Anggota dan ahli KopKGMMB dan KGMMB elak daripada tertipu
KUALA LUMPUR : Guru yang menjadi anggota Koperasi Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KopKGMMB) dan ahli Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) berwaspada dengan scammer yang cuba memancing melalui penipuan pinjaman kewangan.
Pengerusi KopKGMMB, Ibrahim Marlan berkata, pihak KopKGMMB telah menyedari penipuan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sejak minggu lalu.
“Terdapat anggota telah menerima pesanan ringkas (SMS) berkaitan kelulusan pinjaman kononnya daripada pihak koperasi.
“Mujur anggota yang menerima SMS itu mengesyaki terdapat kekeliruan dan menghubungi ibu pejabat dengan segera untuk mendapatkan kepastian.
Pesanan ringkas (SMS) yang diterima
“Sekiranya menerima sebarang pesanan ringkas daripada pihak yang tidak dikenali atau yang menyamar sebagai pihak koperasi diharap segera menghubungi pihak ibu pejabat untuk mendapat maklumat lanjut samada anggota membuat pinjaman atau tidak,” katanya.
Sementara itu, Presiden KGMMB, Jasni Md Kechik turut mengingatkan ahli kesatuan agar tidak terjebak dengan penipuan ini.
“Pihak KGMMB tidak melantik wakil atau agen berkaitan dengan pinjaman dari kesatuan atau koperasi, oleh itu ahli diharap berwaspada dan menghubungi terus ke ibu pejabat KGMMB,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi sumbangan kepada 15 ibu dan anak di Hospital Kuala Lipis, hari ini.
Elak tajuk berita yang mengelirukan
LIPIS – Pengamal media berhati-hati ketika menerbitkan berita dengan tajuk yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi dan naratif sehingga ramai warga maya beranggapan bahawa pihak pekebun Musang King di Raub telah menang dalam perbicaraan di mahkamah.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihak media jangan menggunakan tajuk berita yang boleh menimbulkan kekeliruan sekaligus mewujudkan provokasi dan salah faham di kalangan masyarakat.
“Pada 4 Julai yang lalu satu laporan sebuah akhbar bertajuk ‘Kemenangan Bermakna Pekebun Musang King’, telah menimbulkan salah faham dan mengelirukan rakyat seolah-olah kerajaan telah kalah dalam perbicaraan tersebut.
“Mohon warga maya bijak menilai berita dan tidak hanya membaca tajuk semata-mata sebaliknya mendapatkan berita lebih lanjut dengan membaca keseluruhan laporan ataupun mencari maklumat daripada pelbagai sumber yang tepat sebelum membuat sebarang penilaian dan pentafsiran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Kick Off Pahang Pride Kid 2023 itu di Hospital Lipis, hari ini.
“Jadi jangan baca tajuk sahaja, baca juga isi kandungan dan dalam masa yang sama cuba mendapatkan pandangan-pandangan atau pun fakta-fakta daripada pihak-pihak lain, jangan berasaskan hanya kepada satu sumber sahaja mereka boleh rujuk kepada pelbagai pihak.
“Keputusan mahkamah tersebut hanyalah berhubung permohonan interlokutori (bantahan awal) pihak Royal Pahang Durian untuk pembatalan prosiding di atas alasan peguam pemohon (pekebun) gagal mengemukakan dokumen untuk mewakili semua pemohon,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu seorang wanita untuk menyeberangi Sungai Sepan.
Sebelas rumah dilanda banjir kepala air di Kampung Sempadan
JERANTUT : Sebelas buah rumah dilanda banjir kepala air menyebabkan paras air Sungai Sepan tiba-tiba naik mendadak sehingga kira-kira satu meter pada jam 2.00 pagi di Kampung Sempadan, dekat sini, awal pagi ini.
Tiga puluh Sembilan orang daripada sebelas keluarga tidak sempat menyelamatkan peralatan dan dokumen penting kerana tidak sedar air tiba-tiba naik dari arah Sungai Sepan yang terletak kira-kira 30 meter daripada rumah penduduk kampung itu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Kapt. (PA) Muszaidi Musa melaporkan, ekoran daripada hujan lebat yang bermula pada jam 9.00 malam semalam, menyebabkan berlaku paras air naik dan melimpah memasuki rumah penduduk berdekatan sungai itu.
Seorang pelajar menjemur sijil-sijil persekolahan yang tidak sempat diselamatkan dalam kejadian itu di Kampung Sempadan, hari ini.
Katanya, terdapat lima buah rumah di Kg Sempadan dan tiga buah rumah di Kg Batu Balai dimasuki air dan mangsa di Kg Sempadan menumpang sementara di Balairaya Kg Sempadan dan paras semasa air menunjukan trend menurun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Sempadan, Samsuri Salamin berkata, kejadian banjir dipercayai berlaku disebabkan kepala air dari hulu Sungai Relai, Sungai Cheka dan Sungai Sepan akibat hujan lebat yang berlaku malam tadi.
“Penduduk yang terlibat memang tidak menjangka berlaku banjir kali ini kerana kejadian ini di luar musim tengkujuh.
“Paras air cepat menyebabkan 11 keluarga tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing kerana perlu menyelamatkan diri dan berlindung di Balai Raya Kampung Sempadan sebelum dibenarkan pulang sehingga air surut,” katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Lehan Yushak, 64 tahun berkata, hujan lebat mula berlaku pada jam 9.00 malam sehingga jam 11 malam dan paras air mula naik kira-kira jam 12 tengah malam.
“Selepas itu air bertenang dan tidak menjangka pada jam 2 pagi, datang sekali air melanda kawasan rumah dan memasuki dalam rumah dan dianggarkan sehingga satu meter.
“Memang terkejut kerana ahli keluarga ramai sudah nyenyak dan terpaksa dikejutkan untuk menyelamatkan barang,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut.
.Seorang penduduk di kampung itu, Rosmaniza Mohd Isa (43) tahun berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.00 pagi dan air mendadak bermula di bahagian dapur rumah dan semua ahli keluarga tergamam kerana baru tersedar dari tidur.
“Kejadian banjir kali ini sangat cepat dan kejadian banjir berlaku setiap tahun berlaku, kadang-kadang berlaku 2 kali setahun setiap musim tengkujuh.
“Tapi kali ini kejadian banjir luar jangka kerana di luar musim tengkujuh, saya sekeluarga sudah letih kerana setiap kali berlaku banjir banyak peralatan di rumah banyak yang rosak, diharap ada jalan penyelesaian,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kawasan Damak, Haris Salleh Hamzah ketika ditemui berkata, beliau akan cuba melakukan sesuatu untuk membantu rumah penduduk yang terlibat yang terletak berdekatan kawasan Sungai Sepan.
“Mungkin akan berbincang dengan pihak berkaitan sama ada akan mendalamkan sungai itu sebagai langkah jangka pendek,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) merakamkan kenangan selepas mengadakan Program Khidmat Komuniti di asrama sementara PEWARIS di Kampung Lahar, Mukim Malau, Jitra, Kedah, baru-baru ini.
PEWARIS sewa rumah lama untuk bela warga emas
KOMITMEN yang teguh untuk membuka pusat jagaan bagi membela nasib warga emas tanpa waris, disisih keluarga dan terbiar menjadi gelandangan mendorong Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka, Kubang Pasu (PEWARIS) beroperasi sementara di Kampung Lahar, Mukim Malau di Jitra, Kedah bermula 15 Jun 2023 lalu.
Usaha dan komitmen PEWARIS membuka asrama sementara pusat jagaan warga emas sering mendapat perhatian NGO untuk berkongsi rezeki.
Bagi tujuan itu PEWARIS menyewa sebuah rumah yang dibaik pulih semula untuk menjadi asrama sementara bagi menampung 14 penghuni dengan dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti tangki air, penapis air, bilik berfungsi sebagai wad sementara, bilik kaunseling, surau dan dewan terbuka sebagai tempat pengajian agama.
Setiausaha PEWARIS, Azmi Mat Napiah, berkata langkah itu turut mendapat sokongan serta dorongan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara apabila turut menghulurkan sumbangan seperti katil hospital, barangan makanan keperluan asas dan sebagai bagi meringankan bebanan PEWARIS.
Menurutnya, walaupun asrama berkenaan bertaraf sementara untuk menunggu kutipan dana atau wakaf mencukupi bagi tujuan pembinaan bangunan kekal iaitu sebuah kompleks pusat jagaan di Kampung Bukit Napai, Mukim Binjai, daerah Kubang Pasu di Jitra, Kedah yang dijangka menelan perbelanjaan RM4.9 juta, bermacam aktiviti akan diatur di pusat jagaan itu.
Katil-katil untuk kemudahan penghuni keuzuran turut dikongsikan oleh beberapa pusat jagaan sebagai sokongan kepada PEWARIS.
Tambahnya, di asrama sementara itu PEWARIS sudah merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti harian termasuklah latihan kerja kemahiran seperti membuat bedak sejuk, telur masin, semaian serta jahitan di samping kelas agama iaitu pengajian hadis, tafsir al-Quran, amali solat, bacaan al-Quran dan mukaddam dengan bimbingan guru agama bertauliah.
Jelas Azmi, umpama pusat jagaan yang sudah lama beroperasi, menu makanan disediakan mengikut jadual ditetapkan, manakala penghuni uzur atau menghidap penyakit penyediaan makanan akan mematuhi nasihat pegawai perubatan hospital atau klinik kesihatan tempat mereka dirujuk untuk mendapatkan rawatan.
“PEWARIS akan menyantuni warga emas ini ibarat sebagai seorang bapa atau ibu yang memerlukan kasih sayang, perhatian untuk dijaga dengan sempurna sebagaimana amanah yang menjadi taruhan dan tidak akan sekali-kali melakukan secara sambil lewa.
“Buat permulaan PEWARIS akan menerima warga emas dalam kalangan asnaf, fakir miskin, gelandangan dan terbiar tanpa waris untuk di tempatkan di asrama sementara ini yang mendaftar secara percuma namun begitu mereka terbabit akan direkodkan latar belakang bagi memudahkan urusan jika berlaku kecemasan atau perkara tidak diingini,” ujarnya.
Azmi berkata, pembukaan asrama sementara itu juga akan dijadikan tempat sukarelawan PEWARIS mempraktik tugasan serta menimba pengetahuan cara menyantuni warga emas dan keperluan yang perlu pada seseorang itu dalam mengurus atau melayani penghuni dengan cara yang betul
Menurutnya, tanpa pengalaman atau pengetahuan asas sudah tentu akan melahirkan sikap kurang sempurna atau mungkin mudah bosan ketika menyantuni warga emas berkenaan kerana pelbagai karenah serta permasalahan akan berlaku terutama dalam mengurus selia mereka yang uzur.
Jelasnya, tugas sukarelawan juga penting dalam membantu PEWARIS mengurus tadbir asrama itu supaya mampu beroperasi dengan lancar dan perkara berkenaan akan dipraktikan semula apabila bangunan kekal sebagai kompleks siap dibina dengan dilengkapi pelbagai kemudahan asas yang lebih baik selain mampu menampung jumlah penghuni dijangka melebihi 50 orang.
Tambah beliau lagi, walaupun sebagai asrama sementara PEWARIS mempelawa pelbagai pihak termasuk NGO untuk hadir bagi menjalankan aktiviti amal kebajikan atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) sambil menghulurkan sumbangan bertujuan sama-sama berkongsi rezeki membela nasib warga emas.
“Saya sebelum ini bersama-sama ahli jawatankuasa PEWARIS sudah mengunjungi beberapa pusat jagaan dan rumah kebajikan dalam menjalinkan kolaborasi serta kerjasama bagi menimba pengetahuan mengenai kaedah atau cara terbaik mengurus tadbir warga emas serta pelbagai kelengkapan dan kemudahan asas yang perlu disediakan,” katanya.
Mengenai bangunan kekal yang akan dibina sebagai kompleks itu, Azmi berkata, PEWARIS akan berusaha sebaik mungkin untuk menyiapkannya semata-mata bagi ambil peduli mereka ditimpa musibah termasuk dalam kalangan asnaf, miskin, ibu tunggal khususnya warga emas terbiar diuruskan dengan sempurna termasuk memberi bimbingan ilmu ibadat dan latihan kemahiran supaya dapat berdikari.
Menurut beliau, apabila siap dibina nanti, kompleks itu akan berada dalam persekitaran suasana perkampungan berdusun kerana kawasan tanah seluas 20 ekar yang bersempadan giat ditanam pokok durian dan akan dijadikan dusun agropelancongan dengan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk inap desa (rumah inap).
Tambahnya, kompleks itu juga akan dengan dilengkapi prasarana yang cukup sempurna seperti dua blok bangunan asrama setingkat yang boleh menampung 40 hingga 50 penghuni dengan kemudahan bilik mandi, tandas, membasuh, bacaan, tempat berehat, ruang menonton televisyen dan sebagainya selaras kehendak Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Katanya, di samping prasarana berkenaan kompleks itu juga akan dilengkapi beberapa bangunan seperti asrama warden, tukang masak, pentadbiran, bilik mesyuarat, wad sementara, kemahiran vokasional, latihan kesihatan, kantin, surau, dewan ilmu, rumah kawalan keselamatan dan rumah inap untuk disewa.
“Sebagai NGO, PEWARIS mempunyai sumber kewangan yang terhad dan kini sudah mendapatkan kebenaran atau kelulusan daripada pihak berkenaan bagi melakukan aktiviti mengumpul dana daripada pelbagai pihak dan berharap syarikat besar dapat berganding bahu dengan menghulurkan sumbangan,” ujar Azmi.
Kepada pelbagai pihak atau mereka yang ingin mendapatkan maklumat boleh menghubungi PEWARIS menerusi nombor telefon Azmi 012-429 7510. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Jenazah tujuh daripada sembilan sekeluarga yang meninggal dunia dalam tragedi kepala air di Jeram Air Putih Chukai di Terengganu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Lebar Hilir 3. – Foto BERNAMA
7 jenazah dibawa ke Pahang
KUALA TERENGGANU: Jenazah tujuh beranak mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman telah dihantar pulang ke kampung mereka pada jam 6.25 petang ntuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan.
Jenazah melibatkan ketua keluarga berkenan, Karim Abdullah, 39 tahun; isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta lima anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziq Ziqree, 6; Putri Aryana Umaira, 4 dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18.
Jenazah dihantar pulang menggunakan tujuh van jenazah ihsan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan diiringi dua kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.
Mayat Putri Alleya Maisarah Karim 16 tahun yang dijumpai jam 3.00 petang tadi dipercayai masih ditempatkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk proses bedah siasat.
Dua lagi mangsa belum dijumpai iaitu mangsa yang dikategorikan sebagai masih hilang ialah Putri Nor Fatin Karim, 14 dan Muhammad Fikri Saliman, 24.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, 10 orang termasuk sembilan sekeluarga hilang ekoran insiden kepala air berikutan hujan lebat.
Sumber : BuletinTV3
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lelaki maut tercampak dalam kemalangan di KM23 LTU
LIPIS : Seorang lelaki berseorangan menunggang motosikal dari Kuala Lipis menghala ke Merapoh maut dalam kemalangan jalan raya di KM23, Lebuhraya Tengah Utama (LTU), pada jam 3.50 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, penunggang menaiki motosikal jenis Yamaha NVX itu dipercayai hilang kawalan terus melanggar tembok bahagian tengah pembahagi jalan dan tercampak ke atas jalan di laluan bertentangan.
“Mangsa, Muhammad Alfi Husaini Zulkifli berusia 20 tahun, beralamat Pulai Chondong Kelantan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Klinik Kesihatan Merapoh dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Keadaan jalan adalah sistem jalan dua lorong satu hala berselekoh, terdapat garisan putih putus-putus sebagai pembahagi jalan dan ketika kejadian, keadaan cuaca baik tetapi gelap tanpa lampu,” katanya melalui kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. -END.
Sementara itu, Pegawai Operasi , Mohd Shah Afendy Sabri dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis melaporkan, beliau dan 8 anggota serta 2 jentera bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, pasukan bomba membantu mengeluarkan penunggang motosikal yang tersepit di bawah sebuah kenderaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bapa 64 tahun ditemui mati, anak lelaki OKU ditahan reman di Bentong
BENTONG : Lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 22 tahun ditahan reman ekoran kematian bapanya seorang warganegara tempatan berusia 64 tahun ditemuI mati terbaring di atas lantai di sebuah rumah pangsa di Bentong kira-kira jam 11.00 pagi pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian badan termasuk kesan terbakar dan disyaki dibunuh.
“Anggota polis dari Balai Polis Bentong dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sampai di tempat kejadian telah menjalankan siasatan awal dan menahan anak lelaki mangsa berusia 22 tahun .
“Ketika kejadian, isteri mangsa berusia 61 tahun bersama anak lelaki kedua mangsa berusia 28 tahun berada di Kuala Lumpur atas urusan perubatan di salah sebuah hospital di sana sejak 19 Jun 2023 (Isnin),” katanya melalui kenyataan media, di sini, hari ini.
Zaiham berkata, mangsa bersama anak lelaki bongsu berusia 22 tahun berada di rumah dan semakan awal mendapati anak mangsa memiliki kad orang kelainan upaya (OKU).
“Anak mangsa berusia 22 tahun itu telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 26 Jun 2023 untuk membantu siasatan. Kes disiasat dibawah eksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk dibedah siasat,” katanya.
Katanya, mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi bilik gerakan (DCC) IPD Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Seorang pemandu lori treler meninggal dunia kerana tersepit dalam kemalangan di KM 43, Lebuhraya Karak-Bukit Tinggi pada jam 3.45 awal pagi ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pegawai operasi Che Anuar Ahmad melaporkan kejadian itu melibatkan sebuah lori treler dengan muatan pasir.
“Lori treler tersebut yang dipandu oleh Mohamad Hasrul Abdul Halim dipercayai terbabas dipercayai hilang kawalan dan jatuh ke dalam gaung kira-kira pada kedalaman 10 meter.
“Mangsa yang berada di dalam kenderaan tersebut dalam keadaan tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menggunakan alat haidraulik dan tali,” katanya dalam kenyataan media.
Katanya, mangsa disahkan oleh pegawai perubatan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Seramai 15 anggota dan 3 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong terlibat dalam operasi tersebut. Operasi tamat pada jam 6.45 pagi,” katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Sekumpulan kanak-kanak Orang Asli suku Mendriq yang merupakan generasi baru suku itu menyejukkan badan dengan mandi di dalam tangki simpanan air ketika ditemui Bernama di Kampung Kuala Lah baru-baru ini.
Gua Musang: Suatu ketika dulu, ucapan ‘kerjak kuet untuk derik bek belak, ba masak ba senge bek,” (bekerja kuat untuk diri sendiri, demi masa depan awak) menjadi satu kemestian yang dituturkan oleh masyarakat Orang Asli suku Mendriq kepada ahli keluarga yang mahu memulakan sebarang aktiviti seperti memburu atau bercucuk tanam.
Namun sejak tahun-tahun belakangan ini, ucapan berunsur nasihat itu yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi, semakin jarang kedengaran dalam kalangan penduduk Kampung Kuala Lah, di sini.
Orang Asli Mendriq, Tijah Latif, 60, melakukan proses meraut buluh untuk menghasilkan bahan utama ayaman tikar perhiasan bagi menambah sumber pendapatan ketika ditemui Bernama di Kampung Kuala Lah baru-baru ini.
Malah, rata-rata mereka, terutama golongan muda, tidak lagi mengutamakan bahasa Mendriq, sebaliknya lebih selesa berbahasa Melayu loghat Kelantan dalam percakapan seharian.
Situasi itu meresahkan golongan tua yang tidak mahu melihat identiti suku mereka hilang ditelan masa, lebih-lebih lagi komuniti mereka juga semakin mengecil, iaitu hanya sekitar 600 orang sekarang.
Pakar yang membuat kajian tentang bahasa Orang Asli di negara ini menjangkakan bahasa Mendriq berpotensi pupus dalam tempoh 20 tahun akan datang jika tidak ada langkah pemeliharaan diambil oleh pihak yang berkenaan.
Ini bermakna negara bakal kehilangan satu lagi warisan budaya.
Mendriq merupakan subkumpulan Orang Asli Negrito dan hanya ditemukan di Kelantan. Pada masa ini mereka menetap di tiga lokasi iaitu Kampung Lah di Gua Musang dan Kampung Pasir Linggi serta Sungai Tako di Kuala Krai.
(Di Semenanjung Malaysia, terdapat tiga kumpulan Orang Asli, iaitu Senoi yang merangkumi 55.09 peratus, Melayu Proto (41.97 peratus) dan Negrito (2.94 peratus). Di bawah keluarga Senoi ada suku Temiar, Semai, Jah Hut, Che Wong, Semoq Beri dan Mah Beri, sementara Melayu Proto dibentuk oleh etnik Temuan, Jakun, Semelai, Orang Kanaq, Orang Seletar dan Orang Kuala. Kumpulan Negrito pula terdiri daripada Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Lanoh dan Bateq)
Penulis yang menjejaki suku kaum itu di Kampung Lah, diberitahu oleh penduduk bahawa ramai daripada mereka, termasuk di dua buah kampung lagi, berkahwin campur terutama dengan Melayu. Malah, majoriti orang Mendriq beragama Islam.
Orang Asli Mendriq Kamarul Jelok, 55, bersama keluarga tidak lagi tinggal di rumah asal masyarakat mereka ketika ditemui Bernama di Kampung Kuala Lah baru-baru ini.
Menurut penghulu kampung itu Ali Lateh, perkembangan kahwin campur tersebut berlaku secara ketara sejak awal 1990-an.
“Disebabkan pasangan tidak tahu berbahasa Mendriq, maka bahasa Melayu digunakan. Dari sinilah secara perlahan-lahan bahasa Mendriq mula dipinggirkan,” katanya kepada Bernama.
“Memang saya cukup sedih apabila anak-anak muda kami semakin kurang menggunakan bahasa Mendriq, dan saya kira bahasa ini akan pupus dan hilang dari dunia sekiranya tidak ada usaha daripada masyarakat kami sendiri dan pihak kerajaan,” tambah beliau.
Pemerhatian penulis sepanjang berada di kampung itu mendapati rata-rata penduduk, khususnya generasi muda, fasih berbahasa Melayu sesama sendiri.
“Tidak ada masalah jika anak-anak Mendriq boleh berbahasa Melayu kerana itu bahasa kebangsaan, tetapi saya harap pihak kerajaan tidak meminggirkan bahasa kami dan usaha-usaha memelihara bahasa Mendriq perlu dipandang serius,” kata seorang penduduk, Kamarul Jelok, 50.
Ali yang bercerita lanjut tentang amalan kahwin campur etnik berkenaan, berkata kini semakin sukar untuk menemukan orang Mendriq dengan kriteria ‘asal’ mereka, iaitu berambut kerinting, berkulit gelap dengan wajah bulat lebar, hidung leper dan dagu pendek.
“Kalau adapun sekarang ini tidak sampai 10 orang (dengan fizikal dan rupa paras asli suku Mendriq) disebabkan ramai berkahwin campur dan anak-anak pun berwajah kacukan,” katanya, menambah terdapat kira-kira 380 penduduk di Kampung Lah dan merupakan komuniti terbesar suku Mendriq.
Mengulas tentang nasib bahasa Mendriq, Prof Madya Dr Fazal Mohamed Sultan, pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata berdasarkan kajiannya sejak 2007, kemungkinan besar bahasa itu akan pupus dalam tempoh 20 tahun lagi.
Apatah lagi ketika ini tidak ada sebarang tindakan daripada pihak berwajib bagi menjaga bahasa Mendriq, ataupun bahasa Orang Asli yang lain, katanya.
Menurutnya, setakat ini Kementerian Pendidikan (KPM) hanya memperkenalkan subjek bahasa Semai di sekolah yang mempunyai ramai pelajar daripada etnik itu.
“Kerajaan, KPM, Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) telah melaksanakan langkah terbaik bagi meningkatkan taraf hidup golongan ini, antaranya melalui pendidikan termasuk pengambilan khas pelatih perguruan Orang Asli yang dibuat oleh Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan (di Pahang).
“Cuma saya melihat ada keperluan program ini diperluas kepada semua suku Orang Asli, terutama Negrito, kerana setahu saya, setakat ini kebanyakan guru Orang Asli adalah daripada kumpulan Melayu Proto dan Senoi. Negrito langsung tidak ada,” katanya.
Menyifatkan hal itu sebagai satu masalah besar dan membimbangkan, Fazal Mohamed berkata KPM perlu bertindak memandangkan kajiannya juga mendapati dasar tersebut bukan sahaja mengancam kelestarian bahasa suku minoriti seperti Mendriq tetapi juga prestasi pendidikan mereka.
Menurutnya, ini kerana setiap kumpulan Orang Asli terbabit adalah berbeza antara satu sama lain.
Justeru, amat penting setiap suku mempunyai guru daripada etnik sendiri bagi meningkatkan kefahaman mereka dalam pelajaran selain memupuk minat untuk belajar.
“Berdasarkan kajian, didapati prestasi pendidikan mereka (anak Orang Asli kumpulan etnik Negrito termasuk Mendriq) tercorot, jauh di belakang berbanding kumpulan anak Orang Asli lain. Sifat anak Orang Asli Mendriq ini pemalu dengan orang luar, dan kerana itu penting mempunyai guru daripada kaum mereka sendiri untuk tarik minat anak ini belajar,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, Malaysia diakui sebagai negara yang serius menjaga kepentingan Orang Asli apabila mempunyai jabatan khusus untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan kumpulan itu, namun tidak ada penekanan diberikan terhadap pemeliharaan bahasa suku kaum terbabit.
“Dasar yang ada ketika ini setakat melindungi hak, kebajikan, mendapatkan pendidikan sama rata buat mereka, tetapi pihak berwajib lupa bahawa bahasa asal juga perlu dipertahankan.
“Kita perlu sedar bahasa melambangkan budaya, dan budaya itu juga melambangkan sesuatu bangsa. Justeru, amat penting bahasa dipertahankan dan dilestarikan, bukan sahaja demi kelangsungan generasi masa depan sesuatu kaum tetapi juga sebagai khazanah berharga negara,” katanya.
Ditanya tentang langkah yang boleh diambil oleh pihak berkuasa bagi menangani ancaman kepupusan bahasa Orang Asli, beliau berkata antara pendekatan terbaik ialah mengarkibkan semua bahasa Orang Asli yang ada di negara ini.
Sumber : Harian Metro
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Datuk Seri Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak (2 dari kanan) dan Ahmad Saifulzaman (kanan sekali) di program itu hari ini.
SK Bukit Piatu Go Green 2023.
BENTONG – Warga Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu (SKBP) dan Ahli Majlis Perbandaran Bentong mengadakan program Go Green Community dan SKBP 2023, hari ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak,berkata, program ini adalah satu usaha mendidik masyarakat dan murid agar sentiasa peka dengan penjagaan, menghargai dan mencintai alam sekitar ke arah kehidupan sejahtera, mampan dan lestari.
“Pengisiannya adalah untuk mendidik dan menarik minat golongan untuk menjadikan pertanian sebagai satu industri.
“Menerusi program ini, sebanyak 11 agensi telah menandatangani perjanjian persefahaman, jalinan, jaringan dan kerjasama termasuk SKBP,” katanya.
Guru Besar SKBP, Ahmad Saifulzaman Abd. Rahim berkata, Syarikat Gold Farm Resources turut bermurah hati menyumbangkan sebuah ‘Rumah Hijau’ bagi tujuan membantu menjayakan program tersebut.
“Program ini salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran berkaitan persekitaran dan alam sekitar yang wajar dihayati oleh generasi muda.
“Pihak sekolah merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!