PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, beliau yang dipetik Kyodo News berkata akan terus melawan rasuah melalui parti barunya, Pejuang.
“Saya mahukan sedikit masa lagi… tetapi saya fikir saya akan berkhidmat hanya untuk tempoh yang pendek.
“Tetapi saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15),” katanya dalam wawancara di pejabatnya di Putrajaya pada Khamis.
Dr Mahathir, 95 tahun, memegang rekod sebagai ketua kerajaan paling berusia yang dipilih di dunia selepas PH menang pilihan raya Mei 2018.
Beliau juga adalah bekas Perdana Menteri yang paling lama mentadbir Malaysia, selama 22 tahun dari 1981 ke 2003.
Beliau kini menentang kerajaan PN diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilabelnya sebagai pengkhianat.
Dr Mahathir percaya kerajaan baru PN mengikut cara lama pentadbiran Barisan Nasional yang didakwanya mengamalkan rasuah.
“Malangnya begitulah… selama tiga bulan setelah Perikatan Nasional menjadi kerajaan, saya tidak membuat sebarang komen kerana saya ingin melihat prestasi mereka.
“Sayangnya, ia telah berubah menjadi rasuah, membeli sokongan untuk parti pemerintah.
“Walaupun melakukan semua itu, ia hanya ada dua majoriti ahli parlimen,” katanya lagi dalam wawancara bersama Kyodo News.
Beliau merujuk sokongan Muhyiddin di kalangan 222 ahli parlimen, yang mana kerajaan PN kini memiliki dokongan 113 anggota Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, kedudukan Muhyiddin dilihat tergugat susulan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai sokongan mencukupi di Parlimen.
Sumber : Malaysiakini
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Mahkamah menolak permohonan dikemukakan pihak tertentu bagi semakan semula arahan penggunaan tulisan Jawi pada semua premis perniagaan dalam daerah Kuantan.
Perkara itu diumumkan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) melalui satu kenyataan media petang tadi.
Berdasarkan kenyataan media dikeluarkan Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, permohonan semakan kehakiman itu dibuat mengikut Aturan 53 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.
Permohonan dikemukakan oleh pemohon melalui Tetuan Gunaseelan & Associates dan responden pula ialah MPK dan kerajaan Pahang.
Berikutan keputusan itu, arahan kerajaan negeri dalam syarat permohonan lesen premis perniagaan ditetapkan MPK berkenaan syarat menggunakan tulisan Jawi adalah sah dan terpakai berdasarkan peruntukan undang-undang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN: Kerja pembinaan dua unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) bagi kawasan Kuala Sentul, dekat sini, mula dibina hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, bagi kawasan Parlimen Maran, terdapat tujuh unit RRP diluluskan dan projek itu dibiayai sepenuhnya kerajaan Pahang serta dijangka siap sebelum hujung tahun ini.
“Ini adalah antara inisiatif Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang ingin melihat lebih ramai rakyat Pahang yang kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri.
“Seperti diumumkan beliau sebelum ini, setiap kawasan Parlimen akan menerima tujuh unit RRP iaitu satu unit bagi Parlimen dan dua unit bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jumlah keseluruhan RRP di seluruh negeri ialah 98 unit membabitkan peruntukan kira-kira RM6.3 juta,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah RRP dan Penyampaian Surat Tawaran RRP Kuala Sentul di sini, pagi tadi.
Shahaniza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan,Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang berkata, projek RRP itu dijangka akan diteruskan pada tahun akan datang dan Menteri Besar sudah menyatakan komitmen untuk menilai pelaksanaan semua projek RRP sepanjang tahun ini sebelum membuat keputusan.
“Datuk Seri (Wan Rosdy) ada membayangkan untuk meneruskan program RRP pada tahun-tahun seterusnya… tapi kena tengok dulu projek RRP sekarang… samaada ia dapat disiapkan mengikut jadual atau tidak.
“Kalau semuanya (projek RRP) siap seperti dirancang, saya fikir tidak ada masalah untuk kita teruskan program yang baik ini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TUARAN: Penduduk luar bandar khususnya petani dan pekebun bersyukur dengan inisiatif Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) yang diumumkan kelmarin, turut berharap kerajaan meneruskan bantuan lain, termasuk subsidi pertanian kerana mereka antara golongan paling terjejas.
Bagi mereka, bantuan diumumkan menunjukkan kerajaan mengambil berat kesusahan rakyat, terutama golongan B40 dan M40 yang terjejas teruk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.
Sehubungan itu, mereka berharap selain bantuan tunai menerusi BPN 2.0, kerajaan terus membantu golongan terjejas secara berterusan dan menyeluruh.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin mengumumkan Kerangka Inisiatif Khas Tambahan PRIHATIN: Kita Prihatin bernilai RM10 bilion merangkumi bantuan RM7 bilion untuk BPN 2.0 yang akan memanfaatkan 10.6 juta penerima.
Bagi pekebun sayur dan buah-buahan, Jalinah Jukin, 54, dari Bayaon, Kiulu di sini, pelbagai inisiatif diumumkan menunjukkan kerajaan sangat memahami keperluan golongan berpendapatan rendah.
“Sejak PKP dilaksanakan, kami (pekebun) tidak dapat turun ke tamu (pasar) untuk berniaga hasil tanaman. Hingga kini kami belum mendapat kebenaran berniaga di tapak tamu daripada pihak berkuasa.
“Malah, kebanyakan premis atau restoran juga ditutup menyebabkan hasil tanaman kami tidak dapat dijual menyebabkan kami menanggung kerugian.
“Hanya musim buah-buahan baru-baru ini kami dapat berniaga di tepi jalan, namun ia (musim buah-buahan) sudah berakhir dan kami masih buntu hasil tanaman sayuran pula sukar dijual.
“Kami (rakyat) menyambut baik apa juga inisiatif kerajaan, namun saya harap bantuan untuk golongan B40 ini diteruskan… lebih-lebih lagi ketika penularan COVID-19, segelintir rakyat di sini masih bimbang keluar rumah untuk berada di kawasan padat,” katanya.
Pakej KitaPrihatin diumumkan Perdana Menteri kelmarin merangkumi BPN 2.0 berjumlah RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 (RM2.4 bilion) dan inisiatif Geran Khas PRIHATIN (GKP) sebanyak RM600 juta.
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Mengambil masa kira-kira empat tahun untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), usaha syarikat Jupiter Solutions dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) menghasilkan peralatan mewarna mesra alam akhirnya berjaya dipasarkan.
Pengarah Urusan syarikat itu, Zamihan Izam berkata, kolaborasi bersama LGM itu juga membuka ruang kepada lebih ramai ahli persatuan Usahawan Bumiputera Industri Getah (UBIG) menceburi bidang perniagaan berteknologi tinggi.
“Produk ini adalah yang pertama di Malaysia dan baharu saja memasuki pasaran… peralatan mewarna ini dihasilkan dengan bahan utamanya ialah susu getah asli dan tidak mengandungi campuran sintetik serta bahan kimia.
“Kelebihannya pula, warna dihasilkan pada lukisan menggunakan kertas atau kanvas (kain) kekal lebih lama, payah untuk pudar dan tidak mudah rosak berbanding menggunakan peralatan mewarna lain.
“Harga pengenalan produk ini juga amat berpatutan… cuma RM19.90 untuk setiap set dan setakat ini kita mengutamakan pemasaran di pusat pengajian tinggi yang mempunyai pelajar jurusan seni lukis,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, terdapat kira-kira 20 usahawan industri getah yang aktif menghasilkan pelbagai jenis produk berkualiti di seluruh negara.
“Mereka ini mendapat bantuan dan kerjasama LGM bagi tujuan R&D… selepas produk berjaya dihasilkan, kita akan terus membantu mereka dengan memberi bimbingan untuk mengkomersialkan produk berkenaan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SHAH ALAM: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak bercadang menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar ke universiti atau kolej di seluruh negara, yang dijadualkan bulan hadapan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata pihaknya sudah mengarahkan semua universiti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan bagi proses kemasukan itu.
“Saya percaya, semua universiti sedang menyiapkan SOP untuk menerima pendaftaran kemasukan pelajar mulai bulan depan.
“KPT juga sentiasa menerima pandangan dan mendengar arahan dari Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kalau KKM mengatakan ia patut ditunda, kita akan mengikut arahan tetapi setakat ini belum ada,” katanya ketika ditanya sama ada kemungkinan kemasukan pelajar ke IPT akan ditangguhkan berikutan peningkatan COVID-19, terutama di Sabah.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran UiTM Prihatin di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA Shah Alam, di sini.
Noraini berkata, Sabah juga setakat ini, tiada arahan penangguhan.
“Di Sabah, bukan semua tempat adalah zon merah, seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terletak di Kota Kinabalu, itu bukan Zon Merah.
“Sama juga dengan Kolej Komuniti, setakat ini belum ada apa-apa arahan diberikan oleh pihak kolej berkenaan mengenai penangguhan, setakat ini belum ada lagi,” katanya.
Beliau berkata, bagi pendaftaran kemasukan pelajar, setiap universiti atau kolej melaksanakannya secara berperingkat, malah tarikhnya tidak semestinya sama di antara satu sama lain.
“Sekarang ini perbincangan awal sudah dibuat di peringkat universiti masing-masing dan sebenarnya pelajar-pelajar sudah mula masuk sejak Julai tempoh hari dan dibuat secara berperingkat.
“Insya Allah, kalau mengikut SOP ditetapkan kita boleh elak semua gejala tidak diingini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Kementerian Pendidikan sedang dalam proses melengkapkan kemudahan solar hibrid di 127 sekolah luar bandar di Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahya berkata proses pertukaran dari sistem grid talian elektrik kepada genset dan selepas ini solar hibrid bagi mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik di sekolah pedalaman di negeri berkenaan.
“Perkara ini sudah dimulakan dan kita sebelum ini mendapat kerjasama daripada Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk proses peralihan dari sistem grid kepada genset… selepas ini, kita tumpukan kepada sistem (solar) hibrid.
“Begitu juga di Sabah, Kementerian Pendidikan turut memberikan perhatian khusus bagi mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik bagi sekolah-sekolah kategori luar bandar… ini kita lakukan dengan bantuan Sabah Electric Sdn Bhd (SESB),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut, di sini, petang tadi.
Yang turut hadir Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris yang juga Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM).
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kerja naik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak, Muslimin berkata setakat ini kira-kira 50 peratus daripada lebih 1,000 sekolah dikenal pasti, sudah mendapat manfaat daripada program naik taraf berkenaan.
Katanya, lebih banyak lagi sekolah daif dan berada di kawasan pedalaman akan turut dinaiktaraf jika mendapat peruntukan mencukupi daripada Kerajaan Persekutuan melalui pembentangan Bajet 2021 yang dijadualkan 6 November ini.
“Kita harap semua kerja naik taraf ini dapat diselesaikan segera, seperti dijadualkan ” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG: Pelbagai kaum di negeri ini menunjukkan semangat perpaduan apabila turut sama mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang merupakan payung negara.
Masyarakat Sikh di negeri ini tidak terkecuali mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong melalui kepercayaan agama masing-masing.
Pegawai Khas Menteri Besar mewakili kaum Sikh, Datuk Jasvir Singh Ram Singh berkata, masyarakat Sikh berkumpul di Gudwara Sahib Bentong hari ini bagi mendoakan kesejahteraan Baginda.
“Kaum Sikh di negeri ini mendoakan kesejahteraan Yang di-PertuanAgong yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).
“Kita berharap Yang di-Pertuan Agong cepat sembuh dan terus memayungi negara ke arah kesejahteraan masyarakat berbilang kaum,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Jasvir masyarakat Sikh di seluruh negeri akan terus mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong.
Kelmarin Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dimasukkan ke Wad Diraja, Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu kurang selesa dengan kesihatan baginda.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan memberitahu Seri Paduka yang berada di IJN sejak semalam kini dipantau oleh doktor dan berada dalam keadaan yang tidak membimbangkan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Semua sekolah berasrama dikehendaki mengikut Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah (GPPPSS) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
Timbalan Menteri Pendidikan 1, Muslimin Yahya
Pentadbiran sekolah yang mempunyai asrama menerima keluhan ibu bapa dan penjaga berkaitan anak mereka yang tinggal di asrama sejak sambutan Hari Raya Aidil Adha sehingga hari ini masih tidak dibenarkan pulang ke rumah seperti jadual hujung minggu yang biasa diamalkan.
Timbalan Menteri Pendidikan 1, Muslimin Yahya, berkata pihak sekolah mempunyai tanggung jawab untuk memastikan pelajar yang tinggal di asrama seperti pengangkutan bas perlu disediakan terutama sekolah seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan Sekolah Seni Malaysia (SSeM).
Katanya, Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Sekolah Pendidikan Khas (SPK) turut tidak terlepas dengan GPPPSS, kecuali ibu bapa penjaga yang hendak menghantar anak mereka sendiri.
“Selain itu murid yang sihat sahaja yang dibenarkan kembali ke asrama, sekiranya mereka tidak sihat, mereka hendaklah mendapatkan rawatan doktor dan disahkan sihat sebelum bersedia untuk balik ke asrama.
“Dalam keadaan sekarang, KPM galakkan murid yang bakal menduduki peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM seharusnya tinggal di asrama sekiranya kemudahan asrama mencukupi bagi mendapatkan persediaan mencukupi sebelum menduduki peperiksaan tersebut,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut kepada media, hari ini.
Katanya, pihak pentadbiran sekolah turut memastikan katil murid dijarakkan satu meter antara satu sama lain, selain penjarakan satu meter disediakan untuk murid beratur bagi semua bilik khas yang bersesuaian seperti tandas, bilik air , bilik cuci, bilik gosok dan pantri.
“Garis panduan ini turut dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), seharusnya ibu bapa dan penjaga sedia maklum,”katanya.
Sementara itu seramai 180 orang guru dan kakitangan sokongan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlangan (APC) bagi tahun 2019.
Seorang guru penerima APC,Mohd Romdzi Jamaluddin bersyukur dipilih pada sebagai penerima dan akan terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HISHAM : UMNO PERLU WASPADA, SEDAR BAHAYA SOKONG ANWAR
Umno tidak perlu melayan kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim berkenaan memiliki sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein yang menyifatkannya sebagai propaganda untuk mengalihkan perhatian menjelang PRN Sabah.
Pada masa sama Hishammuddin juga berpesan bahawa Umno perlu berwaspada dan sedar akan bahaya menyokong presiden PKR itu, yang menurutnya membuka pulang kepada DAP untuk berkuasa.
“Umno mesti berwaspada dengan taktik Anwar dan sedar bahaya menyokongnya. Ia hanya akan membuka peluang kepada DAP untuk lebih berkuasa di negara ini seterusnya membawa mudarat kepada kepentingan agama, bangsa dan negara yang kita perjuangkan selama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Apa jua yang diumumkan Anwar semalam, perkara paling penting untuk parti ialah fokus kepada usaha memenangi PRN Sabah.
“Jangan rencatkan usaha, mengganggu fokus dan mematahkan semangat mereka dengan kenyataan yang boleh menimbulkan tanda tanya di kalangan ahli Umno dan jentera BN,” kata bekas naib presiden Umno itu lagi.
Kenyataan Hishammuddin itu tampak berbeza dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berkata dia dimaklumkan ramai anggota parlimen Umno dan BN yang menyokong Anwar dan parti tidak dapat menghalangnya.
Zahid juga menegaskan Umno dan BN bukan parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan sokongan terhadap kerajaan hanyalah menerusi anggota parlimen.
Hishammuddin pula berkata keputusannya untuk menyertai pentadbiran adalah berdasarkan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan jemaah menteri serta anggota parlimen kerajaan perlu turut memberi sokongan padu kepada Muhyiddin.
“Jangan kita jadi anggota penting kerajaan, menikmati kelebihan tapi pada masa sama tidak sokong kepimpinan. ini mesti menjadi peringatan untuk semua menteri, timbalan menteri dan ketua GLC yang dilantik.
“Jika ada anggota kerajaan bertekad sudah tidak mahu menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada, eloklah berundur daripada kerajaan,” katanya lagi.
Semalam, pemimpin Umno Johor Nur Jazlan Mohamed menyuarakan sokongan terhadap kenyataan Zahid, menyifatkannya untuk mententeramkan akar umbi parti itu yang tidak senang terhadap kerjasama dengan Bersatu.
Malah dia juga dipetik The Malaysian Insight berkata Hishammuddin antara anggota parlimen Umno yang membuat perjanjian dengan Muhyiddin dengan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang turut melibatkan Hamzah Zainuddin – pemimpin Umno sebelum menyertai Bersatu.
‘Anwar patut malu’
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata semua anggota parlimen Bersatu menyokong penuh Muhyiddin yang menurutnya telah membuktikan kemampuan membela nasib rakyat di saat penularan COVID-19.
Bersatu juga berpendirian pengumuman Anwar semalam hanyalah gimik politik dan tidak lebih sekadar percubaan mengkucar-kacirkan kepimpinan negara di saat rakyat semakin yakin dengan Muhyiddin.
“Jika Anwar benar-benar mempunyai sokongan majoriti, dia seharusnya membuktikan dakwaan itu menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Hishammuddin pula berkata Anwar patut berasa malu atas tindakan yang menurutnya hanya memikirkan kepentingan peribadi tanpa mengendahkan kebimbangan rakyat di saat wabak COVID-19 masih menjadi ancaman.
“Propaganda seumpama ini sudah dilakukan Anwar berkali-kali.
“Kalau betul sudah ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat, beritahulah kepada umum, berapa orang anggota Parlimen yang menyokong dan dedahkanlah siapa anggota Parlimen Umno yang berpaling tadah,” katanya lagi.
Sumber : Malaysiakini
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!