BERKEBUN HOBI YB PARLIMEN JERANTUT
BERKEBUN HOBI YB PARLIMEN JERANTUT
JERANTUT: “Keh (saya) biase buat keje kecik, sebab korga keh orang susah, orang kampung, jadi keje-keje gini dah biase sangat dengan kehidupan keh,” kata Ahli parlimen Jerantut, dengan loghat kampungnya, Kampung Sokti, ketika melawat kediamannya di Sungai Jan, semalam.
Ahli parlimen itu, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, rumahnya seolah-olah dikelilingi kebun walau pun terletak dekat kawasan bandar dengan kawasan tanah rumahnya yang tidak luas.
Katanya, ini hobinya ketika ada masa terluang, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga parlimen tidak bersidang ketika perintah darurat, sambil beriadah untuk mengeluarkan peluh, bila berbuah , selain bukan kerana mahu makan hasilnya tetapi seronok melihatnya mengeluarkan hasil.
“Saya tidak pandai memancing cara moden… nak berbasikal macam tidak sesuai dengan usia saya, maka berkebun lah di sekitar rumah kalau tiada program bersama masyarakat.
“Isteri pula minat menanam pokok bunga, saya pula menanam pokok vanila dan muncul minat setelah menonton dalam Youtube cara menanam vanila dan melawat beberapa kawasan kebun pokok vanilla di Temerloh dan di Ulu Cheka, Jerantut,”katanya.
Katanya, menanam pokok vanila seronok , sesuai dengan kudratnya dan dikatakan vanila bakal memberi pulangan yang baik kerana Indonesia adalah pengeluar produk vanila terbesar di dunia dan penawaran vanila ketika ini tidak mencukupi.
“Kalau Indonesia boleh, mengapa kita (di Malaysia) tidak boleh kerana hawa dan iklim sama, saya sokong pengusaha pokok vanila di Temerloh dan di Ulu Cheka, mereka sudah nampak hasilnya.
“Saya juga dimaklumkan beberapa rumah di sekitar bandar Jerantut turut menanam pokok vanila di kawasan sempit di rumah masing-masing,”katanya.
Katanya, kalau zaman kecilnya, setakat pokok kelapa, mangga dan rambutan beliau dan adik beradiknya memanjat pokok untuk mendapatkan buahnya dan makan bersama.
“Tapi zaman sekarang, anak cucu kalau balik, kalau kita tak ambilkan (kaitkan) tak makanlah mereka, jadi melayan anak cucu masa mereka balik satu riadah dan terapi minda dalam kekeluargaan,” katanya.
Beliau menyarankan kepada sesiapa yang ada tanah yang sesuai berdekatan dengan rumah, bercucuk tanam dengan tanaman yang cepat mengeluarkan hasil dan boleh diambil bila-bila masa sambil berjimat seperti cili, serai, pandan, sawi dan pelbagai tanaman dapur.
“Saya memelihara beberapa ekor ayam kampung, itik dan angsa yang berada di dalam reban kecil berdekatan rumah saya, sebenarnya najis ayam, daun kering pokok buluh saling berguna untuk tanaman vanila.
“Najis haiwan ternakan jadi baja dan dicampur dengan daun buluh kering dan tanah sekam untuk membaja pokok vanila,”katanya.
Katanya, jom kita sama-sama manfaatkan tanah yang ada di sekitar rumah selain beriadah boleh berjimat cermat dengan pokok yang kerap digunakan untuk memasak.