KUCHING : Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tak digambarkan betapa pilunya hati seorang ibu apabila anak yang dikandung selama sembilan bulan pergi buat selama-lamanya.
Pada Isnin lalu, seorang bayi dilaporkan meninggal dunia dalam dakapan si ibu ketika dalam perjalanan dari Pekan Julau ke hospital di Kuching, Sarawak menaiki bas ekspres.
Tidak sempat menerima rawatan, si kecil telah pergi buat selama-lamanya. Menurut sumber, si ibu hanya menyedari anaknya sudah tidak bernafas ketika bas tersebut berhenti rehat di Jelukong Rest Stop.
Menerusi video tular, kelihatan si ibu terkejut dengan apa yang berlaku sambil memeluk erat dan mengucup kepala bayinya. Seorang ketua rumah panjang (tuai rumah) kemudian membantu membawa bayi tersebut ke pusat perubatan selain menghulurkan RM300 untuk perbelanjaan si ibu.
Kisah tersebut telah mendapat pelbagai respon daripada netizen yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga kecil ini.
Dalam kesempatan itu, mereka menitipkan ucapan takziah dan berdoa agar si ibu kuat menghadapi dugaan hidup.
Netizen turut berpendapat bahawa pemergian si bayi seolah-olah seperti sedang tidur.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Alias Ahmad (tengah) melakukan gimik penyerahan sumbangan kepada Jamri.
Sembilan belas ahli Geng Ngaji Ustaz, Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor teruja apabila buat julung kali dapat memijak tanah di perkampungan Orang Asli Suku Jahai di Kampung Klewang, Royal Belum, Gerik, Perak, baru-baru ini.
Perasaan mereka juga tersentuh apabila melihat masyarakat Orang Asli di perkampungan itu amat menghargai serta menyanjung tinggi bantuan yang diterima hasil sumbangan atau infak pelbagai pihak luar.
Ahli Geng Ngaji Ustaz merakam kenangan di atas ‘Boathouse’ sebelum menelusuri sungai memasuki Royal Belum.
Seperti kata Tok Batin perkampungan itu, Jamri Gebis, masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan sentiasa diingatkan untuk bersikap terbuka, berlapang dada menerima kunjungan orang luar yang datang memberi sumbangan di samping melihat kehidupan sebenar mereka di situ.
Beliau yang fasih berbahasa Melayu, berkata orang bandar yang datang disambut penuh hormat dengan hati terbuka tanpa membezakan apa bangsa sekali pun terutama apabila kunjungan mereka itu membawa buah tangan.
“Kerana itu saya sentiasa berpesan kepada anak buah untuk bersangka baik dengan kunjungan orang bandar, lemparkan senyuman walaupun kali pertama bertemu dan hulur tangan untuk bersalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyambut kedatangan ahli Geng Ngaji Ustaz BTHO yang mengunjungi perkampungan berkenaan dalam program ekspedisi mereka selama tiga hari dua malam di Royal Belum.
Menurut Jamri ketika bercerita mengenai perkampungan berkenaan kepada ahli geng terbabit, sebelum itu mereka menetap di Kampung Aman Damai dan terpaksa berpindah ke Kampung Klewang akibat banjir besar pada 2014.
Jelasnya, dia bersama kira-kira 150 penduduk Suku Jahai daripada 40 keluarga terpaksa akur arahan itu demi keselamatan dan ketika pandemik Covid-19 melanda negara lebih dua tahun lalu mereka semua selamat serta tidak terkena jangkitan wabak itu.
Orang Asli Suku Jahai, Kwon Gebis menunjukkan kepakaran menyumpit kepada ahli Geng Ngaji Ustaz.
“Selepas pandemik ini beransur pulih pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) khususnya tidak berhenti menghulurkan bantuan seperti bakul makanan, mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan selain disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Sekarang ini kami sudah dapat menjalani rutin hidup seperti biasa, boleh keluar memburu dan ke pekan berdekatan untuk mendapatkan keperluan harian,” katanya sambil menerangkan penggunaan sumpit untuk memburu binatang buas serta racun dari getah pokok ipuh.
Ketua ekspedisi Geng Ngaji Ustaz, BTHO, Alias Ahmad, berkata pada peringkat awal mereka merancang ke Royal Belum bagi beriadah iaitu memancing sambil mengadakan kelas mengaji di atas ‘Boathouse’ keluar dari lokasi biasa yang selalu diadakan di dalam kelas.
Menurutnya, apabila cadangan itu diuar-uarkan kepada ahli terus mendapat sambutan luar jangkaan dan sebahagian besar mengesyorkan supaya diadakan juga aktiviti menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan bantuan dan memilih untuk mengunjungi perkampungan Orang Asli Suku Jahai berkenaan.
Jelasnya, dalam tempoh dua minggu ahli geng berkenaan mengumpul pelbagai barangan makanan asas kering seperti beras, gula, tepung, sardin dan kari ayam dalam tin, susu pekat manis, bihun, biskut, roti, tuala pelekat wanita, pampers, mi segera, pakaian terpakai dan sebagainya.
Barangan makanan asas kering dan pakaian terpakai itu adalah infak pelbagai pihak untuk NGO seperti Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Nur Hasanah, Al Fikrah Malaysia, Yayasan Bunga Raya bagi disalurkan kepada mereka yang memerlukan bantuan termasuklah sumbangan individu prihatin serta ahli Geng Ngaji sendiri.
Alias berkata, ekspedisi itu juga secara tidak langsung mengukuhkan ukhwah antara ahli Geng Ngaji al-Quran sedia ada dengan sahabat baharu terutama mereka yang menyertai kelas mengaji dan secara tidak langsung menyuburkan kecintaan terhadap al-Quran walaupun di mana sahaja aktiviti dijalankan.
Tambahnya, riadah dengan aktiviti yang bermanfaat menelusuri sungai di tengah-tengah alam semula jadi dan kehijauan flora fauna melihat kebesaran Allah SWT dan kita hamba-Nya mengakui bahawa tidak Allah SWT jadikan hutan hijau dan tasik yang besar ini sia-sia, melainkan ada manfaat kepada hamba-Nya.
“Di samping program halaqah saya turut mengadakan tazkirah ringkas selepas solat subuh berjemaah sepanjang ekspedisi ini dan setiap kali masuk waktu solat ahli yang bertugas sebagai bilal akan mengalukan azan di atas ‘Boathouse’ ini mengheningkan suasana berada di Royal Belum,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAUB : Seramai 83 orang dari 22 buah keluarga di Raub dan Lipis dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kedua buah daerah itu selepas kediaman mereka dilanda banjir akibat hujan lebat.
Kejadian tersebut menyebabkan 14 kediaman di Kampung Batu Talam, Kampung Ulu Atok dan Kampung Jenud terjejas selepas limpahan air Sungai Batu Malim dan Sungai Semantan, di Raub, manakala 19 mangsa dari lapan buah keluarga di Kampung Lubuk Kulit, Lipis dipindahkan ke PPS yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kulit.
Di Raub, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah, Kapten (PA) Samasuddin Kambade berkata, seramai 19 orang mangsa daripada empat buah keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Batu Talam yang dibuka pada pukul 2 pagi.
“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Atok yang dibuka pada pukul 4 pagi menempatkan seramai 45 orang mangsa dari 10 keluarga.
“Penduduk berkenaan diarahkan berpindah ke PPS tersebut berikutan kediaman mereka dimasuki air yang boleh menjejaskan keselamatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujarnya, selain Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), agensi lain turut membantu, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Sementara di Lipis, hujan lebat berterusan lebih tiga jam menyebabkan sekitar kawasan Mukim Telang dekat sini dilanda banjir kilat mulai pukul 1 pagi hari ini.
Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah, Kapten (PA) Mohd Nor Azhar Yusof berkata, akibat kejadian itu seramai 19 orang mangsa dari lapan keluarga di Kampung Lubuk Kulit dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kulit.
“Mangsa terdiri daripada empat orang lelaki dewasa, wanita (4 orang), kanak-kanak lelaki (3 orang), kanak-kanak perempuan (3 orang) dan warga emas (6 orang).
“Banjir kilat di mukim tersebut dipercayai berpunca daripada hujan lebat tanpa henti sejak beberapa hari pada sebelah petang dan malam menyebabkan limpahan air Sungai Telang dan anak-anak sungai di kawasan Kampung Lubuk Kulit,” katanya dalam satu kenyataan di Lipis hari ini.
Menurut Mohd Nor Azhar, pihak APAM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turut membuat pemantauan di kawasan banjir serta melakukan pemantauan paras air di lokasi kejadian.
Ujarnya, walau bagaimanapun tiada berlaku kecederaan dan kemalangan yang dilaporkan setakat ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Projek bersih Sungai Batu Malim sepanjang 17.1 km pecah rekod Malaysia
RAUB – Projek pembersihan di Sungai Batu Malim sepanjang 17.1 kilometer berjaya memecahkan rekod ‘Malaysia Book of Records’ di samping dapat membersih dan memungut sampah sepanjang berakit di sungai itu seberat 841 kilogram
Presiden Persatuan Pemuliharaan Gibbon (Gibbon Conservation Society), Mariam Ramli
Presiden Persatuan Pemuliharaan Gibbon (Gibbon Conservation Society), Mariam Ramli berkata, program ini sebagai memperkasakan kesedaran masyarakat untuk menjaga alam sekitar dan sungai sebagai satu sumber yang sangat penting kepada manusia dan hidupan lain.
“Penduduk yang tinggal di pesisir sungai perlu membangkitkan kesedaran betapa pentingnya sungai kepada kehidupan manusia dan diingatkan jangan sewenang-wenang membuang sampah ke dalam sungai yang boleh mencemarkan air dan alam sekitar.
“Selain itu, keperluan air bersih dari sumber sungai yang bersih memang diharapkan selain boleh dijadikan tarikan pelancong untuk beriadah di kawasan sungai yang bersih dan nyaman,” katanya di Batu Malim, hari ini.
Katanya, kali pertama pada Jun lalu iaitu program alam sekitar sedunia dan manakala hari sungai sedunia adalah penganjuran kali kedua di Batu Malim, di sini.
Remangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut mencemar duli dengan menyertai program berakit itu.
Seorang peserta berakit, Muhammad Sharizal Arman Shah (36) berkata, program sayangi sungai kita ini, selain beriadah dengan berakit yang turut disertai warga asing dan penduduk Orang Asli di kawasan ini dapat menghargai alam sekitar sepanjang mereka berakit.
“Sepanjang kami berakit sepanjang kira-kira 18 km bermula di Kampung Ulu Sungai banyak juga kami temui sampah seperti tayar buruk, kerusi plastik lama, lampin pakai buang, bakul plastik lama dan sebagainya.
“Sewajarnya, penduduk yang tinggal di tepi sungai jangan amalkan sikap buruk ini kerana sungai sangat penting kepada manusia dan alam sekitar.
Seorang warga Australia, Paul Martin (60) berkata, sangat tertarik dengan berakit menggunakan buluh memakan masa hampir 7 jam dengan keadaan air yang jernih dan bersih.
“Malangnya, dalam sepanjang berakit kami sampah seperti tayar buruk, kerusi plastik lama dan sebagainya dibuangkan ke dalam sungai, ini merugikan kerana memburukkan pemandangan,” katanya.
Kumpulan Jamil memenangi hadiah pertama kerana berjaya memungut sampah sepanjang berakit seberat 104 kg, tempat kedua Kumpulan Hafiz memungut sampah seberat 100 kg dan tempat ketiga Kumpulan IPD Raub dengan pungutan sampah 83.4 kg.
Sumber : Astro Awani
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Warga emas mengikuti kuliah agama di surau yang dibimbang ustaz bertauliah.
Darul Hanan, Pulau Pinang pusat jagaan warga emas
ASPIRASI Keluarga Malaysia yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mungkin dapat direalisasikan jika aspek kasih sayang dan penjagaan ibu bapa diabaikan atau dipinggirkan kerana elemen utama dalam sebuah keluarga ialah ibu bapa.
Malah kasih sayang seorang anak terhadap ibu dan bapa mereka boleh tetap terbela malah dipereratkan lagi oleh pusat jagaan seperti Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan (PJWEDH), Pulau Pinang, yang sekali gus mengetepikan anggapan mengatakan pusat berkenaan tempat anak melepaskan tanggungjawab.
Azman Rasman (kiri), Mohiadin Bahado, Siti Sarah Yahaya dan Alias Ahmad memberi isyarat bagus kerana Darul Hanan terbaik dalam mengurus tadbir warga emas dengan mendapat sokongan pelbagai pihak di Pulau Pinang.
Diwujudkan lebih 14 tahun lalu pusat berkenaan kendalian Badan Kebajikan Rumah Warga Emas Darul Hanan di bawah naungan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) itu menyangkal tuduhan masyarakat mengatakan pusat berkenaan tempat membuang ibu dan bapa khusus yang uzur.
Terletak di atas tanah seluas 3.2 hektar pusat itu menyediakan pelbagai kemudahan seperti bangunan asrama, perpustakaan, kafeteria, surau, wad, dewan serba guna dan bengkel. Selain keadaan yang selesa untuk beriadah dan pusat itu boleh menampung 150 warga emas pada satu masa.
Pengurusnya, Siti Sarah Yahaya, berkata pusat itu menempatkan warga emas lelaki dan perempuan yang berusia antara 57 tahun hingga 90 tahun dalam kalangan mereka yang tiada waris, tersisih daripada ahli keluarga, asnaf dan miskin membabitkan kes dirujuk pihak berkenaan.
Bagaimanapun menurut beliau, Darul Hanan turut menerima warga emas yang tidak dapat dijaga atau diuruskan dengan sempurna oleh ahli keluarga kerana pelbagai faktor dan demi memberi keselesaan serta keselamatan kepada ibu atau bapa pusat itu menjadi pilihan mereka.
Jelasnya, pihak pengurusan memahami perkara itu dan tidak sekali-kali menganggap mereka membuang ibu atau bapa di pusat itu malah kita menerima dengan tangan terbuka serta penuh kasih sayang di samping menyantuni sebaik mungkin.
“Sebelum ini ada sesetengah kes warga emas yang dihantar ke Darul Hanan mendiami pusat jagaan yang tidak sepatutnya selepas ditinggalkan oleh anak-anak apabila tidak dilayani dengan baik untuk meneruskan kelangsungan hidup apabila semakin uzur.
“Di pusat ini anak-anak atau saudara mara bebas mengunjungi ibu dan bapa mereka atau warga emas yang dikenali pada setiap Sabtu dan Ahad kerana kita mahukan ikatan silaturahim mereka berkekalan tanpa sebarang rasa bersalah,” kata Siti Sarah ketika menerima kunjungan Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor, Azman Rasman; Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang Selangor, Mohiadin Bahado; dan guru agama dua pusat berkenaan, Alias Ahmad, baru-baru ini.
Siti Sarah menunjukkan model bangunan Darul Hanan yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan warga emas yang mendiami pusat berkenaan bagi meneruskan kelangsungan hidup kepada Alias, Mohiadin dan Azman.
Siti Sarah berkata, pusat itu masih bergantung kepada sumbangan daripada pelbagai pihak untuk terus beroperasi bagi membiayai kos bekalan elektrik, air, barangan makanan, kesihatan, pampers pakai buang, pengangkutan, gaji kakitangan, keselamatan dan sebagainya.
“Setakat ini Darul Hanan sentiasa menerima sumbangan daripada pihak luar seperti membabitkan pertubuhan bukan kerajaan, syarikat korporat dan orang perseorangan yang prihatin dengan nasib warga emas yang menetap di sini,” katanya.
Beliau menambah, kos operasi pengurusan Darul Hanan sebahagian besar ditanggung oleh Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP) melalui bajet tahunan yang diluluskan setiap tahun.
Peruntukan itu secara tidak langsung sebagai penghargaan untuk pembayar zakat kepada ZPP.
Penyelia pusat itu, Nur Aswani Aziz, berkata Darul Hanan akan sentiasa menguruskan penjagaan dan perlindungan yang sempurna serta terbaik kepada setiap warga emas dengan berteraskan agama Islam secara cekap dan berkualiti.
Tambahnya, sehubungan itu pihak pengurusan meningkatkan kefahaman dan penghayatan agama Islam kepada warga emas berdasarkan konsep pendidikan sepanjang hayat termasuk mewujudkan kelas pengajian agama kepada mereka yang dikendalikan ustaz yang bertauliah.
Menurutnya, bilik yang diubah suai seperti wad hospital dan anjung terapi diwujudkan bagi mengekalkan taraf kesihatan warga emas yang optimum supaya mencapai kehidupan berkualiti di samping meningkatkan kesedaran serta mengurangkan stigma negatif terhadap insan melarat dan terbiar.
“Kita menganggap warga emas seperti emak dan bapa sendiri yang kadang-kadang berasa terharu serta sedih apabila melihat gelagat mereka termenung sendirian seperti mengingati atau merindui sesuatu manakala kepada kakitangan pusat tempat meluahkan perasaan itu,” katanya.
Sementara itu, Azman dan Mohiadin, berkata kunjungan mereka ke Darul Hanan adalah bagi berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang terkini dalam menguruskan warga emas dengan lebih baik serta cekap.
“Kami ambil kesempatan ini apabila diuar-uarkan oleh pihak berkenaan Darul Hanan merupakan pusat jagaan yang terbaik khusus di Pulau Pinang dalam mengurus tadbir warga emas di samping tidak memutuskan hubungan silaturahim antara anak dengan ibu dan bapa yang mendiami pusat berkenaan,” kata mereka. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SK Sungai Sireh jamu ubi kayu rebus sambut kemerdekaan, Guru Besar SKeSS, Nor Mahali Mohamad Torman menyuapkan ubi kayu rebus dicicah kelapa parut kepada murid pada Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-65.
TANJUNG KARANG – Guru dan murid Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh (SKeSS), Tanjung Karang, Selangor menjamu ubi rebus bersama kelapa parut sebagai acara kemuncak menyemarakkan Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-65 yang diadakan baru-baru ini.
Warga sekolah itu yang tidak biasa dengan makanan itu terpaksa mencuba sebagai usaha mengimbau santapan rutin penduduk pada zaman Jepun yang menjadi gimik menarik yang dicadangkan Panitia Sejarah SKeSS.
Seorang guru wanita turut menyuap makanan ubi rebus kepada muridnya.
Guru dan ibu bapa menyambut baik idea tersebut bertepatan dengan matlamat Bulan Kemerdekaan iaitu menyemai rasa cinta kepada negara dan semangat untuk mempertahankan tanah air daripada penjajahan di samping bersesuaian dengan temanya Keluarga Malaysia Teguh Bersama.
Guru Besar SKeSS, Nor Mahali Mohamad Torman berkata, Panitia Sejarah merancang untuk membuat satu program yang berfokus pada zaman sebelum kemerdekaan terutama tentang cara hidup masyarakat semasa penjajahan Jepun.
“Salah satu perkara yang paling diingati tentang zaman berkenaan ialah sumber makanan yang sangat terhad disebabkan masyarakat pada ketika itu terpaksa menyerahkan hasil padi kepada penjajah dan hanya mengalas perut dengan ubi kayu rebus.
“Bagi menjayakan hasrat itu guru-guru mengambil bahagian dengan menyediakan bahan masakan beberapa hari sebelum program berlangsung dan pada hari kejadian mereka bergotong -royong untuk merebus, memasak dan menyediakan semua makanan bersama-sama,” katanya ketika dihubungi.
Murid cuba menikmati makanan ubi rebus yang jarang dimakan.
Katanya, antara makanan yang diperkenalkan ialah ubi kayu rebus yang dijamah bersama kelapa parut, ikan masin goreng, sambal tumis ijo berserta lempeng, keledek dan cucur pisang serta stewol yang ternyata asing bagi sesetengah guru dan murid.
Nor Mahali berkata, reaksi yang diterima daripada murid sangatlah positif dan rata-rata mereka menyukai makanan itu walaupun mereka belum pernah merasa ubi kayu yang direbus serta dicicah bersama kelapa dan sambal untuk dimakan.
“Keadaan menjadi gamat dengan riuh rendah suara murid apabila apabila ramai antara mereka menambah ubi kayu untuk dimakan beramai-ramai seperti satu komuniti kampung yang terdiri daripada murid, guru dan seluruh warga sekolah.
Ubi rebus yang disediakan untuk dijamu di hari sambutan kemerdekaan.
“Ada segelintir murid yang pada awalnya dipelawa untuk menjamah ubi kayu tetapi tidak mahu yang mungkin kerana kali pertama melihat makanan itu namun apabila dipujuk dan selepas sekali mencuba mereka sangat menyukainya,” katanya.
Sementara itu, Guru Penyelaras sambutan itu, Ramnah Hassim, berkata ada sesetengah murid minta disuapkan berulang-ulang kali manakala murid tahap 1 dan prasekolah pula banyak bertanya kepada guru nama makanan yang dihidangkan berikutan mereka tidak pernah melihat makanan berkenaan.
Menurutnya, ada juga murid yang tidak menyukai kerana mereka tidak biasa dengan makanan yang direbus tetapi menyifatkan program itu satu pengalaman berharga serta menyuntik semangat untuk tidak membenarkan negara kita dijajah lagi.
“Paling menarik sesi suap-menyuap makanan zaman pendudukan Jepun ini ibarat satu kolaborasi dengan program Guru Penyayang apabila ikatan kasih sayang serta saling hormat-menghormati tersemai antara guru dan murid,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH – Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) JABAT menggalakkan ahli mengenakan busana Melayu bertujuan memperkasakan budaya warisan Melayu dalam konteks berpakaian.
Pemakaian busana tradisional itu mendapat sambutan yang baik dalam kalangan ahli termasuk lelaki dan perempuan yang sanggup menempah busana masing-masing untuk menghadiri program-program rasmi.
Antara ahli JABAT berpakaian tradisional
Pengerusi JABAT, Azril Ramli berkata, NGO itu ditubuhkan untuk menjaga kebajikan ahlinya, selain berperanan menjadi sebuah NGO sukarela apabila berlaku keadaan memerlukan seperti membekalkan tenaga kerja ketika banjir bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan sebagainya.
“JABAT mempunyai misi untuk menjadi salah sebuah badan berperanan untuk membantu ekonomi bangsa Melayu dengan membuat beberapa kerjasama dengan NGO yang mempunyai keupayaan untuk mengadakan latihan dan kursus kemahiran bagi usahawan dan bakal usahawan.
“Selain itu, program seperti ziarah kasih untuk meringankan beban pesakit kronik, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.
Katanya, program ekonomi dinamakan Jihad Ekonomi dan program latihan dan kursus diberi secara percuma bagi melahirkan usahawan dan bakal usahawan untuk meningkatkan jualan sedia ada dan melatih mereka yang belum pernah berniaga sebagai usahawan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Nik Rizal Kamil (tengah) bersama-sama kakitangan RHB Bank yang menyertai program di PJMM.
SEMENYIH – Lapan puluh kakitangan RHB Bank menyantuni penghuni dalam kalangan warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan Perbankan RHB Bank, Nik Rizal Kamil Nik Ibrahim Kamil berkata, selaras dengan tema RHB Touch Hearts 2022 ‘Making Progress Happen for Everyone’, inisiatif Touch Hearts 2022 Group Finance, program itu dinamakan “Let us Bring Happiness To the Old Folks Home” membabitkan kakitangan dari RHB Bank Centre, Cawangan Bangi, Selangor
Katanya, beliau melahirkan rasa bersyukur apabila dapat bersama-sama kakitangan RHB Bank untuk menyantuni warga emas di PJMM walaupun sibuk dengan tugas rutin harian namun mereka tidak pernah lupa kepada insan yang kurang bernasib baik dan ditimpa musibah.
“Walaupun sumbangan yang disalurkan itu tidak seberapa namun memberi motivasi kepada kakitangan RHB Bank untuk turut berasa bertanggungjawab memberi keselesaan kepada warga emas terutama yang uzur meneruskan kehidupan.
“Pastinya program sedemikian mengukuhkan lagi inspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi aspirasi Keluarga Malaysia yang diperkenalkan,” katanya.
Turut hadir pada program itu, Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Pengurus PJMM, Sazali Mohiden; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafid Mohiadin; dan beberapa pegawai RHB Bank yang terbabit.
Ketua Program, Noraini Malik, berkata program berkenaan bertujuan untuk menggembirakan warga emas dan meringankan bebanan tekanan perasaan mereka melalui pelbagai aktiviti, seperti gotong-royong, mendirikan taman mini, sesi karaoke bersama-sama warga emas serta melukis.
“Bersesuaian dengan program itu RHB Bank turut menyumbangkan 10 kipas pengudaraan, empat set meja batu, goodie beg, beberapa barangan keperluan asas untuk warga emas serta wang tunai.
“Sumbangan itu merupakan tanda keprihatinan semua kakitangan RHB Bank yang berasa amat terharu apabila dapat menyantuni warga emas walaupun hanya seketika waktu sahaja yang sekurang kurangnya dapat menggembirakan hati mereka,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Prof Dr Mohd Shukri Abd Yajid (duduk tengah) merakam kenangan bersama kakitangan, pelajar dan peserta program Jalinan Komuniti MSU My City My Community, baru-baru ini.
MSU Kuching jaya program komuniti
KUCHING – Management and Science University (MSU) menganjurkan program Jalinan Komuniti MSU, My City My Community (Bandarku Komunitiku) 2022 bertempat di Kuching Waterfront bertujuan untuk merapatkan hubungan antara warga kolej dan komuniti luar kampus sebagai satu keluarga besar, baru-baru ini.
Perasmian program beraspirasikan Keluarga Malaysia itu disempurnakan oleh Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid yang turut dihadiri pegawai pengurusan kanan kolej, kakitangan, pelajar serta tetamu jemputan.
Wakil pelajar MSU Kolej Sarawak menyerahkan kotak bantuan kepada penerima terpilih dari sekitar daerah Kuching dalam program berkenaan.
Pengurus Komunikasi dan Penjenamaan MSU, Ahmad Ibrahim, berkata menerusi MSU My City, program berkenaan memfokuskan kepada lima aktiviti utama, iaitu pelajar bergotong-royong membersihkan sampah sarap yang terdapat di sekitar kawasan Kuching Waterfront sebagai usaha menyokong kempen kesedaran reduce, reuse, recycle atau 3R.
Katanya, aktiviti MSU My Race pula membabitkan penyertaan 100 pelajar dari sembilan sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia, SMK Tun Abdul Razak, SMK Agama Tun Ahmad Zaidi, SMK Bandar Samariang, SMK Sains Kuching Utara, SMK Kota Samarahan, SMK Muara Tuang, SMK Wira Penrissen dan SMK Green Road.
“Tumpuan MSU My Care pula ialah penyampaian sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas kepada 60 keluarga kategori B40 dari 20 kampung di sekitar daerah Kuching.
“Menerusi aktiviti larian amal tiga kilometer MSU My Fit, ini membabitkan penyertaan seluruh warga kolej dan turut disertai ahli dari Persatuan Autisme Malaysia dan Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM).
Peserta program melakukan aktiviti zumba dan senamrobik yang menarik perhatian tetamu.
Katanya, secara keseluruhannya, usaha berterusan pihak kolej dengan mempelbagaikan aktiviti berteraskan kesukarelawan dan jalinan komuniti yang menggalakkan penyertaan pelajar, diharap dapat memperkasakan kemahiran pelajar dan meningkatkan kebolehpasaran mereka.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Peneroka rasa dianiaya ladang sawit tenggelam air ekoran bina empangan
RAUB – Seorang peneroka Felda Lembah Klau mengadu terjejas pendapatan dan kehidupan ekoran tanah ladang sawitnya tenggelam air akibat pembinaan sebuah empangan.
Zulkifli Deraman, 62, mendakwa tanah miliknya tidak pernah terlibat dan tidak tersenarai dalam perancangan projek Empangan Klau maka tidak layak untuk diberikan wang pampasan seperti peneroka lain.
Zulkifli Deraman, 62, mendakwa tanah miliknya tidak pernah terlibat dan tidak tersenarai dalam perancangan projek Empangan Klau maka tidak layak untuk diberikan wang pampasan seperti peneroka lain.
Tambah Zulkifli, walaupun tanahnya tidak terlibat dengan projek Empangan Klau tetapi malangnya setelah siap empangan tersebut tanah milik turut juga terjejas.
“Sebahagian tanah ladang milik saya seluas 2 ekar ditenggelami air sejak 2008, sudahlah tanah ditenggelami air, duit pampasan satu sen pun tak dapat.
“Bukan sekali dua saya cuba berusaha mendapatkan keadilan, malah saya menanggung kerugian dan menderita selama 14 tahun kerana tidak tahu dengan siapa lagi mahu diajukan masalah dihadapinya,” katanya Ketika ditemui.
Zulkifli menunjukkan rumahnya yang menanti rebah, tiada modal untuk membaikpulih rumah asalnya.
Katanya, selain itu, sejak ladangnya ditenggelami air, dia terpaksa guna jalan jauh untuk mengait buah sawit disebabkan ladangnya terpisah kepada dua bahagian seolah-olah ladang di sebuah pulau.
“Bermakna apabila saya selesai kait buah di sebelah sini saya terpaksa memusing jauh dalam satu kilometer ke bahagian yang terpisah tu,” katanya.
Menurut Zulkifli, beliau pernah dijanjikan pampasan sebanyak RM2,000 sebulan sebagai pampasan untuk kesulitan yang dihadapinya namun sehingga kini ia hanya tinggal janji kosong.
“Ramai sudah datang menjenguk dan bertanya kabar berkaitan masalah yang saya hadapi, Pegawai Wilayah, Tok Empat, Penghulu, Pengurus Felda, Wakil Rakyat, tetapi sehingga sekarang tiada apa-apa jalan penyelesaian.
Antara ladang sawit yang ditenggelami air akibat pembinaan empangan sejak 2008.
Akibat ‘kehilangan’ dua ekar tanah ladangnya itu menyebabkan Zulkifli kerugian kira-kira separuh daripada pendapatan bulanan hasil tuaian sawit iaitu lebih daripada RM2,000 sebulan mengikut harga pasaran semasa.
Selama 14 tahun dihimpit kesusahan, Zulkifli terpaksa tinggal di pondok yang dibina di belakang rumahnya kerana tidak mampu untuk menambahbaik rumah sedia ada yang tidak lagi sesuai didiami mereka sekeluarga.
“Saya menyifatkan diri saya dan keluarga teraniaya, tetapi saya tidak pernah berputus asa untuk mencari penyelesaian dan keadilan buat dirinya dan keluarga.
“Diharap ada pihak membantu saya menyelesaikan masalah yang saya hadapi sejak 2008 dengan cara terbaik,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!