BEIJING: Pasukan penyelamat mengesan beberapa isyarat menunjukkan ada antara 22 pelombong emas yang terperangkap dalam lombong bawah tanah di timur China masih bernyawa.
GAMBAR IHSAN AFP
Isyarat itu dikesan seminggu selepas pekerja lombong itu terperangkap akibat letupan pada 10 Januari lalu, yang merosakkan sistem komunikasi selain menimbus tangga keluar daripada lombong itu lapor AFP.
Ia menyebabkan pihak berkuasa tidak dapat menghubungi mereka yang terperangkap di dalam lombong yang terletak berhampiran bandar Qixia di timur wilayah Shandong.
Bagaimanapun, pasukan penyelamat yang sedang menggerudi hari ini mendengar bunyi ketukan, lapor agensi berita Xinhua, namun mereka memerlukan pengesahan.
Pihak berkuasa tempatan merancang untuk menurunkan makanan dan talian telefon ke dalam lombong milik Shandong Wucailong Investment Co Ltd, yang dalam proses pembinaan ketika tragedi itu berlaku.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEHRAN: Pengawal Revolusi Iran melaksanakan ujian peluru berpandu balistik terhadap beberapa sasaran di Lautan Hindi ketika mengakhiri sesi latihan selama dua hari, lapor laman sesawang rasminya hari ini.
Peluru berpandu pelbagaikelas itu menyasarkan kapal perang musuh dan memusnahkan mereka dari jarak 1,800 kilometer, menurut laman sesawang Sepahnews.
Peluru berpandu itu dilancarkan dari Iran ke arah sasaran yang terletak di utara Lautan Hindi, kata Pengawal Revolusi Iran.
Satu video yang disiarkan media negara itu menunjukkan dua peluru berpandu dilancarkan dan tepat kena pada sasaran di laut.
Ketua Staf Pasukan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Bagheri, hadir pada hari kedua latihan itu bersama Ketua Pengawal Revolusi Iran, Mejar Jeneral Hossein Salami dan Komander Aeroangkasa Iran, Brigadier Jeneral Amir Ali Hajizadeh.
“Satu daripada dasar pertahanan dan strategi utama kami adalah untuk mampu menyasarkan kapal musuh, termasuk kapal perang dan kapal pengangkut pesawat, menggunakan peluru berpandu balistik,” kata Hossein.
Mohammad berkata, pelancaran itu menunjukkan Iran bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang musuh berniat jahat dan memberi amaran jika perlu, musuh akan dimusnahkan dengan peluru berpandu.
“Kami tidak berhasrat memulakan sebarang serangan,” katanya sambil menambah latihan itu menunjukkan kesiapsiagaan Iran untuk mempertahankan diri dengan seluruh kekuatan bagi menangani sebarang ancaman.
Latihan yang dinamakan Great Prophet15 itu turut mempamerkan serangan dron terhadap sistem pertahanan peluru berpandu, disusuli pelancaran sekumpulan peluru berpandu balistik darat ke darat generasi baharu.
Perang saraf itu diadakan ketika ketegangan memuncak menjelang hari-hari terakhir pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ia juga adalah latihan ketenteraan Iran yang ketiga dalam tempoh kurang dua minggu selepas latihan tentera laut di Teluk Oman pada Rabu dan Khamis lalu serta latihan dron tentera pada 5 dan 6 Januari lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SYDNEY: Pasukan bomba Australia sedang berusaha memadamkan kebakaran hutan di Perth hari ini, yang kini sudah merebak di luar kawalan dan mengancam nyawa serta kediaman penduduk.
Jabatan Kebakaran dan Perkhidmatan Kecemasan, dalam satu amaran, berkata penduduk di beberapa kawasan pinggir bandar diminta bertindak segera untuk selamat.
Ketika ini, kebakaran menghampiri kediaman berhampiran Oakford, yang terletak kira-kira 35 kilometer (km) di selatan Perth, lapor AFP.
Penduduk tempatan diarah meninggalkan kediaman masing-masing dan mencari tempat berlindung jika keadaan mengizinkan, susulan asap tebal mula menyelubungi kawasan itu.
Gambar daripada udara menunjukkan sekurang-kurangnya satu kediaman terbakar, dengan beberapa pesawat melepaskan air daripada udara untuk mengawal api yang marak.
Beberapa jalan ditutup dan pusat pemindahan disediakan manakala pasukan bomba berusaha mengawal kebakaran dalam keadaan amat sukar berikutan angin meniup api ke arah barat laut dan suhu melebihi 32 darjah Celsius.
Beberapa kebakaran hutan lebih kecil turut dilaporkan di sekitar pinggir bandar Perth.
Australia barat terselamat daripada kebakaran hutan pertengahan tahun lalu, yang kebanyakannya melanda dua negeri paling ramai penduduk iaitu New South Wales dan Victoria.
Kebakaran itu meliputi kawasan hutan dan belukar seluas lebih 24 juta hektar di seluruh Australia berikutan cuaca kering pada hujung 2019 dan awal tahun lalu, meragut lebih 30 nyawa serta memusnahkan ribuan kediaman.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JAKARTA : Pihak berkuasa Indonesia mengeluarkan amaran kemungkinan berlakunya gempa lebih kuat, yang boleh mencetuskan amaran tsunami di Sulawesi Barat, susulan gempa bermagnitud 6.2 , awal pagi tadi.
Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia Dwikorita Karnawati dalam siaran media menerusi webinar berkata, sehingga 10 pagi tadi, sebanyak 28 gempa susulan bermagnitud sederhana di bawah magnitud 5 berlaku di kawasan berkenaan.
Menurut analisis BMKG, gempa itu disebabkan pergerakan batuan dan tanah Mamuju dan ia adalah ulangan pergerakan batuan dan tanah yang pernah terjadi pada tahun 1969 (yang mencetuskan gempa bermagnitud 6.9) dan 1984 (yang mencetuskan gempa bermagnitud 6.7).
“Gempa susulan (yang lebih kuat) memungkinkan untuk terjadinya tanah runtuh di dasar laut sehingga berpotensi terjadi tsunami ,” kata Dwikorita.
Pihak berkuasa Indonesia kini, mengeluarkan arahan supaya penduduk di kawasan terbabit menjauhi kawasan pantai dan lereng bukit, kerana gempa susulan dikhuatiri berpotensi berlaku tsunami atau kejadian tanah runtuh.
Sementara itu, Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Kebencanaan, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia Dr Raditya Jati, dalam satu kenyataan berkata, pasukan mencari dan penyelamat membabitkan pelbagai agensi seperti BNPB, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), tentera, polis dan agensi lain yang berkaitan, dikerahkan ke kawasan kejadian.
Gempa bumi kuat bermagnitud 6.2 berpusat di enam kilometer (km) Timur Laut-Majene-Sulawesi Barat, pada kedalaman 10 km berlaku di Sulawesi Barat, Indonesia, awal pagi tadi, dikhuatiri mengorbankan ramai mangsa berikutan berlakunya runtuhan rumah dan bangunan serta kejadian tanah runtuh.
Menurut BNPB dalam satu kenyataan setakat 11 pagi tadi, lebih 600 cedera, ratusan rumah dan bangunan termasuk Rumah Sakit (hospital) Mitra Manakarra Mamuju runtuh, manakala lebih 15,000 penduduk kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah Sulawesi Barat Darno Majid dalam satu kenyataan di televisyen tempatan berkata, sehingga 12 tengah hari ini, 16 orang ditemukan terkorban dan pasukan mencari dan menyelamat masih mengesan mereka yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan.
“Bekalan elektrik terputus di Majene dan Mamuju, jaringan komunikasi juga tidak stabil,” katanya lapor Bernama.
Video/gambar: Media sosial
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PARIS: Lebih 30 juta kes jangkitan COVID-19 dilaporkan secara rasmi di Eropah, menurut laporan AFP berdasarkan statistik kesihatan rasmi sehingga jam 8 pagi tadi.
52 negara di benua itu, termasuk Russia, adalah zon yang paling teruk terjejas di dunia dari segi jumlah jangkitan iaitu 30,003,905 kes.
Eropah diikuti oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, yang mencatat 23,994,507 kes, Amerika Latin dan Caribbean 16,989,628, Asia 14,485,588, Asia Barat 4,323,966, Afrika 3,170,837 dan Oceania 31,443, lapor AFP.
Negara paling teruk terjejas di Eropah adalah Russia dengan 3,520,531 kes dan 64,495 kematian, Britain dengan 3,260,258 jangkitan dan 86,015 kematian, Perancis (2,851,670 dan 69,313) Turki (2,364,801 dan 23,495), Itali (2,336,279 dan 80,848) dan Sepanyol (2,211,967 dan 53,079).
Eropah dan Amerika Utara adalah wilayah dengan jumlah kes harian tertinggi pada minggu lalu, masing-masing mencatatkan purata 260,000 kes baharu setiap hari.
Jumlah kes baharu di seluruh dunia adalah sekitar 730,000 sehari.
Di antara negara dengan jumlah kes yang meningkat drastik adalah Sepanyol yang mengalami lonjakan 168 peratus dalam tujuh hari lalu berbanding minggu sebelumnya, dengan 193,545 kes baharu, diikuti oleh Portugal meningkat 49 peratus menjadi 60,502 dan Belgium, meningkat sebanyak 29 peratus menjadi 14,587 kes.
Eropah pada 17 Disember lalu menjadi wilayah global pertama yang melepasi setengah juta kematian.
Hari ini, benua itu mencatatkan 646,022 kematian, diikuti Amerika Latin dan Caribbean dengan 542,243 dan AS serta Kanada iaitu sebanyak 406,049.
Secara keseluruhan, lebih 92 juta kes COVID-19 dicatatkan di seluruh dunia, termasuk hampir dua juta kematian, sejak pandemik itu bermula di China pada akhir 2019.
Sejak itu, jumlah ujian yang dilakukan juga meningkat sementara teknik ujian dan laporan bertambah baik hingga berlaku peningkatan kes.
Bagaimanapun, jumlah kes yang didiagnosis hanyalah sebahagian daripada jumlah jangkitan sebenar kerana sebilangan besar kes tidak serius atau tidak bergejala biasanya tidak dapat dikesan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LONDON: Britain akan menyekat kesemua pengembara dari Amerika Selatan, Panama, Cape Verde dan Portugal bermula 0400 GMT Jumaat berikutan kebimbangan penularan varian baharu COVID-19 dari Brazil.
GAMBAR IHSAN AFP
“Saya sudah mengambil tindakan segera susulan bukti wujudnya varian baharu di Brazil,” menurut Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps di Twitter.
Shapps berkata pengecualian diberikan kepada syarikat pengangkutan yang melakukan perjalanan dari Portugal bagi membolehkan pengangkutan barang-barang keperluan dilakukan.
Jabatan Pengangkutan berkata, mereka juga akan menguatkuasakan larangan penerbangan terus ke England dari Argentina, Brazil, Cape Verde dan Portugal.
Beberapa varian virus dikenal pasti sejak pandemik bermula tahun lalu, termasuk yang lebih mudah menjangkiti, sekali gus menyebabkan lonjakan jangkitan di Britain dalam beberapa bulan terakhir.
Bagaimanapun strain lain dikenali sebagai E484K, dikesan di Afrika Selatan dan varian berikutnya di Brazil dan Jepun yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyelidik terhadap kemungkinan kesan kepada imuniti, lapor AFP.
Kerajaan United Kingdom (UK) berdepan kritikan berhubung dasar sempadan ketika krisis kesihatan, apabila terus membenarkan penerbangan antarabangsa keluar masuk ketika lonjakan kes tahun lalu.
GAMBAR IHSAN AFP
Negara itu kemudiannya memperkenalkan kaedah pengasingan kendiri jika rakyatnya pernah berada di mana-mana negara yang tidak disenaraikan dalam senarai koridor perjalanan.
Bagaimanapun bermula Isnin depan, pengembara perlu menyertakan bukti ujian saringan COVID-19 negatif sebelum mereka dibenarkan masuk ke England atau berdepan tindakan denda AS$685 (RM2,765).
Penguatkuasaan larangan itu dicadangkan bermula Jumaat tetapi Rabu lalu, kerajaan berkata, larangan itu ditangguhkan bagi memberi masa lebih lama kepada pengembara untuk bersedia.
Jurucakap Perdana Menteri, Boris Johnson mempertahankan penangguhan itu selepas mereka dikritik berhubung cara pengendalian krisis.
Britain yang menjadi antara negara paling teruk terjejas akibat COVID-19 di Eropah merekodkan 85,000 kematian dan lebih 3.2 juta kes jangkitan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan dunia sedang menuju ke arah peningkatan suhu yang dahsyat abad ini dengan 2020 direkodkan sebagai tahun terpanas mengatasi 2016.
Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres berkata, keadaan perubahan iklim tanpa henti ternyata mengorbankan banyak nyawa.
GAMBAR HIASAN
Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan fasa 2011 hingga 2020 adalah dekad paling panas yang pernah dicatatkan.
Berdasarkan WMO daripada gabungan lima set data antarabangsa teratasnya, 2020 menyaingi 2016 dalam memegang takhta cuaca terpanas lapor AFP.
WMO dilaporkan berkata, putaran suhu permukaan di Laut Pasifik pada fasa sejuk musim La Nina meredakan keadaan panas hanya pada hujung tahun.
Agensi cuaca PBB itu berkata, 2016, 2019 dan 2020 direkodkan sebagai tiga tahun paling panas dengan perbezaan antaranya dalam suhu global secara puratanya tidak dapat dibezakan.
Katanya, suhu global secara purata pada 2020 ialah kita-kira 14.9 darjah Celcius (C), iaitu 1.2 C lebih tinggi berbanding ketika fasa praindustri pada 1850 hingga 1900.
Melalui Perjanjian Paris 2015 mengenai perubahan iklim, ia menuntut kaedah membendung pemanasan global dalam keadaan kurang dari dua darjah Celcius, iaitu di atas tahap praindustri, sementara banyak negara meneruskan usaha mengehadkan kenaikan hingga 1.5 C.
Pada masa sama, WMO percaya sekurang-kurangnya terdapat satu daripada lima keadaan di mana purata suhu global secara sementara melebihi 1.5 C pada 2024 kelak.
Mengulas mengenai itu, Guterres berkata, pengesahan dibuat WMO bahawa 2020 menjadi antara tahun terpanas dalam sejarah adalah satu lagi peringatan kuat mengenai keadaan perubahan iklim yang tiada henti.
“Ia memberi kesan terhadap kehidupan dan nyawa di seluruh bumi. Hari ini, kita berada pada suhu 1.2 C kepanasan dan sudah dapat menyaksikan cuaca luar biasa yang ekstrem di setiap rantau dan benua.
“Kita menuju kepada kenaikan suhu yang dahsyat iaitu tiga hingga lima C abad ini… justeru berbaktilah kepada alam semula jadi yang menjadi tugas kita pada abad ke-21 ini. Ia mesti menjadi keutamaan kita,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
THAILAND LULUSKAN POKOK HEMPEDU BUMI SEBAGAI UBAT ANTI COVID-19.
BANGKOK: Kajian oleh Kementerian Kesihatan Thailand menunjukan pokok herba ‘hempedu bumi’ atau Andrographis paniculata dalam keluarga Acanthaceae boleh meredakan penyakit Covid-19 dalam tempoh 3 hari.
Mudah hidup melata di Malaysia
Pokok herba ini dipanggil ‘sambiloto’ di Indonesia, manakala di Malaysia dinamakan ‘akar cerita’ atau ‘raja pahit’ yang boleh ditanam melalui keratan atau biji benih di dalam pasu, polibeg dan boleh hidup melata dengan subur.
Herba ini merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai jangka hayat yang pendek iaitu kira-kira satu tahun dan berasal dari Asia Tenggara, China dan India dan boleh mencapai ketinggian sehingga 60 hingga 70 sentimeter (cm).
Herba yang sudah diproses menjadi serbuk dan kapsul
Mempunyai batang yang berbentuk segi empat dan mempunyai dahan yang yang banyak, daunnya berwarna hijau, susunan daun ringkas, licin dan daunnya bersusun secara ‘decussate’ iaitu daun yang berpasangan secara bertentangan.
Oleh itu untuk mengekang penularan wabak ini, kita boleh mencuba mengambil dedaun ini sebagai anti penyakit Covid-19 sementara menunggu vaksin tiba.
Para saintis berusaha mengkaji khasiat herba ini agar dapat dimanfaatkan sebagai ubat moden yang boleh didaftarkan penggunaannya.
Khasiat yang dikenal pasti dapat menurunkan paras gula, perlindungan fungsi hati, mengurangkan jangkitan saluran pernafasan, mengurangkan sakit sendi (artritis) dan mengurangkan kolitis ulseratif.
Herba hempedu bumi yang sudah dikeringkan
Sebenarnya, khasiat hempedu bumi atau dikenali dengan panggilan ‘akar cerita’ bukanlah satu penemuan baharu tetapi telah digunakan oleh pelbagai masyarakat sejak turun-temurun secara tradisional.
Tumbuhan ini digunakan sejak berabad yang lalu sebagai perawatan khususnya di China, India dan Jawa
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
WASHINGTON: Donald Trump muncul Presiden Amerika Syarikat (AS) pertama dalam sejarah yang berdepan pendakwaan dua kali selepas Dewan Perwakilan mengundi semalam bagi mendakwanya melakukan hasutan dalam serangan ganas terhadap Kongres minggu lalu.
Memetik laporan AGENSI FRANCE PRESSE, Senat tidak akan mengadakan perbicaraan terhadap Trump sebelum 20 Januari ketika pemimpin Demokrat, Joe Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden AS, sekali gus menyaksikan taikun hartanah itu terlepas daripada risiko terpaksa meninggalkan pejabatnya lebih awal.
Trump bagaimanapun bakal meninggalkan pejabatnya dalam keadaan aib selain berdepan perbicaraan Senat kemudian.
Satu-satunya persoalan di dewan adalah berapa ramai anggota Republikan yang akan bergabung dengan majoriti Demokrat.
Perkara yang membawa kepada pendakwaan kali kedua ialah apabila 10 pemimpin Republikan berpaling tadah bersetuju mengundi untuk mendakwa Trump bersama-sama majoriti pemimpin Demokrat.
Trump yang berada di Rumah Putih tidak memberikan reaksi segera tetapi beliau sebelum ini mengeluarkan kenyataan ringkas yang menegaskan bahawa beliau menentang keganasan dilakukan penyokongnya.
“Mengingati laporan mengenai lebih banyak demonstrasi, saya mendesak supaya tidak ada kekerasan, tidak melanggar undang-undang dan tidak ada vandalisme dalam apa bentuk sekalipun. Bukan itu yang saya perjuangkan,” katanya.
“Saya meminta rakyat Amerika untuk membantu meredakan ketegangan dan menenangkan kemarahan. Terima kasih.”
Trump dituduh menghasut ribuan penyokongnya untuk menggempur bangunan Capitol di mana kongres sedang bersidang minggu lalu mengakibatkan lima orang terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera.
Menggambarkan ketakutan di sebalik pergolakan, anggota bersenjata Pengawal Kebangsaan dikerahkan untuk mengawal keadaan.
Di bangunan Capitol itu sendiri, pengawal dengan penyamaran penuh dan lengkap bersenjata bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Trump selamat daripada pendakwaan kali pertama hampir setahun lalu ketika Senat yang dikuasai Republikan membebaskannya daripada dakwaan menyalahgunakan pejabatnya untuk memfitnah keluarga Biden sebelum pilihan raya.
Kali ini, kejatuhannya disebabkan inti pati ucapan di National Mall pada 6 Januari lalu yang memberitahu bahawa Biden mencuri pilihan raya presiden dan bahawa mereka perlu berarak di Kongres dan menunjukkan ‘kekuatan.’
Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi memberitahu dewan bahawa Trump “mesti pergi.”
“Beliau secara jelas adalah berbahaya kepada negara yang kita semua cintai,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.5 pada skala Richter dilaporkan berlaku di Irian Jaya, Indonesia pada 2.17 pagi Rabu.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa itu dikesan pada kedudukan 394 kilometer (km) barat dari Jayapura, Indonesia dengan kedalaman 19 km, lapor Bernama.
Gempa bumi itu bagaimanapun tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!