Myvi langgar tembok, wanita cedera terkena serpihan batu
SEREMBAN – Seorang wanita cedera di bahagian tengkuk apabila terkena serpihan batu tembok selepas sebuah Perodua Myvi dipercayai melanggar tembok di tingkat empat tempat letak kereta Hentian Bas Terminal One, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban Mohammad Idris berkata, insiden itu menyebabkan serpihan batu tembok terjatuh lalu menimpa mangsa.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.46 petang dan enam anggota termasuk pegawai dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Bagi memastikan kenderaan itu stabil daripada terjatuh dari tingkat berkenaan, kenderaan mangsa ditarik menggunakan kenderaan ‘towing’ dan diserah kepada Majlis Bandaraya Seremban dan polis,’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjutnya.
Sumber : BERNAMA
Gambar Media sosial
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kota Bharu – Penghantar makanan maut akibat dilanggar sebuah bas selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Kota Bharu – Pasir Mas, dekat sini, malam tadi.
Sebelum itu, mangsa, Muhammad Amin Maula Ismail, 24, dipercayai terlanggar belakang sebuah kereta yang mengundur dari perkarangan sebuah masjid berhampiran lokasi untuk memasuki laluan utama. Ia menyebabkan mangsa terjatuh ke laluan bertentangan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, pada kejadian 8.30 malam itu, mangsa menunggang motosikal dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Mas.
“Sampai di lokasi kemalangan iaitu berhadapan Surau Haji Sulong Parit Cina, sebuah kereta dipandu lelaki berusia 73 tahun yang baru selesai solat Isyak mengundur ingin memasuki laluan utama.
“Disebabkan jarak yang dekat, mangsa tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian belakang sisi kanan kereta itu dan terjatuh di laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah bas yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Shuhaimi berkata, mangsa yang parah di bahagian kepala serta disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan dan mayatnya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : Harian Metro.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Anggota Bamba dan Pemyelamat menemui kaki mangsa yang dihanyutkan air deras.
SIMPANG PULAI – Pasukan penyelamat menemukan anggota tubuh manusia dipercayai milik salah seorang pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, kaki bahagian kiri itu ditemui oleh Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) yang ditugaskan untuk mengesan kedua-dua mangsa kira-kira jam 5.05 petang.
Menurutnya, anggota badan itu dijumpai dalam jarak 300 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum hilang.
Berikutan itu, operasi kini giat dijalankan untuk mengesan kedua-dua mangsa yang masih hilang.
Bantuan daripada Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM dan Pasukan Gerakan Am (PGA) diperlukan bagi membantu operasi yang ditangguhkan sementara, katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Kampung Pos Atap Baru di sini.
Menurutnya, operasi akan digerakkan semula pada jam 8 pagi pada Isnin dengan memfokus kawasan laluan air sepanjang 800 meter.
Sinar Harian melaporkan dua wanita dilaporkan hilang ketika mendaki bersama 27 pendaki lain di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini pada Ahad dikhuatiri dihanyutkan kepala air.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, masing-masing dari Cheras dan Klang.
Lokasi kejadian adalah di Hutan Simpan Kekal Gunung Suku yang terletak lebih kurang tiga jam perjalanan kaki dari jalan utama.
Semasa kejadian pada jam 5 pagi, sekumpulan pendaki gunung seramai 29 orang telah mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.
Namun, semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua daripada mereka (wanita) telah dihanyutkan oleh arus deras.
Sumber : Sinar Harian.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Wanita dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) susulan cedera parah di kepala.
IPOH: Seorang wanita maut ditimpa serpihan patung yang terjatuh dari atas kuil ketika upacara ritual di Buntong, di sini kira-kira 9.50 pagi tadi.
Mangsa, R Manimegalai, 53, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) susulan cedera parah di kepala.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrsh Wahid, berkata insiden itu turut menyebabkan dua lagi wanita cedera.
Katanya, kejadian berlaku di Kuil Arulmigu Visalatchi Sametha Viswanathar Sivalayam Paripalana Sabah.
Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan (ASP) Hassbullah Hasan di talian 013-5555585 bagi membantu siasatan.
Sumber – BH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dua maut libat tiga kenderaan di Jalan Jerantut-Kuala Tembeling
JERANTUT – Dua maut dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan di KM16, Jalan Jerantut-Kuala Tembeling berdekatan Bukit Atap pada jam 7.55 petang, semalam.
Mangsa yang maut itu, seorang lelaki, pesara Jabatan Pemetaan berusia 68 tahun dari Indera Mahkota Kuantan yang memandu Honda City meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Jerantut.
Seorang lagi yang maut, penumpang lelaki berusia 23 tahun, yang duduk di bahagian hadapan kereta Honda Jazz, dari Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Kuala Tembeling cedera di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, siasatan awal kejadian, pemandu kereta Honda City dari arah Jerantut memotong kereta Proton Waja yang berada di hadapannya.
“Ketika sedang memotong, Honda Jazz yang datang dari arah hadapan menghala ke Jerantut mengakibat berlaku pertembungan secara berhadapan di antara kedua-dua kenderaan, dua kenderaan ini remuk di bahagian hadapan.
“Akibat kemalangan ini, pemandu Honda City meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Jerantut dan penumpang Honda Jazz telah maut di tempat kejadian, bedah siasat akan dijalankan untuk mengetahui punca kematian, ” katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan.
Katanya, pemandu dan penumpang kereta Proton Waja, masing-masing, lelaki berusia 25 tahun dan kakak iparnya, 34 tahun dari PAKR Kuala Tembeling tidak mengalami kecederaan.
Manakala pemandu lelaki kereta Honda Jazz, berusia 26 tahun dari PAKR Kuala Tembeling, cedera di bahagian dada dan dirawat di Hospital Jerantut.
Katanya, di kawasan kemalangan itu jalan lurus dan berbukit, satu lorong dua hala serta garisan putih berkembar di tengah jalan sebagai pembahagi lorong dan cuaca baik, permukaan jalan kering dan gelap tanpa lampu jalan.
“Diminta pengguna lain yang menggunakan jalan berkenaan sentiasa berhati-hati kerana jalan yang bengkok dan berbukit itu kerap mengundang kemalangan. Kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987, ” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Kereta Hyundai Elantra yang terbakar di Jalan Genting Hilghlands, petang semalam
Pengguna jalan ke Genting Highlands cemas kereta terbakar mengundur
BENTONG – Pengguna jalan raya laluan ke arah Genting Highlands cemas apabila sebuah kereta Hyudai Elantra yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun terbakar dengan marak sambil mengundur sejauh kira-kira 100 meter di KM2.9, Jalan Genting Highlands, pada jam 1.45 petang, semalam.
Satu rakaman video daripada laman sosial Tik tok berdurasi 23 saat itu sempat dirakam oleh orang awam yang ketika kejadian sedang berada di dalam sebuah kereta kebel yang bergerak.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan itu melibatkan dua buah kenderaan terdiri daripada sebuah kereta jenis Hyundai Elantra dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire.
“Hasil siasatan pihak polis, kereta yang dipandu oleh lelaki tersebut dari arah Kuala Lumpur menghala ke Genting Highlands, tiba-tiba terbakar di bahagian enjin dan merebak kebahagian lain.
“Pemandu kereta yang terbakar itu, telah berhenti dan keluar serta meninggalkan keretanya di atas jalanraya dan berundur tanpa dapat dikawal,” katanya melalui kenyataan media.
Katanya, melalui rakaman tersebut, kelihatan beberapa orang awam berlari memberi amaran kepada pemandu kenderaan lain yang berada di belakang untuk ke tepi jalan dan cuba menggelak daripada merempuh kereta terbakar itu.
“Kereta terbakar itu mengundur dengan sendiri dan melanggar sebuah kereta MPV yang berada di belakang dan sekali gus kereta tersebut terhenti.
“Kedua pemandu kenderaan yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Kaedah 14 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (ln166/59) yang boleh dihukum mengikut kaedah yang sama, “ katanya..
Katanya, pihak polis meminta saksi-saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
Zaiham menasihati orang ramai supaya berhati-hati membawa kenderaan yang dipandu dan mengingatkan supaya pastikan kenderaan yang dipandu sentiasa dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN : Selepas dua hari, mayat remaja lelaki berusia 14 tahun yang dikhuatiri lemas di Pasir Kubur,Sungai Lembing,Kuantan,Pahang ditemukan petang tadi.
Mangsa, Amirun Mohamad ditemui pada 6.10 petang tadi oleh orang awam kira-kira 6.2 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 2.35 petang semalam berhubung kejadian itu.
Kejadian berlaku ketika tiga remaja dalam lingkungan 14 dan 16 tahun menjalankan aktiviti mandi manda.
Seorang daripada mereka telah dihanyutkan air deras sementara dua lagi terselamat.
Operasi mencari dan menyelamat telah dilancarkan sejak semalam dibantu 36 pegawai dan anggota daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuantan dan Pekan ; Pasukan K9 dan Pasukan Bomba Sukarela Sungai Lembing.
Operasi tamat pada jam 7.22 petang tadi.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Disyaki terjun Jambatan, seorang lelaki masih dicari
TEMERLOH : Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Pahang digerakkan bagi mencari seorang lelaki berusia 30 tahun yang disyaki terjun dari jambatan Kampung Raja Temerloh.
Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 24 anggota daripada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam dilancarkan sejak jam 11.07 pagi Ahad.
Menurut komandan operasi, Hairysam Mat Tahar dari balai bomba Mentakab, setakat ini pencarian dilakukan ditebing sungai sepanjang sungai Semantan.
Hairysam berkata, pihaknya menerima laporan seorang pemuda yang dipercayai mempunyai masalah ganguan mental telah terjun jambatan pada jam 11.00 pagi dan setelah tiba dijambatan mendapati sebuah motosikal ditinggalkan dilokasi kejadian
Operasi pencarian dilakukan sepanjang sungai Semantan dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA)
Setakat ini, tiada petunjuk baharu ditemui namun, operasi akan diteruskan-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Warga Bangladesh maut dalam kemalangan di Jalan Lipis- Benta
LIPIS – Seorang penunggang motosikal warganegara Bangladesh meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di KM25, Jalan Lipis-Benta pada jam 9.04 malam, malam tadi.
Mangsa, Hosen Ismail, berusia 28 tahun beralamat di Rumah Murah Klinik Benta cedera parah di bahagian kepala dan patah kaki serta meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, mangsa seorang pekerja kebun yang menunggang motosikal milik kawannya berhasrat untuk pergi ke Raub.
“Siasatan awal mendapati, setiba di tempat kejadian, mangsa telah keluar di persimpangan ke Raub tanpa berhenti terlebih dahulu.
“Kesan daripada itu, berlaku pertembungan dengan sebuah motokar dari arah Raub ke Lipis berdasarkan kesan perlanggaran di laluan motokar tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, motosikal tersebut rosak teruk di bahagian hadapan dan motokar terbabit rosak bahagian bonet, bumper dan cermin hadapan pecah.
“Manakala, kedua-dua pemandu motokar dan penumpang masing-masing berusia 36 dan 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan swab test Covid-19 diperolehi,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Sebuah rumah di Felda Jengka 9, musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran pada Rabu, jam 1.15 petang.
Rumah tersebut dihuni oleh Muhamad Shah Ahmad Ghazali (43) bersama isteri dan 3 anak yang berusia antara 5 hingga 13 tahun.
Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah telah melakukan tinjauan ke tempat kejadian serta dibantu petugas Felda yang turut menyediakan penempatan sementara serta akan mewujudkan tabung sumbangan bencana.
“Buat sementara waktu mangsa sekeluarga telah menumpang di rumah jirannya dan pihak pejabat DUN Pulau Tawar akan menyalurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa.
“Kami akan tinjau dan membuat anggaran untuk membina rumah baharu bagi membantu mangsa,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud memohon semua masjid dalam wilayah itu melancarkan tabung sumbangan kepada mangsa yang menimpa musibah.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!