PORTAL MYFUTUREJOBS BANTU PENCARI KERJA DAN MAJIKAN
LIPIS – Di Pahang sebanyak 1,797 ditawarkan pekerjaan hasil pencari kerja mendaftar menerusi MYFutureJobs untuk mendapat pekerjaan hasil pemadanan portal tersebut melalui 12 sesi temuduga terbuka di Kuantan, Temerloh dan Bentong.
Sebahagian pencari kerja yang hadir di Majlis Mini Karnival Penjana Kerjaya Perkeso 2020 di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Jelai, Sungai Koyan, Lipis.
Portal MYFutureJobs itu berperanan sebagai agen membantu pencari kerja dalam usaha Kementerian Sumber Manusia mengurangkan kadar pengangguran negara termasuk golongan yang terjejas untuk mendapatkan pekerjaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, berkata berasaskan kepintaran yang berkesan portal itu dibangunkan dengan pemadanan jenis pekerjaan dengan calon pencari kerja yang ditawarkan oleh majikan telah memberi kesan positif kepada semua pihak.
“Selain itu, calon yang ditawarkan pekerjaan dengan syarikat yang jaraknya melebihi 100km dari tempat tinggal mereka akan diberi bantuan mobiliti sebanyak RM 600 ringgit, manakala majikan layak memohon insentif antara RM600 hingga RM1000 sebulan setiap pekerja yang digajikan.
“Malah, bantuan latihan bernilai sehingga RM 4,000 bagi setiap pekerja untuk meningkatkan kemahiran pekerja yang baru digajikan itu turut diberi,”katanya di Majlis Mini Karnival Penjana Kerjaya Perkeso 2020 di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Jelai, Sungai Koyan, Lipis.
Katanya, PERKESO Negeri Pahang yang melibatkan pejabat di Kuantan, Temerloh dan Bentong telah berjaya dalam membantu pencari kerja dan penganggur untuk mendapat pekerjaan dan seterusnya dapat meningkatkan sosio-ekonomi keluarga mereka.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
UMP TANGGUH KEMASUKAN PELAJAR DARI SABAH, ZON MERAH
KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) menangguhkan urusan kemasukan pelajar dari Sabah dan Zon Merah secara bersemuka di kampus UMP Pekan dan Gambang yang dijadualkan secara berperingkat mulai 12 Oktober hingga 14 Oktober depan.
Proses pendaftaran pelajar baharu dilakukan secara dalam talian mulai 5 hingga 9 Oktober 2020 bagi tujuan pengaktifan status sebagai pelajar UMP termasuk bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato Dr Yuserrie Zainuddin, UMP juga mengambil langkah menangguhkan kemasukan pelajar yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah dalam tempoh 14 hari sebelum hari pendaftaran.
“Arahan penangguhan kemasukan pelajar secara fizikal ini meliputi semua peringkat pengajian dan kategori pelajar UMP. Proses pendaftaran pelajar baharu dari Sabah dan Zon Merah hendaklah dilakukan secara dalam talian dan kembali pulang ke UMP mengikut prosedur sedia ada selepas keadaan kembali pulih bagi negeri Sabah dan Zon Merah,” katanya.
Beliau berkata, kemasukan pelajar baharu dan lama yang bukan dari Sabah dan Zon Merah adalah kekal seperti dijadualkan dan perlu mematuhi garis panduan ditetapkan.
Katanya, tindakan itu diambil selari dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyarankan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan Zon Merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini.
Justeru, semua Ketua Pusat Tanggungjawab dan pelajar UMP dinasihatkan supaya mengambil langkah waspada dalam mencegah risiko penularan wabak COVID-19 di UMP dengan mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan dan mengutamakan langkah-langkah keselamatan.
Pelajar juga diingatkan sentiasa peka terhadap sebarang pemakluman rasmi, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari masa ke semasa.
Dalam pada itu, pelaksanaan Minggu Induksi Siswa (MINDS) dan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan diteruskan mengikut jadual secara dalam talian mengikut kalender akademik UMP.
Pengurusan UMP sentiasa memantau rapat perkembangan pandemik COVID-19 dan memandang serius terhadap laporan peningkatan kes yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA KINABALU: Penduduk di Sabah dinasihatkan tidak percaya berita palsu yang tersebar, kononnya tindakan lockdown akan dikenakan di seluruh negeri, Jumaat ini.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah menerusi kenyataan dalam laman Facebook memaklumkan setakat ini hanya empat daerah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) iaitu Semporna, Lahad Datu, Tawau dan Kunak.
“Daerah lain hanyalah masih di peringkat cadangan sahaja,” kata MKN Sabah hari ini.
Baru-baru ini tersebar berita palsu di media sosial terutama di Facebook berbunyi: “Mungkin hari Jumaat ini akan Lockdown seluruh Sabah, sila sedia semua,”.
Isnin lalu Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata PKPDB dilaksanakan di empat daerah itu bermula 12.01 tengah malam 29 September hingga 12 Oktober membabitkan 962,661 penduduk.
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LABUAN: Sepasang suami isteri warga asing yang sengaja menanggalkan gelang tangan kuarantin COVID-19, ditahan kerana ingkar perintah kuarantin di rumah, semalam.
Pasangan berusia lingkungan 50 tahun ditahan polis jam 11 pagi, selepas menerima aduan daripada Jabatan Imigresen Labuan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohamad Farid Ahmad, berkata sebelum itu pasangan terbabit masuk ke Labuan melalui Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada 27 September lalu.
Katanya, pasangan terbabit diperintah menjalani kuarantin pada hari yang sama sehingga 10 Oktober.
“Bagaimanapun pada 30 September lalu, pasangan terbabit ke Pejabat Jabatan Imigresen Ujana Kewangan Labuan untuk tujuan permohonan lanjut dokumen IMM13.
“Kedua-dua mereka didapati dengan sengaja menanggalkan gelang tangan kuarantin COVID-19 tanpa kebenaran daripada Jabatan Kesihatan Labuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohamad Farid berkata, kedua-dua suspek ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini bagi permohonan reman tempoh lima hari untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Mohamad berkata, pada hari sama juga, pihaknya menahan dua warga tempatan berusia lingkungan 30 dan 40 tahun kerana ingkar perintah kuarantin dengan memakai gelang tangan kuarantin COVID-19 ketika sedang bekerja di lokasi pembinaan perumahan di Kampung Sungai Bangat.
Katanya, tangkapan itu hasil maklumat penyelia tapak pembinaan di mana kedua-dua suspek bekerja.
“Kedua-dua suspek sebelum ini masuk ke Labuan melalui pintu masuk di Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada 27 September lalu dan telah mendapat perintah kuarantin.
“Namun kedua-dua mereka mengabaikan perintah kuarantin dan bekerja di tapak pembinaan perumahan berkenaan walaupun sudah dinasihatkan penyelia mereka supaya patuh arahan perintah kuarantin,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 269, Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengesahkan bayi lelaki berusia 17 bulan antara dua mangsa terbaru positif COVID-19 di Kelantan.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata selain bayi berkenaan, seorang lelaki berusia 25 tahun juga positif dan kedua-dua mangsa adalah kontak rapat kepada mangsa ke-162 di Kelantan.
“Kes 163 membabitkan seorang lelaki berusia 25 tahun iaitu adik kepada kes 162, manakala bagi kes 164 membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lima bulan iaitu anak saudara kepada kes 162.
“Kedua-dua kes ini mempunyai pendedahan kepada kes 162 pada 22 hingga 28 September iaitu sebelum kes 162 dimasukkan ke wad.
“Pengambilan sampel kedua-dua kes ini dilakukan pada 29 September 2020 iaitu ketika saringan kontak rapat kes 162 dan disahkan positif,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, mangsa bagi kes 162 mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah pada 19 hingga 22 September, sebelum disahkan positif COVID-19 pada Isnin lalu.
“Bayi berkenaan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), manakala lelaki terbabit pula dirawat di Hospital Tumpat untuk rawatan lanjut.
“Aktiviti pencegahan dan kawalan sedang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu bagi mengawal rantaian jangkitan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi SOP dengan mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam, elakkan bersalaman, bersentuhan dan berpelukan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PADANG BESAR: Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) boleh dilucutkan hak tanah sekiranya masih berdegil menanam pokok ketum.
Ketua Unit Pewarisan, Jabatan Pengurusan Tanah Felda, Mohd Yassin Mohd Yusof berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika perkara ini berterusan.
“Tindakan pelucutan hak menerusi mahkamah boleh diambil ke atas peneroka yang menanam pokok yang tidak dibenarkan seperti pokok ketum berdasarkan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960,” katanya kepada pemberita di FELDA Mata Ayer, ketika operasi bersepadu menebang pokok ketum melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Tanah Dan Galian (JTG) Perlis di sini, hari ini.
Mohd Yassin berkata buat masa ini, FELDA mengambil langkah memberi nasihat serta menebang pokok ketum bagi memberi kesedaran kepada peneroka, membabitkan 317 Felda dengan lebih kurang 2.5 juta peneroka dan waris peneroka FELDA.
Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad yang turut sama pada operasi tersebut berkata sebanyak 200 hingga 250 pokok ketum ditebang di FELDA Mata Ayer hari ini dan akan diperluaskan ke FELDA Chuping dan FELDA Rimba Emas dengan anggaran sebanyak 1,500 hingga 2,000 pokok ketum.
Beliau berharap dengan usaha ini dapat mengurangkan aktiviti penyeludupan sehigga 40 peratus apabila jumlah penawaran daun ketum berkurangan.
“Kami harap negeri lain turut melakukan usaha yang sama dalam memerangi jenayah penyeludupan dan penyalahgunaan daun ketum di negara ini,” katanya.
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
IPOH: Tindakan mengubah fakta sejarah adalah perbuatan tidak adil dan satu perlakuan jenayah intelek serta jenayah keilmuan yang menafikan hak generasi akan datang untuk memperoleh fakta sebenar, demikian titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Baginda bertitah, langkah merakam, mencatat, merekodkan dan menyimpan bahan sejarah secara tepat adalah kewajipan yang tidak boleh dikompromikan.
“Rekod sejarah yang lengkap berperanan penting untuk membantu negara mempertahankan kedaulatan dan wilayah persempadanan,” titah baginda ketika merasmikan bangunan Arkib Negara Malaysia negeri Perak di Meru, di sini, hari ini.
Memberikan contoh tuntutan Pulau Sipadan-Ligitan pada 2002, Sultan Nazrin bertitah, kejayaan Malaysia memenangi kes itu disebabkan negara memiliki bukti bahan arkib yang kukuh, manakala kegagalan mempertahankan hak milik tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) pada 2008 adalah disebabkan kekurangan bahan arkib sebagai sumber utama pembuktian kes.
Selain itu, Sultan Nazrin bertitah, tugas pegawai arkib ketika ini semakin kompleks dan mencabar dalam memenuhi permintaan para penyelidik yang memerlukan maklumat secara mudah, tepat serta cepat, lebih-lebih lagi apabila dokumen kini berbentuk elektronik, rekod bersifat sejagat yang boleh diakses oleh masyarakat antarabangsa.
“Alhamdulillah, para pegawai arkib terbukti peka dengan dinamik yang sedang berlaku. Mereka mengambil langkah aktif berhijrah daripada paradigma kerja yang didorong oleh keperluan penyelidikan akademik berasaskan keperluan untuk mengetahui kepada kegiatan mempromosi maklumat dan memudahkan akses maklumat kepada masyarakat dunia,” titah Sultan Nazrin.
Sultan Perak itu juga bertitah, arkib tidak lagi berperanan sekadar mengumpul dan menyimpan bahan-bahan secara pasif, tetapi beralih untuk membangunkan peranan sebagai pemboleh akses, bertukar daripada penyimpan rekod kepada pembekal maklumat, berusaha menghidupkan minat dan mencetuskan keghairahan masyarakat terhadap sejarah.
Oleh itu, baginda bertitah keperluan perkhidmatan baharu hendaklah dipadankan dengan prasarana perkhidmatan yang baharu di samping kesediaan pegawai arkib berhijrah menerokai budaya kerja baharu.
“Bermakna sumber manusia yang lebih profesional serta dana lebih tinggi diperlukan demi memastikan arkib tidak berakhir menerima nasib sebagai kawasan perkuburan terbiar yang terpinggir sunyi dan profesion pegawai tidak menerima nasib dinosaur yang pupus ditelan zaman kerana ditinggalkan oleh teknologi elektronik yang begitu pesat berkembang.
“Perkembangan persekitaran yang berlaku tidak harus ditafsirkan sebagai ancaman sebaliknya hendaklah dilihat sebagai hamparan peluang baharu yang menyuntik dimensi lebih dinamik terhadap profesion pegawai arkib,” titah Sultan Nazrin.0
Dalam titah perasmian itu juga, Sultan Nazrin secara peribadi memuji tahap profesionalisme para pegawai arkib serta kualiti, keandalan dan kesahihan khazanah maklumat dalam simpanan Arkib Negara yang banyak membantu ketika baginda menghasilkan dua buku sebelum ini dan kini sedang dalam proses menghasilkan buku ketiga.
Sultan Nazrin dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang menyediakan peruntukan bagi membina bangunan arkib yang moden di Perak dan berharap Arkib Negara Malaysia terus maju dan berupaya berdiri sama tinggi dengan institusi arkib antarabangsa.
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Pihak pengurusan MBS World menafikan premis kendalian mereka dikunjungi seorang pelanggan yang disahkan positif COVID-19.
Pengarah Urusan MBS World, Albert Leong berkata, pihaknya sudah menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sebaik sahaja berita mengenai perkara itu tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp.
“Dakwaan kononnya premis kami dikunjungi pelanggan berkenaan adalah tidak benar… kami sudah berhubung dengan pihak PKD Kuantan dan mereka mengesahkan pelanggan terbabit bukan dalam kategori berisiko tinggi untuk menyebarkan COVID-19.
“Pelanggan terbabit dan anaknya ada memasuki premis kami, tetapi suami pelanggan itu hanya menunggu di dalam kenderaan… ujian swab test dijalankan terhadap kedua-duanya menunjukkan mereka negatif,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihak MBS World sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan proses sanitasi secara berterusan di premis mereka.
Katanya, premis terbabit disanitasi dua kali sehari, pada sebelah pagi sebelum dibuka kepada pelanggan dan sebelah malam.
“Proses sanitasi ini adalah hasil inisiatif kami bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pelanggan.
“Selain itu, MBS World juga mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara… kami memberi jaminan bahawa premis kami adalah selamat untuk dikunjungi dan tidak ada masalah seperti didakwa pihak tertentu,” katanya.
Kira-kira seminggu lalu, terdapat khabar angin kononnya premis MBS World di Jalan Tanah Putih pernah dikunjungi pelanggan yang positif COVID-19.
Perkara itu bagaimanapun disahkan tidak benar dan penafian mengenai berita palsu itu sudah dibuat pihak pengurusan MBS World, awal minggu ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Kerajaan Selangor perlu menilai semula cadangan pemansuhan status Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi Hutan Simpan Kuala Langat Utara.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sepatutnya kerajaan negeri mempertahankan status kawasan yang sudah diwartakan bagi memastikan kelestarian alam dipertahankan.
“Kalau boleh kawasan hutan simpan yang sudah diwartakan, janganlah kita dikeluarkan atau tarik balik status itu walaupun kerajaan negeri mungkn ada keperluan dari segi ekonomi negeri.
“Kita di Kementerian memang berharap negeri yang ada cadangan seperti ini dapat pertimbangkan semula… kalau boleh, kita berharap kawasan sudah diwarta, tidak perlu keluarkan semula dari senarai warta… kalau sudah warta, kita kena pertahankan status itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Inovasi 2020 Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali.
Tuan Ibrahim mengulas tindakan kerajaan Selangor melakukan sesi pendengaran awam bagi cadangan pemansuhan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat membabitkan keluasan sekitar 1,971 hektar pada Selasa lalu, yang mendapat bantahan banyak pihak.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai projek rancangan tebatan banjir (RTB) yang sedang dilakukan ketika ini, beliau berkata kerja pemuliharaan sungai bagi mengurangkan risiko banjir di seluruh negara menggunakan peruntukan tambahan RM66 juta dapat disiapkan sebelum musim tengkujuh hujung tahun ini.
Katanya, kerja itu sudah dimulakan di Kelantan baru-baru ini mendapat sambutan positif kerana kontraktor melihatkan sebagai platform untuk kembali aktif, selepas terjejas akibat kekurangan peluang kerja berikutan wabak COVID-19.
tamat
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Sekarang bukan masa sesuai untuk bubar Parlimen.
Demikian komen Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selepas ditanya mengenai kemungkinan cadangan untuk pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.
“Saya kira kerajaan perlu ambil kira situasi semasa dalam membuat sesuatu keputusan… ambil kira semua faktor termasuk situasi semasa COVID-19 selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.
“Kita bimbang jika bubar (Parlimen) sekarang, boleh mencetuskan gelombang baharu COVID-19 di Semenanjung… sekarang pun keadaan agak membimbangkan dan saya fikir kita kena ambil kira semua perkara dalam menentukan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Inovasi 2020 Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali.
Berdasarkan perkembangan semasa COVID-19 di Malaysia, hampir keseluruhan negeri dan wilayah di negara ini dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) dari Sabah.
Menerusi data terkini dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), antara negeri merekodkan jangkitan dari Sabah adalah Kedah sebanyak dua kes, Selangor (lima), Johor (satu) dan Sarawak (tiga) kes.
Selain itu, Kuala Lumpur dan Terengganu merekodkan tiga kes positif yang turut melibatkan individu pulang dari Sabah, manakala Pahang serta Perlis dua kes.
Empat negeri dan wilayah lain iaitu Labuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak masing-masing merekodkan satu kes.
tamat
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!