WANITA MUAT NAIK KATA KESAT DALAM FACEBOOK DITAHAN
PUTRAJAYA: Seorang wanita yang dipercayai memuat naik beberapa hantaran menggunakan perkataan kesat dan berunsur ugutan ditujukan kepada petugas sekatan jalan raya di Putrajaya, ditahan malam tadi bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, berkata polis sebelum itu menerima satu laporan pada jam 10.53 pagi pagi semalam, mengenai wanita itu yang menggunakan nama “Diana Mat.”
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebelum laporan polis itu dibuat, beberapa tangkap layar (screenshot) hantaran oleh suspek menggunakan perkatan kesat dan berunsur ugutan kepada pihak polis, didapati tersebar melalui media sosial.
“Pada jam 9 malam tadi, seorang wanita berusia 36 tahun yang juga pemilik akaun facebook bernama “Diana Mat”, ditangkap.
‘Pihak polis merampas peranti iaitu telefon bimbit milik wanita itu, dipercayai digunakan untuk memuatnaik hantaran di Facebooknya,” katanya dalam satu kenyataan media, pagi ini, lapor BH ONLINE.
Mohd Fadzil berkata, wanita itu kini ditahan dan akan dibawa ke hadapan Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi meneruskan siasatan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah; Seksyen 504 Kanun Keseksaan, mengaibkan dengan niat hendak mendatangkan bangkitan marah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 iaitu menggunakan perkhidmatan rangkaian dan komunikasi secara tidak wajar.
“Pengguna media sosial yang lain dinasihatkan agar berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang atau jabatan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENIAGA PUKUL KEPALA PEMBELI KERANA PERSOAL HARGA MINUMAN
Petaling Jaya: Seorang pembeli wanita dipukul peniaga hanya kerana mempersoalkan harga minuman yang dijual tidak mengikut harga sebenar.
Mangsa dilaporkan dipukul remaja lelaki dengan sayur selepas mereka terbabit dalam pertengkaran. Insiden itu kemudiannya tular di media sosial sejak Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian terbabit dipercayai berlaku di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, di sini.
Menurutnya, dalam kejadian ini, mangsa berusia 42 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori.
“Dalam rakaman itu, mangsa tidak berpuas hati dengan minuman dijual dipremis suspek berusia 17 tahun kerana tidak mengikut harga sebenar ditetapkan pengilang.
“Remaja lelaki terbabit bertindak agresif dan mengeluarkan kata kata kesat serta memukul kepala mangsa dengan sayur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor HM online.
Mohamad Fakhrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SHAH ALAM – Niat murni seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengawal lalu lintas di hadapan sebuah sekolah menengah di Kota Kemuning di sini dibalas tindakan tidak sewajarnya apabila dikatakan dilanggar sebuah kereta mewah jenis BMW.
Insiden yang dipercayai berlaku pada 5.20 petang semalam itu tular di laman sosial menerusi video berdurasi 32 saat.
Berdasarkan video tersebut anggota RELA itu menahan kereta BMW itu susulan laluan dikatakan dijadikan sehala pada waktu kemuncak bagi menjaga keselamatan pelajar yang pulang ke sekolah.
Malah kedengaran dua suara kanak-kanak di dalam video itu yang menjerit ketika kejadian berlaku.
“Dia (pemandu kereta) terlanggar kaki orang itu (anggota rela) dan oh my goodness! (Oh Tuhanku),” jelasnya.
Beberapa pengguna laman sosial Facebook menyelar tindakan tersebut yang disifatkan keterlaluan, lapor KOSMO! Online.
“Harap pemandu itu dikenakan tindakan dan minta maaf kepada uncle (anggota RELA),” jelas pengguna dengan nama Mona Mohd. Dan.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima laporan daripada anggota RELA tersebut semalam.
“Kedua-dua pihak telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini untuk dirakamkan keterangan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAUB: Tiga lelaki degil yang memakai gelang merah jambu dikompaun di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) antara 12.30 tengah hari dan 2.00 petang, di sini, semalam.
Ketiga-tiga Orang Kena Kompaun (OKK) yang berusia 52, 69 dan 73 tahun itu gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan mengikut peraturan PKPD untuk melakukan kuarantin di rumah sendiri.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Kama Azural Mohamed berkata, OKK tersebut memberi alasan yang tidak masuk akal untuk keluar rumah setelah dikuarantin kerana dikatakan berasa panas berada di rumah dan ingin bersiar-siar.
“Alasan sebegini adalah sangat tidak munasabah dan menyedihkan kerana angkara tidak bertanggung jawab mereka boleh merebak dan menularkan jangkitan covid-19 kepada umum sekiranya didapati positif.
“Kedegilan tidak wajar begini yang membuat kes wabak Covid-19 meningkat setiap hari dan sukar untuk dikawal,”katanya.
Katanya, dua OKK yang tinggal di Kampung Sungai Klau berusia 69 tahun dan Taman Sungai Klau berusia 52 tahun dikompaun RM2,000 di bawah Perkara 25 (a) atas kesalahan berkumpul dan makan di kedai dalam kawasan PKPD tanpa alasan munasabah
Manakala OKK ketiga, yang tinggal di Kampung Sungai Klau berusia 73 tahun , dikompaun di bawah Perkara 22(b) PPPDPPB dengan jumlah kompaun RM 5,000 kerana gagal melakukan kuarantin di rumah sendiri setelah memakai gelang berwarna merah jambu.
Katanya, kesemua OKK itu telah dikenakan kompaun kerana telah melanggar SOP yang ditetapkan dalam kawasan PKPD dan berharap orang ramai yang mempunyai gejala dan diminta untuk tidak keluar rumah demi keselamatan dan kesejahteraan orang ramai.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA BHARU: Anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta dipercayai milik penyeludup mercun selepas pemandunya cuba merempuh anggota polis dalam satu kejadian di Kampung Peringat, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata kejadian berlaku ketika sebuah kereta peronda polis terserempak dengan kereta jenis Honda Accord di pekan Pasir Mas dalam keadaan mencurigakan pada jam 7.05 pagi.
Beliau berkata, menyedari kehadiran polis, pemandu kereta itu terus memecut laju melarikan diri ke arah Lemal.
“Pada masa sama, sebuah lagi kenderaan peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas tiba di Bulatan Lemal dan turut sama mengejar kereta suspek melalui Jambatan Salor menuju ke Kota Bharu.
“Kereta suspek kemudian bergerak ke arah Jalan Aur Duri, Ketereh hingga ke kawasan kampung di Peringat dan kereta suspek tersekat di jalan mati,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH Online.
Shafien berkata, ketika itu, anggota peronda berhenti di belakang kereta suspek dan terus keluar menghala ke arah sisi kenderaan dan mengarahkan suspek keluar.
Bagaimanapun, katanya, suspek yang enggan keluar cuba merempuh anggota menyebabkan anggota peronda itu terpaksa melepaskan tembakan ke arah kenderaan suspek supaya memberhentikan kenderaan.
“Suspek kemudian bertindak agresif dengan memusingkan kenderaan dan berjaya lolos. Anggota peronda cuba menjejaki semula suspek tetapi gagal sehingga sampai ke kawasan Kampung Seterpa.
“Ada penduduk kampung menunjukkan arah kereta suspek masuk menghala ke kawasan Perkuburan Kuin, Peringat.
“Setibanya anggota polis di lokasi itu, kereta milik suspek ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan pintu masih terbuka dan suspek disyaki melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu mendapati bahagian tempat duduk penumpang belakang dan juga but dipenuhi kotak berisi pelbagai jenis mercun.
Katanya, semakan ke atas kereta itu mendapati tiada sebarang rekod kehilangan dan usaha mengesan serta menahan suspek giat dijalankan.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai bapa kepada kanak-kanak berusia dua tahun yang diberikan rokok elektronik atau vape untuk dihisap.
Video dan gambar lelaki terbabit memberikan kanak-kanak berkenaan vape tular dalam laman sosial sebelum laporan polis dibuat oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pada jam 4.50 petang semalam, sepasukan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai JKM pergi ke sebuah kediaman di PPR Kampung Baru Air Panas, Jalan Usahawan off Jalan Genting Klang, Setapak, selepas mengesan kediaman kanak-kanak berkenaan.
“Pihak polis dan JKM menyelamatkan kanak-kanak terbabit dan membawa bersama ibunya untuk pemeriksaan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum mereka ditahan di wad untuk pemeriksaan susulan.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian suspek memberi anaknya menghisap vape dikesan berlaku di Taman Sahabat Jaya, Batu Caves, Selangor, pada 2 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Arifai berkata polis kemudian menahan bapanya yang berusia 23 tahun kerana perbuatannya itu dan siasatan mendapati ketika kejadian ibu mangsa merakam situasi berkenaan namun suspek memberikan vape kepada anaknya, lapor BH Online.
“Suspek kini direman selam tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial video menunjukkan seorang ibu memuat naik video yang menunjukkan dia memberi anaknya menghisap rokok elektronik atau vape sehingga mengundang kemarahan netizen.
Klip video berdurasi 12 saat itu menunjukkan, mangsa yang sedang menonton video animasi kanak-kanak di telefon bimbit disuap dengan vape sebanyak dua kali.
GAMBAR HIASAN
Malah pada sedutan kali kedua jelas menunjukkan mangsa seperti sukar bernafas.
Pada mulanya, wanita terbabit tetap mempertahankan tindakannya dengan menegaskan bebas memuat naik apa sahaja di laman sosialnya.
Namun selepas dikecam netizen, wanita terbabit meminta orang ramai tidak lagi menyebarkan video itu dan memohon maaf kerana tidak sangka tindakannya memuat naik video itu mengundang persepsi tidak elok selain bimbang kejadian buruk berlaku kepada anaknya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
IPOH: Keghairahan sekumpulan mat rempit yang saling beraksi menduga kelajuan m/sikal sesama sendiri di Jalan Pasir Puteh berhampiran Taman Desa Aman berakhir duka apabila mereka berjaya dicekup oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Caw. Penguatkuasaan Trafik, BSPT IPD Ipoh awal pagi tadi dalam operasi Samseng Jalanan.
Selain itu, beberapa buah m/sikal pelbagai model dirampas kerana telah diubahsuai pelbagai struktur tanpa kebenaran dipercayai bagi tujuan perlumbaan. Kesemua suspek ditangkap di bawah Sek. 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman tidak kurang 5 tahun penjara mandatori dan denda tidak melebihi RM15,000, jika sabit kesalahan.
GAMBAR IHSAN PDRM
Operasi lewat malam tersebut telah diatur atas aduan penduduk-penduduk sekitar yang seringkali terganggu tidur akibat bunyi bising m/sikal dari kumpulan samseng jalanan ini saban minggu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU – Tanpa ada segan silu, 66 individu dikesan menikmati makanan dan minuman di tempat terbuka meskipun tahu berbuatan mereka mencemarkan kesucian bulan Ramadan.
Sakit perut, tidak larat serta faktor kesihatan antara alasan remeh yang diberikan mereka ketika dicekup penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Ketua Penolong Pengarah bahagian penguatkuasaan JAINJ, Dzulkafli Mohamad berkata, kesemua individu berusia 20 hingga 50 tahun itu dikenakan tindakan saman sejak awal Ramadan hingga hari ini.
“Mereka dikesan melakukan perbuatan tidak menghormati bulan Ramadan apabila makan dan minum secara terbuka di tempat awam di restoran dan warung.
“Setakat hari ini, sebanyak 66 saman dikeluarkan di bawah Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 kerana tidak menghormati Ramadan di seluruh negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
GAMBAR HIASAN
Dzulkafli berkata, mereka yang disaman boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Jelasnya, bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, lapor KOSMO! Online.
Ujarnya, individu yang dikenakan tindakan saman ini perlu hadir untuk memberi keterangan di pejabat JAINJ sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.
“Setakat ini, masih belum ada individu yang didakwa di Mahkamah lagi. Penguatkuasaan ini akan diteruskan hingga penghujung bulan Ramadan.
“Sekali pun tidak boleh berpuasa makan di tempat yang tersembunyi. Jangan makan dikhalayak ramai,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MAYAT WANITA SEPARUH BOGEL DITEMUKAN DI TEPI SUNGAI RAMBAI
KUALA SELANGOR: Mayat seorang wanita keadaan separuh bogel ditemukan di tepi Sungai Rambai, Bestari Jaya, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, mayat ditemui oleh orang awam pada 7.30 malam.
“Hasil semakan awal mendapati mangsa berpakaian baju kemeja berwarna maroon dan berseluar jeans. Malah, tiada sebarang identiti dijumpai.
“Bagaimanapun, baju mangsa dipercayai dalam keadaan hampir tercabut dan mangsa berada dalam keadaan separuh bogel,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ramli berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan hasilnya mendapati, terdapat kesan kecederaan pada fizikal tubuh mangsa.
GAMBAR IHSAN PDRM
Beliau berkata, mangsa dipercayai warga tempatan berikutan terdapat suntikan BCG dan dipercayai meninggal dunia lebih 48 jam.
Sehubungan itu, Ramli berkata, siasatan lanjut berhubung kes itu masih diteruskan, lapor Harian Metro.
“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Asisten Superintendan Mohd Sufian Amin di talian 012-614 9580 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
REMAJA 16 TAHUN ANTARA DIBERKAS DALAM OPERASI TAPIS KHAS
JERANTUT : Seorang remaja berusia 16 tahun yang tidak bersekolah antara sembilan orang suspek berbangsa Melayu dalam empat serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jerantut di Felda Sungai Tekam Utara dan Felda Lepar Utara dekat sini semalam.
Operasi Tapis Khas itu yang dilakukan bermula pada jam 11 malam, 2 Mei dan berakhir jam 8 pagi, 3 Mei itu, remaja berusia 16 tahun itu diberkas di Felda Tekam Utara dan menemui dadah jenis heroin seberat 161.2 gram dan syabu seberat 11 gram yang dianggarkan bernilai RM6,480 di belakang rumah suspek.
Timbalan Ketua Polis Jerantut, Deputi Suprintendan Azman Mat Khamis (tengah) di Ibupejabat Polis Daerah Jerantut, pagi ini.
Bercakap kepada pemberita di IPD Jerantut hari ini, Timbalan Ketua Polis Jerantut, Deputi Suprintendan Azman Mat Khamis berkata, kes tangkapan remaja berkenaan amat unik kerana belum pernah dilakukan oleh polis sebelum ini, suspek tersebut itu turut positif dadah syabu dan aktif sebagai pengedar dadah di kawasan Felda itu sejak sebulan lalu.
“Penglibatan remaja ini sebagai pengedar serta penagih dadah memerlukan perhatian serius oleh semua pihak dan menunjukkan kegiatan tersebut semakin bermaharajalela di kawasan Felda daerah ini khususnya membabitkan golongan bawah usia.
“Penahanan remaja di bawah Akta ADB 1952 dan kemungkinan didakwa di bawah Akta Juvana memandangkan dia masih di bawah usia,” katanya di IPD Jerantut hari ini.
Katanya, polis juga menahan seorang seorang lelaki Melayu berusia 44 tahun di tepi jalan Felda Kota Gelanggi ke Felda Lepar Utara dan merampas 6.86 gram dadah syabu yang diperoleh dari Felda Tekam Utara, manakala hasil ujian urin suspek turut positif dadah berkenaan.
“Penahanan lelaki ini membawa tangkapan ke atas dua orang lelaki Melayu berusia 25 dan 46 tahun di Stesen Minyak Euro 5, Felda Tekam Utara dan menahan sebuah kereta jenis ATOS serta rampasan dadah syabu seberat 52 gram, heroin (39 gram), pil erimin 5 (10 gram) dan ganja 1.0 gram yang kesemuanya bernilai RM6,350.
“Ketiga lelaki berkenaan yang menjadi pengedar sejak 2020 ditahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 sekiranya sabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori dan siasatan mendapati mereka mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah akta yang sama dan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK),” katanya
Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kereta Proton Saga milik seorang lelaki berkenaan dan merampas wang tunai berjumlah RM1,319 yang dipercayai hasil aktiviti pengedaran dadah termasuk hasil ujian urin mendapati ketiga-tiganya positif syabu.
Azman berkata, dalam Op Tapis Khas bertempat di Felda Lepar Utara polis juga berjaya menahan lima orang lelaki Melayu berusia antara 30 tahun hingga 62 tahun serta merampas dadah syabu seberat 0.13 gram, ganja (2.81 gram), daun ketum (1.63 kilogram), air ketum (23 liter) dan rokok seludup (32 kotak).
“Keseluruhan operasi empat serbuan di Felda tersebut, polis telah merampas dadah syabu seberat 70.13 gram, heroin (200.2 gram), ganja (3.81 gram), air ketum (23 liter) dan daun ketum (1.63 kilogram) yang dianggarkan bernilai RM26,107.
“Sejak bulan Januari hingga Disember 2020, kita telah menangkap seramai 517 pengedar dan penagih dadah melibatkan 640 kes pelbagai kesalahan di bawah ADB 1952 dan pada bulan Januari hingga April tahun ini, juga membabitkan tangkapan 199 orang dengan 223 kes,” katanya.
Selanjutnya, Azman berkata, polis akan terus membuat operasi berdasarkan maklumat diperoleh di daerah ini terutamanya kawasan Felda yang sudah lama menjadi sarang pengedaran dan penagihan dadah.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!