JERANTUT : Skuad Prihatin Asnaf (SPA), Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut menyantuni 20 murid asnaf daripada empat buah sekolah di sini.
Pengerusinya, Mohd Zamri Mat (58) berkata, 20 murid tersebut dipilih daripada empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Jerantut, SK Inderapura, SK Jerantut dan SK Pulau Mansuk dekat sini.
AJK Skuad Prihatin Asnaf membantu kanak-kanak sekolah memilih pakaian di sebuah pasar raya di sini.
“Pada tahun ini semua murid terbabit mendapat pakaian untuk menyambut Aidil Fitri tahun ini berjumlah RM150 dan wang tunai sebanyak RM50 setiap orang.
“Pada tahun ini juga, murid tersebut bertuah menerima sumbangan daripada orang perseorangan yang sudi menyumbang,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Katanya, SPA turut mengadakan lawatan kepada golongan asnaf yang berada di sekitar 20 kilometer dari masjid ini.
“Golongan ini menerima bantuan berbentuk barang dapur bernilai RM150 yang turut menerima sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP),” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Sebahagian mangsa banjir di Taman Tabung Haji, Kepala Batas, Kedah menerima agihan bakul barangan keperluan asas harian yang dilakukan oleh KESUMA’24 hasil infak penaja utama Yayasan Bank Rakyat dan penyumbang prihatin pada Disember 2024.
KESUMA 24 dapat perhatian Kebajikan Mahmudah
Kegigihan Ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) dan sikap bertanggungjawab dalam membantu masyarakat ditimpa musibah mendapat perhatian Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) untuk mengizinkan sebuah kontena menjadi pejabat operasi mereka.
Kontena sepanjang 40 kaki itu merupakan sumbangan sebuah syarikat swasta dari Kelang, Selangor kepada PKMM untuk digunakan bagi tujuan aktiviti amal kebajikan supaya berjaya dilaksanakan dengan lancar.
Setiausahanya, Rozita Yaakob, berkata kontena yang belum dilengkapi kemudahan bekalan elektrik akan dijadikan pejabat, bilik mesyuarat ahli KESUMA’24 dan stor untuk menyimpan barangan serta peralatan apabila keluar untuk mengadakan misi amal kebajikan.
Menurutnya, kontena itu juga akan dipasang bumbung untuk melindungi bahagian atas daripada hujan serta panas terik supaya kekal lama, manakala persekitarannya pula akan diturap tar atau disimen untuk dijadikan dataran bagi warga emas Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) menjalankan aktiviti senaman dan sebagainya.
Tambahnya, persekitaran kontena yang terletak di belakang PJMM itu juga akan dijadikan ahli KESUMA’24 taman mini yang akan dihiasi dengan pelbagai pokok bunga bagi mencantikannya untuk menimbulkan suasana nyaman bagi warga emas beriadah pada waktu pagi atau petang.
“KESUMA’24 juga akan mempelawa dan menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan aktiviti di situ kerana ia lebih luas yang membantu melahirkan suasana tenang serta lapang kerana selama ini warga emas di PJMM menjalankan aktiviti atau atur cara dalam dewan.
“Sehubungan itu sejak dua bulan lalu KESUMA’24 giat mengumpul dana bantuan sumbangan pembangunan RM30,000 bagi tujuan pemasangan bekalan elektrik, bumbung luar dan melengkapkan prasarana pejabat dalam kontena serta akan digunakan untuk aktiviti amal kebajikan,” ujarnya.
KESUMA’24 yang dianggotai ramai sukarelawan berpengalaman dalam aktiviti amal kebajikan bernaung di bawah PKMM beralamat di Lot 459/5, Kampung Sungai Purun, Batu 1½ Jalan Bangi, Semenyih, Selangor.
Rozita berkata, sebelum ditubuhkan setahun lalu sebagai sebuah kelab secara rasmi, ramai sukarelawan KESUMA’24 membantu PKMM yang mengurus selia PJMM dalam aktiviti amal kebajikan seluruh negara.
Jelasnya, sebagai mengelak salah faham KESUMA’24 diwujudkan untuk mencari dan mengumpul sumbangan dana bagi menganjurkan aktiviti sosial masyarakat dan amal kebajikan di samping meringankan kos operasi PJMM yang sentiasa meningkat terutama membabit penyediaan makanan warga emas.
Tambah Rozita, KESUMA’24 juga akan bertindak sebagai perantaraan kepada PKMM dengan badan korporat, agensi kerajaan dan swasta serta NGO lain dalam menyalurkan bantuan amal kebajikan untuk mereka yang memerlukan bantuan termasuklah mangsa bencana alam seperti banjir.
Menurutnya, ahli KESUMA’24 mengikuti pelbagai misi yang dianjurkan oleh PKMM berkenaan seperti agihan bakul makanan barangan keperluan asas kepada keluarga miskin, asnaf, rumah anak yatim, pusat atau pondok tahfiz dan mangsa banjir.
Beliau berkata, seperti mangsa banjir, hasil sumbangan serta infak pelbagai pihak mereka mengagihkan bakul makanan barangan keperluan asas harian antaranya di Temerloh, Pahang: Tumpat, Kelantan: Kota Tinggi, Johor: Hulu Langat, Selangor: Jerteh, Terengganu, Jitra, Kedah dan sebagainya.
Katanya, semua tugas sukarela itu dilakukan dengan penuh amanah dan bertanggungjawab bagi memastikan sumbangan serta infak daripada pelbagai pihak berkenaan sampai ke sasaran sebagaimana hasrat mereka yang bekerjasama dengan KESUMA’24.
“Sehubungan itu KESUMA’24 amat berharap mendapat sokongan serta infak daripada pelbagai pihak dan masyarakat dalam projek Bantuan Sumbangan Dana Pembangunan yang boleh disalurkan terus ke akauan KESUMA’24 bernombor 100 7621 0000 12282 (Kelab Sukarelawan Mahmudah) Agro Bank, Semenyih, Selangor atau scan Kod QR,” ujar Rozita lagi. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Muhammad Badrul Amin Derome (lima dari kanan) bergambar bersama barisan pensyarah pengiring di KLIA sebelum berlepas ke OXCIS, United Kingdom.
Empat pelajar, tiga pegawai UPSI imam solat terawih di tiga negara
Empat pelajar dan tiga pegawai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, dipilih mengikuti Program ‘Qari in Residence’ sebagai imam di tiga negara sepanjang Ramadan 2025, sekali gus mengharumkan nama institusi itu pada peringkat antarabangsa.
Empat pelajar itu adalah penuntut Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan, manakala seorang lagi adalah pegawai universiti berkenaan.
Dr Azmil Hashim (dua dari kiri) menyerahkan replika tiket penerbangan ke Singapura kepada Wan Muhammad Irsyad (tengah) dalam satu majlis yang diadakan di Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata kejayaan itu mencerminkan usaha berterusan universiti dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja berilmu tetapi juga mempunyai nilai kepimpinan tinggi dalam komuniti Islam global.
Menurutnya, dia berbangga dengan pencapaian itu kerana membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan akademik, tetapi juga pusat yang menyemai bakat dalam bidang keagamaan dan kepimpinan.
Jelasnya, pemilihan mereka itu adalah satu penghormatan besar yang menunjukkan kepercayaan dunia luar terhadap keupayaan pelajar dan kakitangan UPSI, sekali gus memberi impak positif kepada mereka dalam membentuk jati diri dan kepimpinan yang mantap.
“Kami melihat ini sebagai satu langkah ke hadapan dalam memperluas jaringan UPSI dengan pusat-pusat pengajian Islam di luar negara selain melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing pada peringkat tempatan, tetapi juga persada antarabangsa.
“Mereka bukan sahaja akan berperanan sebagai imam, tetapi juga sebagai duta kecil yang memperkenal keindahan Islam dan budaya Malaysia kepada masyarakat luar,” ujar beliau.
Pelajar Muhammad Badrul Amin Derome yang diiringi Prof Madya Dr Ibrahim Hashim berangkat ke United Kingdom untuk mengimamkan solat tarawih di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom dan akan berada di sana bermula 22 Februari hingga 1 April 2025.
Manakala Muhammad Fathmi Izwan Rusli akan bertugas di Education Malaysia Australia (EMA), Sydney, Australia serta pelajar Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli dan Ahmad Najmuddin Marwan yang diiringi Prof Dr Abdul Rahman Abd Ghani pula menyertai program berkenaan di Masjid Darul Ghurfan, Singapura bermula 28 Februari hingga 1 April 2025.
Sementara itu, Pengarah Institut Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (IPTTI) UPSI, Prof Dr Azmil Hashim, berkata pemilihan mereka adalah satu pencapaian membanggakan yang membuktikan UPSI bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang akademik, tetapi juga dalam bidang keagamaan.
Menurutnya, pemilihan itu membuka ruang kepada mereka untuk mengasah bakat sebagai qari dan memperoleh pengalaman berharga dalam interaksi dengan masyarakat Islam pelbagai latar belakang budaya serta cara hidup.
Katanya, pencapaian berkenaan akan menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar UPSI untuk mendalami ilmu tahfiz dan qira’at serta merebut peluang mengembangkan kemahiran mereka pada peringkat antarabangsa.
“Ini adalah satu peluang yang sangat berharga dan saya berharap ia dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk menyertai program seumpama pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UPSI, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman, berkata Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam UPSI, Muhammad Safwan Ismail pula mengimamkan solat tarawih di Education Malaysia Australia, Perth, Australia.
“Selain menjadi imam tarawih beliau juga akan memberi kuliah kepada pelajar dan kakitangan Malaysia di situ.
“Menjadi imam di negara asing bukanlah satu tugas mudah kerana mereka perlu menyesuaikan diri dengan budaya dan persekitaran yang berbeza, namun pengalaman ini menjadikan mereka lebih matang dan bersedia untuk memainkan peranan lebih besar dalam masyarakat Islam kelak,” jelasnya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Tindakan segelintir premis perniagaan yang terus mengibarkan bendera Malaysia dan Pahang dalam keadaan lusuh serta koyak akhirnya mengundang tindakan tegas daripada pihak berkuasa.
Pejabat Kesultanan Pahang mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk segera mengeluarkan notis kepada mana-mana premis yang gagal menurunkan bendera rosak, demi menjaga maruah negeri dan negara.
Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar tindakan segera diambil terhadap premis yang tidak mematuhi peraturan itu.
Menurutnya, pengibaran bendera yang lusuh dan rosak bukan sahaja mencemar imej negeri tetapi juga memberi gambaran negatif kepada pelancong asing yang berkunjung ke bandar ini sebelum ke Taman Negara, Kuala Tahan.
“Baginda menegaskan bahawa sikap sambil lewa dalam memelihara simbol kedaulatan negara adalah tidak boleh diterima. PBT telah diminta untuk memantau dan memastikan semua premis menurunkan bendera yang tidak lagi sesuai dikibarkan,” katanya.
Sementara itu, Majlis Daerah Jerantut (MDJ) telah mengeluarkan Notis No. 06030 kepada beberapa pemilik premis di kawasan bandar yang didapati masih mengibarkan bendera dalam keadaan usang.
“Pemilik premis diberi tempoh dua hari untuk menurunkan bendera mereka sebelum tarikh akhir pada 16 Mac ini. Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Iklan,” kata jurucakap MDJ.
Seorang penduduk tempatan, Afandi, meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir pemilik premis yang tidak prihatin terhadap perkara ini.
“Bendera bukan mahal, banyak dijual. Jika koyak atau lusuh, gantikan sahaja. Ini melibatkan maruah negara dan negeri, bukan sekadar kain buruk,” katanya.
Orang ramai turut menyambut baik tindakan tegas ini dan berharap kesedaran patriotik dalam kalangan pemilik premis dapat dipertingkatkan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Masjid India Muslim Klang kekalkan tradisi agih bubur lambuk sejak lebih 50 tahun
KLANG – Masjid India Muslim Klang terus mengekalkan tradisi turun temurun mengagih bubur lambuk kepada orang ramai yang dimulakan sejak lebih 50 tahun lalu.
Ketua Pemuda Masjid India Musim Klang, Mohd Taufiq Al Ali Shamsul Ariffin
Ketua Pemuda Masjid India Musim Klang, Mohd Taufiq Alalif Samsul Arifin (29) berkata, agihan bubur lambuk sudah dimulakan sejak lebih 50 tahun lalu hasil daripada sumbangan orang perseorangan, ahli perniagaan sekitar masjid itu serta sumbangan tetap ahli jemaah.
“Setiap petang sepanjang bulan Ramadan, sebanyak empat periuk disediakan dan setiap periuk sebanyak 18 kilogram (kg) beras diperlukan dan termasuk bahan-bahan lain seperti kekacang, kismis dan beberapa bahan yang diperlukan untuk penyediaan juadah ini.
“Sebanyak kira-kira 400 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai yang datang ke masjid ini untuk mendapatkan juadah itu dan kira-kira RM3,000 diperlukan untuk penyediaan juadah ini setiap hari, ” katanya ketika ditemui di masjid itu, hari ini.
Katanya, selain itu bubur lambuk turut diperlukan untuk juadah berbuka puasa kepada kira-kira 300 jemaah.
Sukarelawan bersiap sedia mengagih bubur lambuk. Jamali Mohd Salleh (duduk kanan) yang pernah terlibat dengan memasak bubur lambuk ketika berusia 50 tahun yang lalu.
“Pasukan memasak diketuai oleh seorang ketua tukang masak dan dua pembantu memulakan memasak pada jam 9.00 pagi dan siap pada jam 1.00 tengah hari.
“Kerja-kerja membungkus dilakukan oleh tiga orang sukarelawan dimulakan pada jam 2.00 petang dan diagihkan dimulakan pada jam 4.30 petang,” katanya.
Katanya, pihak masjid mengagihkan kepada orang ramai yang hadir tidak kira bangsa dan agama, di sini, ini menunjukan perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia turut diraikan.
Seorang veteran, Jamali Mohd Salleh (71) yang pernah terlibat dengan memasak bubur lambuk ketika berusia 50 tahun yang lalu.
“Seronok dapat berbakti dalam penyediaan bubur lambuk dan diagihkan kepada orang ramai sebagai satu amal jariah masjid ini.
“Konsep menyediakan bubur lambuk secara gotong royong yang dikendalikan seorang ketua tukang masak turut dibantu oleh pembantu.
Katanya, mula tahun ini, pemuda masjid ini mula mengambil bahagian bermula memasak sehingga mengagih kepada orang ramai.
“Masjid ini selain menyediakan untuk jemaah berbuka puasa, moreh selepas terawih turut disediakan untuk kira-kira 500 orang, sahur juga disediakan oleh pihak masjid,” katanya.
Seorang penduduk Kampung Jawa, Abdul Shukur Nordin (58) berkata, sejak dia masih dibangku sekolah rendah lagi sudah datang mengambil bubur lambuk di masjid itu dan ketika itu masjid itu tidak seperti sekarang.
“Hampir setiap petang saya dan beberapa orang jiran akan mengayuh basikal untuk mengambil bubur lambuk ini.
“Pada ketika itu kami perlu membawa bekas sendiri seperti cerek dan bekas plastik, tetapi sekarang pihak masjid sudah siap membungkus bubur lambuk di dalam bekas plastik,” katanya.
Katanya, yang uniknya, rasa dan aroma bubur lambuk ini tetap sama. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LEMBU MELINTAS, PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT DI JERANTUT
JERANTUT, – Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh seekor lembu dalam kejadian di Kilometer 6, Jalan Jerantut – Maran, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, mangsa, Wan Taufiq Haikal, 23, sedang dalam perjalanan dari Maran menuju ke bandar Jerantut apabila motosikal Yamaha 135LC yang ditungganginya melanggar lembu yang tiba-tiba melintas dari arah kiri ke kanan jalan.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 3.50 pagi. Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman berat terhadap mereka yang didapati bersalah menyebabkan kematian akibat kecuaian ketika memandu.
Beliau turut menasihatkan para pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati, terutama di kawasan yang sering menjadi laluan haiwan ternakan pada waktu malam.
“Saya juga ingin mengingatkan pemilik haiwan ternakan agar lebih bertanggungjawab dan memastikan haiwan mereka tidak dibiarkan berkeliaran di jalan raya kerana ia boleh mengundang kemalangan yang meragut nyawa,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Balai Polis Jerantut bagi membantu siasatan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pemilihan Teliti Bagi Penerima Lot Rumah Skim Tanah Rakyat Felda Pahang
BERA – Kerajaan Pahang akan memastikan hanya individu yang benar-benar layak dipilih sebagai penerima 16,035 lot rumah di bawah Projek Skim Tanah Rakyat Felda menerusi proses saringan ketat.
Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam menegaskan, pemilihan akan dilakukan secara sistematik bagi memastikan ia berpihak kepada golongan yang memenuhi kriteria ditetapkan.
“Menteri Besar telah menetapkan supaya semua penerima lot rumah dalam kalangan generasi baharu Felda dipilih melalui prosedur yang telus. Mereka perlu mengisi borang permohonan, menjalani proses penilaian, dan akhirnya dibawa ke perbincangan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya semalam.
Menurut Amizar, langkah ini penting untuk memastikan tiada individu tercicir daripada skim perumahan tersebut, selain memastikan keadilan dalam pemberian lot rumah.
Dalam usaha memperkasakan komuniti Felda, Sekretariat Muafakat Felda Pahang turut memainkan peranan sebagai pusat sehenti bagi menyokong kebajikan warga Felda.
“Kita mahu sekretariat ini memberi manfaat bukan sahaja kepada peneroka, tetapi juga kepada generasi baharu Felda sama ada yang masih menetap di tanah rancangan atau berada di luar. Wakil dari setiap daerah akan dilantik bagi memudahkan urusan dengan pihak sekretariat,” jelasnya.
Dengan adanya pendekatan ini, kerajaan negeri berharap skim perumahan ini dapat memberikan peluang lebih baik kepada generasi Felda serta memastikan kebajikan mereka terus terbela.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH – Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Pahang kini memberi tumpuan kepada usaha menarik sokongan pengundi atas pagar dalam menghadapi pilihan raya akan datang. Pengerusinya,
Mohamad Anuar Yusof, Pengerusi KIMMA Pahang, berkata strategi itu penting bagi memastikan kemenangan calon yang mewakili kepentingan masyarakat India Muslim di negeri ini.
Menurutnya, pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan Parlimen yang menjadi keutamaan, termasuk Bentong, Raub, Jerantut, Lipis, Temerloh, Kuala Krau, Maran, Paya Besar, Kuantan, Indera Mahkota, Pekan, Rompin, dan Cameron Highlands.
“Kami mengikuti perkembangan di setiap Parlimen dan melihat bahawa golongan muda memainkan peranan besar dalam menentukan keputusan pilihan raya. Jika dicampur, ahli muda dalam KIMMA sahaja sudah mencecah lebih 400 orang,” katanya selepas satu Majlis Sumbangan Ramadan KIMMA 2025 bersama ahli parti di sini, semalam.
Turut hadir, Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, yang menegaskan kepentingan memperkukuh jaringan di peringkat akar umbi bagi memastikan mesej parti sampai kepada semua lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, Mohamad Anuar turut mengambil inisiatif membantu golongan muda mendapatkan peluang perniagaan dan pekerjaan. Beliau memberi contoh keadaan di Temerloh, di mana peluang pekerjaan dilihat agak terhad selepas beberapa sektor ekonomi terjejas.
“Sebab itu saya bawa seorang usahawan ke sini untuk memperkenalkan mesin dobi layan diri. Ia satu peluang perniagaan yang boleh dimulakan dengan modal kecil, bahkan boleh diletakkan di hadapan rumah sahaja. Sekurang-kurangnya, mereka ada sumber pendapatan,” katanya.
Beliau berharap lebih ramai golongan muda akan menyertai KIMMA dan bersama-sama memperjuangkan hak serta kepentingan masyarakat India Muslim di negara ini.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
VOUCHER MINYAK & KUPON BANTU RAKYAT, ANAK RANTAU TURUT TERIMA MANFAAT
BERA – Kerajaan negeri memperkenalkan inisiatif baucar minyak dan kupon bantuan sebagai usaha membantu rakyat yang memerlukan, termasuk golongan berpendapatan rendah serta anak perantauan.
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang berkata, baucar ini diberikan melalui wakil rakyat kepada individu yang benar-benar memerlukan, membolehkan mereka membeli barangan keperluan asas di pasar raya terpilih.
“Wakil rakyat seperti Datuk Sabriah akan mengenal pasti penerima yang layak. Baucar ini bukan tunai, tetapi boleh digunakan untuk pembelian barang keperluan harian. Jika tidak habis, baki tidak boleh ditukar kepada wang,” jelasnya.
Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan baucar minyak khas untuk anak rantau yang ingin pulang ke kampung halaman. Tahun ini, sebanyak 5,000 kupon bernilai RM50 setiap satu diperuntukkan, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan ini mencecah RM250,000.
“Inisiatif ini adalah tanda ingatan kerajaan negeri kepada anak-anak perantauan. Siapa cepat, dia dapat. Baucar ini boleh digunakan untuk mengisi minyak di stesen terpilih,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun jumlah penerima masih terhad, kerajaan negeri akan menilai keberkesanan program ini sebelum mempertimbangkan untuk memperluaskan bantuan pada masa akan datang.
Dengan adanya inisiatif ini, diharap rakyat negeri ini mendapat manfaat dan bantuan yang sewajarnya dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.
Dua inisiatif utama ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada maklumat sahih serta bantuan yang diperlukan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MOH KARNIVAL MAKMUR DAN KARNIVAL TANAH CATAT KEJAYAAN BESAR
BERA – Program tahunan Moh Karnival Makmur kali ini lebih meriah apabila digabungkan dengan Karnival Tanah, menjadikannya satu acara berskala besar yang berjaya menarik ribuan pengunjung.
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail , Menteri besar Pahang berkata, kejayaan penganjuran ini dapat dilihat melalui jumlah kehadiran yang tinggi serta kutipan hasil sekitar RM12 juta daripada karnival tanah.
Karnival ini bukan sahaja medan hiburan tetapi juga platform penting untuk rakyat mendapatkan maklumat secara terus daripada pelbagai agensi kerajaan.
“Melalui karnival ini, rakyat boleh mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih terus dari agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan lain-lain. Ini mengelakkan mereka daripada menerima maklumat tidak sahih atau diputar belit pihak tertentu,” katanya.
Selain pameran dan jualan, karnival ini turut menampilkan pakar industri yang memberi ceramah berkaitan tanah, ekonomi dan perancangan pembangunan negeri.
Beberapa isu penting juga berjaya diselesaikan secara langsung melalui sesi dialog bersama pegawai daerah serta agensi berkaitan.
Menurut beliau, konsep penggabungan dua karnival ini juga dilakukan bagi menjimatkan kos serta memudahkan rakyat yang tidak perlu hadir ke acara berasingan.
Kejayaan program ini membuktikan bahawa inisiatif kerajaan negeri untuk mendekati rakyat semakin berkesan.
“Program ini bukan yang pertama, tetapi kali pertama kita gabungkan. Ini memudahkan rakyat dan pada masa yang sama, menjimatkan kos serta tenaga kerja,” tambahnya.
Program ini turut disertai oleh Sentuhan Makmur, sebuah inisiatif kerajaan negeri yang diketuai oleh YB Sabariah Shidan yang juga ADUN Guai, bertujuan membantu menyelesaikan masalah rakyat secara langsung. Inisiatif ini dijangka akan diperluaskan ke seluruh negeri dalam masa terdekat.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!