telah kembali ke tanah air untuk mendapatkan rawatan susulannya.
Menurutnya, beliau berterima kasih kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), ibu bapa dan keluarga Nur Nabilah serta warga UUM yang telah mendoakannya.
Di samping itu, beliau juga berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Luar Negeri dan semua pihak terlibat yang membantu UUM dalam urusan rawatan Nur Nabilah di sana.
“Nur Nabilah akan meneruskan rawatan susulan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan saya berharap dia dan keluarganya kuat dan tabah serta kuat semangat untuk teruskan rawatan ini,” katanya.
Sementara itu, ibu Nur Nabilah, Nor Manira mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dalam urusan rawatan anaknya di sana khususnya Wisma Putra, Kementerian Pengajian Tinggi dan juga UUM.
“Alhamdulillah akhirnya anak saya berjaya dibawa pulang di atas kerjasama semua pihak terbabit dan saya rasa amat bersyukur kerana dapat melihat anak saya kembali dengan selamat.
“Di samping itu, ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor yang sentiasa berhubung bertanyakan perkembangan Nur Nabilah sehingga kini,” katanya.
Kegembiraan menyambut ketibaan Nur Nabilah turut dikongsikan bersama rakan baiknya, Aiman Qistina Balqis Azman yang dikenali lebih tujuh tahun lalu.
Katanya, dia berasa gembira dan pada masa sama rindu untuk bertemu rakan baiknya itu sehingga sanggup mengambil cuti semata-mata ingin menyambut kepulangan Nur Nabilah atau lebih dikenali sebagai Bella.
“Saya berharap Bella akan menerima ‘positive energy’ dan segera sembuh serta dipermudahkan segala urusannya dengan lancar,” katanya juga pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan.
Nur Nabilah terlibat dalam kemalangan ketika menjalani latihan industri di Dive Division Curacao, Caribbean pada 28 Disember 2021 bagi tempoh enam bulan di negara tersebut, sejak berlepas ke sana pada September 2021.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Pengerusi Amanah Raya Berhad, Datuk Ramli Mohd Noor (tengah) menyampaikan sumbangan itu dengan kerjasama JKM.
Amanah Raya sumbang 1,000 bakul makanan
CAMERON HIGHLANDS – Program Ziarah Komuniti Amanah Raya Berkat Ramadan menyumbang sebanyak 1,000 bakul makanan di 11 buah negeri di Semenanjung dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengerusi Amanah Raya Berhad, Datuk Ramli Mohd Noor berkata, sumbangan itu dengan kerjasama JKM dilaksanakan bermula sambutan bulan Ramadan di negeri di bawah pengurusan pejabat Amanah Raya Berhad.
“Amanah Raya telah melancarkan inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap mereka yang kurang berkemampuan khususnya bagi meringankan beban ketika membuat persiapan berbuka puasa di bulan Ramadan ini.
“Sumbangan ini dilakukan oleh pegawai daripada Ibu Pejabat Amanah Raya Berhad, Kuala Lumpur serta cawangan wilayah di beberapa buah negeri,” katanya selepas pelancaran program CSR Berkat Ramadan, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pemasaran dan Komunikasi Amanah Raya, Siti Azura Shamsuddin dan Pengurus Kanan Wilayah Timur Amanah Raya, Tuan Noraizan Tuan Long
Sementara itu, Siti Azura berkata, Amanah Raya menyediakan 250 bakul makanan berupa barang keperluan dapur diedarkan ke setiap empat wilayah yang terdiri daripada negeri Johor, negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
“Ada negeri sudah melaksanakan program CSR ini seminggu sebelum umat Islam menyambut bulan puasa khususnya penduduk yang kurang berkemampuan di kawasan yang agak jauh dari bandar terpilih untuk program kebajikan ini.
“Terbaharu, kita telahpun menziarahi empat orang bekas homeguard berusia antara 90 hingga 111 tahun di Lipis, Pahang (Wilayah Timur) untuk menyampaikan sumbangan barang keperluan dapur sebagai persiapan bulan Ramadan,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Tanah Rata, Ilias Abdullah, 54, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Amanah Raya Berhad kerana sumbangan barang keperluan dapur bagi meringankan beban perbelanjaannya menyediakan juadah berbuka puasa.
“Terima kasih kepada Amanah Raya menghulur bantuan barang keperluan dapur dan membolehkan saya menyediakan juadah berbuka puasa untuk tempoh dua minggu dan boleh berjimat cermat , “ katanya. –SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Datuk Seri Wan Rosdy menyampaikan sumbangan BPP kepada Amar Hakim Jamil, 20 tahun dari Kg Keledek di majlis tersebut.
Kerajaan Negeri Pahang peruntuk BPP RM29.910 juta
LIPIS – Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan hampir RM30 juta menerusi pemberian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 secara one-off.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian BPP itu melibatkan 297,013 penerima daripada empat kluster sasaran iaitu Kluster Pelajar dan Anak Muda, Kluster Golongan B40, Kluster Umum serta Kluster Apresiasi.
Datuk Seri Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada 426 orang penerima yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan seperti anak-anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal dari 13 kampung di sekitar kawasan Jelai.
“BPP secara bersasar ini disalurkan pada bulan ini (April) hingga Julai dimulai dengan pemberian Sumbangan Awal Persekolahan membabitkan 25,146 pelajar tahun 1 yang menerima RM100 tunai dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2,514,600.
“Seramai 3,600 anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan menerima RM200 tunai bagi mengambil lesen motosikal dengan nilai peruntukan RM720,000.
“Selain itu, 9,000 orang veteran tentera dan polis, 4,500 nelayan, lebih 10,000 penjaja harian, hampir 1,000 pemandu teksi, lebih 40,000 pelajar universiti, 700 pelajar anak yatim, 7,000 ibu tunggal, 2,000 pengusaha e-hailing, serta 851 pengusaha bot dan pemandu pelancong menerima sumbangan RM200 tunai membabitkan peruntukan hampir RM16 juta “katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyampaian BPP dan Sumbangan Ihya Ramadan 1443 Hijrah Dengan Kerjasama Yayasan Pahang di Laman Sejahtera Jelai, Felda Sungai Koyan 1 di sini, hari ini.
Wan Rosdy yang juga Adun Jelai berkata, turut menerima peruntukkan BPP sebanyak RM300 tunai ialah 200 penggiat media sosial seperti blogger, influencer dan youtuber.
“Seramai 2,400 pelajar tahfiz dan 500 gelandangan akan menerima RM100 manakala lebih 25,000 calon yang menduduki SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun ini akan menerima RM100 dalam bentuk tambah nilai (top up) dengan nilai peruntukan lebih RM2.877 juta.
“Bantuan Kerajaan Negeri ini turut melibatkan sumbangan kotak Aidilfitri kepada penduduk kampung dan masyarakat orang Asli dengan nilai peruntukan RM6.53 juta,”katanya.
Wan Rosdy menjelaskan, pemberian BPP itu dapat dilaksanakan berdasarkan keupayaan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri yang kukuh pada masa kini.
“Seperti mana yang saya sering nyatakan, setiap hasil yang Kerajaan Negeri perolehi akan di pulangkan semula kepada rakyat agar kita semua dapat berkongsi rezeki demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama.
“Saya percaya, sekiranya sasaran hasil RM1 bilion pada tahun ini tercapai, tidak mustahil Kerajaan Negeri berupaya untuk meneruskan lagi bukan sahaja BPP tetapi juga bantuan-bantuan lain untuk rakyat di negeri ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Nor Faizah Mohamad Hamizam sedang mendukung Nur airis Maisarah Mohd Zulkarnaen yang menderita buah pinggang bocor bersama seorang anaknya berusia 14 tahun di di No. 21, Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Kampung Bukit Dinding, Jerantut, Pahang hari ini.
JERANTUT – Seorang ibu muda memerlukan bantuan untuk membiayai rawatan anak bongsunya yang mengalami penyakit buah pinggang bocor.
Ibu muda itu, Nor Faizah Mohamad Hamizam, 31, berkata, anak bongsunya itu turut menderita penyakit usus dan hati sejak berusia dua tahun, tetapi pulih setelah mendapat rawatan dan pembedahan Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur (HTAKL) penghujung tahun lalu.
Nor Faizah Mohamad Hamizam memangku Nur airis Maisarah Mohd Zulkarnaen yang menderita buah pinggang bocor di No. 21, Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Kampung Bukit Dinding, Jerantut, Pahang hari ini.
Katanya, dia memerlukan perbelanjaan untuk membeli susu, lampin pakai buang, ulang alik ke HTAKL termasuk persekolahan tiga orang anak sehingga mencecah RM3,000 sebulan.
“Anak saya, Nur Airis Maisarah Mohd Zulkarnaen yang berusia tiga tahun lima bulan yang mengalami penyakit buah pinggang bocor dan memerlukan rawatan susulan dan memerlukan perbelanjaan yang besar.
“Suami saya, Mohd Zulkarnaen Idham Zaabar, telah meninggal dunia pada 31 Januari 2022 ketika berusia 37 tahun akibat penyakit kencing manis yang kronik serta ditambah komplikasi jangkitan kuman dalam darah, asid dalam darah dan hati,” katanya di rumahnya di Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Kampung Bukit Dinding, Jerantut, hari ini.
Katanya, kini tanggungjawab dipikul olehnya untuk mencari rezeki dan sedang berusaha mencari kerja untuk perbelanjaan keperluan dapur, perubatan Nur Airis Maisarah dan persekolahan tiga orang anak berusia 10 , 12 dan 14 tahun.
“Saya menjual ketupat cuma memperoleh pendapatan kecil sahaja akibat ancaman wabak Covid-19 dan kemudiannya makanan itu dijual secara hantar dan bayar, malah lama-kelamaan kekurangan pelanggan.
“Saya pernah menerima sumbangan daripada kerajaan negeri, tetapi kesemua wang itu dibelanjakan untuk rawatan dan pembedahan anak saya yang mengalami penyakit bahagian usus dan hati tahun lalu,” katanya.
Dia merayu kepada orang ramai yang ingin menyumbang bolehlah salurkan bantuan dengan menghubungi Nor Faizah Mohamad Hamizam menerusi talian 013 6958230 atau terus ke akaun Bank Simpanan Nasional, nombor akaun 0610541100001386 (Nor Faizah).
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Hamidi Madtap mengangkut kotak kurma yang disumbangkan aktivis masyarakat dan ahli JPKK.
JPKK Jorak Elahi sumbang 550 kotak kurma kepada penduduk
BATU PAHAT – Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jorak Elahi, Batu Pahat dan dua aktivis masyarakat, berkongsi rezeki dengan mengagihkan 550 kotak kurma kepada penduduk pada awal Ramadan lalu.
Ketua Kampung Parit Jorak Elahi, Mohd Hamidi Madtap berkata, usaha murni itu wajar dijadikan contoh kepada mereka yang berkemampuan untuk menghulurkan sumbangan termasuk makanan kepada penduduk sempena Ramadan.
Hamidi melihat kotak kurma yang diagihkan kepada penduduk Kampung Parit Jorak Elahi dan Kampung Tasek Merdeka baru-baru ini
Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan dua aktivis tersebut, Khairul Fauzi dan Syed Mohsin yang turut dalam menghulur sumbangan peribadi untuk membeli kurma dan diagihkan kepada penduduk kampung untuk dinikmati ketika berbuka puasa.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang apabila harga barang melambung tinggi tidak semua penduduk terutama dalam kalangan keluarga miskin dan asnaf mampu mendapat segala keperluan untuk sepanjang Ramadan.
“Sumbangan kurma ini walaupun nampak kecil bagi sesetengah orang namun ia besar ertinya kepada penduduk terbabit dan saya berasa terharu dapat mengembirakan ahli keluarga mereka berkenaan terutama ketika berbuka puasa,” katanya.
Katanya, dia sentiasa mengalu-alukan jika ada pelbagai pihak untuk bersedia berkongsi rezeki dengan penduduk terbabit yang sekurang-kurang menyedarkan mereka tidak disisihkan begitu sahaja tanpa dibantu seperti dilakukan dalam aktiviti kebajikan kemasyarakatan sepanjang tempoh pandemik Covid-19,” katanya yang juga Ketua UMNO Cawangan Jorak Elahi, Batu Pahat.
Hamidi berkata, kurma berkenaan sudah diagihkan ke setiap rumah penduduk di sekitar Kampung Parit Jorak Elahi dan Kampung Tasek Merdeka oleh beberapa ahli JPKK dan ahli jawatankuasa UMNO cawangan terbabit bermula 1 April 2022 lalu termasuk kepada keluarga daripada dalam kalangan miskin dan asnaf itu.
Menurutnya, sebagai ketua kampung yang memikul tanggungjawab besar dalam membela nasib penduduk serta pembangunan sentiasa bersedia membantu mereka yang ditimpa masalah khusus bencana alam.
“Bagi kami semua penduduk adalah sama walaupun mempunyai perbezaan pendapat dari segi beberapa perkara namun dalam menyelesai masalah musibah ini pelbagai syak wasangka perlu diketepikan dahulu sebaliknya berganding bahu demi kebaikan serta sejahteraan hidup,” katanya. –SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Jason Tee (enam dari kiri) dan Mohd Fikri Hamzah (lima dari kanan) bersama kaki tangan Syarikat Perumahan Jaya Depan dan sukarelawan Skuad Cakna Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut selepas sumbangan beras di bandar Jerantut, Pahang hari ini.
Syarikat Perumahan sumbang 100 kampit beras kepada masjid
JERANTUT – Syarikat Perumahan Jaya Depan menyumbang sebanyak 100 kampit beras kepada pengurusan Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ) untuk diagihkan kepada ahli kariah atau penduduk yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan ini.
Pengurusnya, Jason Tee 40-an, berkata, sumbangan tersebut berasaskan setiap insan wajar berkongsi rezeki sekali gus bantu-membantu kepada mereka yang memerlukan dan golongan yang susah sebagai pegangan utama pengurusan syarikat tersebut.
Kaki tangan Syarikat Perumahan Jaya Depan dan sukarelawan Skuad Cakna Masjid Tengku Mahkota Abdullah sedang menyimpan beras di stor masjid tersebut di bandar Jerantut, Pahang hari ini.
Katanya, syarikat itu sentiasa memegang amanah dan tanggungjawab bahawa rezeki yang diperoleh juga merupakan rezeki untuk dikongsi dengan semua orang lain.
“Pengalaman kesusahan selama lebih dua tahun yang ditempuh oleh penduduk khususnya mereka yang kurang berkemampuan akibat ancaman wabak Covid-19 amat menyedarkan dan istiqamah bagi syarikat pemaju perumahan kami untuk membuat kerja amal seperti sumbangan beras hari ini.
“Sebagai sebuah syarikat perumahan usaha kebajikan berkenaan merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) akan diteruskan selepas pemulihan Covid-19 ini dan Fasa Peralihan Endemik kepada masyarakat, iaitu membantu mereka yang memerlukan,” katanya di perkarangan Masjid Tengku Mahkota Abdullah, bandar Jerantut hari ini.
Katanya, sumbangan tersebut menunjukkan bahawa agama Islam merupakan agama universal yang mengamalkan perpaduan, toleransi dan sebagainya kepada kaum lain tanpa mengira kepercayaan agama dan budaya masing-masing.
“Agama Islam mengajarkan kepada perkara yang positif dan berpandangan jauh malah mendidik umat Islam sendiri mampu berdepan pelbagai cabaran.
“Perkara yang paling mudah dan kerap yang saya nampak dalam agama ini apabila masyarakat Islam menyokong antara satu sama lain menerusi aktiviti bantu-membantu, tolong-menolong dan bergotong-royong antara perkara asas dalam pembinaan kemasyarakatan setempat,” katanya.
Beliau berkata, pihak pengurusan MTMAJ juga mengadakan perbincangan kerjasama dengan Jason Tee dan syarikat tersebut mengenai program jalinan persaudaraan untuk menguatkan perpaduan komuniti setempat khususnya antara masyarakat Melayu Islam dan Cina di daerah ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DI BIARKAN ANAK TERBIAR MATI DIDALAM BILIK SEWA, SAMBIL MENYUSU
THAILAND : Seorang kanak2 perempuan dianggarkan berusia 2-3 tahun ditemui mati didalam sebuah bilik sewa semalam dalam kejadian yg berlaku di Thailand.
Pemilik rumah terhidu bau busuk sebelum menghubungi polis. Bilik ini disewa oleh sorang wanita dan dia membayar sewa pada setiap bulan namun dia dilaporkan tidak pernah menghuni rumah ini.
Lebih menyedihkan mayat kanak2 ini sudah berbau dan bertubuh kurus dan mulutnya masih menghisap botol susu. Sejauh ini tiada maklumat lanjut mengenai ibu kanak2 ini dan punca dia berbuat demikian-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KELADI KEMAHANG ANTARA YANG SEDAP DIMAKAN, INI CARA ORANG PAHANG
KELADI kemahang atau nama saintifiknya colocasia esculenta merupakan sejenis tumbuhan ubi jenis keladi daripada keluarga araceae yang lazimnya tumbuh liar di kawasan agak lembap dan subur.
Tumbuhan ini banyak didapati di Pahang khususnya di laluan Benta-Jerantut iaitu di Kampung Kemahang, Benta.
Menurut cerita orang dahulu kala, nama Kampung Kemahang diperoleh kerana kewujudan keladi itu yang banyak tumbuh meliar di kawasan tersebut.
Bagi orang Pahang, jika sebut keladi kemahang, semua tahu dan tumbuhan ini begitu sinonim dengan masakan gulai masam tempoyak.
Cara mengambil dan memasak keladi kemahang ini banyak pantang larangnya antaranya :
Tidak boleh boleh bertindih bayang semasa mengambilnya.
Perdunya dicabut terus daripada tempatnya.
Cara mengambilnya juga hanya satu haluan dan tidak boleh berpatah balik.
Elakan mengambil keladi kemahang yang berbunga sebab biasanya ia gatal.
Pilih yang muda sahaja.
Keladi kemahang tidak boleh digoreng.
Punca keladi ini gatal boleh dikatakan keladi yang tumbuh bukan dikawasan yang sesuai. Amat diyakini keladi kemahang yang tumbuh di Kampung kemahang, Benta dan sebelah Ulu Cheka, Jerantut tidak gatal.
Namun punca ia gatal masih tidak diketahui hingga kini. Mungkin keladi kemahang tidak diperolehi dikawasan yang disyorkan dan teknik memasaknya juga memainkan perananya.
Petua untuk memasak keladi kemahang Untuk mengelakkan daripada rasa gatal anda boleh meletakkan satu sudu kecil minyak masak atau beberapa ulas beras. Selain itu, nak kurangkan rasa gatal, petuanya adalah batang keladi kemahang direbus (celur) sekejap sahaja. Kemudian ditos airnya atau rendam dengan air bergaram sebelum dimasak.
Cara masak keladi ini sangatlah mudah selepas dicampurkan bahan asas seperti tempoyak lada dan kunyit, kacau sesekali saja. Biarkan meruap, lalu diletakan keladi kemahang tersebut.
Masa diatas dapur jangan kerap mengacau sekadar dibalik-balikkan keladi cara pelahan. Sebab boleh tukar menjadi gatal sekali gus menjejaskan rasa masakan tersebut selain keladi tersebut boleh menjadi hancur.
Untuk rampaian gulai keladi kemahang ini agar lebih menarik dan sedap bolehlah anda meletakkan bunga kantan, terung pipit @ terung manggor , petai atau jering semai. Selamat mencuba.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!