SEKOLAH DI NEGERI FASA 2 PPN DIBUKA, SELEPAS CUTI PERTENGAHAN PENGGAL
Kuala Lumpur: Sekolah dibenarkan beroperasi untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, tetapi terhad kepada murid kelas peperiksaan sahaja bagi negeri yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa 2 PPN, sekolah dibenarkan beroperasi untuk sesi PdP secara bersemuka, tetapi terhad kepada murid kelas peperiksaan sahaja.
Menurutnya, MKN juga memberi kebenaran pergerakan rentas negeri dan daerah bagi guru dan murid kelas peperiksaan yang terbabit sekiranya sekolah dibuka.
“Walau bagaimanapun, KPM ingin memaklumkan bahawa Takwim Persekolahan KPM tahun 2021 adalah kekal seperti diumumkan Menteri Kanan Pendidikan dalam sidang media pada 6 Jun lalu.
“Ini bermakna, sesi PdP bagi murid kelas peperiksaan di negeri Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan terus dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga cuti pertengahan penggal yang akan bermula pada 16 Julai ini bagi negeri Kumpulan A dan 17 Julai ini bagi negeri Kumpulan B,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemakluman lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi persekolahan penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai ini bagi negeri Kumpulan A dan 26 Julai ini bagi negeri Kumpulan B akan dibuat KPM sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan bermula, lapor HM online
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
AHLI PARLIMEN UMNO AKUI TANDATANGAN SD SOKONG ANWAR JADI PM
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dari Umno, mengakui beliau menandatangani akuan bersumpah (SD) yang menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Memetik laporan Mingguan Malaysia, Ahmad Nazlan berkata, beliau bersetuju dengan cadangan penubuhan kerajaan baharu itu kerana pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah Dr Mahathir Mohamad sebelum ini telah gagal.
Malah kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Muhyiddin Yassin juga dilihat tidak berjaya membawa rakyat keluar daripada wabak Covid-19, katanya.
“Jadi, apabila ada idea mencadangkan Anwar sebagai Perdana Menteri, saya bersetuju.
“Masih ada dua tahun yang boleh kita cuba, kita dah merasai 22 bulan di bawah PH, berbelas bulan dengan PN dan kita rasa pulalah kerajaan baharu, mungkin kerajaan baharu itu nanti lebih berwajah baharu,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Nazlan dilaporkan tidak mendedahkan berapa ramai Ahli Parlimen Umno yang memberikan sokongan kepada Anwar.
SD berkenaan adalah yang kedua ditandatanganinya selepas yang pertama menyokong Menteri Luar Hishammuddin Hussein untuk diangkat sebagai Perdana Menteri interim jika Majlis Raja-Raja menubuhkan kerajaan sementara.
Beliau juga berpendapat, tindakan menyokong Presiden PKR itu tidak salah berdasarkan pertimbangan semasa.
“Apabila diminta membuat pilihan dan pertimbangan, pada saya tidak salah kerana kerajaan hari ini belum berjaya pada hemat saya, jadi baik kita beri peluang kepada kerajaan baharu,” katanya.
Baru-baru ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan memanggil semua Ahli Parlimen dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu secara berperingkat untuk menentukan tempoh sesuai bagi menarik sokongan daripada PN.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JAWATANKUASA PENDUDUK TAMAN INDERAPURA WUJUD GEROBOK MAKANAN
JERANTUT: Jawatankuasa Badan Kebajikan dan Khairat Taman Inderapura (BAKKTI) telah menyediakan satu sudut khas Gerobok Makanan khusus untuk penduduk di taman itu yang terkesan akibat pandemik Covid-19, sumbangan bermula semalam.
Pengerusi Jawatankuasa itu, Rahmat Yusof berkata, setakat ini BAKKTI telah mengumpul dana daripada sumbangan penduduk taman itu serta sumbangan dari Pejabat Parlimen Jerantut dan Pejabat Dewan Undangan Negeri Kawasan Damak.
Jawatankuasa dan petugas membuat agihan dan sedia untuk disampaikan kepada penerima di taman itu.
“Kita bersyukur, penduduk di taman ini sangat bermurah hati menyumbang bahan makanan asas dan keperluan dapur termasuk wang tunai untuk membeli barangan dan disampaikan kepada keluarga yang terkesan di sini.
“Jawatankuasa taman ini turut berterima kasih kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan yang turut cakna dengan situasi yang melanda sekarang,”katanya ketika ditemui.
Seorang penduduk di situ, Jamaluddin Abdul Rahman berkata, sumbangan seperti itu menunjukkan ukhwah yang tinggi antara ahli kariah semasa menghadapi waktu susah dan sikap prihatin masyarakat dalam kejiranan.
“Kita tidak tahu mungkin jiran kita menghadapi kesukaran, oleh itu sudah pasti menjadi tugas kita yang mampu untuk membantu.
“Terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ramai tidak dapat bekerja atau berniaga kecil-kecilan dan pastinya menjejaskan pendapatan mereka,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LEMARI REZEKI JERANTUT DIBATALKAN KERANA DISERBU DAN GAGAL SOP
JERANTUT: Hari ketiga program Lemari Rezeki Jerantut diserbu hampir 300 orang sehingga dibatalkan oleh pihak polis kerana terdapat segelintir yang hadir gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selepas diarahkan oleh pihak urusetia yang diadakan di Astaka Taman I-City Jerantut, petang ini.
Penyelaras program, Datuk Ridzuan Mansor yang berada di situ dan dibantu oleh pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jerantut mengambil keputusan membatalkan agihan bantuan bakul makanan yang disediakan kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Orang ramai yang hadir diarahkan bersurai kerana gagal mematuhi SOP, di Taman I-City Jerantut, hari ini
“Hari ini, hari ketiga, sebelum ini berjalan lancar, tetapi pada hari ini mungkin sudah sampai ke pengetahuan orang ramai, maka semakin ramai berpusu tanpa menjaga penjarakan fizikal dan petugas kami gagal mengawal selepas mengarah orang ramai mematuhi SOP dan terpaksa memanggil bantuan anggota polis.
“Bantuan ini sebanyak 150 bakul makanan untuk diagihkan setiap hari, adalah sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO), peniaga dan orang ramai yang prihatin dengan anggota masyarakat yang terkesan dengan wabak yang melanda dunia ketika ini,”katanya.
Program itu di bawah urusetia Majlis Daerah Jerantut (MDJ), digerakkan oleh sukarelawan dan kakitangan MDJ sendiri.
Katanya, diharap kepada mereka yang betul terkesan dialukan untuk menerima sumbangan berbentuk makanan keperluan harian dan makanan asas lain, mohon yang hadir hanya satu orang setiap keluarga.
Agihan bantuan makanan Lemari Rezeki Jerantut dibatalkan hari ini.
“Saya sangat sedih program ini dibatalkan pada hari ini kerana mendapat arahan daripada pihak polis kerana ada segelintir yang hadir tidak menjaga jarak masing-masing, malah ada yang datang dalam sebuah kereta melebihi seorang, pastinya melanggar SOP di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di bandar Jerantut.
“Pihak kami sedang memikirkan mekanisma lain untuk mengagih bantuan yang berbentuk ‘food bank’, iaitu mengambil barang yang diperlukan sahaja, tetapi berlaku sebaliknya kerana pihak kami mengenal pasti terdapat yang hadir setiap hari untuk menerima bantuan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA – Dakwaan mengenai seorang ahli parlimen menambah isteri ketika rakyat sedang bergelut dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh kini berlegar di laman sosial.
Menurut sumber, majlis akad nikahnya diadakan secara dalam talian dengan seorang imam dari Narathiwat, Thailand.
Majlis yang diadakan di masjid sebuah negeri di pantai timur pada Khamis lalu itu turut dihadiri oleh dua saksi, lapor KOSMO online
Jelasnya, ahli parlimen yang mempunyai jawatan dalam kerajaan itu turut menyerahkan mas kahwin sebanyak RM11,111 kepada isteri mudanya yang dikatakan berasal dari Selangor.
“Dia berkahwin menggunakan wali hakim dari Thailand dan pendaftaran kahwin pun di sana,” katanya kepada Kosmo! sebentar tadi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kuala Lumpur: Lima negeri sudah memenuhi tiga nilai ambang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang akan berkuat kuasa 5 Julai ini.
Negeri berkenaan adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis, lapor HM online
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negeri berkenaan memenuhi indikator nilai ambang kes harian terbaru, penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kadar vaksinasi.
“Oleh itu, dalam fasa dua membolehkan perluasan senarai positif sektor ekonomi,” katanya ketika sidang media bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan pergerakan rentas negeri dan daerah dibenarkan bagi pasangan jarak jauh dalam Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu bagaimanapun harus mendapatkan kelulusan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya percaya ramai pihak yang mahu mendengar mengenai pergerakan rentas negeri dan daerah membabitkan pasangan jarak jauh. Saya sendiri ada menerima banyak rayuan berhubung perkara ini, lapor KOSMO online.
“Justeru, bagi fasa dua ini, kita akan membenarkan pasangan jarak jauh untuk merentas negeri dan daerah namun membabitkan kes kecemasan dan keperluan khas dengan mendapatkan kelulusan dari pihak polis,” katanya ketika sidang akhbar bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini hari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Sekolah akan dibuka bagi menjalankan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka namun terhad kepada kelas-kelas peperiksaan sahaja.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia tertakluk kepada ketetapan takwim Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi(KPT) beserta penilaian risiko semasa.
“Bagi pelajar yang memerlukan untuk merentas negeri daripada semenanjung ke Sabah dan Sarawak atau sebaliknya perlu mematuhi peraturan kuarantin yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar secara maya bersama bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini hari ini.,lapor KOSMO online
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392 Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan); KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214 Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA- Gelagat sekumpulan petugas barisan hadapan berjoget sambil mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) bagi menghiburkan penduduk di sebuah kawasan perumahan mengundang sebak dalam kalangan orang ramai.
Video berdurasi 45 saat yang dikongsi seorang pengguna Twitter @brgsjks bukan sahaja menunjukkan petugas barisan hadapan berjoget malah tindakan mereka seolah-olah mahu memberikan semangat kepada penduduk.
Berdasarkan video terbabit, rata-rata penduduk dilihat berada di rumah masing-masing dan hanya petugas barisan hadapan sahaja berada di luar premis.
Menurut seorang pengguna Twitter, @MatYiie, dia selalu berasa benci apabila melihat orang berjoget tanpa hala tuju seperti video yang dipaparkan itu.
“Tapi bila tengok frontliners ini buat, aku rasa gembira, kagum dan sebak sebab tahu mereka bekerja lebih daripada sepatutnya. Mereka sudah terlampau penat, moga Allah mudahkan semua urusan mereka,” katanya.
@ChBursaDaughter pula menyifatkan dia berasa sebak selepas melihat usaha petugas barisan hadapan untuk mengurangkan tekanan orang awam.
“Kenapa sebak ini? Sampai macam itu sekali frontliners kita berusaha untuk tak nak bagi orang awam sedih, lapor KOSMO online.
“Kalau semua mahu tahu, nak bagi imunisasi badan kita kuat, bukanlah makanan semata-mata sebaliknya emosi juga main peranan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Kawat duri yang dipasang pada sebuah tangga di Blok C PPR Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur, telah dibuang, menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Hamdan Wahid.
Hamdan berkata, dia telah membuat pengesahan terhadap apa yang berlaku dan mengarahkan langkah pembetulan dibuat.
“Kawat duri kini hanya dipasang di (aras) bawah sekali selepas exit terakhir.
“Ia tak menghalang laluan pelepasan diri (jika berlaku kebakaran),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Terdahulu, beberapa gambar memaparkan anggota tentera memasang kawat berduri di tangga perumahan awam kos rendah membangkitkan kebimbangan berkenaan risiko ancaman keselamatan dan kebakaran.
Pengguna Facebook bernama Azizul Azwar Abdul Aziz yang juga seorang arkitek, berkata sebarang halangan di tangga akan membawa risiko kepada penduduk jika berlaku kebakaran.
“Saiz, lokasi dan jumlah tangga direka dan disusun oleh arkitek bagi memastikan semua penduduk boleh keluar dari bangunan jika berlaku kebakaran,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dia juga mengongsikan tiga gambar daripada agensi berita Bernama, yang diambil di Blok C PPR Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur semalam.
Gambar itu menunjukkan anggota tentera memasang kawat berduri di bahagian bawah tangga, yang turut menghalang akses ke alat pemadam kebakaran yang dipasang di dinding bangunan.
Azizul berkata, sekatan ke mana-mana tangga di sebuah bangunan boleh menyebabkan kesesakan di tangga lain yang tidak disekat, terutama ketika berlakunya kebakaran.
“Jika ada dua atau tiga tangga ditutup, maka kapasiti yang perlu ditanggung oleh tangga yang masih dibuka akan meningkat dan ini boleh mengakibatkan aliran keluar (dari bangunan) tergganggu akibat kesesakan.
“Lagipun semasa bangunan terbakar, tak boleh pakai lif. Mana lagi cara nak lari ke bawah?” soalnya.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Azizul menjelaskan yang tindakan menghalang mana-mana tangga melanggar Undang-undang Bangunan Seragam 1984.
Beberapa individu lagi turut membangkitkan kerisauan sama, antaranya pemimpin DAP Liew Chin Tong dan pakar penyakit berjangkit Dr Christopher Lee.
Menurut Bernama, kawat duri itu dipasang susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di sebahagian besar Selangor dan sejumlah kawasan di Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 16 Julai ini.
Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata tiada kawat duri yang akan dipasang di 34 mukim yang terlibat di negeri itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Ashari Abu Samah berkata pemasangan kawat tersebut dibuat setelah dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan PKPD yang turut dihadiri bomba, untuk mengalang penduduk daripada keluar masuk bangunan tersebut.
Dia juga berkata terdapat laluan lain yang boleh digunakan oleh penduduk di blok tersebut untuk keluar sekiranya berlaku kecemasan.
“Selain itu, polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan siap siaga dalam mengadapi sebarang kemungkinan.
“Sekiranya berlaku kecemasan, pihak ATM mampu membuka kawat duri tersebut dalam tempoh masa yang singkat. Polis dan ATM juga sentiasa berada di laluan tersebut untuk memantau situasi semasa,” katanya dalam kenyataan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!