PADANG BESAR: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand,dekat sini, maut akibat ditembak, awal pagi tadi.
Menurut laporan HarianMetro, Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, mangsa, Koperal Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar dan mangsa yang cedera sedang dirawat di HTF dengan keadaannya dilaporkan kritikal.
Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji yang dihubungi, mengesahkan kejadian dan memaklumkan akan memberi maklumat lanjut selepas selepas siasatan.
Difahamkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam perjalanan ke Perlis bagi melawat mangsa dan meninjau keadaan semasa.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: “Saya nak minta jasa baik warga masjid untuk menguruskan jenazah bayi ini.
“Saya dibuang keluarga kerana anak ini. Saya tiada tempat tinggal yang sempurna dan tidak ada duit untuk membawa anak ini ke hospital.”
Demikian antara kandungan nota ditemui bersama mayat seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di dalam beg plastik di hadapan tembok pagar sebuah masjid di Sungai Way, Petaling Jaya, semalam.
Memetik laporan BHOnline, beg plastik berisi mayat bayi itu dilaporkan ditemui imam masjid terbabit, berhampiran tayar kenderaannya yang diparkir di hadapan rumah ibadat berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata polis menerima laporan berhubung penemuan mayat bayi itu pada jam 8.45 malam.
“Hasil siasatan awal mendapati imam berusia 32 tahun itu menemui mayat bayi perempuan berkenaan di dalam bungkusan plastik.
“Ia berserta sehelai kertas dengan nota meminta bantuan pihak masjid menguruskan mayat bayi yang dianggarkan berusia empat bulan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ku Mashariman berkata, berdasarkan maklumat serta semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di ruang hadapan masjid itu, polis berjaya mengesan dan menahan sepasang kekasih di sebuah bilik hotel di Petaling Jaya, jam 2.45 pagi tadi.
Beliau berkata, pasangan tidak bekerja itu membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan wanita warga Indonesia berumur 26 tahun.
“Ketika disoal siasat, kedua-dua individu terbabit mengaku meninggalkan mayat bayi perempuan mereka di hadapan masjid berkenaan.
“Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian,” katanya.
Beliau berkata, mayat bayi itu kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan proses bedah siasat akan dijalankan pada jam 8 pagi esok bagi memastikan punca kematian.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang mengusir sebuah bot nelayan asing Vietnam dan dua kapal tangki yang dikesan menceroboh perairan negara di dua lokasi berbeza kelmarin.
Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama (Maritim) Datuk Amran Daud berkata, sebuah bot nelayan Vietnam dengan nombor pendaftaran KG 858 TS serta dua kapal tangki yang sedang merapat dalam keadaan mencurigakan itu dikesan oleh pesawat udara Bombardier CL415 agensi itu di 43 dan 90 batu nautika timur ketika melaksanakan rutin pengawasan udara di sekitar perairan Pahang.
Menurutnya, maklumat pencerobohan itu kemudiannya disalurkan kepada Kapal Maritim (KM) Pekan yang sedang melaksanakan OpKudaLaut berhampiran lokasi kejadian pencerobohan bot dan kapal terbabit.
“Sebaik menyedari kehadiran pesawat udara dan kapal APMM, bot nelayan terbabit menukar haluan menuju ke perairan antarabangsa dan KM Pekan terus memantau dan mengusir bot nelayan Vietnam itu sehingga keluar dari sempadan perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan HarianMetro.
Beliau berkata, selepas bot nelayan asing itu diusir, KM Pekan bergegas ke lokasi dua kapal tangki dan menghubungi melalui radio berfrekuensi tinggi (VHF) Channel 16 tetapi kapal tangki terbabit tidak memberi maklum balas.
Menurutnya, KM Pekan menyalakan lampu amaran dan susulan itu, kedua-dua kapal tangki berkenan bergerak perlahan-lahan keluar dari perairan negara sambil diawasi oleh KM Pekan.
“KM Pekan kini berada di kawasan sempadan perairan negara untuk memastikan bot dan kapal asing terbabit tidak memasuki semula perairan negara.
“Keberadaan KM Pekan di kawasan itu juga bertujuan untuk memantau dan melakukan pengusiran terhadap bot dan kapal asing yang dikesan menceroboh.
“Bagi tempoh dua minggu ini, sebanyak sembilan pengusiran dibuat oleh aset APMM Pahang dan dibantu aset dari APMM Johor di perairan Pahang.
“Sepanjang tahun ini, APMM Pahang merekodkan 41 pengusiran dan daripada jumlah itu 39 daripadanya adalah dari bot nelayan Vietnam membabitkan seramai 337 kru termasuk tekong.
“Pengusiran nelayan asing dan kapal tangki itu adalah tindakan sementara dalam tempoh pencegahan penularan COVID-19 serta mengekang wujudnya kluster baharu terutama di lokap penahanan suspek yang boleh memberi risiko jangkitan kepada pasukan barisan hadapan dan juga rakyat tempatan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ALOR SETAR: Seorang lelaki yang menikam isterinya di bahagian perut menggunakan pisau Rabu lalu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Baling pada jam 10.30 malam tadi.
Gambar Hiasan
Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, suspek berumur 33 tahun yang sebelum ini telah melarikan diri selepas kejadian itu dibawa ke IPD berkenaan oleh bapanya dan diserahkan kepada polis.
“Suspek yang tidak bekerja itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga 27 November depan bagi membantu siasatan polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 7 pagi Rabu lalu, seorang wanita berumur 36 tahun cedera di bahagian perut sebelah kiri dipercayai ditikam suaminya selepas berlaku pertengkaran di rumah mereka di Kampung Iboi, Kupang dekat Baling.
Syed Basri berkata, mangsa ditikam sebanyak dua kali kini sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan berada dalam keadaan stabil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DIGANTUNG TUGAS, TAMAT PERKHIDMATAN JIKA TERBUKTI BERSALAH
KUALA LUMPUR: Pegawai dan anggota polis terbabit secara langsung dengan individu yang ditahan berkaitan sindiket judi dalam talian dan MacauScam, bakal berdepan digantung tugas selain ditamatkan perkhidmatan jika pembabitan mereka dibuktikan.
Menurut laporan Bernama, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya, berkata proses rakaman percakapan dan pengumpulan bukti berhubung pembabitan 24 pegawai dan anggota seperti didakwa, masih dijalankan.
“Siasatan masih berjalan, namun selepas selesai siasatan pihak JIPS akan mengesyorkan kepada pihak tatatertib, untuk mereka dikenakan hukuman setimpal.
“Ia termasuk digantung tugas bagi melalui proses perbicaraan atau dibuang kerja, sekiranya terdapat bukti jelas berhubung pembabitan mendalam mereka dengan sindiket itu,” katanya kepada Bernama.
Menurut Zamri, kesemua mereka sehingga kini masih menjalankan tugas seperti biasa, dengan sebahagian besarnya ditukarkan ke unit lain termasuk pentadbiran.
Zamri berkata penggantungan tugas akan dibuat membabitkan pegawai dan anggota polis yang dituduh di mahkamah, berhubung tuduhan jenayah itu.
“Kesemua mereka akan digantung tugas daripada tarikh mereka mula dituduh sehingga selesai perbicaraan di mahkamah.
“Sekiranya di akhir perbicaraan mereka disabitkan bersalah, tindakan gantung (tugas) akan dilaksana sebelum diikuti dengan langkah seterusnya iaitu ditamatkan perkhidmatan,” katanya.
Menurut Zamri, perkara sebaliknya berlaku sekiranya mereka yang didakwa itu didapati tidak bersalah
“Jika diputuskan tidak bersalah, mereka akan diambil bekerja semula maka tempoh penggantungan tugas adalah bergantung kepada selama mana tempoh perbicaraan itu,” katanya.
Isnin lalu, Bernama melaporkan pegawai kanan PDRM adalah antara yang diambil tindakan, berikutan disyaki mempunyai kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu siasatan sindiket berkenaan, yang turut menyaksikan rombakan besar-besaran dalam pasukan PDRM, membabitkan lebih 20 anggota, pegawai dan pegawai kanan pasukan keselamatan itu, ditukarkan.
Susulan itu, pada Selasa, Bernama melaporkan penyandang jawatan sensitif dalam perkhidmatan PDRM akan digilirkan dengan lebih kerap pada masa hadapan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TAIPING: Seorang lelaki hanya sempat melaram 20 minit dengan kereta peronda (MPV) milik polis sebelum ditahan dalam sekatan jalan raya di Taiping Utara, berhampiran susur masuk Plaza Tol Kamunting, pagi tadi.
Suspek sebelum itu melarikan MPV yang diletak dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada jam 7.28 pagi dengan meninggalkan kenderaannya jenis Ford Fiesta.
MPV milik PDRM yang dilarikan suspek berjaya ditemui semula berhampiran susur masuk Plaza Tol Kamunting
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata suspek dari Selama, Perak ditahan bersama kenderaan yang dilarikan tidak sampai setengah jam.
“Suspek dibawa ke IPD Taiping untuk tindakan lanjut,” katanya seperti dilaporkan BHOnline.
Osman berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung tindakan atau modus operandi suspek.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PUTRAJAYA : Hadiahkan koleksi kereta mewah kepada segelintir kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang terbabit dengan sindiket penyalahgunaan pengesahan cop keluar dan masuk di pintu utama negara.
Ini dibuktikan apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi operasi Ops Selat bertindak merampas 21 kenderaan mewah pelbagai model miliki kakitangan JIM yang diberkas sejak Isnin lalu.
Antara model kereta dirampas membabitkan Nissan Skyline R35, Subaru, Toyota Alphard, Hyundai Starex, Honda Accord, Mitsubishi Lancer dan pelbagai kenderaan import lain.
Sumber berkata, semua 21 kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit itu kini disita di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk siasatan lanjut.
“Turut disita 4 motosikal berkuasa tinggi milik kakitangan JIM ditahan reman terbabit.
“Siasatan susulan dilakukan SPRM turut menemui wang tunai berjumlah RM132,000 selain turut menyita wang di dalam akaun bank milik kakitangan JIM berjumlah RM616,499,” katanya.
Menurutnya, SPRM amat serius dalam membongkar kegiatan rasuah susulan penahanan 27 anggota JIM, 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam.
“Siasatan mendapati ejen atau orang tengah ini menggunakan wang dan kenderaan mewah untuk ‘membeli’ hati kakitangan terbabit bagi memudahkan urusan keluar masuk pekerja warga asing bermasalah dari negara ini sejak 2017,” katanya.
Sumber berkata, siasatan SPRM menerusi operasi khas mendapati sindiket ejen warga asing ini sudah membelanjakan RM14.5 juta untuk menyogok pegawai imigresen sejak 4 tahun lalu.
“Ini dibuktikan apabila ada antara kakitangan JIM berpangkat rendah ditahan memiliki wang simpanan dalam jumlah tidak masuk akal serta kenderaan mewah.
Bagi mengaburi pihak berkuasa, individu dikenal pasti sebagai orang tengah atau ejen kegiatan haram ini mendaftarkan kenderaan mewah menggunakan nama individu lain.
“Ini jelas melangkaui pendapatan individu terbabit yang hanya menduduki Gred KP19,” kata sumber itu kepada HarianMetro.
Mengikut laman web rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), gaji minima gred KP19 bagi klasifikasi perkhidmatan keselamatan dan pertahanan awam adalah RM1,360 dan maksimum RM4,052 tidak termasuk bayaran elaun.
“Malah, siasatan turut menjurus kepada kehidupan mewah dikecapi termasuk kerap melancong ke luar negara,” katanya.
Menurutnya, SPRM kini meneruskan usaha memburu dua lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan dapat dikesan.
“Sehingga kini (semalam), lelaki terbabit Yuen Hon Loong, 49, dan Teo Hun Siang, 36, masih gagal ditemui,” katanya.
Menerusi Op Selat, SPRM berjaya memberkas 46 individu pada Isnin lalu.
Melalui laporan HarianMetro bermula Rabu lalu, kakitangan JIM itu disogok susulan banyak permintaan daripada majikan untuk melanjutkan tempoh izin berada di negara ini dan permintaan pekerja asing atau migran untuk pulang ke negara asal mereka.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA PILAH: Seorang mekanik ditemui meninggal dalam keadaan terduduk di meja makan dapur selain mayatnya berbau di rumahnya di Kampung Tengkek, Batu Kikir di sini malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada rakan mekanik tersebut yang datang ke rumah mangsa kira-kira pukul 7 malam selepas beberapa hari dia gagal dihubungi.
“Sebaik tiba di rumah, rakannya mendapati kediaman tersebut berkunci dari dalam malah panggilannya turut tidak dijawab sebelum terhidu bau busuk dari dalam rumah.
” Pihak polis terpaksa memecah masuk kediaman itu dan menemui seorang lelaki berseluar jeans, tidak berbaju telah meninggal dunia di bahagian dapur dalam keadaan terduduk di meja makan,” katanya ketika dihubungi KosmoOnline.
Menurut Amran, siasatan mendapati mekanik berusia 49 tahun itu dipercayai meninggal dunia lebih kurang dua hari berdasarkan mayat yang telah berbau.
“Tidak terdapat unsur perbuatan jenayah dalam kes ini, pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati barang berharga miliknya seperti duit dan dokumen penting juga berada di tempat kejadian.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung tetapi tidak pernah membuat rawatan di hospital sebaliknya hanya membeli ubat di kedai dan farmasi sahaja. ” katanya.
Tambah beliau, mangsa sudah lima tahun tinggal bersendirian di rumah tersebut dan bekerja sebagai mekanik motosikal di bengkel yang terdapat di sebelah rumahnya.
“Mangsa merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik beradik dan masih belum berkahwin.
” Mayatnya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.
Amran berkata, setakat ini kes diklasifikan sebagai mati mengejut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera ditikam dengan pisau hanya kerana menegur seorang pemuda membunyikan radio di kawasan Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun bekerja sebagai pembantu perkapalan cedera di bahagian belakang bahu kiri.
Memetik laporan HarianMetro, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa sedang melepak bersama lima rakannya di kawasan berkenaan.
Gambar Hiasan
Katanya, seorang daripada rakan mangsa kemudian mempelawa suspek berusia 20-an yang ketika itu berada di sebuah kapal untuk lepak bersama.
“Suspek kemudian datang dengan membawa radio yang dipasang lagu. Mangsa menegur suspek supaya tidak memainkan radio itu kerana bunyi bising.
“Suspek kemudian naik semula ke atas kapal dan tidak lama selepas itu kembali semula dan terus menikam mangsa menggunakan pisau di bahagian belakang bahu sebelah kiri,” katanya.
Habibi berkata, mangsa cedera dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKKS) Sabah oleh rakannya, manakala suspek melarikan diri.
“Akibat kecederaan itu, mangsa menerima enam jahitan dan usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU: Seorang kakiskodeng diburu polis selepas disyaki mengintai jiran wanitanya mandi di sebuah kawasan perumahan di Taman Setia Indah, Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 23 tahun, dua hari lalu.
Katanya, ini adalah kejadian kali kedua dialami pengadu yang menyewa kediaman itu sejak dua bulan lalu.
“Pengadu membuat laporan dia diintai ketika sedang mandi di tandas rumah sewanya kira-kira pada jam 7.15 pagi.
“Dia menyedari perkara berkenaan selepas mendapati terdapat pergerakan orang di luar tandas melalui tingkap tandas yang sedikit terbuka ketika itu,” katanya dalam kenyataan disiarkan Malaysiapost.
Mohd Padzli berkata, mangsa mengesyaki jirannya yang melakukan perbuatan itu kerana hanya suspek yang sudah bangun pagi ketika kejadian berlaku.
“Mangsa turut membuat rakaman video pergerakan suspek menggunakan telefon bimbit namun gambarnya tidak jelas,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!