BENTONG – Kerajaan Pahang menyampaikan sumbangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dari Kampung Baris dan Kampung Jawi-jawi semalam.
Penyampaian sumbangan itu dilakukan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam di Masjid Kampung Baris, dekat sini.
Amizar yang juga ADUN Pelangai kemudiannya berbuka puasa di masjid berkenaan.
“Saya cukup teruja dan gembira dapat berbuka puasa di Masjid Kampung Baris.
“Saya lihat ada 24 menu berbuka puasa dihidangkan secara ‘pot luck’ dan semuanya disediakan oleh orang kampung di sini.
“Lauk-pauknya sedap-sedap belaka,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Dia turut menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dan OKU serta asnaf warga emas.– SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH – Bandar Temerloh bukan hanya terkenal dengan jolokan bandar ikan patin apabila nama bandar itu disenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) hari ini.
Ia mendapat pengiktirafan dari MBOR selepas berjaya menganjur majlis iftar atau berbuka puasa terpanjang di Malaysia.
Perkara itu disahkan wakil MBOR yang turut sama dalam majlis berkenaan.
Berdasarkan rekod Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), kira-kira 5,000 pengunjung ke daerah itu untuk bersama-sama berbuka puasa di sepanjang Sungai Pahang.
Turut hadir Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man dan Yang Dipertua MPT, Suris Mihat.
Mohammad Fakhruddin dalam pada itu berkata, pencapaian MPT perlu dijadikan contoh oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Pahang. “Mungkin usaha MPT ini boleh diperluaskan ke PBT di daerah lain di Pahang selepas ini.
“Saya percaya setiap daerah di Pahang mempunyai keunikan tersendiri, jadi terpulang kepada PBT itu sendiri mencari jalan mempromosikan kawasan pentadbiran mereka,” katanya.
Sijil pengiktirafan diarahkan oleh wakil MBOR, Lee Pooi Leng kepada Suris pada majlis itu. Mohammad Fakhruddin dalam pada itu memaklumkan pihak MPT sedang merancang untuk mengadakan satu lagi program mega menjelang pertengahan tahun ini.
Program memasak ikan patin serentak secara beramai-ramai itu juga dijangka bakal menarik perhatian pihak MBOR.
Pada Disember lalu, MPT memperoleh pengiktirafan oleh MBOR di atas penganjuran Pasar Pagi Terpanjang di Malaysia.– SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tak adil ambil tindakan bila kemudahan belum lengkap
LIPIS – Kerajaan Pahang belum berhasrat mengenakan sebarang tindakan kepada pengguna jalan raya yang membuang sampah di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya berpandangan adalah tidak adil mengenakan tindakan sedangkan kerajaan tidak menyediakan kemudahan sepatutnya, termasuk hentian rawat dan rehat (R&R).
“Kalau kita sediakan kemudahan dan mereka tidak patuh maka boleh kita kenakan tindakan.
”Tetapi ini kita tidak sediakan kemudahan, jadi kalau ada anak-anak yang nak terkencing sebab menempuh perjalanan jauh, macam mana hendak buat.. dan mereka tidak ada pilihan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis, hari ini.
Wan Rosdy berkata, masalah sampah sarap memenuhi laluan LTU setiap kali musim perayaan itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan tindakan tertentu harus diambil sementara menunggu R&R siap – yang akan mengambil sedikit masa.
Katanya, isu itu juga telah dibangkitkan kepada Kementerian Kerja Raya serta Lembaga Lebuhraya Malaysia dan yakin ianya dalam proses tindakan.– SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Peserta Agropolitan Chemomoi dekat sini menerima ‘durian runtuh’ menjelang Aidilfitri.
Pihak RISDA mengumumkan pengagihan dividen RM346,000 kepada peserta agropolitan itu.
Majlis penyerahan dividen dilakukan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam, semalam.
Amizar yang berkongsi berita gembira itu melalui laman sosial Facebook miliknya berkata, pengagihan dividen berkenaan adalah tepat pada masa.
“Rezeki tatkala menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi buat seluruh penduduk Kampung Agropolitan Chemomoi.
“Alhamdulillah, keseluruhan peserta menerima dividen dengan jumlah keseluruhan RM346,000 yang diumumkan pihak RISDA.
“Seperti yang saya katakan dalam ucapan saya, inilah hadiah buat orang yang sentiasa meletakkan kesyukuran di dalam setiap pemberian dan anugerah dari Allah SWT,” katanya.
Amizar yang juga ADUN Pelangai kemudiannya menyertai penduduk di situ berbuka puasa sejurus selesai penyampaian dividen.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Jasa dan pengorbanan petugas di pusat dalam komuniti (PDK) Pelangi, dekat Simpang Pelangai sentiasa mendapat perhatian kerajaan Pahang.
Semalam, mereka diraikan ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam yang menyampaikan sumbangan ‘sekali bayar’ daripada kerajaan Pahang.
Selain petugas, pelatih di PDK Pelangi turut menerima sumbangan sama.
Amizar dalam hantaran di Facebook memaklumkan, PDK Pelangi adalah antara tempat yang sering dikunjunginya apabila mempunyai keluangan waktu.
“Anak-anak orang kurang upaya (OKU) di sini adalah antara golongan yang dekat di hati saya.
“Hari ini (semalam) saya ke sini bagi menyampaikan sumbangan ‘one-off’ kerajaan negeri Pahang kepada petugas dan pelatih PDK dan sedikit sumbangan hari raya kepada anak-anak di sini.
“Terima kasih Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang.– SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam hari ini bersama penduduk di Kampung Agropolitan Chemomoi.
Beliau meluangkan masa menziarahi beberapa kediaman penduduk di situ.
Kunjungan Amizar adalah antara rutin dilakukan beliau setiap kali pulang ke kawasan diwakilinya.
Dalam program Ziarah Kasih Ramadan itu, beliau menyerahkan cek sumbangan kerajaan Pahang kepada keluarga yang memerlukan.
“Sambil ziarah, bertanyakan khabar dan persiapan hari raya, saya mengambil kesempatan menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang.
“Cek sumbangan ini adalah permohonan daripada mereka yang memerlukan melalui ketua kampung dan pihak saya telah mengusulkan (permohonan) kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Alhamdulillah ia telah diluluskan dan besar hati saya menyampaikan cek sumbangan ini kepada penerima mewakili Menteri Besar Pahang,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang merakamkan ucapan penghargaan kepada Wan Rosdy dan kerajaan Pahang yang sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat.– SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAUB – Alasan ketiadaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) tidak sepatutnya ‘menjadi lesen’ pengguna jalan raya khususnya di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhenti di laluan itu untuk berehat dan berbuka puasa.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, kenderaan melalui laluan berkenaan hanya boleh berhenti di tepi jalan jika dalam keadaan kecemasan.
“Bila boleh berhenti, itu hanya dalam keadaan kecemasan tetapi pastikan juga keselamatan kenderaan mereka, nanti takut terletak di tempat yang tidak sepatutnya hingga mengakibatkan kejadian tidak diingini.
“Saya juga dimaklumkan ada ramai orang buang sampah (di tepi jalan) dan saya nasihat bersama-sama kita jaga kebersihan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Ops Balik Kampung di LTU Pintasan Raub hari ini.
Media melaporkan ‘sampah sudah mula memenuhi beberapa kawasan LTU’ yang menjadi tempat pengguna jalan raya berhenti untuk berehat.
Menurut Yahaya, pengguna jalan raya yang mahu pulang ke kampung perlu merancang perjalanan mereka, termasuk lokasi untuk berhenti agar perjalanan mereka lancar.
Dalam pada itu beliau berkata, polis menjangkakan sebanyak 2.3 juta kenderaan akan memasuki Pahang sepanjang Aidilfitri tahun ini.
Katanya, sebanyak 31 kawasan dikenalpasti sering berlaku kemalangan dan kesesakan di negeri ini akan diberi perhatian oleh pihak polis.– SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAUB – LALUAN lebuh raya lingkaran tengah utama (LTU) mula dipenuhi kenderaan apabila orang ramai bergerak pulang ke kampung halaman, hari ini.
Berdasarkan tinjauan SAHIH mendapati laluan dari Pintasan Bentong hingga ke Raub berjalan lancar dan tidak berlaku kesesakan luar biasa.
Bagaimanapun kesesakan dilihat mula berlaku di laluan keluar LTU Pintasan Raub yang menyaksikan kesesakan kira-kira tiga kilometer.
Laluan keluar itu dikawal oleh polis trafik bagi memastikan tiada kesesakan luar biasa.
Sementara itu Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihak polis menjangkakan kira-kira 2.3 juta kenderaan memasuki Pahang hari ini.
Katanya, kenderaan dijangka mula masuk ke negeri ini dengan jangkaan waktu kesesakan puncak esok dan lusa.– SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Pihak pengurusan FELDA sedang berusaha melakukan pemeriksaan sistem pendawaian elektrik di kawasan perumahan FELDA bagi mengelak insiden kebakaran susulan musim panas ketika ini.
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, sistem pendawaian elektrik di kebanyakan rumah peneroka sudah berusia belasan tahun dan berisiko mudah berlaku litar pintas hingga mengakibatkan kejadian tidak diingini.
“Perkara ini adalah antara yang sedang diberi perhatian oleh pihak kami dan mendapat kerjasama baik daripada pengurusan FELDA.
“Jadi saya nasihatkan kepada warga peneroka supaya sentiasa peka dengan keadaan sistem pendawaian di kediaman masing-masing.
“Dalam kejadian semalam di FELDA Chemomoi, banyak kediaman yang terjejas akibat hujan lebat dan kita bersyukur kerana tidak berlaku kemalangan jiwa.
“Bantuan kilat juga sudah disalurkan kepada semua mangsa dan bantuan susulan juga sedang diusahakan oleh pejabat saya dan pihak FELDA sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan Bersama Anak-anak Yatim dan Asnaf Pelangai di perkarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Simpang Pelangai, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian lewat petang kelmarin, bencana ribut dan hujan lebat melanda di FELDA Chemomoi dan telah mengakibatkan kerosakan kediaman dan perniagaan penduduk.
Seramai 33 keluarga peneroka FELDA Chemomoi terbabit dalam kejadian itu.
Selain itu, dua rumah kedai dan tiga kuarters guru turut terjejas.
Seramai 54 peniaga bazar Ramadan turut terlibat dalam kejadian tersebut.
Amizar berkata, semua agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Yayasan FELDA sudah menghulurkan bantuan awal kepada semua mangsa.
Turut hadir pada majlis itu adalah ahli parlimen Bentong, Young Syefura Othman.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dr Abdul Fattah (depan lima dari kanan) merakam kenangan bersama-sama penerima baucar Program Tanggungjawab Sosial Koperasi (CSR) CoopCare Rezeki Ramadan ANGKASA 2024/1445H, di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bukan sahaja maju dalam perniagaan tetapi turut mengambil usaha untuk menyantuni mereka yang kurang bernasib dalam meneruskan kehidupan harian.
Justeru itu, ANGKASA bersikap ambil peduli membantu mereka itu terutama dalam situasi sekarang apabila terpaksa berdepan dan menghadapi pelbagai masalah ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat.
Dr Abdul Fattah Abdullah
Presidennya merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, berkata masalah sedemikian belum pernah berlaku dan beliau khusus ANGKASA turut menerima tempias apabila bermacam-macam orang meminta bantuan.
Menurutnya, perkara itu berlaku apabila harga beras di samping barangan makanan asas melambung tinggi harga dan keadaan itu sudah pasti menjadi bebanan serta terkesan kepada keluarga yang memiliki ramai tanggungan menetap di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Tambahnya, perkara sedemikian amat jauh berbeza bagi mereka yang menetap di kampung kerana boleh melakukan pelbagai ikhtiar bagi menyara keluarga seperti bercucuk tanam atau berternak tetapi di bandar apabila tiada duit akan menimbulkan masalah.
“Dalam hal sedemikian biasanya anak-anak tidak faham masalah dihadapi keluarga mereka kerana itu ANGKASA terpanggil untuk membantu seperti memberi baucar untuk membeli barangan makanan asas seperti beras, susu, gula, tepung gandum dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Program Tanggungjawab Sosial Koperasi (CSR) CoopCare Rezeki Ramadan ANGKASA 2024/1445H di Dewan Dato’ Mohd Ali Baharum, Wisma Ungku A. Aziz ANGKASA, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Pada program itu, Dr Abdul Fattah menyampaikan tiga baucar bernilai RM1,000 kepada tiga rumah kebajikan iaitu Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Pusat Jagaan Rumah Nur Sakinah dan Persatuan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Ibu Tunggal (Hajah Kamariah).
Manakala baucar RM100 diberikan kepada 70 kariah masjid sekitar Kelana Jaya, 50 kakitangan ANGKASA dan 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Permata. Semua baucar itu untuk pembelian barangan makanan asas di ANGKASAMART.
Beliau berkata, walaupun jumlah baucar itu tidak seberapa namun diharapkan dapat meringankan bebanan keluarga yang terbabit terutama untuk mengembirakan hati mereka dalam membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Jelasnya, seperti tahun sebelum ini ANGKASA menyediakan peruntukan yang besar untuk program CSR walaupun menyedari mereka disantuni dan dibantu itu sudah menerima pelbagai bantuan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau korporat lain.
“Ini sekali gus menunjukkan kami berada di luar sentiasa bersikap ambil peduli nasib mereka yang timpa musibah dan akan berusaha untuk membantu setakat termampu supaya masalah berkenan tidak terus menjadi beban,” ujarnya.
Dr Abdul Fattah menjelaskan, program berkenaan dilancarkan dengan bertujuan membantu mereka dalam kalangan asnaf dan kurang berkemampuan yang tinggal di sekitar Petaling Jaya bersempena dengan penganjuran Karnival ANGKASAMART Kelana Jaya yang bermula pada 26 Mac 2024.
Menurutnya, projek barangan asas 100 (BA 100) merupakan inisiatif ANGKASA bagi menawarkan pembelian barangan asas dengan harga berpatutan dalam usaha membantu rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
“Ia juga usaha ANGKASA untuk mendapatkan sokongan penuh kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Program CSR ANGKASA ini juga adalah inisiatif kami memenuhi tanggungjawab sosial dari segi menyumbang dalam usaha, tenaga serta keperluan sosioekonomi masyarakat yang memerlukan bantuan dan sebagainya,” ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!